Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Bondong Tenggiri Teluk Siam

Selalu kedengaran tangkapan pecah tong… 5 pemancing tewaskan 80 ekor tenggiri, 60 – 50 ekor malah 30 ekor dianggap biasa apabila bertembung bondongan ini. Seronok… Bukan sekadar seisi rumah dapat merasa, malah keluarga mertua pun tumpang menikmati sebagai saham menyayangi menantu kaki pancing, walaupun isteri mula menarik muncung apabila dikatakan, “esok abang nak turun laut lagi, ikan tengah banyak ni…” Tu dia bila bersuami kaki pancing tegar. Nak tak nak, relakan ajer…

Pelantar Bulan diserang tenggiri…

Teks & Fotografi : HANUMEI IKE

Tahun ini boleh dikatakan tenggiri kurang di perairan Kelantan. Bondongan tenggiri selalunya melewati unjam dalam tempoh penghijrahannya di Teluk Siam sebanyak dua kali setahun iaitu seawal Mac dan September. Mungkinkah ini disebabkan oleh kekurangan unjam yang menjadi mangsa rakus pukat tunda asing? Siapa lagi sanggup letakkan unjam dengan kos ribuan ringgit pada siang hari, tapi keesokannya lesap dan buluh turut hanyut seperti sampah terbuang?

Apabila arus laju, tenggiri gemar mengendap di bahagian dasar dan ini memberi kelebihan kepada jigging perlahan.

Apabila Bondong Sudah Mari…

Tenggiri unjam selalunya menjadi penanda aras akan kemasukan bondongan tenggiri di perairan ini. Khabar dari nelayan cepat tersebar, maklumlah nilainya tinggi di pasaran. Memang saya akui senario ini semakin teruk. Saya pernah naiki bot fiber hampir 2 jam ke satu tempat yang penuh dengan unjam, malangnya sampai-sampai… tiada satu pun unjam kelihatan.

Dari satu tapak ke satu tapak unjam berpandukan koordinat GPS yang sudah ditanda, tiada apa yang tertinggal. Malah kami dikelilingi bot-bot pukat tunda ganding (pukat tunda dua bot yang dilarang). Masa, minyak bot terbuang malah milo ais yang dibungkus untuk tengahari, seawal pagi lagi disedut habis memikirkan hala tuju ke mana kami.

Selalunya tenggiri unjam yang mendominasi bersaiz skala 2 – 4 kg. Saiz sebegini kuat melenjan jig dengan rakus malah terbang ke udara dalam melepaskan diri. Saiz sebegini jugalah yang membuat pemancing huru-hara di atas bot, sampai 3 – 4 strike serentak! Kekuatannya tidak dinafikan lagi, berdesut meliar ke kiri kanan dibawanya tali kekadang terbelit sesama sendiri, malah dilawannya sampai akhir gancu.

Apabila arus laju mengurang, tukarlah kepada jigging ringan kerana tenggiri mula galak berlegar di pertengahan air.

Apabila berbicara tentang keenakan isi, tenggiri saiz sebeginilah paling best dengan memiliki isi yang lembut dan bertulang rapuh. Persoalannya kenapa jarang saiz mega berada di unjam sekitar perairan Kelantan dan selalunya saiz bagak begini hanya menghuni karang, kapal karam mahupun tukun yang berabad usianya dan jarang sekali diperolehi dalam kuantiti puluhan ekor?

Ke Pelantar Bulan Kami…

Kali ini, kami ingin menduga tenggiri yang jauh ratusan kilometer dari pantai di celahan struktur besi pelantar minyak dan juga kapal karam. Pelantar Bulan yang gah berdiri turut dilewati tenggiri kerana struktur ini sentiasa diterangi cahaya lampu yang mengundang pelbagai spesies mangsaan seperti kembong, selayang dan lain-lain. Apabila ada mangsa, akan hadir pula pemangsa.

Tetapi perlu dingatkan tenggiri hanya galak memburu apabila arus laju. Berbadan panjang dengan ekor ‘V’, ia bagaikan torpedo membelah kelajuan arus mengejar mangsa. Satu lagi rahsia yang berjaya dicungkil dari tekong berpengalaman ialah apabila arus laju, tenggiri gemar mengendap di bahagian dasar. Ini memberi kelebihan dalam teknik jigging perlahan.

Saiz jig yang berat amat membantu untuk mencecah dasar dengan cepat dan tidak hanyut terlampau jauh dibawa arus laju. Jig semestinya mempunyai warna perak berkilat mahupun berpelekat hologram. Saya sendiri pernah berguru dengan sifu Pak Wong dalam teknik jigging perlahan, di mana beliau sendiri amat menyukai teknik ini dalam memburu tenggiri.

Pemain jigging ringan perlu berada di buritan bot bagi mengelakkan kes terbelit tali sesama sendiri akibat hanyutan jig ke belakang bot.

Jig yang jatuh perlahan secara mendatar menghasilkan kilatan biasan akibat pantulan cahaya dari permukaan akan menarik pemangsa melihat gerakan jig yang jatuh seperti anak ikan yang sakit. Kebiasaannya jig akan dibaham pada masa jatuhan ini. Penggunaan kevlar berdawai digalakkan sebagai teras penyelamat daripada putus.

Dalam teknik jigging perlahan, mata tunggal berkembar yang digunakan pada bahagian atas dan bawah sering membantu ketika strike. Ia turut menyumbang tacakan pada badan mangsa, ini yang selalu membuatkan mangsa tiada lagi peluang meloloskan diri.

Pemancing perlu sensitif dalam masa labuhan jig, sentiasa melihat dan merasai tali yang terkeluar dari gelendong itu. Andainya tali meluncur laju daripada kebiasaan, itu menandakan jig kita telahpun dilarikan mangsa. Kita perlu cepat memusing pengayuh kekili agar berhenti keluarkan tali beserta sedikit sentapan bagi mengemaskan lagi tacakan mata kail ke badan mangsa.

Biarkan ia lari buat seketika dan pastikan tali sentiasa tegang. Seandainya tali mula kelihatan kendur, karauan pantas perlu dilakukan kerana mungkin mangsa sedang membuat ‘u-turn’. Pada masa inilah selalunya mangsa berjaya memotong perambut apabila tali kendur.

Pakailah Kaca Mata

Saya suka tekankan sedikit aspek keselamatan buat pemancing. Pemakaian kaca mata polarized amat digalakkan. Tenggiri, satu spesies bijak dalam melucutkan mata kail sama ada dipotong perambut semasa perlawanan (ini kurang mendatangkan bahaya kepada pemancing), dan seandainya ia tidak berjaya memotong perambut, kepala mangsa kelihatan tergeleng-geleng di permukaan air berusaha melucutkan mata kail.

Tali yang tegang mempunyai momentum lantunan yang kuat, seandainya mata kail terlucut itu meluru ke arah pemancing. Ini yang mendatangkan kemudaratan kepada kita, begitu juga kepada kawan yang menggancu ikan.

Sebaiknya kita tidak terlalu gopoh dalam mendaratkan ikan. Perhatikan dahulu keadaan jig dan tacakan mata kail pada mangsa sebelum digancu. Kaca mata polarized amat membantu dalam situasi sebegini untuk memerhatikan semua tadi, dan kawan yang membantu sebaiknya turut memakai kaca mata ini bukan sekadar untuk kelihatan jelas di permukaan, tetapi juga sebagai perlindungan aset yang amat berharga buat manusia iaitu mata kita. Malah turut menambah kekacakan kita sebagai pemancing.

Sekadar Berkongsi

Apa yang diceritakan hanya pengalaman saya untuk dikongsi bersama. Dalam teknik pancingan moden yang kian berkembang, seharusnya kita turut bersama mempelajarinya agar tidak ketinggalan. Namun sebagai pemancing berdedikasi, janganlah perkecilkan teknik konvensional ataupun tradisional. Malah bagi saya, tiada ruginya mempelajari kesemua ilmu ini. Bahkan apabila digabungkan, ia menjadi sesuatu yang unik… percayalah.

Saya berani bertanya berapa ramai pembaca di sini yang pernah melihat teknik menunda tenggiri dengan daun mengkuang? Saya pernah mempelajarinya, ia sesuatu yang unik dan berseni. Masakan tidak dengan jarum dan benang digunakan untuk menjahit dan tangan yang menulis ini pernah merasai rakusan bahaman ganas beberapa ekor tenggiri daripada umpan tersebut.

Sayang seribu kali sayang, ilmu orang-orang lama kian di telan zaman dan apa yang saya ketahui di kampung arwah nenek, masih ada seorang sahaja lagi yang boleh menurunkan ilmu ini. Itu pun umurnya sudah di penghujung usia.

Begitu juga ikatan tali dan sambungan, semuanya dipelajari dari nelayan. Janganlah dengan hanya menguasai teknik moden hari ini kita sudah gah mendabik dada dan layak dipanggil sifu,  sedangkan pada hakikatnya ia hanyalah umpama satu apungan buih di lautan biru…

FORMASI ‘RINGAN VS PERLAHAN’ 

Senses Spymission 125SWR 50 g berkelebihan dalam karauan sederhana mahupun laju untuk memikat tenggiri.

Apabila arus laju mengurang, permainan jigging ringan perlu dimainkan kerana tenggiri mula galak di pertengahan air. Jig seberat 60 – 40 g mula mengambil alih, dengan padanan joran PE 1 – 3, kekili bersaiz 3000 dan tali utama berdiameter halus dengan ikatan perambut 20 paun sepanjang 6 depa sudah memadai. Kekili mendatar (spinning) digalakkan kerana memberi kelebihan dalam karauan laju dan juga unjunan joran. Jenis jig juga disarankan sedikit panjang.

Di atas bot pula formasi pemancing turut berubah. Pemain jigging perlahan perlu berada di bahagian hadapan bot, manakala pemain jigging ringan seharusnya berada di buritan bot. Ini untuk mengelak kes terbelit sesama sendiri.

Jig perlahan yang berat hanya dilabuhkan terus ke bawah bot. Sekiranya hanyut, tidaklah terlalu jauh ke belakang bot, berbanding jig ringan yang adakalanya dibawa arus jauh ke belakang dan labuhannya sekadar separuh air bagi permainan tenggiri. Lagipun jig ringan mampu dibaling jauh.

Warna asas bagi jig ringan tetap berteraskan warna perak berkilat, walaupun bercampur warna lain seperti merah, hijau mahupun kuning. Walaupun begitu, ada harinya jig berbentuk tertentu dengan warna tertentu menjadi pilihan tenggiri. Fenomena ini sukar dirungkai sehinggakan jig tahyul dan benda khurafat mula muncul dan disebut-sebut, digilai dan dicari pemancing. Dan permainan harga barang tersebut mulalah di luar akal tetapi tetap juga dibayar pemancing.

Pak Long memasang perambut dawai sejengkal di muncung gewang kerana dah tak tahan banyak SM yang kena cukai.

SINKING MINNOW – BALING, REHAT, KARAU

Inilah teknik menjadi kegemaran saya sejak kebelakangan ini. Kurang guna tenaga kerana kita tidak perlu unjun joran, tetapi hanya baling sinking minnow (SM), rehat (lepas tali) dan karau. Boleh dimainkan pada arus laju atau perlahan dengan menukar berat dan saiz SM kerana jorannya yang agak kuat mampu menampung bebanan berat SM mahupun momentum lontaran.

Joran perlu memiliki panjang sekurang-kurangnya 7’6” dengan kekuatan minimum PE 3 dengan padanan kekili mendatar bersaiz 5000 – 6000 yang diisi tali 40 paun dan perambut 30 – 50 paun sepanjang 3 meter.

Sama seperti jigging ringan, labuhan SM hanya tertumpu di separuh air bagi menduga tenggiri. Pada kedalaman hampir 70 meter, agak lama juga menunggu jatuhan SM ke separuh kedalaman air selepas membuat balingan. Itu yang saya maksudkan rehat buat seketika dengan hanya perhatikan tali terkeluar dari kekili sebelum ‘bail arm’ ditutup dan karauan dibuat.

Saya gemar gunakan Senses Spymission 125SWR 50 g yang boleh dikarau sederhana dan juga laju dengan memiliki dua aksi berbeza. Ini menyenangkan kita melakukan aksi tertentu dalam satu karauan. Sekiranya dikarau laju dan andainya berlaku strike, usah lakukan sentapan kuat kerana khuatir ia akan mengoyakkan lagi titik tacakan mata kail dan menjadi lebih luas koyakannya, lantas memudahkan mata kail terlucut.

Syok mengilat SM. Kurang guna tenaga, hanya baling SM, rehat (lepas tali) dan karau.

Sebaliknya sekira dalam kelajuan sederhana, cukup sekali mahupun dua kali sentapan sudah memadai. Namun begitu, peranan ketajaman mata kail juga perlu dititik-beratkan bagi membantu kita dalam menewaskan ikan idaman pemancing ini.