Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Bagaimana Atoll Terjadi?

 

Apakah itu ‘atoll’? Atoll yang berasal daripada bahasa orang Maldives atau dikenali sebagai ‘pulau cincin’ ialah suatu terumbu karang yang berbentuk bulat seperti cincin yang mengelilingi sebuah lagun, sama ada separuh atau mengelilingi lagun itu sepenuhnya. Pulau cincin yang unik ini biasanya wujud di tengah lautan yang luas. Tetapi adakah anda tahu bagaimana asal-usul ia terbentuk?

Oleh : PAK WONG

Daripada banyak bentuk terumbu karang yang kompleks dan luar biasa, atoll atau ‘pulau cincin’ adalah pembentukan terumbu karang besar yang paling menakjubkan. Sistem terumbu ini membangkit secara lurus dari laut dalam, tetapi anehnya berlohong di tengah-tengahnya sehingga menarik pelbagai hidupan marin dan memukau pemandangan kita, sama ada dari atas mahupun di dalam air.

Tetapi bagaimanakah ‘oasis’ ini muncul di tengah lautan? Apakah kuasa yang membentuknya dan kenapa ia menarik begitu banyak hidupan? Pada tahun 1842, Charles Darwin merupakan orang pertama yang melahirkan teori bagaimana atoll ini terjadi.

Teori Darwin

Semasa pelayarannya selama lima tahun dengan kapal HMS Beagle dari tahun 1831 hingga 1836 merentasi Lautan Pasifik selatan, Charles Darwin hairan menyaksikan pembentukan pulau atau terumbu-terumbu cincin yang ganjil ini. Bagaimana ia boleh timbul dari lautan dalam yang amat luas, tetapi membulat dan sentiasa melindungi lagun cetek. Beliau lalu berpendapat bahawa atoll ini terjadi kerana pada asalnya ia adalah sebuah gunung berapi purba, yang kini sudah lama tenggelam di bawah ombak.

Teori beliau menyatakan bahawa gunung berapi purba ini pernah berdiri megah di atas permukaan laut, dan terumbu karang yang kita lihat sekarang adalah asalnya terumbu karang yang membentuk di lerengnya. Gunung berapi itu setelah tidak aktif, ia mula tenggelam sedikit demi sedikit dihentam ombak. Proses tenggelam ini yang mungkin hanya beberapa sentimeter setahun adalah cukup lambat untuk membolehkan terumbu karang membina dan memperkuatkan struktur asasnya berdekatan permukaan air yang lebih hangat.

Sedang gunung berapi tenggelam, terumbu karang terus membangkit ke atas, dan akhirnya meninggalkan lingkaran terumbu yang mengelilingi lagun cetek di tengah – asalnya kawah gunung berapi – lalu wujudlah atoll yang kita lihat dan kagumi hari ini.

Walaupun sekadar teori, para saintis telah menjalankan penyelidikan untuk mengesahkan teori Darwin itu. Mereka menebuk ke dasar atoll di Pasifik untuk mencari bukti bahawa ia adalah gunung berapi yang terendam. Dan hasil dapatan dan kajian mereka, ternyata ada bukti yang kukuh untuk mengesahkan teori Darwin tentang asal-usul atoll daripada gunung berapi.

Nirwana Marin

Atoll sememangnya amat kaya dengan hidupan marin. Tetapi apakah yang membuatkan atoll ini tempat yang ideal untuk hidupan marin berkembang biak?

Lantaran lokasinya yang terpencil dan jauh dari daratan, maka airnya sangat bersih dan jernih, yang menghasilkan keadaan yang subur untuk pertumbuhan karang. Ditambah lagi dengan fenomena julang air (up-welling) yang sentiasa berlaku yang membawa kekayaan nutrien dari kawasan yang lebih dalam. Banyak karang, banyaklah hidupan marin datang berkumpul, mencari makan dan berlindung lalu menarik populasi ikan bersaiz besar.

Atoll bertindak sebagai tempat perlindungan bagi penyu yang berhijrah dan syurga buat spesies pemangsa pujaan kita pemancing seperti tuna, GT, rainbow runner, wahoo, alu-alu, kerapu sonoh dan bermacam spesies yu. Lokasi atoll yang amat jauh juga menyelamatkan penghuninya daripada dinodai aktiviti penangkapan ikan oleh manusia.

Asia Tenggara kita terletak hampir di kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu rangkaian geologi aktiviti gunung berapi di mana plat tektonik bumi bertumpu. Oleh itu, terdapat banyak gunung berapi termasuk atoll yang hebat untuk pemancing di rantau ini.

Atoll Malaysia

Negara kita sendiri walaupun tiada gunung berapi, tetapi kita sebenarnya juga ada memiliki atoll yang indah ini. Namun ia berserakan di perairan Spratly di luar perairan Sabah dan Sarawak yang turut menjadi konflik rebutan negara jiran seperti China, Vietnam, Brunei dan Filipina.

Antara atoll yang berada di perairan negara kita ialah Pulau Layang-Layang (Swallow Reef), Terumbu Peninjau (Investigator Shoal), Terumbu Ubi (Ardasier Reef), Terumbu Mantanani (Mariveles Reef), Terumbu Semarang Barat Besar (Royal Charlotte Reef) dan Terumbu Semarang Barat Kecil (Lousia Reef). Indonesia, Filipina dan Maldives sebagai negara kepulauan, memiliki lebih banyak atoll yang mengagumkan.

Atoll adalah permata lautan yang menawarkan hampir segala-gala yang diidam-idamkan oleh pemancing kerana ia mahsyur dengan GT dan aya budak (dogtooth tuna) bersaiz monster. Pastinya suatu ekspedisi memancing ke atoll menjanjikan pengembaraan manis yang akan dikenang seumur hidup anda!