Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

7 Teknik Asas Menggayakan Gewang dengan lebik Produktif

Oleh : MUHAMAD NAIM  (inchenaim.com)      

Pernahkah anda menyesal membeli sesuatu gewang? Biasanya gewang yang ada di pasaran telah mempunyai aksi renangan built-in (sedia ada). Tetapi malangnya, terdapat juga sesetengah gewang yang tidak mempunyai sebarang aksi bila dikarau secara biasa.

Bila ini berlaku, pastinya ia sangat mengecewakan kerana harga sebiji gewang bukanlah murah. Akhirnya gewang tersebut akan dibiarkan berhabuk atau berkarat sahaja di dasar kotak.

Jangan cepat putus asa, berikan gewang anda peluang kedua! Sesuatu gewang selalunya dicipta dengan tujuan yang spesifik. Sebagai contoh, gewang fast sinking sangat killer bila dimainkan dengan teknik jerk, tetapi aksinya ‘mati’ bila kita hanya lakukan karauan lurus.

Menjadi tugas kita untuk mencungkil aksi terbaik bagi setiap gewang dan seterusnya dapat memperbaiki hasil kita dengan lebih baik.

Oleh itu, menjadi tugas kita untuk mencungkil apakah teknik sesuai dan terbaik untuk setiap gewang kita. Di sinilah pentingnya kita memahami aksi renangan gewang. Artikel ini saya akan memaparkan beberapa kaedah menggayakan gewang yang boleh anda praktikan untuk menjadikan gewang sebagai ‘senjata pembunuh’ anda.

Kaedah #1: Karauan Lurus

Karauan lurus adalah kaedah paling universal yang digunakan oleh pemancing di seluruh dunia. Kaedah ini adalah ringkas dan permulaan yang bagus dalam sesuatu sesi pancingan untuk mengesan ikan yang sedang aktif.

Apabila ikan sedang aktif atau sedang feeding frenzy, mereka akan menyerang gewang yang kelihatan dan mempamerkan aksi seolah-olah mangsa sedang melepaskan diri.

Di sinilah pentingnya untuk mengetahui tentang diet ikan buruan kita. Memilih gewang yang serupa dengan diet mereka seperti belanak, seluang dan sebagainya, adalah kunci kejayaan.

Kaedah #2: Karauan Perlahan

Jikalau anda bertembung dengan situasi yang mana sesuai untuk teknik ini, anda boleh mendapat ikan dengan mudah. Saya selalu mengaplikasi kaedah ini untuk ikan yang suka menyerang hendap.

Satu perkara penting yang perlu anda ingat ialah tabiat buruan bagi pemangsa. Seperti manusia, kebanyakan ikan pemangsa lebih suka dengan kerja mudah. Ia berkaitan dengan penggunaan tenaga dan tenaga yang bakal diperolehi.

Jika banyak tenaga diperlukan untuk mendapatkan sesuatu makanan itu (mangsa) berbanding tenaga yang bakal diperolehi, ikan pemangsa terutama ikan besar tidak akan mengejar mangsanya dengan serius.

Mereka jarang menyerang ikan kecil yang telah mengesan kehadirannya, atau ikan kecil yang sentiasa mengekalkan jarak tertentu dari pemangsa. Pemburuan di habitat semulajadi bukanlah mudah dan kebarangkalian untuk terlepas sia-sia adalah tinggi. Tenaga tidak harus dibazirkan sewenang-wenangnya.

Struktur adalah fokus penting dalam mengilat. Gayakan pelbagai teknik karauan gewang supaya segenap struktur itu dapat digempur untuk merangsang penghuninya keluar menyerang gewang.

Apa yang pemangsa suka serang ialah tiga perkara;  iaitu aksi panik, aksi cedera dan aksi di mana ikan tidak perasan kehadiran pemangsa.

Karauan gewang yang perlahan akan meniru yang ketiga, iaitu ikan yang leka atau cuai. Ia adalah sasaran yang mudah bagi ikan pemangsa. Mereka pasti tidak akan melepaskan peluang ini. Oleh itu, gewang manakah yang sesuai untuk teknik ini?

Selalunya gewang katak berekor dan gewang minnow / crank yang mempunyai aksi wide wobbling (aksi renangan melebar) sangat killer dengan cara ini kerana mampu beraksi dengan menarik pada kelajuan rendah.

Soft Plastic berekor pendayung juga sangat berkesan dengan kaedah ini terutamanya untuk memancing siakap.

Penggunaan gewang dan kaedah yang betul akan membantu kita menggoda spesies siakap dengan lebih efektif.

Kaedah #3: Twitching & Jerking

Biasanya gewang dari jenis jerkbait digunakan dalam kaedah ini. Twitch dan Jerk; walaupun kedua kaedah ini kelihatan sama, tetapi terdapat sedikit perbezaan di antaranya. Mari saya huraikan perbezaan antara dua teknik ini.

Twitch adalah kaedah dimana selepas anda membuat lontaran, dan membuat karauan dengan joran dikekalkan dalam kedudukan mendatar, anda perlu menghenjut-henjut perlahan hujung joran. Tujuannya adalah untuk memberi sedikit jentikan (twitch) kepada gewang. Gerakan joran menggunakan pergelangan tangan. Ia akan memberikan aksi tidak normal kepada gewang anda, seolah-olah ikan mangsaan yang sedang cedera dan mencetus naluri ikan untuk menyambar gewang tersebut.

Manakala Jerk pula adalah kaedah yang lebih kurang sama dengan twitch, tetapi henjutannya lebih kasar dan kuat. Ia akan memberikan aksi gewang yang lebih agresif. Joran dihenjut menggunakan kekuatan lengan dan bahu. Pergerakan yang agresif ini akan membuatkan ikan menyerang untuk mempertahankan wilayah mereka dari penceroboh (gewang) atau menyerupai ikan yang cedera teruk.

Gewang yang mempunyai sisi yang rata (flat side) selalunya akan memberikan aksi darting (melilau) yang sangat menarik bila digayakan dengan teknik twitch atau jerking ini. Setiap kali selepas melakukan jerk atau twitch, hentikan gewang supaya timbul atau tenggelam mimik ikan sedang nazak hendak mati.

Kaedah #4: Stop & Go

Kaedah ini sangat bagus untuk ikan sedang kurang aktif. Selepas membuat balingan, buat sedikit karauan dan berhenti. Selepas itu karau lagi dan berhenti lagi. Ulangi proses ini sehingga gewang sampai ke tebing atau bot.

Adalah penting untuk memberi perhatian kepada gewang semasa berhenti. Biasanya ikan akan menyerang semasa pause yang lama atau semasa gewang hendak mula bergerak kembali. Sebagai tambahan, anda boleh membuat sedikit twitch untuk memprovokasi ikan supaya menyerang.

Matching the hatch – satu kata kunci yang penting dalam mengilat. Pemancing harus sekurang-kurangnya meniru saiz, warna dan aksi ikan mangsaan untuk menggoda ‘taiko’ di kawasan tersebut.

Kepentingan henti (pause)

Ketika ikan sedang aktif dan feeding frenzy, kaedah ini mungkin tidak perlu. Walau bagaimanapun, ada masanya kita akan mengalami kesukaran untuk mencetuskan serangan ikan. Dan salah satu sebabnya adalah kita ‘tidak memberikan masa yang cukup’ untuk ikan menyerang gewang.

Bila selalunya ikan tidak aktif?

Ia mungkin berlaku apabila suhu terlalu panas atau sejuk, tekanan udara (barometrik) yang tinggi, pasang surut lautan, fasa bulan, dan pelbagai faktor lain. Pendek kata, kita tidak pernah tahu bila ia akan terjadi.

Oleh itu, bila ikan tiada mood untuk mengejar gewang berenang laju, penyelesaiannya adalah memberi masa dengan hentikan karauan (pause).

Dengan memberhentikan karauan, ia akan memberikan peluang kepada ikan untuk lebih dekat dalam radius serangan. Taktik ini selalunya akan mencetuskan serangan pemangsa yang menunggu gewang untuk berhenti atau memperlahankan renangan.

Gewang bersifat suspending (keapungan neutral) sangat berkesan dengan teknik ini. Walaupun begitu, ia juga berkesan digunakan dengan gewang terapung atau tenggelam.

Spesies ikan kerapu terkenal dengan sifatnya yang malas dan suka bersembunyi. Oleh itu memperlahankan karauan akan membantu kita menawan spesies istimewa ini.

Kaedah #5: Ripping 

Kaedah ripping bermaksud kita menekan gewang ke bawah. Kaedah ini akan membuatkan gewang menyelam lebih dalam. Saya selalunya menggunakan kaedah ini dengan gewang selaman dalam supaya dapat pergi lebih jauh ke bawah dan mengetuk reba bagi mengejutkan ikan.

Semasa membuat karauan, joran hendaklah ditekan / dihenjut ke bawah (gerakan dari atas ke bawah) secara menegak beberapa kali. Joran yang lebih pendek (6 kaki ke bawah) akan banyak memudahkan kerja.

Kaedah #6: Pumping

Kaedah ini pula berlawanan dengan kaedah di atas (ripping). Pergerakan yang dilakukan juga secara menegak, tetapi dari bawah ke atas. Selepas membuat lontaran, rendahkan joran dan lakukan karauan. Kemudian hentikan karauan dan lakukan aksi pumping (angkat gewang dari dasar ke atas). Karau tali yang kendur setiap kali selepas pumping.

Kaedah ini serasi dengan gewang bersifat tenggelam (sinking) seperti jig, sesudu, soft plastic dan gewang gemerincing seperti Rapala Rattlin. Biasanya strike akan berlaku pada permulaan angkatan atau pada akhir di mana gewang berhenti.

Kejayaan sesuatu gewang bukan sahaja bergantung kepada aksi dan warna, tetapi juga melibatkan bagaimana kita menggayakannya.

Kaedah #7: Menggayakan Gewang Secara ‘Walking’

Walking adalah kaedah untuk menarik perhatian ikan keluar dari struktur tenggelam dengan melalukan gewang di atas reba tersebut supaya beraksi seperti ‘walk the dog‘ (walking) di atas atau beberapa inci di bawah permukaan air.

Gewang yang terbaik untuk kaedah ini adalah minnow selaman cetek jenis terapung yang mempunyai aksi wide wobbling. Balingkan gewang ke kawasan sasaran dan angkatlah hujung joran setinggi boleh ke atas. Kemudian mulakan karauan yang perlahan supaya gewang berenang separa permukaan sehingga menimbulkan riak-riak air atau beraksi di beberapa inci di bawah permukaan.

Aksi tergedik-tergedik di atas struktur tenggelam seperti ini selalunya akan menarik perhatian ikan seperti kelisa atau toman untuk menyerang gewang. Ia juga boleh dijadikan alternatif yang baik bila kita tiada gewang permukaan untuk digunakan.

Gunakan kebijaksanaan anda menggayakan gewang
Sebenarnya tiada cara yang betul atau salah dalam menggayakan gewang. Apa yang penting, setiap pergerakan yang kita lakukan dengan gewang itu mampu mencetuskan tindak balas serangan ikan.

Jika anda tidak pasti apa yang hendak dilakukan, anda boleh mencuba kaedah yang sudah terbukti berkesan di atas.

Semoga berjaya memburu ikan idaman!