Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

7 Teknik Karauan Menggayakan Spinnerbait

Antara gewang yang menjadi kegemaran pemburu haruan dan toman ialah spinnerbait. Mengapa? Walaupun rupanya buruk dan ntah apa-apa, ia sangat berkesan untuk spesies keluarga snakehead. Malah ia sangat senang digunakan. Oleh itu, artikel ini akan berkongsi beberapa teknik menggunakan gewang spinnerbait secara produktif dan berkesan.

Oleh : MUHAMAD NAIM      

Kekipas Colorado

Kekipas Willow

Siapa yang tak sukakan spinnerbait? Gewang yang diberi jolokan ‘janggut’ ini sangat versatil digunakan di air cetek, dalam, kawasan heavy cover dan terbuka. Sifat kalis sangkutnya (weedless) yang berkesan menjadikan spinnerbait sangat sesuai untuk menduga lubuk yang banyak rintangan. Malah sekian lama ia menjadi gewang killer untuk haruan dan snakehead lain.

Terdapat beberapa teknik karauan spinnerbait yang berkesan. Perhatikan kesesuaian teknik yang dinyatakan di bawah dengan jenis-jenis spinnerbait yang sesuai.

  1. Karauan Lurus

Ringkas. Hanya karau secara lurus pada kelajuan se-derhana. Kekalkan kelajuan apabila anda sudah merasai getaran bilah kekipasnya dan kekalkan ia di bawah permukaan air (1 – 5 kaki dalam). Kaedah ini berkesan untuk cover kawasan luas dalam masa singkat. Gunakan spinnerbait berat sederhana seperti 3/8 oz atau 1/2 oz yang dilengkapi kekipas jenis willow.

  1. Karauan Perlahan

Kaedah kegemaran saya untuk spinnerbait. Dalam konteks ikan negara kita, haruan bukanlah perenang pantas. Ia cuma menunggu mangsa melintasi kawasannya. Oleh itu teknik ini cukup sesuai untuk haruan.

Karauan hendaklah dibuat dengan perlahan, sekadar untuk merasai getaran pada bilah kipas spinnerbait. Untuk karauan perlahan, kekipas jenis colorado lebih baik. Kaedah ini cukup efektif apabila menduga air yang keruh atau agak dalam (melebihi 5 kaki).

  1. Karauan Laju

Spinnerbait sebenarnya dicipta menyerupai ikan mangsaan apa

bila dikarau laju. Jadi apabila anda melihat ada pemangsa sedang mengejar ikan kecil, maka gewang ini sesuai dilontar ke kawasan tersebut.

Semasa berlakunya feeding frenzy, waktu itu ikan sedang aktif mengejar dan memburu mangsa. Jadi karauan laju akan lebih mudah memperdaya mereka tanpa was-was, terutama ketika air jernih.

Kadangkala karauan laju diperlukan untuk membuat-kan gewang ini beraksi di permukaan air untuk digayakan atas sesuatu struktur, rumpair atau samai. Spinnerbait yang dilengkapi kekipas berbentuk willow tunggal akan memudahkan karauan laju kerana ia mewujudkan rintangan yang kecil.

  1. Yo-Yo

Yo-yo ialah salah satu teknik yang efektif digunakan di sekitar rumpair. Kaedah ini tampak seolah-olah sama seperti teknik twitching dan mengunjun (jigging).

Untuk gayakan teknik ini, lontarkan spinnerbait ke kawasan sasaran dan biarkan tenggelam. Kemudian angkat hujung joran, kemudian rendahkan kembali ke permukaan air.

Lakukan gerakan ini sebanyak 3 – 4 kali sebelum spinnerbait dibiarkan tenggelam ke dasar. Kemudian ulangi kembali proses ini. Pastikan anda sentiasa tegangkan tali kendur (slack line) dan bersedia dengan serangan tiba-tiba dari ikan.

  1. Helicoptering

Helikopter ialah kaedah di mana spinnerbait dibiarkan tenggelam ke dasar secara bebas. Objektifnya ialah untuk membiarkan bilah kekipas spinnerbait berpusing secara semulajadi semasa tempoh jatuhan ke dasar.

Oleh itu, spinnerbait yang dilengkapi bilah kipas jenis colorado sangat efektif untuk kaedah ini kerana sifatnya yang mudah berputar walaupun dengan sedikit daya. Ia amat efektif di tempat yang strukturnya timbul seperti pokok mati, dinding konkrit dan sebagainya.

Ia selalunya mencetuskan amarah ikan yang menjaga wilayah seperti peacock bass dan haruan yang sedang bermalas-malasan di dasar.

  1. Bumping

Melanggarkan spinnerbait dengan struktur seperti kayu tenggelam, batu atau struktur lain ialah satu kaedah berkesan untuk mencetuskan reaksi serangan. Karau spinnerbait agar mengetuk struktur-struktur tersebut.

Apabila ia sudah melanggar struktur tersebut, ber-henti seketika dan berikan masa untuk ikan mengambil spinnerbait. Jika tiada reaksi selepas 1 – 2 saat, teruskan karauan. Ulangi pergerakan ini sehingga ia sampai ke-pada anda dan mendapat strike dari ikan.

  1. Menimbulkan Riak Air

Lontarkan spinnerbait ke spot dan karau. Angkat hujung joran ke atas dan biarkan spinnerbait naik ke permukaan. Objektif teknik ini ialah untuk menimbulkan riak-riak air tanpa mengocak permukaan air. Oleh itu, penting untuk anda mengawal kelajuan karauan agar aksi riak air terhasil dengan cantik dan semulajadi.

Kaedah ini menghasilkan banyak getaran dan menghasilkan pantulan cahaya di permukaan air yang pasti menarik perhatian pemangsa.

Nota Tambahan :

Sama ada memancing dengan gewang permukaan, crankbait atau soft plastic, apa yang penting ialah sesuaikan dengan apa yang diinginkan oleh ikan. Mungkin kaedah tersebut berkesan hari ini, namun tidak pada hari kemudian.

Jangan takut untuk tukar kaedah karauan persembahan spinnerbait. Ini kerana aksi spinnerbait banyak dipengaruhi oleh bagaimana anda mengarau dan menggayakannya.