Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Bagaimana Tekanan Barometrik Jejaskan Pancingan?

Rakan anda ke Selat Melaka semalam balik ‘pecah tong’, dan anda yang teracun kelam-kabut menempah bot esoknya. Tetapi sebaik tiba ke lokasi yang sama, anda kumpau… apa sebabnya? Mulalah anda fikir mungkin ikan dah habis kena tapau dek pemancing semalam… tetapi hairannya, imbasan sonar masih jelas menunjukkan ada banyak ikan di bawah sana, mengapa jadi begitu?

Oleh : PAK WONG

Barometer boleh mengukur perubahan tekanan udara dengan tepat. Tetapi di laut, kita secara kasarnya boleh membaca perubahan tekanan udara berdasarkan perubahan cuaca yang mendadak.

Terdapat banyak kemungkinan mengapa ikan tidak mahu jamah umpan kita, seperti kesan sampingan tangkap dan lepas, penurunan suhu air, pencemaran air, kemunculan banyak ikan mangsaan dan sebagainya. Namun suatu faktor lain yang penting tetapi kurang kita ketahui dan fahami ialah impak akibat perubahan pada tekanan barometrik atau tekanan udara persekitaran.

Tekanan barometrik atau tekanan udara ini ditakrifkan sebagai berat atau jisim keseluruhan kolum udara pada unit kawasan permukaan di paras laut. Ia memainkan peranan penting dalam peramalan cuaca, kerana turun naik tekanan ini akan menggambarkan perubahan cuaca. Merkuri (Hg) biasanya digunakan dalam tolok barometer bagi mengukur perubahan tekanan udara ini dalam skala inci (in.). Bacaan barometer 30 inci (Hg) dianggap normal. Tekanan udara yang kuat boleh setinggi 30.70 inci, manakala tekanan rendah berkaitan ribut taufan boleh jatuh di bawah 27.

Secara umumnya, kehadiran bayu sejuk atau panas, tiupan angin dan turunnya hujan akan dikaitkan dengan tekanan udara yang rendah. Tekanan udara yang tinggi apabila berlaku di kawasan itu menjadikan laut cerah dan tenang.

Apa Kesannya Kepada Selera Ikan?

Jadi bagaimana tekanan barometrik atau tekanan udara ini boleh menjejaskan selera makan ikan yang tinggal di dalam air?

Ikan sebenarnya mampu mengesan perubahan tekanan udara melalui pundi udaranya. Ikan yang berpundi udara lebih kecil seperti ikan pelagik (tenggiri, wahoo dan belitong), berkemungkinan kurang terjejas dek perubahan tekanan udara berbanding ikan yang mempunyai pundi udara lebih besar seperti kerapu dan jenahak.

Ini kerana ikan yang berpundi udara kecil mempunyai ketumpatan badan yang hampir sama dengan medium airnya. Ikan pelagik ini tidak merasa perubahan tekanan udara secara mendadak, jadi tahap keselesaannya tidak berubah secara drastik. Walau bagaimanapun, kebanyakan makanan asasinya ialah spesies yang berpundi udara. Justeru ia boleh memberi impak yang besar untuk anda mengesan di manakah ia berkeliaran dan bagaimanakah tingkah lakunya ketika itu.

Ikan yang berpundi udara besar mampu merasai kejatuhan tekanan udara dengan cepat, melalui tekanan yang kurang pada pundi udaranya. Dan apabila kurangnya tekanan udara, pundi udaranya pun ‘kurang’ ditekan, lalu mengembang sedikit. Akibatnya, ikan menjadi kurang selesa lalu bergerak lebih jauh ke dasar atau menyerap gas tambahan di dalam pundi udaranya untuk melegakan ketidakselesaan tersebut.

Disebabkan tekanan anatomi dan fisiologi, ikan tersebut tidak endahkan soal makan. Ikan lebih memikirkan cara untuk mencari kedalaman yang boleh menstabilkan tekanan pundi udaranya dan berasa selesa. Sesetengah spesies akan mendap ke dasar atau mencari ‘kelegaan’ berhampiran struktur. Namun mujurlah tekanan udara yang rendah ini biasanya tidak lama, ini cukup melegakan sang ikan dan juga kita, pemburu tegarnya.

Tekanan barometrik akan menjadi rendah apabila awan hitam berhimpun. Tekanan ini akan menekan pundi udara sesetengah ikan sehingga kurang berselera.

Ketika Bila Ikan Agresif Makan?

Ikan lebih selesa apabila wujudnya tekanan udara yang tinggi dan stabil, lalu cenderung untuk makan dengan lebih aktif di segenap kolum air.

Katakan kita mengalami hasil yang cukup baik disebabkan tekanan udara yang tinggi dalam tempoh yang panjang. Kemudian tiba-tiba bayu sejuk menerjah muka kita. Ini bermakna di hadapan kita telah berlakunya kemerosotan tekanan udara. Ikan walaupun berada di dalam air dapat mengesan tekanan barometrik yang sedang jatuh ini. Jadi sebaik sebelum bacaan barometer semakin menurun, ikan akan memberi tindak balas dalam corak pemakanannya.

Ikan-ikan ini selalunya menjadi agresif atau kuat makan sebelum tekanan udara itu jatuh. Apabila sudah jatuh rendah, ia mula ‘mengunci’ mulut kerana dirinya sudah tidak berasa selesa lagi. Apabila hujan ribut itu berlalu pergi dan tekanan udara kembali merangkak naik, sang ikan juga masih belum berselera kerana perlukan tempoh untuk menyesuaikan diri.

Ikan mangsaan (ikan kecil) juga dipengaruhi oleh tekanan udara / barometrik. Sebagai contoh, kejatuhan tekanan udara akan memaksa ikan mangsaan berada lebih jauh di dalam air dan kurang aktif. Secara tidak langsung, ini akan memberi kesan terhadap pancingan di aras pertengahan dan atas air.

Haaa… sekarang anda mungkin dah faham sebab apa hasil anda ‘kureng’, bukan? Sekurang-kurangnya ada la alasan untuk ‘cover’ malu atas sebab kenapa trip anda tak pecah tong macam member tu!