4 Flap Air Besar
Banyak cerita yang saya dengar kononnya ketika air besar di Royal Belum, bot boleh sampai jauh ke atas dan kita tidak perlu memulakan jarak perjalanan trekking yang sangat jauh ke hulu Sg. Kejar seperti ketika musim kering. Iya ke bro…?
Teks & Fotografi : NAZMI ANUAR
Bagi peminat sungai pergunungan, Sg. Kejar di Royal Belum pastinya destinasi yang paling diminati lantaran dianggap masih ‘heaven’. Oleh sebab tiada akses melalui jalan darat dan penggunaan canoe atau apa sahaja bot tidak dibenarkan oleh Taman Negeri, populasi hidupan sungai ini sangat terpelihara. Namun untuk mendapatkan permit ke sungai ini bukanlah mudah, lebih-lebih lagi untuk kem Ketir ke atas.
Kebiasaannya permit untuk memasuki Sg. Kejar akan dimohon awal-awal ke Perbadanan Taman Negeri Perak untuk mendapat keputusan sama ada permit sesuatu kumpulan akan diluluskan atau tidak. Malangnya akibat kawalan yang ketat, kebanyakan permit tidak akan diluluskan jika tiada iringan renjer Taman Negeri.
Kecil Susah, Besar Pun Susah!
Beberapa kali kunjungan pada musim kering menyebabkan saya begitu teruja untuk memasukinya ketika musim hujan dan air besar pula. Banyak cerita dongeng yang saya dengar ketika air besar, di mana bot boleh sampai jauh ke atas dan kami tidak perlu memulakan jarak perjalanan trekking yang sangat jauh seperti musim kering.
Pernah juga saya memulakan trekking dari perkampungan Orang Asli di bawah Kem Sg. Kejar lagi dan dengar cerita ada sahabat yang memulakan trek lebih jauh ke bawah lagi. Ia pastinya satu mimpi ngeri bagi kami yang terpaksa menapak jauh yang pastinya akan melambatkan tempoh perjalanan.
Semasa bot memasuki kuala Sg. Kejar, kebanyakan kami terdiam dan mengeluh melihat air sungai yang besar dan sangat keruh. Namun ada juga yang berwajah ceria kononnya kami tidak perlu menapak jauh kerana pastinya bot dapat menghantar kami jauh ke atas kerana jeram-jeram cetek sepanjang sungai akan tenggelam dan bot boleh melepasinya.
Namun tiada jalan mudah untuk kita peroleh kejayaan, begitulah juga keadaan kami di Royal Belum kali ini. Bot yang kononnya mampu menghantar kami jauh ke atas tidak kesampaian dek kerana arus yang sangat deras! Keperitan ditambah pula dengan bukit-bukit pacak yang terpaksa kami panjat sambil memikul beg yang berpuluh kilogram kerana laluan mendatar di tepi sungai kebanyakannya tenggelam!
Paya Maybank
Terdapat satu paya ke kem Kajang dan ini pastinya membuat kami terasa sangat ingin mencubanya, manalah tahu kalau-kalau ada bujuk dan kerandang yang boleh kami dapat. Semasa musim kering, paya ini hampir tidak kelihatan kerana berada di bawah bukit dan agak jauh dari trek laluan kami ke kem Kajang.
Saya bersama beberapa rakan berhenti seketika dan cuba hampiri paya tersebut. Sedang elok Arif dan Eddy yang berada di depan sangat hampir dengan paya itu, terdengar satu bunyi mengerang. Namun Arif dan Eddy masih buat tak tahu dan terus menghampirinya. Bunyi kedua yang agak kuat membuatkan Arif dan Eddy masing-masing terhenti dan berpandangan antara satu sama lain. Kami terus bertempiaran lari meninggalkan paya itu apabila kedengaran bunyi mengerang ketiga yang semakin kuat.
Mercun dibakar beberapa kali dengan harapan yang membuat bunyi tersebut lari dari kawasan itu. Namun masih tiada apa-apa kesan haiwan melarikan diri. Atas nasihat guide dan organizer, kami tinggalkan kawasan paya itu dengan langkah yang lebih laju.
Menurut Orang Asli yang menjadi porter mengangkat barang, paya tersebut adalah kawasan rehat dan mandi bagi harimau belang yang banyak berkeliaran di dalam hutan Royal Belum. Paya ini juga menjadi tempat bagi haiwan lain untuk minum kerana kedudukannya sangat strategik di mana haiwan dan harimau belang tidak perlu ke sungai yang berada agak jauh untuk mandi dan minum.
Kata Orang Asli lagi, kem Kajang hingga ke paya itu adalah wilayah baru bagi harimau belang tersebut. Patutlah sepanjang perjalanan kami menemui banyak tapak harimau belang, rusa dan seladang yang kesemuanya masih baru. Ini membuatkan kami lebih berhati-hati semasa berkhemah di Kajang, takut-takut perkara yang tidak diingini berlaku.
Pentingnya Ilmu Hutan
Hutan belantara pastinya banyak menyimpan pelbagai hidupan liar, mahupun misteri yang wajib untuk kita pelajarinya dan ambil tahu sebelum masuk ke dalamnya. Lebih-lebih lagi di hutan simpan tertua di Malaysia yang sangat terpelihara daripada sebarang pemburu haram dan sebagainya.
Dalam kes disergah raja rimba semasa kami sangat berani mendekati tempat rehatnya, kami telah melakukan satu kesilapan besar yang sebenarnya mungkin akan membuat kami hilang nyawa. Kami tidak sepatutnya melarikan diri dengan membelakangi haiwan tersebut, kerana ini akan membuatkan ia lebih mudah menerkam leher yang sememangnya bahagian sasaran utama bagi harimau untuk melumpuhkan mangsanya.
Tindakan yang sepatutnya kami lakukan adalah dengan berjalan mengundurkan diri sambil mata tajam melihat di mana harimau itu disyaki berada. Ini boleh menghindarkan kebarangkalian kami diserang harimau kerana kebiasaannya spesies kucing ini tidak akan menyerang bahagian depan mangsanya.
Satu lagi kesilapan besar ialah kami tidak peka keadaan sekeliling. Sebelum sampai ke paya tersebut, kami sebenarnya telah terhidu bau hamis yang sebenarnya datang dari harimau itu sendiri. Namun akibat keinginan hendak menduga sangat tinggi, kami telah mengabaikan bauan hamis itu dan terus sahaja menuju ke paya tersebut.
Kita perlu tahu harimau belang sebenarnya tidak suka pun berada di kawasan atau berada hampir dengan manusia sendiri. Namun biarpun haiwan ini akan lebih mengelak daripada bertemu kita, perlulah kita ingat bahawa adalah satu kesilapan yang besar jika kita sendiri yang mengganggunya dan kebarangkalian diserang harimau sangat tinggi jika kita betul-betul bertemu dengannya.
Nasib kami sangat baik kerana menurut porter, harimau tersebut cuma sedang berehat dan mungkin sedang kekenyangan. Sebab itulah ia cuma mengerang untuk mengusir kami tanpa perlu menunjukkan dirinya sendiri, kalau tidak… wassalam lah!
Kenduri Kejor Air Besar
Aktiviti mengilat agak terjejas dengan keadaan air sungai yang terlalu besar dan sedikit keruh. Sebarau hilang entah ke mana dek kerana sukar mengesan lubuk serta struktur yang menjadi tempat bagi sebarau berlindung. Geng pancingan dasar juga turut terasa. Manakan tidak, setiap umpan pasti hanyut dan kesudahannya tersangkut di celah batu dan kayu.
Namun pada musim ini masih terdapat satu spesies yang pasti menghiburkan kita, iaitu raja arus deras… tengas atau kejor. Amat mengejutkan bagi geng mengilat yang kebanyakannya baru pertama kali berkunjung ke Royal Belum kerana sepanjang mengilat, tiada seekor pun sebarau yang berjaya mereka naikkan. Sebaliknya jumlah tengas kejor yang tidak terkira mereka naikkan.
Cuma beberapa kali geng mengilat mendapat strike sang badong yang adakala muncul di sekitar tempat permainan tengas kejor. Namun untuk bertarung dengan sang badong ketika air besar dan deras ini bukanlah mudah. Tiada seekor pun berjaya dinaikkan, semuanya berakhir dengan mata kail terkangkang atau gewang pecah dikekahnya.
Balinglah lubuk mana sekali pun ketika ini, kesemuanya disambar tengas kejor yang terlalu banyak. Popper untuk badong pun dikutip oleh kejor, bagaikan sudah tiada ikan lain! Rejab paling banyak naikkan tengas kejor melalui pancingan dasar. Purata 30 ekor dia seorang untuk sehari sahaja memancing!
Teori Hari Ketiga
Hari ketiga kami di kem Kajang, paras air masih lagi tinggi dan cuma surut sekaki dua sahaja. Saya bersama Glem, Geli Mat, Nan dan Eddy bertukar arah daripada pengilat tegar menjadi pemancing dasar hanya kerana ingin mencari spesies idaman sungai pergunungan, kelah. Kami bergerak menghulu sungai mencari kawasan lubuk yang agak tenang untuk melabuhkan umpan.
Sejak awal pagi kami hanya berjaya menaikkan beberapa ekor tengas. Hingga pada waktu tengah hari, pancing saya dihenjut seekor kelah yang agak kasar. Ikan terus membenamkan diri ke kawasan lubuk berbatu dan akhirnya perambut 20 paun putus bergesel batu. Balingan seterusnya, saya berjaya naikkan seekor kelah hampir 1 kg dan suasana menjadi agak sunyi apabila beberapa kali tali utama dan perambut yang kami pakai terputus dihenjut sang kelah.
Berita dari geng mengilat yang sentiasa berkeliaran mencari lubuk mengatakan beberapa rakan dari lubuk lain juga telah berjaya menaikkan kelah bersaiz kecil dan beberapa kali juga dihenjut kelah bersaiz kasar. Ini menunjukkan keadaan air yang sudah semakin surut, jernih dan arus yang beransur perlahan telah membuka kembali selera sang kelah yang menjadi pasif ketika air terlalu besar.
Faktor umpan yang berjaya dilabuhkan ke tengah lubuk ekoran arus yang semakin perlahan juga menjadi kelebihan untuk mengumpan kelah memakan umpan sawit yang dihulurkan. Ada juga teori mengatakan sang kelah akan lebih lapar dan sangat berselera ketika air beransur surut dan perlahan.
Semasa perjalanan pulang ke kem Kajang, kami sempat singgah ke satu lubuk yang tidak pernah diceritakan oleh mana-mana guide dan porter kami. Lubuk ini mempunyai dinding batu yang memanjang dan agak sempit. Pada mata kasar saya, ia mungkin berpotensi untuk menaikkan paling tidak pun kejor bersaiz besar.
Belum sempat 5 minit Eddy labuhkan umpan, pancingnya telah dihenjut kelah bersaiz 2.5 kg. Kemudian pancing saya pula dan henjutan padunya menongkah arus menyebabkan tali saya yang melengkung di dalam air putus kerana tersangkut pada batu. Dalam kami tengah sibuk menangkap gambar kelah bersama Eddy, pancing Faizal pula mengena. Namun sayang, kelah yang hampir sama dengan kelah Eddy berjaya meloloskan diri selepas perambut putus ketika cuba menghelakan ikan ke tebing berbatu.
Ini betul-betul menunjukkan kelah tersangat berselera untuk memakan umpan semasa air semakin perlahan, walaupun kami bertiga berendam semasa mendapat sambaran kelah di lubuk ini. Ia pastinya satu hukum yang salah untuk menduga sang raja sungai. Namun teori hari ketiga ini telah melawan hukum asas pancingan kelah di sungai pergunungan.
Dewa Baru
Pagi terakhir di kem Kajang cuma tinggal beberapa jam untuk kami melangkah pulang. Pagi ini tidak seperti pagi terakhir pada kebiasaan saya berkunjung ke Royal Belum. Kebanyakan kami cuma lepak-lepak sahaja di khemah sambil minum kopi dan buat sarapan masing-masing. Tidak seperti biasanya masing-masing masih sibuk mencari trofi peribadi dalam masa-masa kecederaan ini, mungkin semuanya sudah penat melayan tengas kejor yang tidak terbilang banyaknya.
Jam 7.30 pagi, saya dikejutkan oleh Potat yang pertama kali berkunjung ke Royal Belum dengan hasil seekor anak kelah sebesar tapak tangan yang diperolehi di lubuk depan kem sahaja. Tertarik dengan hasil Potat, saya dan Man turun memancing sekali. Cuma beberapa minit kami duduk bersama Potat, jorannya dihenjut seekor kelah agak kasar.
Ikan membuat larian padu dengan menongkah arus, menyebabkan Potat agak kelam-kabut untuk menahan asakan. Beberapa kali kelah ditarik ke tebing, namun masih tidak berjaya untuk melemahkannya. Arus yang masih dikira agak kuat banyak membantu kelah untuk bertahan di dalam air.
Set ringan Potat akhirnya berjaya juga melemahkan kelah bersaiz 4.7 kg setelah berhempas pulas selama 20 minit, di mana sang kelah berjaya memasuki kayu balak buat seketika. Lebih membuat kami kagum, Potat berjaya menaikkan kelah besar dalam keadaan arus deras dengan hanya menggunakan tali setebal 12 paun sahaja. Secara tidak langsung Potat dinobatkan sebagai dewa baru kerana berjaya menaikkan kelah mega untuk kunjungan sulung beliau di Royal Belum ini!
KEUNIKAN MASAK DALAM BULUH
Menu paling istimewa kami di dalam hutan Royal Belum ialah nasi buluh dan ikan yang dimasak dalam buluh, merecik! Turutan gambar menunjukkan bagaimana cara hidangan nasi dan ikan dimasak dalam buluh ini dilakukan oleh porter Orang Asli kami. Makan nasi buluh panas-panas kena pula budu dengan asam limau, pergh!!! Baru betul pak mertua lalu pun tak perasan!
BERTAHANLAH ROYAL BELUM
Sudah sedia maklum Taman Negeri Royal Belum bukanlah sama seperti taman negeri yang lainnya. Tiada akses lain lagi untuk memasukinya, selain jalan air Tasik Temengor sahaja. Tiada penggunaan bot mahupun kenderaan darat, melainkan berjalan kaki sahaja untuk menghulu Sg. Kejar. Tidak cukup dengan itu, kawalan ketat dari segi pelepasan permit juga adakalanya menjadi halangan bagi pengunjung Royal Belum.
Keadaan ini sudah pastinya menggambarkan betapa ‘heaven’-nya sungai di dalamnya. Hidupan daratnya juga tidak kurang ‘heaven’-nya dengan kehadiran pak belang yang boleh dikatakan bersepah-sepah. Tidak saya nafikan ketika kunjungan semasa air kering, kelah dan tengas kejor boleh dilihat berlegar-legar di segenap pelosok sungai.
Namun menurut porter Orang Asli kami, keadaan ini sebenarnya sudah terlalu banyak berkurangan jika dibandingkan pada masa dahulu. Ini bermakna jika sekarang pun kelah di sini boleh dikira cendol apatah lagi pada masa dulu. Apalah istilah yang boleh kita katakana… cendol durian? Atau cendol tambah? Apa yang agak menghairankan mengapa ia boleh jadi semakin berkurangan jika kawalan di sini terlalu ketat?
Akhirnya saya dapat sedikit petunjuk persoalan di atas, ‘JARING’! Kepala air baru beberapa hari turun dan membawa turun segala macam kayu-kayan dan sampah. Air sungai yang mulai surut telah menunjukkan beberapa bukti yang menyatakan Sg. Kejar ini sendiri sudah dimasuki penjarah ikan yang tidak bertanggungjawab.
Jaring-jaring yang mungkin tidak sempat mereka ambil disebabkan kepala air telah banyak tersangkut di tebing dan kayu-kayu di dasar sungai. Gewang dan tali pancing kami telah banyak tersangkut padanya, yang sekali gus menunjukkan betapa banyaknya jaring telah direntangkan di sungai di dalam Taman Negeri Royal Belum ini!
Semua jaring yang kami jumpa masih baru, dan bukanlah jaring lama yang hampir mereput. Ini sedikit-sebanyak telah menggusarkan hati kami, di mana Royal Belom boleh dikatakan benteng terakhir syurga kelah bagi tanah Semenanjung Malaysia ini.
Jika di sini pun sudah mula dijarah manusia yang tamak, di manalah lagi untuk kita merasa pancingan kelah cendol di Semenanjung ini? Saya amat berharap agar pihak berkuasa Taman Negeri dapat berbuat sesuatu agar semuanya dapat terpelihara daripada manusia tamak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.