Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Alkisah Pensil Gila

Pancingan toman terbaik di negara kita masih dapat dihayati di Tasik Temenggor. Houseboat The Black Toman seperti yang dipaparkan di sini sesuai untuk kumpulan kecil yang ingin meneroka perairan Royal belum.

Penolakan ikan sasaran utama kita terhadap gewang sebenarnya daya dorongan untuk pemancing terus maju. Ikan telah menjadi pandai. Kita mesti lebih pandai dari mereka. Apabila mereka menolak gewang ini, kita bagi saja gewang lain. Kitalah Homo sapiens yang mendominasi planet ini setelah mengalami evolusi jutaan tahun. Sedangkan nenek moyang kita berupaya memancing ikan dengan hanya seketul tulang , tak kanlah kita yang berteknologi tinggi gagal untuk menjeratnya?

Dr Tan menghabiskan kebanyakan masa lapangnya untuk menduga toman Royal belum.

Teks & Fotografi: Pak wong

22hb September, 2018 Taman Negeri Royal Belum

Dengan senyapnya perahu kami memasuki sebuah teluk yang agak besar. Paras air kelihatan amat rendah pada ketika itu lantaran pihak empangan telah melepaskan air sejak beberapa hari yang lalu. Sehinggakan perairan yang kelihatan lapang dahulu kini telah dipenuhi pokok-pokok mati yang kelihatan usang dan berkedut. Hujan telah turun dengan lebatnya sejak beberapa hari yang lalu. Ikan yang mendiami tasik ini seharusnya akan manjadi lebih aktif. Namun setelah hampir 10 minit kami memantau, hanya beberapa ekor toman sahaja yang bertukar nafas di permukaan air. Selepas itu kawasan teluk pun kembali menjadi sunyi. Hanya bunyi serangga dan burung sahaja yang memecahkan kesunyian.

Kelengkapan houseboat yang sempurna memberikan pengalaman terbaik memancing di tasik.

Apabila paras air turun sehingga tahap begini, barulah pemancing menyedari terhadap kayu-kayu yang tersembunyi di dasar tasik. Tasik Temenggor yang dibina pada tahun 1978 merupakan empangan yang paling bersejarah di negara kita. Biarpun 40 tahun telah berlalu kayu-kayu yang direndam dalam tasik pun belum reput lagi. Sekarang fahamlah kita mengapa toman yang dipancing di perairan yang kelihatan lapang tidak dapat dinaikkan dengan jayanya!

Sarapan pagi yang berkhasiat memulakan aktiviti seharian di Royal Belum.

Toman tergolong kepada ikan pelagik. Biarpun mereka berkongsi genus dengan spesies-spesies Snakehead yang lain, namun sikapnya amat berbeza. Kita boleh menganggar bahawa toman dewasa mempunyai tempat tinggalnya yang tetap iatu di teluk-teluk tasik yang berair tenang. Namun mereka mungkin tidak berada di “rumah”nya sepanjang masa. Pada anggaran saya toman dewasa memang mempunyai habitat tetapnya apabila malam menjelang. Mereka mungkin akan keluar mencari makanan ketika bulan terang. Pada siang hari pula mereka juga mungkin akan keluar mencari makanan di luar teluk. Namun pada kebanyakan masa mereka lebih gemar berada di “rumah” melainkan jika gagal mendapatkan makanan di kawasan sekelilingnya.

Gewang selaman dalam sesuai untuk memujuk mama. Ia memerlukan kekili yang bernisbah rendah untuk berfungsi tanpa meletihkan lengan.

Justeru kawasan berpotensi untuk menjerat toman semestinya di kawasan pedalaman teluk, khasnya teluk-teluk kecil yang sempit. Jika berbanding dengan spesies sebarau, keupayaan toman untuk mendapatkan makanan memang tidak setandingnya. Justeru lebih waras bersembunyi di kawasan strategik sahaja untuk menyerang hendap mangsanya. Jika saya toman saya juga akan berfikir begitu.

Pemandu pancing Royal Belum juga berpendapat begitu berasaskan pengalaman mereka bertahun-tahun memancing di sini. Justeru pedalaman teluk merupakan spot pertama yang harus dicuba khasnya apabila suhu air tasik mula menjadi suam setelah dijemuri sinaran matahari selepas pukul 10 pagi.

Kenny bersama toman berwarna ungu yang cukup handsome.

Sistem Gewang Toman

Kini terdapat sebuah sistem pergewangan khas untuk toman empangan. Sistem ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu pancingan untuk toman bujang dan mama. Dua set pancing diperlukan untuk toman bujang. Kedua-dua set ini bertujuan untuk mempersembahkan gewang permukaan. Satu set untuk casting di struktur secara membabi buta dan satu set lagi untuk casting berpandukan penglihatan (sight casting).

Melontar gewang di sekitar struktur memerlukan joran dengan kepanjangan biasa manakala melontar gewang berpandukan penglihatan memerlukan joran sepanjang 7 kaki ke atas untuk menghantar gewang ke toman bujang yang berada sejauh 50 meter ke atas. Apatah lagi apabila casting di Highway yang luas. Kekili bernisbah tinggi diperlukan untuk memainkan gewang permukaan khasnya pensil. Ini kerana kekili yang bernisbah rendah terlalu perlahan karauannya dan tidak sesuai untuk mempersembahkan aksi walk the dog.

Steamboat disediakan untuk memanaskan badan menjelang musim hujan.

Kita juga memerlukan dua set pancing apabila mensasarkan toman mama. Salah satunya untuk gewang permukaan dan bolehlah menggunakan set yang disediakan untuk toman bujang. Manakala satu set lagi adalah khas untuk gewang jenis Crankbait  di mana ianya memerlukan set yang berpadan dengan kekili bernisbah rendah yang lebih kuat daya karauannya.

Ini bermaksud jika anda ingin menjadi seorang pemburu toman yang berjaya, sekurang-kurangnya harus menyediakan 3 set pancing. Satu untuk gewang permukaan berjarak dekat, satu lagi untuk lontaran jauh dan satu lagi untuk gewang selaman dalam (Crankbait)!

Gewang Anti-Kumpaw

Kita memerlukan joran dengan kepanjangan sekurang-kurangnya 7 kaki untuk beraksi di perairan Highway yang luas.

Pemancing yang sestiasa mengunjungi Tasik Temenggor pasti perasan bahawa toman kita seakan kalis gewang dan langsung tidak berminat dengan gewang yang beranika ragam dan warna. Sehinggakan ada pemancing yang mencuba SP dan gewang-gewang pelik yang lain. Ini adalah efek sampingan Catch & Release. Seperti GT Maldives yang lari bertempiaran apabila kedengaran popper memecah air. Inilah hakikat yang terpaksa dihadapi pemancing kini.

Walau bagaimana pun, gewang permukaan masih dianggap gewang yang paling sukar ditolak toman. Aksi pensil yang meluncur ke kanan dan ke kiri serta bunyi bebolanya cukup efektif untuk mengacau toman, khasnya di teluk tasik yang sempit. Buzz bait juga sama, tidak kira toman bujang atau mama tetap tidak tertahan dengan bunyi bisingnya. Apabila anda menghadapi keadaan pancingan yang menyukarkan, kedua-dua jenis gewang ini mungkin akan menjadi gewang anti-kumpaw anda.

Percaya atau tidak, toman memang benci gewang berwarna merah!

Satu lagi pendekatan yang harus ditimbangkan ialah melakukan perubahan ke atas gewang yang sedia ada. Bukan modifikasi tetapi menggunakan cara persembahan yang berlainan. Dalam trip Belum baru-baru ini saya secara tidak sengaja berjaya mencetuskan keganasan seekor toman yang bermastautin di sebuah teluk untuk membaham pensil saya. Berikut adalah kisah sepenuhnya:

Persembahan Tak Masuk Akal

Setiap pencabar toman empangan pasti memahami bahawa mata tiga terkuat harus digunakan untuk setiap jenis gewang yang digunakan. Setelah saya menggantikan mata tiga biasa pensil saya denga mata tiga 5X, didapati ianya menjadi tenggelam apabila dilontar ke atas permukaan air akibat keberatan mata tiga tersebut. Justeru saya pun cuba mengarau dengan laju agar ianya dapat naik ke permukaan. Namun setelah berjaya walk the dog buat beberapa ketika ianya tenggelam lagi. Terpaksalah saya mengaraunya balik untuk tujuan pemeriksaan dan menjelang karauan yang agak laju itulah seekor toman telah menghentam pensil tersebut sebanyak dua kali namun tidak terkena pancing.

Pemandu pancing yang mempunyai penglihatan luarbiasa dapat mengesan kemunculan toman dari jarak jauh.

Saya dan Dr Tan telah mencuba di teluk ini agak lama namun tiada sebarang sambaran. Saya menganggarkan toman di lubuk ini mungkin telah keluar mencari makan. Rupa-rupanya ia bersembunyi di bawah dan langsung tidak menghiraukan gewang kami. Akhirnya aksi gewang pensil saya yang gila-gila itulah yang berjaya mencetuskan tindak balas nalurinya. Satu kejadian di luar jangkaan kami berdua!

Dalam anggaran saya kejadian ini mungkin secara kebetulan sahaja. Selepas itu saya mencuba lagi untuk mempersembahkan gewang tersebut dengan cara yang sepatutnya namun ianya asyik tenggelam akibat mata tiga yang terlalu berat. Justeru saya pun mengaraunya secara laju supaya ia dapat naik ke permukaan. Pada saat inilah keajaiban telah berlaku sekali lagi apabila pensil saya disambar dengan rakusnya dan kali ini berjaya mencangkuk mulutnya berdekatan bot!

Bukankah ini satu perkara yang tak masuk akal? Sepanjang masa ini kami telah cuba memainkan pensil dengan sebaik mungkin untuk menggoda toman. Namun toman Royal Belum seakan tidak berminat langsung dengan aksi pensil yang formal dan membaham pula pensil yang dikarau laju tanpa sebarang aksi menarik. Mungkinkah kecenderungan toman terhadap pensil gila itu tercetus dari aksinya yang belum pernah dilihatnya?

Giliran sebarau pula untuk menghiburkan pemancing setelah hujan turun semalaman.

Masih teringat lagi tadi apabila pensil saya diserang dua kali berturut-turut namun tidak terkena pancing, Dr Tan dengan cepatnya telah melontarkan gewang selaman dalamnya tepat ke arah toman itu namun ia seakan tidak hirau langsung dengan crankbait tersebut. Pada umumnya apabila naluri keganasan seekor toman telah berjaya dicetuskan, ia akan membaham apa sahaja yang berenang melepasinya. Kenapa pula toman ini langsung tidak menghiraukannya pula?

Houseboat yang mensasarkan pelancong memaparkan luaran yang cukup menarik.

Satu lagi perkara yang manjadi tanda tanya ialah, menurut Dr Tan yang amat berpengalaman dengan perangai toman di sini, biasanya jika toman membaham gewang namun tidak terkena pancing, mereka biasanya tidak akan melakukan serangan kedua biarpun kita tidak berhenti-henti memujuknya. Namun dalam kes ini toman yang ganas itu kembali beraksi hanya selang beberapa minit sahaja. Mengapa?

Toman hitam yang berjaya dirangsang dengan menggunakan gewang Buzz bait.

Pensil tetap merupakan gewang terbaik tidak kira apa jua keadaan memancing yang dihadapi.

Toman ini betul-betul marah dengan pensil yang dimainkan secara gila-gila.

Pemabaca sekalian, adakah anda terinspirasi dari peristiwa luarbiasa ini? Apabila anda menghadapi toman yang enggan membuka mulut, manalah tahu pendekatan luarbiasa ini mungkin akan dapat dapat menyelamatkan anda dari kumpaw!

Paket memancing Houseboat The Black Toman Belum: Mad Saad 011-2954 6184

Kawasan teluk di mana toman pintar terpedaya dengan pensil cacat.

Dr Tan menyelidik spot berpotensi secara terperinci dari atas sebatang pokok runtuh.