Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Beli Jiwa @ Lombok

Selamat datang ke Lombok. Selain melancong bersama keluarga di pelbagai destinasi menarik di sini, anda juga boleh pergi jigging separuh hari, puas hati!

Selepas update trip Luconia dalam facebook hujung tahun lepas, admin Lombok Fishing Adventure bernama Yek Sahil telah ‘request friend’ dengan saya. Bermula dari situlah hubungan kami terjalin dan saya mula berminat merancang untuk menduga lautan Lombok di Indonesia pula, dan kali ini bersama keluarga!

Irsyad, penulis, Pak Asbi dan Bang Sahil.

Teks & Fotografi : MADROSHAM MUHAMAD

Melalui penerbangan Air Asia, saya yang turut membawa bersama seluruh ahli keluarga telah sampai ke Lombok dan disambut mesra oleh Yek Sahil yang juga dikenali dengan panggilan mesra ‘Abah’. Saya lebih selesa memanggilnya, Bang Sahil.

Selesai memunggah barangan ke dalam kereta, kami dibawa menjamu selera ke restoran terkenal dengan menu istimewa ‘ayam taliwang’. Berpeluh jugalah makan kerana sambalnya memang pedas kaw-kaw dan sedap bangat!

Pulau Seribu Masjid

Selesai makan, kami dihantar ke hotel di daerah Mataram. Malamnya saya telah mula membuat persiapan untuk memancing dengan teknik jigging keesokan hari. Seperti dijanjikan tepat jam 4.30 pagi, Bang Sahil datang menjemput saya dan anak bujang saya, Irsyad di hotel. Manakala isteri dan anak-anak yang lain ditinggalkan di hotel untuk kami memancing pagi dan balik petang.

Bang Sahil terus membawa kami berdua ke spot memancing di daerah Lombok Timur dikenali sebagai Gili Lawang dan Gili Sulat. Gili sebenarnya bermaksud ‘pulau’ dalam bahasa Lombok. Sepanjang perjalanan ke jeti, kami berbual panjang mengenai teknik pancingan di sini. Bang Sahil berkongsi ilmu mengenai teknik jigging, casting, popping mahupun bottom.

Double bonus! Kerapu sonoh dan ikan landok yang dikenali dengan nama ‘muncung babi’ membedal jig SFC yang sama!

Ada sesuatu menarik perhatian saya sepanjang perjalanan ke jeti kerana kebetulan telah masuk waktu solat subuh. Syahdu hati kerana alunan azan subuh bagai tiada henti dari pendengaran kerana terlalu banyak masjid sepanjang jalan.

Bayangkan dari mula hingga habis azan kami lalui, tidak kurang daripada 10 masjid di kiri kanan jalan dan kami berhenti untuk solat di masjid yang terakhir melaungkan azan. Pulau Lombok juga dikenali sebagai Pulau Seribu Masjid.

Outrigger Boat

Sampai di jeti saya disambut pula oleh awak-awak yang mesra dengan panggilan Pak Asbi. Saya rasa bertuah kerana trip kali ini saya naik bot yang baru. Kira trip rasmi bot la ni.

Bot yang kami naiki dipanggil ‘outrigger boat’. Bot ini agak unik kerana tidak pernah digunakan di negara kita. Panjang 28 kaki dan lebar 6 kaki, bot ini juga dipasang pengimbang seperti sayap di kiri kanan untuk mengimbangi bot jika berada di air yang bergelombang.

Memang stabil dan memudahkan si slow jigger kerana Bang Sahil dan Pak Asbi memang pakar mengendali agar memastikan tali sentiasa tegak berada di bawah bot, terutama jika melalui spot-spot karang. Memandangkan lubuk dekat-dekat sahaja, Bang Sahil hanya menggunakan enjin Yamaha 40 hp.

Saya ada berbincang dengan Bang Sahil tentang target fish saya. Tetapi ketika itu airnya jatuh air mati dan memang kurang arus. Walaupun begitu, saya tetap bersemangat kerana baru kali pertama ke sini. Menurut Bang Sahil, air yang baik ketika air ada arus.

Lubuk 100 Meter

Selesai memunggah barang ke dalam bot, kami mula bergerak dan saya pun mula memasang jig. Tak sampai 100 meter dari jeti tiba-tiba Pak Asbi memberhentikan bot atas arahan Bang Sahil. Saya terkejut dan bertanya adakah ada masalah dengan enjin bot.

Pandangan indah Gunung Rinjani dari bilik penginapan kami, Rudy’ Chalet di Sembalun.

Bang Sahil senyum dah terus turun-kan jignya ke dalam air, katanya “dah boleh mula jigging bang!”. Hah! Terkejut saya dan saya tanyakan apa target spesies di spot itu. Selamba dia menjawab di sinilah spot amberjack dengan kedalaman dah cecah 70 meter! Tepi pantai sahaja dah ada drop-off sedalam itu! Memang betul, kami berjaya menaikkan beberapa ekor amberjack saiz 3 – 4 kg.

Satu lagi spot lain betul-betul mengadap daratan yang berlatar-belakangkan Gunung Rinjani di daerah Sembalun. Indah dan tenang jiwa, sambil jigging menikmati pemandangan. Memang syahdu dan release tension.

Di spot ini kami ditemukan dengan kawanan ibu kerisi. Lenguh-lenguh tangan menariknya yang dalam skala 4 – 7 kg. Saya lebih kepada teknik slow jigging, manakala Bang Sahil dengan teknik fast jig, kuat kudratnya kerana dari mula dia jigging tanpa henti.

Tengahari saya disajikan masakan kampung dalam mangkuk tingkat yang disediakan oleh isteri Pak Asbi. Sedap bangat apabila ia turut dihidangkan bersama kopi Lombok. Selepas makan dan berehat seketika sambil berbual, kami mula jigging di jurang kedalaman 90 – 130 meter.

Dalam perjalanan ke jeti, Bang Sahil sempat singgah di kawasan ini. Menurut beliau, pokok ini berusia ribuan tahun. pokok tertua yang masih dijaga dengan baik oleh penduduk kampung.

Ketika ini saya rasakan rampasan yang luar biasa. Setelah berhempas pulas, spesies yu thresher berjaya dinaikkan dalam skala 9 kilo. Jig tersangkut pada ekornya, dan memang menjadi resmi thresher shark yang kebiasaannya melibas mangsa dengan ekor panjangnya itu sebelum mangsa yang cedera menjadi santapannya.

Selepas dilepaskan semula, kami kembali jigging di spot yang sama dan kali ini saya dikejutkan dengan double bonus dari jig SFC saya. Kerapu sonoh dan ikan landok yang dikenali dengan nama ‘muncung babi’ di sini membedal jig yang sama! Bersorak riang Bang Sahil dan Pak Asbi kerana jarang kedua-dua spesies ini memakan jig di sini.

Bersama pemandu pelancong kami – Annas, Oki dan pembantunya ketika berhenti menjamu selera di restoran ayam tilawang.

Sampah Hanyut Wahoo

Selepas arus mula menunjukkan pergerakan, Bang Sahil mengajak saya menukar teknik dari jigging ke casting. Beliau mengarahkan Pak Asbi memerhati jika ada kelihatan kayu yang terapung. Saya bertanya nak casting ikan pecah periuk ke sebab di tempat kita hanya pecah periuk (triple tail) yang mendominasi struktur sampah terapung sebegitu.

Rupa-rupanya di sini jika ada objek terapung terutama kayu, ia didominasi oleh spesies pelagik seperti wahoo,  belitong dan tuna sirip kuning. Sekali lagi saya terkejut dan bertambah teruja.

Nasib kami baik kerana terjumpa sebatang kayu besar yang terapung ketika perjalanan balik ke jeti. Kebetulan ketika itu jelas kelihatan dua buah bot nelayan seakan-akan sedang trolling tidak jauh dari kayu tersebut. Bang Sahil dalam diam rupanya dah menurunkan Rapala red head-nya.

Modus operandi thresher shark ialah melibas mangsa dengan ekor panjangnya. Sebab itu jig selalu tersangkut pada ekornya, dan ia terbukti setelah berlaku kepada saya sendiri.

Saya memang dah sedia dengan Jackson Pintail 40 g warna pink. Tanpa buang masa saya terus lontar tidak jauh dari kayu tersebut dan biar seketika gewang itu tenggelam. Dalam beberapa saat sahaja gewang saya dihenjut tanpa henti dan terus hilang putus!

Dari jauh kelihatan nelayan mengangkat sesuatu ke arah bot kami. Rupanya ketika itu segerombolan wahoo sedang berpusing-pusing sekitar kayu tersebut. Dipendekkan cerita, saya kehilangan tiga ketul Jackson Pintail dan dua jig ringan ketika cuba menjinakkan kumpulan wahoo tersebut… adoii!

Walaupun hampa kerana gagal mendaratkan wahoo, tetapi saya tetap gembira kerana berjaya mendaratkan spesies-spesies idaman yang lain. Kami sampai di jeti agak awal akibat keletihan sebab dari pagi hingga petang terlalu banyak strike.

Beli Jiwa Time!

Hari ketiga saya meluangkan masa bersama keluarga berjalan-jalan di sekeliling Pulau Lombok yang terkenal dengan keindahan pantai, hutan yang masih kekal dengan flora dan fauna, air terjun Tiu Kelep yang segar serta merasai kedinginan bukit-bukau sekitar Gunung Rinjani yang menjadi kegilaan pendaki seluruh dunia untuk menduganya.

Antara tempat menarik yang boleh dilawati bersama keluarga ialah Gili Terawangan, Gili Meno dan Gili Air iaitu pulau peranginan yang penuh dengan pelancong asing dari seluruh dunia.

Pantainya yang cantik bersih menjadi tumpuan para peluncur papan kerana ombaknya agak tinggi. Di pulau ini juga kita boleh nikmati dengan jelas matahari terbenam dan mengasyikkan.

Kerapu senang-senang diperdaya apabila jig dimainkan di dasar.

Tempat-tempat kunjungan lain yang memukau ialah Pantai Tanjung Aan, Pantai Seger,  Bukit Meresik, Pantai Pink kerana pasir pantainya berwarna pink, Air Terjun Mangku Sakti, Air Terjun Senaru, Kebun Strawbery di Sembalun dan Kg. Sasak yang merupakan perkampungan orang asal lombok.

Bungalow Berhantu antara tempat menyaksikan matahari terbit dan terbenam. Sembalun di daerah Gunung Rinjani turut ada menara tinjau yang dapat melihat keseluruhan bandar Sembalun dalam samar-samar kabus dingin.

Hari keempat, kami dibawa berbelanja membeli belah di sebelah pagi, sebelum pulang semula ke Malaysia pada sebelah petang. 4 hari 3 malam memang tak cukup untuk explore sambil memancing di Lombok. Saya telah merancang untuk kembali ke sana dengan cadangan memancing selama dua hari, di samping berjalan-jalan selama empat hari iaitu trip seminggu.

Jadi kepada yang berminat untuk bercuti sambil memancing dan bercuti bersama keluarga di Lombok, boleh hubungi atau whatsapp saya. Pakej memancing dan percutian yang amat menarik ada disediakan dengan harga pakej yang amat berpatutan, termasuk pakej percutian + jigging separuh hari. Jom beli jiwa di Lombok!

* Berminat memancing di Lombok bersama keluarga?
Hubungi Madrosham Muhamad : +6012-2552 435

Bertemu dengan kawanan ibu kerisi. Lenguh-lenguh tangan jugak menariknya.

LOMBOK

LOMBOK merupakan sebuah pulau yang terletak di timur Pulau Jawa, Indonesia yang apit oleh Pulau Bali dan Sumba. Ia membentuk sebahagian rantaian kepulauan Lesser Sunda, di mana Selat Lombok memisahkannya daripada Bali di barat dan Selat Alas memisahkannya dengan Sumbawa di timur.

Pulau hampir bulat ini berukuran rentas 70 km panjang dan berkeluasan 4,514 km persegi. Penduduknya seramai 3.35 juta orang. Bandar pusat terbesar di Lombok ialah Mataram. Saiz pulau ini menyamai Bali dan berkongsi beberapa warisan budaya. Lombok turut menjadi tumpuan pelancong dunia kerana keindahan semulajadinya, dihiasi banyak pulau kecil yang cantik dikenali ‘Gili’ mengelilinginya.

Saya dan Bang Sahil bersama outrigger boat-nya. Di belakang ialah kawasan rumah Pak Asbi.