Ayam Sabung Costa Rica
Akhirnya ikan idaman terhebat di rantau ini, roosterfish gergasi terlentang di tepian bot.
Lebih separuh juta spesies haiwan tinggal di Costa Rica. Biodiversiti yang luar biasa menjadikan negara Amerika Tengah ini sebagai destinasi yang sangat popular untuk pengembara dan pencinta alam. Bersama isteri dan anak-anak, penulis mengunjunginya pada musim panas untuk bercuti sambil ‘curi-curi tulang’ menduga spesies ikan ganjil berbalung persis ayam jantan yang bergelar roosterfish!
Teks & Fotografi : TOM SINTOBIN
Saya baru tiba bersama keluarga di Semenanjung Nicoya, Costa Rica dan keindahan pantainya memukau kedua-dua anak perempuan saya bagaikan magnet. Bermain ombak, snorkeling, mengumpul cengkerang – memang seronok apabila anda belum mencecah 8 tahun lagi. Sementara itu, saya berdiri di atas batu, sambil melontar kilat sesudu.
Tiba-tiba anak bongsu saya melompat keluar dari air berkedalaman setengah meter. “Tolong, ada benda berenang di bawah saya, macam nak kekah kaki saya – badannya hitam berbintik dan sebesar ini!” sambil mendepangkan tangannya. Ikan bersayap dan ekor panjang – mungkin pari lah tu. Atau mungkin imaginasinya yang suka baca cerita Harry Potter? 5 minit kemudian, isteri saya pula melompat terperanjat – dan tidak lama selepas itu, saya memang dapat melihat sekumpulan pari lang berenang melewati bongkah batu yang saya berdiri.
Frenzy Tepi Pantai
Tiba-tiba air laut seakan mendidih, kira-kira 100 meter dari pantai. Ikan-ikan kecil melompat keluar dibaham sesuatu, sedang burung pelikan pula menjunam ke tengah didihan air itu untuk berkenduri sama. Sekejap sahaja, kemudian ia berlaku 100 meter di kanan saya pula – selepas itu sedikit ke kiri, kemudian ke kanan sekali lagi…
Saya jadi bingung. Bondong pemangsa itu jauh pula dari jarak lontaran. Terus saya melompat ke dalam kayak yang ada di pantai dan mendayungnya. Sebaik sahaja saya jauh dari pantai, air di sekeliling saya mula membuak lagi. Saya berada di tengah-tengah kumpulan pemburu laut dan tanpa perlu melontar jauh, leretan popper saya dibelasah ikan jack crevalle.
Setelah saya lepaskannya, bondong itu mengamuk agak jauh sedikit. Saya mendayung seperti orang gila untuk mendekatinya dan ‘pop’ pertama terus dibantai spesies yang sama. Sekurang-kurangnya satu jam frenzy itu berlaku. Saya cuma perlu dayung, lempar, layan dan lepaskan. Saiz ikan bukanlah gedabak, tetapi kuat giler!
Saya dapat rasakan darah pengail saya mengalir deras melalui urat saraf. Kenikmatan akan berlaku dalam tempoh tiga hari mendatang, kerana sementara keluarga saya leka bersantai di pantai, saya akan memancing bersama Thomas dan Juan Carlos – dua pemandu pancing yang berpengalaman luas.
Anda namakan apa sahaja ikan dan mereka telah menewaskannya : Cubera, layaran, belitong atau yang paling hebat daripada segalanya ialah ikan roosterfish si ayam jantan. Selama bertahun-tahun, saya telah mengkaji gambar ikan yang tidak berupa macam ikan ini. Tuhan semestinya sangat artistik pada hari Dia mencipta Nematistius pectoralis. Saya inginkan satu tersemat dalam album gambar saya.
Arus Merah
Bot kami bergerak kira-kira 80 meter dari tebing pulau berbatu. Gelombang besar menghempasnya. Saya berdiri di hadapan bot, melontar popper seberapa dekat yang boleh ke batu itu. Selepas 15 minit, joran saya membengkok tajam. ‘Sesuatu’ menyambar popper saya betul-betul dah dekat bot kami. Rupanya ikan cupak. Pagi pertama, saya naikkan tiga lagi cupak yang begitu garang. Kita boleh lihat ia mengekori belakang popper sebelum membantainya.
Apabila arus mengalir perlahan, pemangsa tidak galak lagi. Saya tidak hairan, kerana ikan cenderung untuk bertingkah laku sebegitu di mana-mana ceruk dunia. Ikan-ikan pemangsa yang handal memang hanya suka memanipulasi arus untuk mencekup mangsa mereka yang lemah.
Arus berubah adalah masa yang ideal untuk berpindah. Semasa beredar, Thomas menunjuk saya keanehan air laut kemerahan yang tersebar di sekeliling kami. “Red tide,” katanya… “Harap-harap ia tidak menjadi lebih teruk lagi.” Saya kurang faham apa maksud beliau dan cepat lupa kenyataannya, lebih-lebih lagi kerana kami bertemu sekumpulan lumba-lumba dan ikan paus! Selepas kira-kira sejam bergerak, kami sampai ke kawasan berbatu yang lain.
‘The Dick’
Kedalaman air sekitar 15 – 20 meter dan pantai pun tidak jauh. Arus sedang pasang, ideal untuk rooster. Tetapi untuk menjinakkannya, kita perlu memancing ikan-ikan kecil sebagai umpannya. Setelah mendapatkan umpan ikan hidup yang mencukupi, ia dicangkuk pada mata lingkar (circle hook) dan dilepaskan sambil bot bergerak pelahan-lahan sepanjang pantai.
“Kalau ikan sambar, jangan sentap – biar ikan tu tercangkuk sendiri,” pesan Thomas. Tak lama menunda, hujung joran mula terhangguk-hangguk dan tali semakin menegang. Umpan terasa berada dalam keadaan cemas. Sempat guide saya berjenaka, “Tengok batu tu, ia dipanggil ‘The Dick’!”. Ia mirip kemaluan lelaki!
Sedang saya berasa geli hati, tiba-tiba saya merasakan henjutan dan drag mula menjerit. Saya tidak mampu berbuat apa-apa pun – biar sahaja – tetapi selepas beberapa saat, tali mengendur dan saya merasakan umpan bergerak-gerak semula.
Tetapi belum sempat saya menyembur kata-kara kesat, joran melengkung semula dan saya merasakan sesuatu makhluk besar di hujung tali dan memecut dengan gila. Sekurang-kurangnya selama seminit, kemudian ia lucut lagi. “Joder!” jerit saya menyumpah-seranah dalam bahasa Sepanyol. Umpan dikarau dan didapati ia cedera parah dan dah kajung.
Kami mengulang lubuk sama dengan umpan hidup yang lain. Dan ya… tepat di depan batu ‘The Dick’ itu, saya diserang lagi. Selepas pertempuran yang sengit, seekor roosterfish yang diidamkan akhirnya terlentang di sebelah bot. Mata lingkar tidak tersisip kemas pada sudut mulutnya, tetapi di langit-langit. Sebelum kami dapat mengangkatnya, mata kail itu terbang ke udara! JODER!!! “Takpa ikan kecik jer, 10 kilo jer…” pemandu pancing cuba melegakan hati saya – tetapi ia tidak menghiburkan saya.
Hari Kedua
Umpan hidup cukup? Check! Mata kail tajam? Check! Dah yakin barulah kami menuju ke kaki langit, terus ke ‘The Dick’. Tetapi sampai di sana, airnya kelihatan merah. Kapten bot tidak sedap hati dan terpaksa beredar ke hotspot lain yang agak jauh sedikit, di mana ia merupakan kawasan bercenuram yang merentasi dua buah pulau, di mana arusnya deras.
Selepas setengah jam memancing, joran saya dilanyak sesuatu dengan kuat, menjunam terus ke bawah. “Cubera tu, jangan kasi can!” Cubera tinggal di gua-gua antara batu, dan jika anda tidak hentikannya segera, pasti berputih mata. Sebelum saya dapat berbuat apa-apa, joran itu kembali lurus dan saya mengarau umpan yang dah cedera teruk. Rabut!
Kami teruskan memancing, tapi kemudian kami perhatikan bahawa air jernih semakin mengecil dengan cepat. “Air merah semakin merebak.” kata Thomas, dan memang sejauh mata memandang, air laut bertukar kemerahan dengan pelik sekali.
Asalnya saya fikir ia merah menyala dan berbau seperti belerang, tetapi saya salah. Fenomena ‘red tide’ unik ini sebenarnya berwarna coklat merah dan baunya seperti rumput laut reput. ‘La marea roja’, itulah nama fenomena ‘red tide’ atau arus merah ini. Ia merupakan proses dan kitaran semula jadi lautan, yang menyebabkan organisma kecil mati, lalu menjadikan warna air bertukar kemerahan.
Akibat tahap penglihatan yang kurang baik dan juga kemerosotan oksigen terlarut, fenomena ini menyebabkan ikan pemangsa menjadi sangat pasif. Kami tiada pilihan, selain bergerak pulang. Sejam perjalanan pun masih tampak arus merah ini, sampaikan ikan umpan kami di dalam tangki simpanan pun mati terapung, dek kerana kekurangan oksigen dalam air laut.
Hari Ketiga
Pagi-pagi lagi Thomas memberi khabar berita baik dan buruk kepada saya. Beliau berjaya menyediakan bekalan ikan umpan yang terbaik iaitu palometas, hasil pemberian jirannya. Tetapi masalahnya perairan kami memancing ini masih dilanda red tide di kebanyakan tempat.
Juan Carlos mempamerkan ‘silap mata’ untuk memastikan palometas dapat bertahan hidup sambil bot belayar keluar. Dia mematikan pam ketika merentasi zon merah, dan bot berhenti seketika sebaik melewati zon yang jernih untuk menyegarkan air dalam tangki bagi membolehkan ikan umpan terus bernafas. Cuma satu je yang tak dapat dilakukan, pernafasan mulut ke mulut! Hahaaa…
Setibanya di kawasan berbatu, airnya dilihat jelas dan kami mula melabuhkan palometas. Sambil menghanyut umpan, kami sempat melontar popper ke tebing berbatu dan dikejutkan oleh enam sambaran yang rabut daripada jack, needlefish dan cubera kecil. Tetapi tidak satu pun yang berminat terhadap hanyutan umpan kami.
Apabila arus bertukar, air menjadi merah sekali lagi. Thomas terpaksa memikirkan ke mana arah tuju lain dan mencuba di sebuah pulau berbatu separa tenggelam yang dikelilingi air jernih dan dalam. Jig 80 gram mula dilontar dan ia bertubi-tubi digasak jack crevalle. Pesta itu berlangsung selama sejam, dan kemudian senyap.
Antara Mitos & Realiti
Kami mengambil masa sejam untuk berpindah ke lokasi lain pula. Malangnya ke mana sahaja kami pergi, lautan ini berbau dan merah. Thomas mahu mencuba satu lagi lokasi iaitu pulau burung. Sebaik tiba, ia memang sesuai dengan namanya kerana dihuni penuh oleh burung frigat.
Air sekitar pulau ini secetek 4 meter sahaja, tetapi menurut Thomas, roosterfish sering berkeliaran di sini. “Iyolah tu…” sinis saya kerana sekarang, ikan berlawi ayam itu dah macam haiwan mitos bagi saya, seperti unicorn, yeti dan nessie!
Skrin sonar didapati penuh dengan kawanan ikan, palometas pada joran saya mula dirasakan tak tentu arah, dan kemudian ia dihenjut dengan padu! Saya tidak sangka betapa ligatnya besitan ikan ini! Dan betapa gembiranya apabila berjaya merangkul trofi roosterfish pertama untuk dirakamkan. Bahkan saya turut sama terjun ke laut untuk melepaskannya kembali!
Dalam tempoh setengah jam, saya berjaya strike dua ekor lagi ayam laut ini. Tetapi kedua-duanya berjaya meloloskan diri di mana salah seekor membuat lompatan ke udara! Kadar tancapan saya cukup teruk. Daripada 5 sambaran, hanya seekor berjaya didaratkan!
Thomas naik hairan kerana beliau biasanya dapat menjinakkan 8 daripada 10 strike. Saya tidak peduli sangat, janji dah dapat apa yang dicari dan terasa tak tertekan lagi setelah berjaya menumbangkan ikan impian walaupun dalam situasi yang sangat buruk!
Skipjack tuna yang seronok dilayan set pancing ringan.
INFO ROOSTERFISH COSTA RICA
Roosterfish (nama saintifik : Nematistius pectoralis) di perairan Costa Rica di Amerika Tengah ini sememangnya bersaiz ekstrem. Saiz puratanya sekitar 15 kg. Thomas pernah menumbangkan sekurang-kurangnya 8 ekor bersaiz lebih 40 kg, dengan rekod terbesar sepanjang 5 kaki, seberat 48 kg!
Dalam keadaan biasa, roosterfish yang hebat ini boleh dipancing hampir setiap hari. Thomas pernah menewaskan 16 ekor dalam tiga hari – dengan 10 ekor seberat lebih 20 kg dan 4 ekor lebih 30 kg! Jika anda teringin ke syurga dunia ini, layarilah www.bahiarica.com