Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Analisis Demudok

Demudok besar kelihatan berwarna biru ungu dengan belang dan bintik hitam.

Terdapat perkara peribadi yang belum sempat diselesaikan di antara saya dengan spesies yang dipanggil Demudok. Ia merupakan spesies laut cetek kegemaran saya berikuti ebek kapak, ebek bulat, gerong belang dan tenggiri. Spesies ini amat tahan lasak dan tiada nilai pasaran. Bukankah ia sesuai sangat untuk dilindungi sebagai sumber perikanan rekreasi!?

Teks & Fotografi: Pak Wong

Teringat lagi pada zaman dahulu apabila saya mula mengkaji teknik jigging ringan di Kuala Rompin, Kapten Steven Chong telah menceritakan spesies yang dipanggil demudok. Menurut beliau demudok merupakan satu-satunya spesies yang terhebat daya saingannya dan mencadangkan saya untuk menjeratnya dengan menggunakan jig.

Pembaca yang mengikuti siri Ikan Terhandal Malaysia pasti pernah menonton sebuah video yang memfokuskan spesies demudok. Itulah pertarungan saya dengan demudok buat sulung kali. Namun spesimen yang dinaikkan kurang besar dan belum dapat merasai kekuatan demudok yang sebenarnya.

Pengalaman Pulau Berhala

Sehinggalah apabila berpeluang bertandang ke Pulau Berhala, barulah saya berpeluang bersemuka dengan demudok yang lebih besar. Pada masa itu terdapat gerembolan ikan-iken kecil berkumpul di tepi pulau sehingga menarik banyak ikan pemangsa ke kawasan itu. Saya yang sedang menjalankan kajian teknik casting dari atas bot tiba-tiba terasa gewang dilarikan oleh ikan yang agak besar sehinggakan set casting berkekuatan 25 paun pun terasa kelam-kabut untuk menahannya. Sejak peristiwa itu barulah saya mengenali kekuatan demudok yang sebenarnya!

Selepas trip itu saya kerinduan tarikan demudok namun tidak berpeluang lagi untuk bersua dengan spesies yang diidami ini. Ini kerana demudok merupakan ikan yang bermusim dan hanya akan muncul menjelang musim monsun Timur-Laut dan waktunya amat sukar diramal. Lagi pun saya pula sibuk mendalami teknik pancingan yang lain sehingga melupakan teknik jigging ringan.

Sehinggalah pertemuan Kepulauan Riau, Indonesia yang begitu subur ekologi lautannya, barulah saya berpeluang untuk menduga demudok mega. Pada pandangan saya menangani demudok bersaiz 8 kg di perairan sedalam 50 meter dengan set ringan, kepuasannya menjangkaui menangani aji-aji 20 kg dengan set berat di perairan sedalam 140 meter!

Di sesetengah tempat demuduk boleh dipancing sepanjang tahun namun saiz bagak seperti ini agak jarang dijumpai.

Yellowspotted Trevally

Menurut Wikipedia, ikan demudok yang bernama saintifik Carangoides falvoguttatus nama Englishnya termasuk Yellowspotted Trevally, Yellowspotted Kingfish, Goldspotted Trevally dan Tarrum. Ia tergolong dalam keluarga Carangidae Jack seperti Giant Trevally.

Spesies ini pada umumnya bertabur di kawasan tropika dan sub tropika perairan Indo Pasifik, dari South Africa di sebelah barat sehingga ke Jepun. Di bahagian utaranya pula berlanjutan ke Red Sea, India dan seluruh Asia Tenggara termasuk Kepulauan Indonesia. Kawasan pertaburannya juga berlanjutan ke selatan termasuk utara Australia, ke utara sehingga Taiwan dan Jepun, sehinggalah ke Palau, Tonga dan New Caledonia di sebelah timur.

Mereka biasanya mendiami terumbu karang atau kawasan berbatu di perairan persisiran pantai namun juga ditemui di lautan yang jauh dari pantai dengan kedalaman sehingga 100 meter. Spesies ini tidak boleh bertahan dengan perairan yang rendah kandungan garamnya justeru mereka tidak memasuki kawasan muara. Demudok yang tergolong dalam spesies karnival gemar makan ikan kecil seperti ikan bilis, sotong dan krustasia, termasuk ketam bunga, udang lipan dan udang. Di Australia didapati demudok juga menjadikan sesetengah trevally bersaiz kecil sebagai makanannya.

Ikan demudok kadang-kadang muncul dalam kumpulan besar. Ada juga masanya mereka merayau bersendirian. Demudok yang lebih kecil biasanya mencari makanan di tepian terumbu karang. Manakala spesimen kasar yang bersendirian pula meronda perairan yang ditumbuhi rumput laut untuk mencari mangsa. Spesies ini mampu mencapai kepanjangan 1.2 meter dengan saiz seberat 18 kg. Ianya dianggap salah satu spesies trevally terbesar selain GT!

Demudok remaja terdapat bintik berwarna kuning keemasan di atas badannya.

Teknik Jigging dan perkakasan

Di Semenanjung Malaysia dan perairan Tanjungpinang di Indonesia, musim demudok jatuh pada musim monsun Timur Laut iaitu dari Oktober sehingga April tahun berikutnya. Mereka akan muncul bersama demudok nyior-nyior (Bludger/Carangoides gymnostathus) atau dipanggil “Bulat” di Tanjungpinang di perairan terumbu karang, terumbu tiruan dan struktur kapal karam.

Memancing demudok dengan bersenjatakan jig merupakan sebuah pengalaman yang mendebarkan. Namun kita harus memahami bahawa seperti saudaranya Bulat, spesies ini juga lebih cenderung kapada jig yang dihenjut laju berbanding perlahan. Biarpun begitu, mereka tetap akan membaham jig yang dihenjut dengan perlahan dengan syarat jig dimainkan dengan beranika kelajuan dan dicampur dengan aksi perberhentian yang singkat.

Joran jenis menegak lebih sesuai supaya lebih mudah untuk membuat lontaran bila diperlukan. Gunakan kekili saiz 4000 atau 5000 yang bernisbah tinggi. Joran berkekuatan PE1.5 hingga PE2.5 disyorkan supaya lebih cepat menaikkan ikan apabila demudok berada dalam keadaan frenzy.

Cara saingan demudok apabila terkena pancing bersamaan dengan GT dan Bulat. Joran akan ditekan ke bawah dengan kuatnya. Namun mereka tidak akan berenang dengan lajunya seperti ebek. Pemancing yang berpengalaman akan dapat membezakannya dengan sekali pandang.

Bulat juga merupakan salah satu ikan terhandal di laut cetek dengan gaya juangan yang menyerupai demudok.

Biarpun demudok telah kelihatan dalam trip Tanjungpinang yang berlangsung pada penghujung Oktober tahun 2018 ini, namun mereka kurang menyambar jig mungkin disebabkan arus deras. Diharap dapat memperbaharui rekod peribadi demudok dalam trip November akan datang. Doakanlah!

Menjelang musim monsun ebek kapak juga akan berhijrah ke terumbu karang, kapal karam dan tukun tiruan bersama demudok di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.