Bait & Switch : Layangan Layaran
Memancing ikan layaran dengan pancing layang (fly fishing) bukan lagi kaedah yang sukar jika anda tahu strateginya, apatah lagi kita mempunyai lubuk layaran terbaik di dunia iaitu ketika musimnya berhijrah berbondong-bondong di Kuala Rompin setiap pertengahan tahun. Penulis mendedahkan teknik dan taktik memikat layaran melalui pengalamannya dengan cara pancingan yang unik lagi mencabar ini…
Teks & Fotografi : RAZLAN ZAIDI
Layaran adalah spesies ikan yang tak asing lagi buat penggemar sport fishing. Dikenali sebagai ikan atau benda hidup yang paling laju di lautan iaitu mencapai 110 km / jam, boleh pergi sejauh 100 meter dalam masa 4.8 saat, sudah tentu memberi kepuasan kepada pemancing yang suka kepada sukan memancing, selain lompatan akrobatik yang amat mengasyikkan.
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk memancing layaran dan setiap satunya mempunyai kelebihan dan keseronokan yang tersendiri bagi penggemarnya. Antara kaedah yang sering digunakan ialah menggunakan umpan hidup, casting, jigging dan fly fishing.
Saya memilih kaedah fly fishing (pancing layang) kerana saya merupakan peminat sejatinya, terutama big game fly fishing. Artikel kali ini akan menceritakan pengalaman saya dan rakan-rakan memancing layang spesies ikan terlaju ini.
Pengasas
Mungkin agak janggal dan baru bagi kita memancing layang ikan layaran di Malaysia. Ya… saya juga akui merasa agak mustahil pada awal menceburi bidang fly fishing ini sejak 8 tahun yang lalu bahawa ikan layaran boleh dipancing dengan set fly fishing.
Sebenarnya ikan layaran pertama yang berjaya didaratkan menggunakan kaedah fly fishing adalah pada tahun 1961 di Key West Florida oleh Dr. Webster Robinson, di mana beliau merupakan pengasas teknik fly fishing untuk spesies ikan berparuh seperti layaran, mersuji (marlin), todak (swordfish) dan lain-lain yang dikenali sebagai ‘bait and switch technique’. Bagaimanakah teknik ini?
‘Bait & Switch’
Teknik ini telah digunakan oleh pemancing layang di seluruh dunia kerana ia secara konsisten berjaya merealisasikan kaedah fly fishing untuk ikan layaran.
Teknik ini memerlukan seorang pemancing atau pembantu untuk memikat atau memanggil sang ikan dengan menggunakan umpan ikan hidup atau pemikat (teaser), sementara pemancing layang akan bersedia untuk melontar umpan fly kepada ikan yang sedang mengejar umpan teaser tersebut apabila sudah berdekatan dengan bot.
Namun begitu, teknik ini amat memerlukan kerjasama atau team works daripada pemancing dan jurumudi bot pancing.
Selain itu, perkara-perkara teknikal seperti kelajuan bot, bila perlu cast umpan, berapa panjang teaser perlu dilepaskan, bila bot perlu berhenti, bagaimana bot boleh membantu pemancing untuk mempercepatkan proses mendaratkan ikan, cara mendaratkan ikan, cara memegang ikan untuk bergambar dan cara membebaskan semula ikan dengan betul perlu diketahui agar kita lebih bersedia.
Fly Fishing Layaran Rompin
Rompin merupakan destinasi yang tepat jika ingin meralisasikan fly fishing ikan layaran. Stok ikan layaran yang sentiasa banyak telah menarik minat pemancing dari dalam dan luar negara saban tahun.
Kuala Rompin sememangnya sudah terkenal di mata dunia dengan spesies berparuh ini. Musim memburu layaran akan bermula sekitar hujung September sehingga lewat November. Pada waktu ini, kebiasaannya Kuala Rompin akan diserbu oleh peminat sport fishing.
Memandangkan fly fishing layaran ini agak baru di Malaysia, tekong yang memahami kaedah ini juga amat sedikit. Hanya tiga pemilik bot dari Malaysia yang diketahui saya yang pernah membawa pemancing untuk fly fishing di Kuala Rompin.
Peralatan
Sekarang mari kita lihat apakah peralatan yang sesuai untuk melayang sang layaran.
Joran yang sesuai untuk layaran ialah 12 wt. Bawah dari 12 wt tidak digalakkan kerana ia akan melambatkan proses mendaratkan ikan, seterusnya menyebabkan kematian kepada ikan.
Saya biasanya menggunakan joran Loop Cross S1 Flatsman 12 wt Medium Fast. Joran layang ini amat ringan, tetapi liat dan kuat. Selain itu, Sage Salt dan TFO Bluewater juga merupakan pilihan terbaik.
Untuk kekili layang pula, disyorkan kekili layang air masin yang mempunyai sistem drag yang lancar dan berdiameter besar. Ini amat penting kerana ikan akan memecut dengan laju sekali dan pergi jauh dalam sekelip mata sahaja.
Diameter kekili layang yang besar pula memberi kelebihan semasa mengarau ikan, pemancing pun kurang letih. Bayangkan jika terpaksa menggulung tali sepanjang 300 meter dengan kekili berdiameter kecil, tentu memenatkan bukan? Kerja yang sepatutnya 40 minit akan menjadi 1 jam setengah!
Saya suka menggunakan kekili Loop Opti Megaloop yang dipadankan dengan tali layang Tarpon Short WF12F dan backing line Dacron 50 paun sepanjang 300 meter (300 meter backing line adakalanya tak cukup!).
Kekili seperti Tibor Gulfstream, Tibor Pacific, Loop Opti Megaloop dan Opti Big amat sesuai kerana mempunyai sistem drag yang lancar dan berdiameter besar. Selain floating line, tali layang jenis sinking tip line, intermediate line dan sinking line juga sesuai digunakan, bergantung kepada jenis umpan layang yang akan digunakan.
Untuk teasing layaran pula, joran terbaik adalah joran heavy suftcasting sepanjang 3.5 meter yang dipadankan dengan kekili menegak yang berisi tali sulam 60 paun dan perambut 100 paun (perambut juga perlu supaya tidak putus semasa dihentam paruh layaran).
Teaser yang saya gunakan ialah Softhead Moldcraft berbentuk sotong berwarna pink putih dan hijau putih.
Teknik Teasing
Bot perlu dipandu sekitar 5 ke 8 knot, dan teaser dilepaskan dalam jarak antara 20 ke 30 meter. Pemancing dalam posisi bersedia untuk melakukan layangan, di mana tali layang perlu dikeluarkan dalam 30 – 40 kaki terlebih dahulu dan kemudian ia disusun di dalam stripping basket sebagai permulaan.
Kemudian seorang atau dua orang lagi pemancing akan melakukan teasing. Hanya seorang pemancing sahaja akan membuat layangan dalam satu-satu masa.
Teaser itu perlu ditunda sehingga ikan layaran muncul untuk menghentamnya. Tanda-tanda ikan muncul ialah pada mulanya anda akan nampak bayang coklat gelap di belakang teaser tersebut, kemudian kita akan melihat layar ikan keluar dari permukaan dan paruh ikan akan cuba menghentam teaser itu.
Pada ketika ini, orang yang memegang teaser itu mestilah mengarau teaser secepat mungkin dan cuba elakkan daripada ikan membaham teaser tersebut. Apabila teaser sudah berada berdekatan bot, pemancing sudah mula melayang.
Dan apabila pemancing sebut “OUT!”, maka teaser perlu diangkat ke atas bot dan bot perlu berhenti. Dalam masa yang sama. umpan layang dijatuhkan di belakang ikan yang sedang mencari-cari teaser yang cuba dimakannya itu. Tentu apabila ia ternampak umpan layang, maka ia akan membahamnya.
Apabila ikan makan, luruskan joran dan sentap supaya mata kail tertancap pada mulut ikan. Ikan akan cuba membuang mata kail daripada paruhnya dengan menggeleng-gelengkan kepalanya di atas permukaan air. Setelah itu ia akan mula pecut.
Di sinilah keseronokan yang tak terhingga dapat dirasakan. Kekili menjerit panjang, tali 200 meter sekejap sahaja dimuntahkan daripada kekili, ikan melompat-lompat melakukan aksi akrobatik. Fish ON!
Kebiasaannya ikan dapat didaratkan dalam masa 30 minit ke 1 setengah jam bergantung kepada saiznya.
Selamat melayang layaran!