Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Battle Layang Bulan Kuala Gula

1. Gelap-gelap lagi pendaftaran telah dibuka, seterusnya sesi taklimat dari urusetia pertandingan. Belum pun ada matahari, peserta telah dilepaskan untuk memancing dan ini adalah pertandingan memancing paling awal dimulakan.

Pancing layang sudah sama seperti mengilat yang boleh kita jumpa di merata-rata tempat. Dengan percambahan kaki layang yang semakin ramai, pastinya komuniti ini mendambakan aktiviti yang biasa dibuat untuk teknik pancingan yang lain. Sebelum ini kebanyakan pertandingan mengilat sekitar Perak mengenepikan teknik pancingan layang daripada penyertaan. Ini membuatkan Kelab Pancing Layang Perak buat julung-julung kalinya menganjurkan pertandingan khas buat kaki layang di Perak mahupun dari luar…

Teks : NAZMI ANUAR

Fofografi : NAZMI ANUAR & AZMIE THE ROD BUILDER

Kuala Gula, Perak telah dipilih. Memang tepat pilihan ini kerana Kuala Gula merupakan salah satu hot spot mengilat bulan dan mempunyai banyak tali air di dalam kawasan ladang kelapa sawit yang sememangnya syurga bagi spesies bulan atau tarpon ini.

Pertandingan ini lebih kepada santai-santai dengan niat untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama pelayang yang ada di Perak. Kuala Gula pula merupakan spot bulan yang sangat biasa dikunjungi oleh geng-geng pelayang Perak kerana kawasan tali air yang lapang dan luas.

Penajaan dari KL Fly Fishing Shop, Tackle Box Adventures dan orang perseorangan seperti Azmie The Rod Builder, Wan Cina, Asrul dan sebagainya telah melengkapkan lagi pertandingan melayang bulan buat pertama kalinya ini.

3. Antara aksi strike para peserta. Memang venue yang sangat sesuai untuk pelayang kerana kawasan yang luas dan lapang.

Peraturan Layang

Pertandingan layang yang santai dan ringkas ini tidak seremeh pertandingan memancing yang lain. Syaratnya hanyalah cukup sekadar menggunakan pancing layang, tidak kira weight berapa sekali pun. Setiap peserta disertakan sebuah pita pengukur yang tertera nama setiap peserta untuk digunakan semasa pertandingan ini.

Peserta tidak perlu berjumpa marshal apabila berjaya menaikkan tangkapan, sebaliknya hanya perlu menangkap gambar hasil tangkapan bersama pita pengukur dan menghantar gambar tersebut ke dalam group Whatsapp. Ia sangat mudah dengan kemudahan sedia ada tanpa perlu ulang alik ke check point untuk mengukur ikan. Yang lebih penting, ikan dapat dilepaskan dengan cepat. Sistem yang dibuat ini adalah atas dasar kepercayaan dan kejujuran.

Pertempuran Sifu Layang

Selepas pendaftaran dan taklimat, seawal jam 7.30 pagi para peserta telah dilepaskan untuk memburu gelaran juara. Cuaca yang kerap hujan sebelum ini telah menyebabkan air sedikit keruh dan menjadi sejuk yang mempengaruhi keaktifan ikan.

Menjelang jam 9 pagi ketika hari semakin cerah, ikan bulan mula aktif dengan boiling dan sambaran terhadap umpan layang yang dihulurkan. Pada masa ini, group Whatsapp agak sibuk dengan gambar yang dihantar oleh peserta.

Kesemua peserta masih tidak berputus asa dalam mencari kejuaraan, biarpun cuaca semakin panas dan masa pertandingan sudah hampir tamat. Sangat sayang bagi seorang peserta yang berjaya menaikkan ikan bulan terbesar sewaktu masa pertandingan sudah tamat.

Tempat pertama dimenangi oleh Madjan dengan ikan bulan sepanjang 36 cm dan telah membawa pulang joran fibre glass custom dari Azmi Rod Builder Garage. Tempat kedua pula dimenangi oleh Wan DV dengan ikan bulan sepanjang 34 cm yang juga ikan pertama dinaikkan. Tempat ketiga dimenangi Alin dengan spesimen yang juga sepanjang 34 cm.

Oleh kerana tiada pemenang hadiah kategori khas bagi ikan siakap dan juga bandang (ladyfish), maka pihak penganjur telah memasukkan hadiah tersebut dalam kategori hadiah cabutan bertuah.

KELAB PANCING LAYANG PERAK

Di Perak ini sebenarnya telah lama dan ramai kaki pancing yang mahir menggunakan teknik pancing layang. Namun kebanyakan mereka bergerak secara solo serta tidak menyertai mana-mana kelab pancing layang mahupun aktiviti layang bersama rakan.

Boleh dikatakan Kelab Pancing Layang Perak adalah kelab pancing layang pertama sekali ditubuhkan dan didaftar secara rasmi di negeri Perak ini. Walaupun baru sahaja ditubuhkan, namun kelab ini sangat aktif dengan pelbagai aktiviti khas untuk peminat pancing layang.

Pujian harus diberikan kepada kelab ini yang buat julung kali menganjurkan pertandingan melayang ikan bulan khas buat kaki layang di Perak. Pada masa-masa akan datang, diharap kelab ini lebih giat dalam mempromosikan pancing layang dengan memperbanyakkan lagi aktiviti pancing layang.

AZMIE THE ROD BUILDER

Bengkel joran layang di belakang rumah Azmie.

Pada masa kini, telah banyak lahirnya pembuat batang joran yang beroperasi secara besar-besaran mahupun secara kecil-kecil serta bersendirian. Penaja hadiah utama pada pertandingan ini, saudara Azmie adalah salah seorang pembuat batang joran yang agak terkenal di kalangan pelayang negeri Perak ini.

Ironiknya tentang Azmie ini, beliau cuma membuat batang joran layang sahaja, baik dari jenis grafit mahupun fiberglass. Lebih mengagumkan lagi, Azmie juga mahir membuat joran layang buluh, bermula dari sepohon pokok buluh diraut sehingga menjadi sebatang joran yang cantik dan kuat.

Joran layang buatan tangan Azmie The Rod Builder, cukup halus dan berkualiti.

Kemahiran dan kesenian Azmie dapat diukur dengan kehalusan hasil pembuatan beliau pada joran buluh. Lebih mengagumkan, tidak semua pembuat joran mampu meraut sebatang buluh menjadi sebatang joran yang kuat, cantik dan lebih-lebih lagi aksinya yang bagus kerana teknik layangan amat memerlukan joran berkualiti untuk melayang umpan mereka.

Sikang, spesies yang menjadi idaman Azmie tetapi spesies ini tidak wujud di negeri Perak.

Lengkungan cantik joran layang buatan Azmie.

Berbekalkan bengkel kecil di tempat letak kereta rumah beliau, siapa sangka Azmie mampu menghasilkan sebatang joran yang bagus. Harap juga Azmie mampu mengeluarkan bukan sahaja joran layang, malah joran teknik pancingan lain bagi mengembangkan lagi kemahiran beliau.

*Azmie The Rod Builder boleh dihubungi di : 019-578 9600 atau Facebook : Azmi Hisham