Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Bengkok Badan @ Bangkok

Amin dan Ajis bersama trofi masing-masing. Ikan terus didaratkan dengan bantuan pekerja kolam dan urusan bergambar dibuat secepat mungkin untuk ikan dilepaskan kembali.

Bangkok, Thailand sudah cukup terkenal sebagai syurga pelancongan dunia. Siang hari kesibukan warga kotanya mencari nafkah dengan traffic jam yang berlipat ganda berbanding KL, manakala malam hari ia terus bernafas sebagai pusat hiburan terkenal di mata dunia. Bangkok tidak pernah tidur. Macam-macam ada… termasuklah hiburan untuk pemancing dengan henjutan patin Mekong dan siakap gadang di kolam yang mampu membengkokkan badan anda bertarung dengannya…

Teks & Fotografi : HANUMEI IKE

Meletup-letup sambaran siakap di kolam pancing Boon Mar.

Keenakan masakan Thai tidak boleh dinafikan, kita akan merasai ketulenan perbandingan masakan Thailand yang sebenarnya di Bangkok. Soal makanan usah dirisaukan kerana ada banyak kedai muslim yang diusahakan oleh orang Melayu Thai. Soal membeli belah pula agak perit sedikit ketika ini dek kejatuhan nilai ringgit, tetapi dengan apa yang terpampang di depan mata sudah hilang perasaan lingkup, janji selamat sampai balik ke Malaysia sudah cukup… borong selagi boleh borong!

Namun dalam dunia memancing, Thailand tetap sebaris dengan negara maju yang menyediakan perkhidmatan dan lubuk memancing, malah boleh dikatakan lebih ke hadapan berbanding negara kita dalam teknologi perikanan, perkhidmatan, kesedaran masyarakat dalam menjaga alam sekitar malah mampu mengangkat dan menjual kepada dunia akan produk yang diusahakan.

Di mana lagi kita boleh memancing pari gergasi mahupun patin Mekong gergasi kalau bukan di sini, sehinggakan pemancing seluruh dunia bertandang hanya untuk menikmati tarikannya. Begitu juga dengan kolam pancing menyediakan yang terbaik untuk pelawat dengan guide profesional.

Terbang  Ke Sana

Melawati kota Bangkok merupakan acara tahunan bagi beberapa ahli PMC (Pasir Mas Caster) bagi melayan aksi kolam. Dua jam penerbangan dari KLIA ke Don Mueang, seterusnya mengambil teksi ke hotel untuk berehat terlebih dahulu sebelum memancing keesokan harinya.

John BKKGuy, warga Singapura yang sudah lama menetap di Thailand untuk bekerjaya sebagai pemandu pancing profesional.

Trip 4 hari 3 malam ini menyaksikan penggempuran dua buah kolam untuk kami bertarung, kolam air masin untuk merasai siakap mega dan kolam patin Mekong Bungsamran yang terbaru. Kami turut mendapatkan guide tersohor yang berasal dari Singapura yang kini menetap di Bangkok iaitu John atau lebih dikenali BKKGuy untuk pancingan kolam air masin.

Selain berehat di hotel pada hari pertama, masa diluangkan berjalan-jalan di kotaraya Bangkok dengan membeli belah dahulu. Maklumlah dah bawa isteri sebagai projek beli jiwa dengan bertandang beberapa mall dan uptown pada sebelah malam. Sebelum melelapkan mata, terfikir akan kemeriahan industri memancing di Thailand.

Walaupun dalam hutan batu sebegini, seorang guide mampu mengaut pendapatan lumayan dan taraf perkhidmatan bertaraf dunia. Penduduk menghormati sungai dan penghuninya, serta komitmen kerajaan Thailand yang sentiasa berkompromi untuk mengangkatnya sebagai industri eko-pelancongan dengan nilai jutaan dolar setiap tahun. Bayangkan bayaran yang dikenakan John untuk 8 jam bersama kami ialah kira-kira RM 700, ia sesuatu perkara biasa di sini.

Mainkan karauan perlahan dengan sentapan pendek dan berhenti beberapa saat berulang kali, sekejap sahaja gewang anda akan disedut rakus!

Kolam Boon Mar

Tepat jam 7 pagi, kami dijemput John di lobi hotel sebelum bersarap di tengah perjalanan menuju ke kolam siakap Boon Mar. Ia merupakan ladang ternakan siakap terbesar di utara Bangkok dengan jarak 80 km iaitu satu jam perjalanan dari hotel kami yang terletak dalam daerah Bangpakong di wilayah Chachoengsao.

Hampir 50 kolam dalam ladang ini, belum lagi dikira kolam milik orang kampung sepanjang perjalanan. Walaupun begitu, hanya tiga kolam dibuka pada sesuatu masa untuk pemancing, di mana kami akan sentiasa diiringi pekerja kolam ternakan untuk membantu, menaikkan dan melepaskan kembali siakap dengan selamat.

Setiap kolam berkeluasan 50 m x 80 m, dan tidak perlu dirisaukan struktur yang menyebabkan ikan lolos mahupun tali terbelit. Hanya kincir air yang mungkin jadi penghalang, itu pun atas teknikal pemancing yang gagal mengawal asakan siakap gadang dalam kolam ini.

Hanya gewang dibenarkan. Umpan hidup ditegah sama sekali. Penggunaan mata tiga mahupun mata tunggal dibenarkan dengan bersyarat duri pandan dibuang atau diketip rapat (barbless). Gewang 7 cm adalah saiz minimum kerana kolam ini didiami siakap bersaiz 7 kg ke atas. Konsep tangkap dan lepas menjadi syarat utama dengan bayaran kira-kira RM 300 luntuk satu kepala selama enam jam bagi merasai layanan ganas siakap di sini.

Geng Spinning

Patah dua gewang Syafiq dibantai siakap gadang.

Pada hari pertama ketibaan lagi kami sudah tergelak apabila malam, joran dibuka untuk menyiapkan set serta ikatan tetapi tiada satu pun set baitcaster kelihatan. Apabila bersuara, jawapan kali ini adalah nak merasai layanan dengan set kekili mendatar pula… huh macam dah berpakat walhal tidak dibincang pula masa merancang trip dahulu!

Kekili bersaiz 2500 – 4000 yang diisi tali sulam 30 paun dengan perambut 50 – 80 paun digunakan dengan joran 10 – 25 paun bagi mendaratkan ikan secepat mungkin. Ini untuk mengelak ikan keletihan dan segera dilepaskan dengan selamat.

Walau bagaimanapun kami agak terkilan dengan sikap pekerja kolam pada awalnya yang langsung tidak memahami permintaan kami untuk bergambar dengan tangkapan bersama gewang masih tertacak di mulut ikan. Sebaik ikan didaratkan, pekerja terus mencabut gewang dan melepaskan terus ikan tanpa dipegang langsung oleh kami. Apabila kami memberitahu John akan hasrat kami, barulah pekerja kolam faham dan terus meminta maaf kepada kami.

Boleh tahan amukan siakap di pagi hari, namun apabila matahari meninggi, siakap mula kurang membaham gewang kami. Keseronokan menahan asakan siakap gadang ini tidak mampu diceritakan dengan puluhan ekor berjaya didaratkan dalam tempoh lima jam memancing. Kami menamatkan pancingan walaupun ada lagi sejam waktu memancing kerana sudah tidak tertahan dibakar matahari dan terus dihantar ke hotel oleh John.

Ini gaya posing yang kami inginkan, gewang masih melekat pada mulut siakap.

Mercu tanda kolam pancing Bungsamran yang baru di Sala Daeng, daerah Bang Nam Priao.

Bungsamran Terbaru

Pancingan siakap boleh dikatakan sebagai aksi pemanas badan dan hari ini adalah penentuan kudrat untuk menahan asakan patin Mekong Bungsamran pula. Kolam ini baru dibuka seawal Mac lalu setelah kolam lama ditutup dan berada jauh dari lokasi lama. Kolam terbaru ini lebih menarik dan memukau kami. Sebaik melangkah masuk, terpampang ukiran kayu berbentuk ikan yang menghiasi sekitar kolam.

Walaupun begitu, agak terkilan juga kerana kolam terbaru ini tiada lagi kedai pancing seperti kolam dahulu milik Sevenseas Proshop. Tetapi pihak pengurusan kolam masih lagi menyediakan khidmat menyewa set joran buat pengunjung.

Kadar bayaran kolam sebanyak 200 Bath untuk satu joran selama 12 jam memancing, tidak termasuk bayaran umpan. Kami hanya menyewa 2 joran untuk empat pemancing. Sebelum memancing, kami difahamkan pihak pengurusan telah melepaskan pari Mekong gergasi sebagai tarikan terbaru selain kewujudan sedia ada ikan patin Mekong, kap siam dan beberapa spesies dari Amazon seperti arapaima dan ikan keli ekor merah.

Ukiran replika berbentuk ikan digantung pada laluan tepian kolam Bungsamran.

Kami turut mengambil seorang guide yang memang telah disediakan oleh pihak kolam, namun ia terpulang kepada pemancing sama ada mahu menggunakan khidmat guide atau tidak. Kebanyakan pemancing tempatan tidak menggunakan khidmat mereka, tetapi bagi pemancing dari luar negara disarankan mengambil khidmat guide. Guide akan memilih beberapa jenis bahan seperti dedak, roti dan beberapa jenis perisa yang kita sendiri pun tidak tahu kerana semuanya tertulis dalam bahasa siam.

Kepercayaan diberikan kepada guide seratus peratus kerana mereka lebih pakar dalam bancuhan umpan, menyediakan ikatan dan larasan set pancingan malahan balingan juga dibuat oleh mereka. Kalau diserahkan kepada kita untuk membuat balingan, belum tentu terbang umpan mahupun tepat pada sasaran. Maklumlah umpan sahaja sudah sebesar botol kicap! Perghh… dah macam tuan besar kita mancing kat sini… santai dan rehat. Tunggu sahaja joran yang telah disentap akan diserahkan kepada kita untuk menyelesaikan pertarungan.

Amin awal-awal lagi berjaya menaikkan ikan kap Siam (katla) yang hitam dan tebal badannya.

Tuan Besar

Kekili Shimano Twin Power 6000 yang dimuatkan tali 50 paun dengan joran 30 – 60 pUN sebagai senjata. Setelah lilitan spring disalut tebal oleh bancuhan dedak dan roti, ia dengan kami hanya memerhatikan sahaja apa yang dibuat guide sambil melayan minuman air gas dan mengunyah makanan ringan di tempat duduk yang begitu selesa malahan kalau nak baring sekali pun di atas pakir lantai kami tergamak kerana ia bersih. Lantai sentiasa dijaga setiap kali ikan didaratkan, di mana ia terus dicuci untuk membuang lendir ikan yang melekat pada lantai.

Tempoh 12 jam menghabiskan masa di kolam agak lama pada kebiasaannya di negara kita, tetapi untuk bergasak dengan patin Mekong ini, masa itupun tidak mencukupi. Sabar menanti tarikan mega berinsuran perambut 100 paun setelah joran dibaringkan di atas lantai dengan bail arm kekili dibuka untuk memberi laluan tali keluar kerana patin Mekong juga dikatakan sensitif sekiranya merasai tegangan pada tali.

Tali 50 paun, perambut 100 paun, naik juga monster ini.

Getuan halus terlebih dahulu dibuat penghuni gergasi Bungsamran dan tali tanpa sekatan akan keluar setelah umpan dibawa lari, barulah joran diangkat dan bail arm ditutup serta sentapan dibuat. Guide akan merasai dahulu tekanan dan larasan kekili dibuat setara dengan kekuatan ikan sebelum menyerahkan kepada kami untuk merasai pertarungan.

Guide menasihatkan agar pam sahaja tanpa dilayan, takut terbelit tali pemancing lain. Kami menghargai sebagai tanda hormat pemancing bersebelahan yang sanggup mengarau kekili memberi ruang untuk rakan mendaratkan ikan. Joran melentur mengikut tekanan kekili bersama kegagahan kudrat mangsa di hujung tali memberi perlawanan yang sengit. Memang memerah peluh jantan! Kempis perut menahan asakan dengan diapit kiri dan kanan oleh rakan yang bersedia membantu, andai pancit di tengah perlawanan.

Lima belas minit berlalu barulah mangsa dapat ditarik ke tepian. Setelah patin Mekong ini dapat disauk, nafas disedut dalam-dalam menahan penat. Giliran pertarungan diteruskan sehingga tanpa sedar 12 jam berlalu dan kami menambah lagi masa memancing untuk melangsai ketagihan asakan patin Mekong di bumi kelahirannya.

Pelajari Dari Tempat Orang

Seandainya ada kemampuan dan kelapangan, ada baiknya sesekali kita bertandang ataupun cuba memancing di luar negara kerana kita pemancing sebenarnya adalah pengembara tanpa sedar atau tidak. Banyak yang boleh kita pelajari sebagai penambah pengetahuan dan memperbaiki diri untuk terus ke depan, dan tidaklah hanya bergelar jaguh kampung.

Dalam dunia hanyir ini, Thailand boleh dikatakan jauh ke depan dengan contoh yang paling nyata di depan mata apabila rawatan luka ikan terus diberi setelah mata kail dicabut dan ikan dilayan selembutnya semasa didaratkan. Dikhabarkan juga pihak pengurusan kolam Bungsamran akan membenarkan teknik mengilat gewang dalam masa terdekat. Ini satu peluang yang bakal kami kunjungi pada masa hadapan.

Kalau ke Bungsamran, baik anda dapatkan fishing guide yang akan membancuh umpan, setting set pancing dan baling umpan. Kita hanya rileks tunggu ikan makan barulah tugas kita bermula.

Ikon mereka ini terus dijaga, ikon ini terus dipuja masyarakat di sana… sehingga menjadi tanda tanya apa ikan ikon negara kita? Kalau dikatakan toman, di mana lahirnya jump frog? Jikalau sebarau… mampukah menyaingi keindahan tasik Chew Lan di Suratthani?

Agak-agak berapa puluh kilo patin Mekong ini?

Mat saleh suka datang ke Thailand bukan setakat hiburan dan melancong, malah ingin mencipta rekod memancing ikan terbesar di kolam Bungsamran.