Asmara Naga Hijau
Di negara kita terdapat banyak spesies Arowana yang menjadi kebanggaan kita. Di antaranya kelisalah spesies yang paling biasa dijumpai. Kelisa yang dikenali sebagai “Naga Hijau” di kalangan masyarakat Cina dilindungi di bawah akta perikanan dan masih mengekalkan populasi yang agak sihat. Justeru ianya telah menjadi ikan sasaran kepada segelintir pemancing tegar air tawar. Terima kasih diucapkan kepada Ki Ni selaku pemandu pancing Sungai Endau kerana telah berkongsi pengalaman menjerat kelisanya.
Teks & Fotografi: PAK WONG Fotografi: KI NI
Menurut pantauan Ki Ni, kita harus memfokuskan perairan yang berair tenang jika ingin mencari kelisa di sungai pergunungan khasnya kawasan berair tenang di dalam lubuk dan juga kawasan yang bersamaan di sepanjang sungai. Habitat mereka lebih kurang sama dengan toman bungah melainkan toman bungah hanya menyukai perairan cetek di bawah 1.5 meter. Manakala habitat kelisa pula tiada batasan kedalamannya.
Satu lagi syarat penting ialah spot yang menjadi pilihan pemancing harus mempunyai halangan seperti pokok tumbang atau batu besar supaya kelisa dapat bersembunyi untuk menyerang hendap mangsa yang melalui kawasan itu.
PENSIL KEGILAAN KELISA
Dari segi teknik pula, gewang permukaan khasnya pensil sentiasa dianggap gewang terbaik untuk menjerat kelisa. Harus difahami bahawa kelisa adalah ikan yang menjadikan serangga atau hidupan lain yang jatuh ke dalam air sebagai diet utamanya. Setiap benda yang jatuh ke permukaan sungai pasti akan menarik perhatiannya. Minnow boleh juga digunakan. Cara persembahannya ialah lontar ke sisi halangan dan karau sambil menghenjut joran. Manakala crankbait pula kurang mendapat sambutan dari kelisa. Kelisa yang bermain berdekatan permukaan didapati kurang berminat untuk mengejar mangsa yang berenang ke bawah.
Satu lagi gewang yang cocok untuk menjerat kelisa ialah SP jenis ikan. Sesuai digunakan di pokok tumbang yang mempunyai banyak cabang. Sesudu yang telah menjadi ikon pancingan sungai pergunungan juga berjaya menaikkan banyak kelisa.
Cabaran terbesar apabila menangani kelisa ialah, biarpun berjaya terkena seekor kelisa pun belum tentu dapat menewaskannya lantaran ikan ini memang handal melompat. Mulutnya juga amat keras dan sukar ditembus mata kail sehingga mudah tercabut ketika bersaing. Justeru kita memerlukan sebatang joran yang beraksi sederhana yang lebih lembut supaya tali kekal tegang apabila kelisa melompat. Pertukaran mata tiga kepada mata tunggal juga merupakan pendekatan yang boleh difikirkan namun ia akan mengurangkan kadar cangkukan mata.
PILIHAN JORAN AMATLAH PENTING
Kelisa juga merupakan antara ikan yang paling laju berenang. Ketika bersaing ia akan memecut ke posisi yang tidak disangka-sangka dalam sekelip mata sahaja. Pada ketika itu kes rabut mungkin akan terjadi akibat tali longgar disebabkan joran yang terlalu keras.
Ki Ni mempercayai bahawa kelisa Sungai Endau dapat dipancing sepanjang tahun jika kualiti air tidak menjadi terlalu kotor. Namun bulan April sehingga Mei adalah lebih berpotensi lantaran kelisa akan muncul di kawasan sungai yang agak lapang untuk mencari jodoh. Pada masa ini mereka juga akan menjadi lebih aktif dan lebih mudah diperdaya dengan gewang. Bulan September apabila kelisa memuntahkan anak-naknya dari mulut juga merupakan masa terbaik untuk menjerat Naga Hijau yang handal ini.
Baru-baru ini Ki Ni telah mengaturkan sebuah trip bersama keluarganya ke hulu Sungai Endau. Sempat juga beliau cuba mengilat kelisa sepanjang trip itu. Sebanyak lebih kurang 10 sambaran berjaya diperolehi beliau namun hanya 6 ekor kelisa sahaja berjaya didaratkan. Beliau mengalu-alukan pemancing tegar yang berbadan sihat untuk menyambut cabaran casting kelisa dengan syarat Catch & Release. Berminat sila Whasapp di talian 016-371 8713.