Apps Memancing Termudah
Kemajuan sains dan teknologi, terutama pembangunan telefon pintar telah menyumbang kemudahan yang luar biasa buat manusia sejagat. Hanya di hujung jari, kita dapat melayari internet atau memuat turun aplikasi software (Apps) yang membolehkan kita menggapai segala-galanya baik hiburan, permainan (game), fotografi dan video, pembacaan, pendidikan, kewangan, diet, fesyen, perubatan, muzik, navigasi, berita, membeli-belah, rangkaian sosial, sukan, pelancongan, dan macam-macam lagi. Tetapi mari kita fokus hal berkaitan memancing, dan lihat laman sesawang dan Apps apakah yang sesuai dan berguna untuk kita, kaki pancing.
Oleh : PAK WONG
Ramalan Cuaca
Laman sesawang tide4fishing yang percuma meliputi maklumat pasang-surut untuk pemancing di seluruh dunia.
Pemancing amat mengambil berat tentang cuaca. Apabila turun ke laut, kita cukup bimbang dengan angin kencang dan ombak besar. Begitu juga pemancing sungai. Kalau cuaca buruk, kembara memancing laut atau sungai mungkin terpaksa dibatalkan. Namun kini terdapat banyak laman sesawang yang boleh dilayari dan aplikasi software yang boleh dimuat turun untuk mengetahui ramalan cuaca, tetapi yang paling popular buat pemancing ialah surf-forecast.com.
Sebenarnya ini adalah sebuah laman yang pakar meramal ombak di lokasi luncur ombak yang popular di dunia. Walaupun ia disediakan khas untuk para peluncur ombak (surfer), tetapi saya dapati laman ini menyediakan ramalan yang sangat terperinci tentang keadaan gelombang ombak. Ia boleh menjadi rujukan yang sangat baik dalam memilih tarikh yang sesuai untuk trip memancing.
Surf-forecast.com memaparkan peta untuk menunjukkan ombak, arah ombak dan angin di sesuatu kawasan, dan menunjukkan ketinggian ombak melalui warna biru gelap dan cerah. Ia juga memaparkan keadaan cuaca pada masa nyata dan ciri-ciri sekunder yang lain.
Aplikasi canggih ini percuma sahaja. Saya kerap menggunakannya untuk menentukan kelancaran perjalanan trip memancing laut dalam jarak jauh pada saat akhir, dan mendapati ia menyediakan ramalan cuaca yang lebih tepat berbanding laman sesawang tempatan!
Pasang-Surut
Sama ada memancing di laut atau muara, arus pasang-surut memainkan peranan yang sangat penting. Jika air pasang-surut dapat diramal dengan tepat, kita boleh tiba ke lokasi memancing pada masa yang tepat untuk mendapatkan situasi memancing terbaik. Bagi mereka yang perlu menaiki bot di pantai atau jeti juga perlu prihatin dengan masa pasang-surut yang tepat supaya masa tidak dibazirkan.
Di negara kita, buku jadual pasang-surut tahunan yang tepat diterbitkan oleh Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM). Masalahnya, buku ini agak mahal dan jadual pasang-surut tahunan hanya boleh diperolehi pada akhir tahun sebelumnya. Sedangkan ramai pemancing perlu merancang trip setahun lebih awal.
Justeru bagi mengelakkan tersalah pilih tarikh, laman tide4fishing.com amat berguna dirujuk untuk memastikan keadaan pasang-surut pada masa hadapan. Melalui tide4fishing.com, anda boleh mendapatkan jadual pasang-surut hampir di mana sahaja di dunia, tanpa perlu membayar sesen pun.
Ia bukan sahaja membekal data pasang-surut yang lengkap, malah menyalurkan ramalan cuaca (termasuk indeks UV), fasa bulan, arah angin, keadaan ombak, suhu, suhu air, kelembapan, penglihatan, tekanan udara, masa memancing yang terbaik, dan lain-lain mengikut tarikh yang dipilih. Ia boleh dianggap suatu panduan komprehensif dan mesra untuk pemancing.
Walaupun laman sokongan memancing yang cukup profesional ini tidak mempunyai Apps untuk dimuat turun, tetapi laman sesawangnya memberi paparan yang mesra pengguna apabila dilayari melalui telefon pintar.
Dengan tide4fishing.com dan surf-forecast.com ini, kita pemancing dapat merancang trip memancing pada masa hadapan dengan lebih mudah!