Baru Belajar @ Seri Bayu
Group Baru Belajar baru saja ditubuhkan Januari lalu oleh beberapa kaki pancing kolam air tawar dari beberapa negeri. WhatsApp merupakan medium kami untuk berbincang dan berkongsi tips dan perkara berkaitan memancing. Oleh kerana ada ahli yang masih belum mengenali, satu komplot dirancang untuk bersuai kenal dan mempraktikkan tips dan panduan yang selalu dibincangkan. Kami mengambil kata sepakat memilih Kolam Seri Bayu Tekala, Semenyih, Selangor sebagai lokasi komplot kali pertama…
Teks & Fotografi : TOREX ZUL
Siapa tak kenal Kolam Seri Bayu Tekala? Bukan pemancing tegar la kalau anda tidak mengenali kolam yang terletak di Semenyih, Selangor ini. Kolam ini sangat dikenali kerana setiap bulan akan menganjurkan pertandingan memancing. Hadiah yang tawarkan juga cukup lumayan.
Kami memilih kolam ini kerana teruja cerita rakan-rakan mengatakan kolam ini mengandungi spesies seperti patin, pacu, tongsan dan patin Chao Phraya yang bersaiz ‘gadang’ (besar). Saya sendiri boleh dikatakan setiap hujung minggu akan ke sini.
Pemandangan damai dan bersih membuatkan saya tidak jemu ke sini. Kemudahan asas seperti tandas, kantin dan surau juga disediakan. Ramai pengunjung membawa ahli keluarga untuk bersantai sambil memancing di sini. Dengan kadar RM 35 untuk 12 jam memancing, memang amat berbaloi!
Pemilihan Set Pancing
Oleh sebab saya sudah biasa ke sini, ikan yang biasa dinaikkan kebiasaannya antara 6 – 13 kg. Setelah berbincang, kami memilih set pancing yang berkekuatan sekurang-kurannya 10 – 30 paun berukuran 6.5 – 8 kaki panjang kerana kolam ini agak besar dan sesuai dengan joran yang panjang.
Manakala tali pula berkekuatan antara 25 – 35 paun (tali tangsi) digunakan sebagai senjata bagi menundukkan dan memberikan perlawanan yang lebih adil antara ikan dan pemancing. Teknik yang kami akan gunakan adalah pancingan dasar, jadi batu ladung juga diperlukan dengan saiz sesuai antara 1 – 1/2.
Ikan bersaiz 9 kg ke atas adalah ikan idaman bagi setiap pemancing di kolam ini kerana ikan tersebut akan diberikan sedikit sumbangan berupa ‘cash money’ dari pihak kolam. Selain ikan melebihi 9 kg, setiap spesies juga ada ‘tabung jackpot’ tersendiri mengikut berat-berat yang telah ditetapkan dan hadiahnya cukup lumayan.
Hari Yang Ditunggu-Tunggu
Setelah banyak perbincangan melalui Whatsapp, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu tiba juga. Setibanya di kolam Seri Bayu Tekala, hujan turun menyambut kedatangan kami walaupun tidak lebat. Setelah berkumpul kira-kira 15 orang dan memilih kedudukan sesuai, kami pun memulakan pancingan.
Hujan mula reda 30 minit selepas itu. Ikan kelihatan bermain-main di permukaan kolam menandakan ikan mula keluar mencari makanan. Tanpa menunggu lama, salah seorang dari kami mendapat strike pertama dan berjaya menaikkan patin 6 kg.
Setelah itu kami bergilir-gilir menaikkan ikan dan ada beberapa rakan berjaya menaikkan ikan bonus melebihi 9 kg. Begitulah keadaan kami petang itu sehinggalah ke malam. Seekor demi seekor ikan berjaya dinaikkan.
Komplot ini mencapai objektif yang ditetapkan. Di samping memancing, kami dapat mengenali antara satu sama lain, bertukar-tukar pandangan dan teknik memancing dan yang paling penting, komplot sebegini dapat mengeratkan lagi tali persahabatan.
Dengan membuat sedikit catatan, jumlah keseluruhan ikan berjaya dinaikkan hampir 70 ekor! Satu jumlah yang amat memuaskan! Ikan yang bersaiz 9 kg ke atas terdiri daripada 12 ekor dan layak menerima sumbangan cash money dari pihak kolam.
Setelah puas, kami semua menamatkan komplot jam 10 malam dan masing-masing pulang dengan senyuman puas.
UMPAN & RAMUAN PILIHAN
Umpan memainkan peranan penting. Terdapat kepelbagaian umpan yang digunakan kaki pancing di Seri Bayu ini. Kami memilih umpan pelet kerana ia selalu digunakan di sini, jadi sudah tentu umpan yang biasa digunakan akan lebih menarik perhatian ikan.
Selain umpan, ramuan juga penting. Terdapat pelbagai ramuan dan campuran yang digunakan untuk menghasilkan umpan pelet mengikut kreativiti pemancing itu sendiri. Melalui pemerhatian saya, setiap kolam mempunyai perisa atau ramuan taruhan yang tersendiri. Tetapi secara asasnya, pelet tersebut akan ditambah bahan perisa tertentu untuk dijadikan lebih sedap.
Untuk komplot ini, kami memilih untuk menggunakan perisa #MCKH Strawberi dan Pandan. Saya pernah gunakan perisa ini dan hasilnya tidak mengecewakan!