Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Angau Kanyau

Menentang kelah mega belasan kilogram, puluhan ikan semah serta sebarau, dan sesekali tapah gergasi dengan gewang barangkali dianggap hanya suatu mimpi dan angan-angan Mat Jenin yang tidak mungkin dikecapi lagi pada zaman ini. Adakah lagi sungai dara sunti sebegitu rupa di dunia yang semakin sempit dengan pembanguan dan kehancuran alam semulajadi? Ada… asalkan anda sanggup meneroka sehingga ke pedalaman yang jauh terpencil di pusat Borneo…

Empurau bagak menjadi igauan setiap pengilat ke Sg. Kanyau.

Teks : HALIMI HANIP

Fotografi : DANZ PERDANA & BUDI BUDAP

Jika anda masih ingat, SIRIP pernah buat liputan dan rakaman DVD Taman Nasional Betung Kerihun di Kalimantan Barat pada keluaran April 2013. Tidak terujakah anda menyaksikan hutan dara sunti ini mula dibuka kepada pemancing, khususnya kaki mengilat, apabila ikan semah dan sebarau tidak putus-putus menyergap apa sahaja gewang yang dilemparkan?

Namun trip itu hanya dapat cover mungkin secuit daripada keluasan Taman Nasional itu, sedari ada berpuluh lagi cabangan sungai di hulu sistem Sg. Kapuas itu yang belum pernah dibolosi pemancing.

Trip terdahulu SIRIP bersama team West Borneo Angling Community (WBAC) membongkar sebahagian hulu Sg. Sibau sahaja. Mengikut rujukan peta, sistem hulu lembangan Kapuas ini ada beberapa cabang sungai yang besar selain Sibau, seperti Hulu Kapuas, Mendalam dan Embaloh.

Sistem masing-masing sahaja mempunyai puluhan anak sungai! Mungkin makan masa berbulan-bulan jika ingin terokai kesemuanya!

Cuma sayangnya ekspedisi Sg. Sibau tersebut tidak berjaya memunculkan spesies paling elusif iaitu kelah / empurau, yang menjadi raja sebenar Sg. Kapuas. Ini kerana saiz Tor tambroides yang merayau di Taman Nasional dilaporkan berskala monster belaka sehingga mencecah 20 kg seekor!

Tak menang tangan layan ikan semah di Kanyau.

Lembah Embaloh

Selain zon Sg. Sibau, terdapat satu lagi zon yang dikatakan jauh lebih hebat dipanggil Embaloh. Di lembah Embaloh ini mengalir sebatang sungai bernama Sg. Kanyau. Di sinilah ada beberapa pemancing tegar tempatan telah menembusinya sehingga berjaya menumpaskan banyak empurau bersaiz belasan kilo hanya dengan kilat sesudu!

Danz Perdana dan Budi Budap, caster berpengalaman dari pekan Putussibau masing-masing mencipta rekod empurau 14 kg dan 12 kg! Budi Budap pula lebih bertuah apabila kilat sesudunya dilahap seekor tapah sebagak 25 kg di sebuah lubuk yang besar.

Rekod mengilat mereka setakat ini belum dipecahkan lagi. Saya turut tergamam mendengar cerita daripada saudara Danz yang pernah menyaksikan rombongan monster empurau di sebuah lubuk sehingga beliau ngeri tak berani nak lempar gewang!

Selain empurau dan tapah, spesies yang lebih kerap meligan gewang ialah ikan semah (Tor duoronensis) dan sebarau. Seperti di Sarawak (Hulu Rajang) yang terletak bersebelahan sahaja dengan Taman Nasional ini, ada dua spesies sebarau di sini. Mereka gelarkan ‘hampala tompel satu’ (sebarau satu belang) dan ‘hampala tompel dua’ (sebarau dua belang).

Spesies pemangsa lain yang dilaporkan wujud di sungai ini ialah belida, lais tembiring (di Malaysia, kita panggil ‘begahak’), belantau (parang sungai), tengadak (lampam sungai), jelawat, kenyuar (nyenyuar) dan bagarius (kenerak).

Lubuk dalam, tenang dan sangat jernih. Monster apa agaknya ada di dalamnya…

Kekayaan spesies ikan yang masih terpelihara adalah disebabkan Taman Nasional ini bebas daripada sebarang pembalakan di segenap hulu Sg. Kapuas. Apatah lagi tidak ada penduduk atau masyarakat Iban yang berkampung di hulunya.

Gemuk, tegap dan pejal. Profil tipikal empurau Kanyau.

Bagaimana Ke Sana?

Tentu inilah soalan favourite buat anda sebaik membaca artikel dan menatap fotografi yang membeliakkan mata ini. Mana boleh tahan tengok dan baca sahaja… mestilah nak kena pergi merasa karan di ‘syurga mengilat’ Kalimantan Barat ini.

Saya sendiri dalam perancangan dan kami akan usahakan untuk membuat penggambaran DVD, dengan harapan ekspedisi yang diatur nanti bakal sukses sebagaimana eksplorasi mengilat di pedalaman Berau di Kalimantan Timur sebelum ini. Cendol lagikah…?

Apa pun perlu difahamkan bahawa Sg. Kanyau ini terletak di dalam Taman Nasional Betung Kerihun. Sebagaimana Taman Negara di Malaysia, ia dikawal selia oleh pihak renjer dan surat keizinan untuk masuk memancing hendaklah diperolehi terlebih dahulu. Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada rakan pemancing di sana yang sudi berkongsikan fotografi ini kepada pihak SIRIP iaitu saudara Danz Perdana atau Budi Budap melalui facebook.

Jika anda dari Kuala Lumpur, tiga pesawat udara perlu dinaiki iaitu bermula dari KLIA ke Kuching, Sarawak. Kemudian dari Kuching, ambil penerbangan ke Pontianak sama ada menaiki Mas Wing atau Batavia Airlines. Selepas itu kena naik pula pesawat Kalstar Air ke Putussibau.

Maknanya kena buat perancangan betul-betul. Berkemungkinan anda perlu bermalam di Pontianak untuk mendapatkan pesawat ke Putussibau keesokannya.

Budi dengan trofi empurau 12 kg menggunakan sesudu Deps dan joran 8 – 14 paun. Peluang sangat tinggi untuk mengilat empurau / kelah sebesar ini di Kanyau.

Putussibau merupakan bandar utama bagi Kabupaten Kapuas Hulu yang terletak di antara Sg. Sibau dan Sg. Kapuas (untuk makluman anda, Sg. Kapuas merupakan sungai yang paling panjang di Borneo).

Dalam ekspedisi Sg. Sibau yang pernah SIRIP terbitkan dalam DVD, perjalanan memancing ke Sg. Sibau adalah secara terus menaiki bot dari bandar tersebut untuk memasuki Taman Nasional Betung Kerihun.

Namun bezanya ke Sg. Kanyau, pemancing perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Dusun Sadap selama 2 jam setengah. Dusun Sadap merupakan kampung terakhir yang berada di Sg. Kanyau. Di hulu sungai tersebut tidak ada lagi perkampungan penduduk, tidak ada pertambangan, dan tidak ada perkebunan sawit.

Dari Dusun Sadap itu barulah boleh menaiki bot panjang berenjin 15 kuasa kuda menuju ke kem Karangan Paku selama 4 jam untuk memasang khemah. Sungai ini amat panjang dan boleh mudik lebih jauh jika termampu.

Namun untuk mendapatkan lebih banyak strike, disarankan untuk memasuki anak sungai. Untuk mendapatkan saiz monster, sungai utama yang perlu digempur. Strike agak kurang di sungai utama tetapi sekali strike, bersedialah untuk pertempuran yang menggigilkan kepala lutut!

Nantikan ekspedisi kami team SIRIP ke Sg. Kanyau!

Ikan parang sungai dipanggil dengan nama ‘belantau’.

Danz dengan rekod empurau 14 kg menggunakan kilat sesudu.

Rekod terbesar Budi dengan tapah 25 kg, menelan kilat sesudunya!