Bongkar Sarang ‘FW BB’ Tawau
Walaupun kita tahu bahawa ikan terhandal di dunia iaitu black bass atau dikenali ‘tembaring’ / ‘kanai’ di Sabah adalah spesies pembuli muara yang mampu menguasai sungai pergunungan, tetapi belum pernah ada artikel yang dapat membuktikannya, melainkan kisah-kisah black bass air tawar di negara jiran sahaja. Bolehkah fresh water black bass atau singkatan ‘FW BB’ ini dibuktikan wujud di Sabah? Penulis bersama pengilat tegar Semporna – Tawau melakukan beberapa kali eksplorasi berani untuk mencari jawapannya…
Teks : RAMO BRAVO
Fotografi : RAMO BRAVO & IWAN EXCAVATO
Tembaring atau kanai (black bass) daripada keluarga Lutjanus seperti siakap merah dan jenahak bukan lagi asing bagi setiap pemancing tanah air kita. Malah spesies ini terus menjadi kegilaan kaki pengilat. Sabah sahaja satu-satunya destinasi buruan spesies pembuli muara ini bagi kaki pengilat tanah air kita.
Kami pun tidak ingin lepaskan peluang. Namun, kali ini agak berbeza. Kami ingin meneroka dan tekad untuk memburu black bass air tawar (diringkaskan ‘FW BB’ atau fresh water black bass) seperti yang pernah diartikelkan dalam Majalah SIRIP oleh abg. Halimi Hanip empat tahun yang lepas di Berau, Kalimantan. Ini boleh dikira satu lesen baru, selain black bass air masin di muara yang sudah pernah didaratkan sebelum ini.
Mencari Bukti
Trip ringkas diatur oleh saya, Iwan, Junior, Yung, Pan, Zulhusni dan Papay untuk menduga sebatang sungai yang menjadi sempadan Semporna, Tawau dan Kunak. Banyak sumber cerita bahawa banyak black bass yang mendiami kawasan air tawar sungai ini hasil daripada memancing dasar dan ada juga landbased casting.
Wow! Ini menarik dan mesti dicuba, tetapi kami memilih untuk mudik ke hulu menggunakan bot berbanding landbased, supaya kami dapat mengakses kawasan hulu sungai secara optimum. Semangat kami terus membara setelah ‘diracun’ oleh rakan saya Fauzy yang telah mendaratkan beberapa ekor black bass air tawar di sana dan beliau telah dibuli sehingga patah jorannya!
Jarang Jernih
Sebelum mengatur trip ringkas ini, sumber maklumat berkaitan tahap kekeruhan dan kejernihan sungai itu diambil kira kerana keadaan sungai ini amat jarang jernih!
Setelah mendapat maklumat bahawa keadaan air di sungai ini sudah jernih, kami mengatur dua buah bot untuk trip keesokan harinya. Namun nasib kami agak malang kerana hujan lebat di bahagian hulu pada malam sebelumnya mengubah keadaan sungai menjadi keruh dan berarus deras.
Tetapi kami tetap meneruskan hajat mudik ke hulu bagi melihat keadaan sungai dan lubuk-lubuk yang berpotensi untuk diduga pada trip seterusnya. Ternyata banyak reba kayu dan kawasan berbatu yang mungkin menjadi sarang FW BB ini.
Beberapa cubaan ke depan pintu sarang tiada sambutan dan gewang hanyut terlampau deras mengikut arus. Kami tetap berpuas hati kerana akhirnya kami dapat mudik ke hulu sejauh mungkin untuk melihat spot-spot berpotensi sebagai gambaran untuk trip seterusnya.
Hari demi hari kami mengira detik menunggu waktu sesuai untuk ‘repeat’ trip menjengah black bass yang menghuni kawasan air tawar ini. Alhamdulillah kami tidak perlu menunggu lama kerana hanya selepas beberapa hari hujan tidak turun dan keadaan air sungai menunjukkan tanda positif.
Kami mengatur trip seterusnya yang disertai saya, Iwan, Junior, Fauzy dan Mit Mit. Seperti biasa kami ‘topper’ bot aluminium Linder milik Iwan dan sebiji fiber untuk kegunaan kami berlima. Masing-masing menunjukkan wajah yang teruja dan seperti tidak sabar untuk mendapat ‘lesen’ FW BB buat pertama kali.
Bulu Kera
Selesai mempersiapkan bot dan set pancing, kami terus memecut menghulu ke kawasan air tawar. Jarak kami mudik ke hulu daripada jeti yang masih berair masin ialah sejauh 16 km, yang hanya memakan masa lebih kurang 30 minit. Senang hati kami melihat keadaan air sungai yang tidak terlalu keruh dan tidak terlalu jernih.
Keadaan air yang kami istilahkan air ‘bulu kera’ ini adalah air kegemaran kami untuk menjerat spesies-spesies sungai air tawar kerana ikan kurang culas. Satu lagi petanda positif yang membuatkan kami tersenyum lebar.
Kami perlu lalui sebuah jambatan simen yang menjadi laluan untuk lori mengangkut sawit daripada ladang ke kilang di seberang sungai. Terdapat banyak batu besar di bawah jambatan simen itu. Ia memaksa kami turun mengharung air dan menolak bot melepasi batu-batu untuk mengelakkan kerosakan kipas enjin sangkut. Di jambatan simen ini juga terdapat pam loji untuk bekalan air tawar ke daerah Semporna.
Melepasi jambatan simen ini, kami mula melontar gewang ke arah spot-spot yang berpotensi mempunyai penghuni ganas. Tidak sampai 15 minit, gewang saya disambar. Hasil pertarungan tersebut, saya berjaya mendaratkan seekor kanai seberat 1.5 kg. Selepas itu, kami bergerak ke hulu kerana kawasan sebelah sana mempunyai struktur batu yang baik untuk menjadi sarang kanai.
Apabila tiba suatu spot yang menarik, gewang saya disentap lagi dan saya berjaya menundukkan sang pembuli tersebut bersaiz 1.2 kg. Keyakinan kami semakin tinggi apabila laluan untuk pergi ke hulu sangat berpotensi. Hampir 90% kawasan sungai mempunyai struktur batu dan merupakan kawasan zon serang hendap FW BB.
Reba + Batu Jeram
Saya dan kawan telah melihat sebuah reba mengancam yang dikeliling struktur batu sungai. Kami semakin ghairah dan berlumba-lumba membaling gewang, dan akhirnya gewang Ofmer X-Deep saya yang dicat semula hasil seni tangan Alunaza Works dengan corak dan warna ‘Pink Amazon’ disambar dahulu.
Saya berlawan dengan FW BB itu menggunakan set terbaru Hearty Rise Dark Soul dipadankan dengan Shimano Calcutta Conquest 101 yang diisi tali 50 paun. Akhirnya, kemenangan berpihak kepada saya dengan berjaya mendaratkan FW BB saiz yang cukup besar, seberat 4.5 kg.
Ternyata tentangan padu diberikan oleh FW BB berskala begini memerlukan joran yang baik untuk mengimbangi dan mengawal lariannya ke kawasan berisiko untuk meloloskan diri seperti reba kayu dan struktur berbatu.
MJ Air Tawar
Kami meningkatkan usaha untuk mencari strike lebih padu dan ganas. Dalam perjalanan ke hulu, kami berhenti apabila melihat terdapat struktur batu di dalam sungai, yang berpotensi dihuni oleh sang pembuli.
Tidak lama kemudian, gewang Junior disentap yang membibitkan senyuman positif kerana ia merupakan perlawanan pertama dalam trip ini. Junior berjaya mengatasi kekuatan sang pembuli, tetapi apabila Junior menarik FW BB tersebut ke tepi bot, ia kuat meronta-ronta lantas terlucut! Jelas kekecewaan pada wajah Junior apabila lesen pertama FW BB lebih kurang 2 kg berjaya meloloskan diri di depan mata.
Terdapat kawasan cetek berbatu dan kawasan air yang dalam berselang seli sehingga memerlukan kami turun ke air paras lutut mengheret bot. Kawasan yang lebih dalam didapati kebanyakannya di kawasan berselekoh yang mencecah sehingga 20 kaki. Kami mengagak lubuk yang dalam di kawasan selekoh antara kawasan FW BB menghendap anak ikan yang hanyut daripada kawasan air deras yang lebih cetek.
Ternyata sangkaan kami benar apabila Junior sekali lagi direntap dengan hebat sehingga beliau hampir terjatuh daripada bot. Akhirnya ikan itu berjaya melepaskan diri selepas berjaya mengangkangkan mata tiga 4X. Sekali lagi Junior terpaksa berputih mata.
Suasana memancing di hulu sungai ini amat mendamaikan dan teduh oleh pokok-pokok ara yang besar hingga menutupi hampir keseluruhan sungai itu. Tidak terasa apabila separuh hari kami mengilat dek kerana kurang panas.
Dalam kesungguhan mengilat sambil melihat keindahan alam ciptaan-Nya, sekali lagi gewang saya disambut seekor ikan yang kurang memberi tentangan, mungkin kerana saiznya kecil tetapi ia seekor siakap merah air tawar. Pelik, spesies ini sangat jarang dijumpai di kawasan air tawar. Walaupun saiznya hanya sebesar tapak tangan, tetapi ini mungkin sekali seumur hidup sahaja saya dapat mengilat ikan ini di kawasan air tawar.
Cari Lagi Besar!
Tidak lama kemudian jeritan sorakan daripada bot yang dinaiki oleh Mit Mit dan Fauzy menandakan mereka mendapat strike. Saya dengan pantas meluru ke arah mereka dan didapati seekor FW BB berskala 4.2 kg berjaya dijinakkan oleh Mit Mit.
Mit-Mit menggunakan kekili Shimano Curado 201HG yang dipadankan dengan joran Eupro Channa Killer PE 1 – 3. Gewang pula Kyoto 75f berwarna kuning oren yang terang. Warna gewang yang terang lebih efektif ketika ini kerana air tidak terlalu jernih.
Selang beberapa minit kemudian, kelihatan dari jauh Fauzy sedang bertarung seekor ikan. Ternyata seekor kanai air tawar berskala 4.6 kg telah berjaya ditumpaskan dengan set kekili Okuma Komodo 364LX yang digandingkan dengan joran Expert Graphite Carbon Cube C4 10 – 20 paun.
Menjelang tengahari, kami kurang mendapat strike. Kami beranggapan cuaca yang panas menyebabkan FW BB kurang aktif dan memilih untuk bersembunyi di kawasan reba kayu dan batu. Lalu kami rehat makan tengahari sementara menunggu cuaca lebih redup. Selepas makan, kami meneruskan penjelajahan lagi semakin jauh ke hulu sungai.
Tumbangnya Monster!
Setelah menjelajah jauh ke hulu, kurang pula sambutan daripada sebarang pemangsa. Oleh itu, kami berpatah balik ke spot pagi tadi.
Apabila saya melihat sebuah struktur batu sungai yang sangat berpotensi, kami berhenti untuk menggempurnya. Hasil pujukan dan balingan berterusan, gewang saya disentap ganas oleh FW BB besar. Pertarungan bermula, ikan itu tidak mahu mengalah dengan pecutan pantas membawa gewang saya ke dalam batu.
Namun pengalaman dan kebijaksaan tekong bot iaitu Iwan Excavator, kami berjaya mengawal keadaan. FW BB berjaya ditarik keluar dari rumahnya ke kawasan lebih terbuka. Hasil gandingan mantap ini, saya berjaya mendaratkan seekor FW BB bagak dengan skala 6.9 kg!
Ini merupakan rekod FW BB terbesar di sungai ini yang pernah didaratkan dengan kaedah mengilat. Saiz begini cukup kuat membuli dan mengagalkan para kaki pengilat jika menggunakan set yang tidak cukup ampuh.
Kami memilih untuk bergambar kenangan di kawasan air cetek sebelum dilepaskan kembali ke habitat asalnya, demi menjaga populasi spesies rare ini agar tidak mengalami kepupusan. Setelah itu kami mengambil keputusan untuk terus kembali ke pangkalan kerana hari semakin menjelang senja.
Kecoh & Repeat!
Esoknya, berita gembira mengenai kejayaan kami mengilat FW BB telah membuatkan kawan saya yang berwarganegara Thailand iaitu Surin dan Ramate teruja untuk menyertai kami. Seorang lagi kawan saya berbangsa Cina turut menyertai ekpedisi ini iaitu Hau.
Seperti biasa kami mula membuat lontaran apabila melepasi jambatan simen. Saya mengarahkan rakan-rakan agar mereka membaling gewang dengan lebih kerap walaupun di kawasan terbuka supaya dapat mengoptimumkan perimeter kawasan balingan untuk menduga FW BB ini.
Hasilnya, Hau telah mendapat strike daripada spesimen berskala 2 kg yang dibaling di kawasan terbuka. Kami berpendapat bahawa FW BB ini mendiami di struktur kayu lama yang tenggelam di dasar yang tidak dapat dilihat di permukaan air. Hau menjerit kepuasan kerana impiannya mengilat FW BB telah tercapai.
Keadaan air pada hari kedua sedikit jernih berbanding semalam. Ini mungkin menjadi faktor kurang strike diterima. Mungkin ikan sedikit culas apabila air lebih jernih menyebabkan kurang berminat untuk menjengah gewang yang dibaling. Tetapi kami terus berusaha dengan pelbagai cara mengarau gewang untuk memujuk sang kanai.
Trolling Dalam Sungai
Saya yang membawa bot memilih untuk trolling, sementara Hau dan Junior terus mengoptimumkan balingan ke segenap pelosok sungai. Tiba-tiba gewang saya disentap di kawasan berbatu yang menghadiahkan saya seekor lagi kanai air tawar juvenil. Nampaknya menunda juga dapat menggoda FW BB. Di kawasan air tidak seberapa dalam, memaksa saya memendekkan tali yang dilepaskan sehingga masih kelihatan perambut di permukaan air.
Selepas itu, saya terus menggunakan modus operandi menunda gewang, sementara Hau dan Junior terus membaling gewang ke kawasan berpotensi. Tidak lama kemudian, sekali lagi gewang yang ditunda menarik minat FW BB mengekahnya. Ini membuatkan saya lebih yakin dengan kaedah menunda jika ingin menduga tempat yang baru untuk memaksimumkan kawasan yang dicuba.
Trip hari ke-2 ini agak hambar, mungkin kerana perubahan tahap air yang lebih jernih berbanding semalam. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk mencuba di kawasan sebelum jambatan simen. Tidak lama kemudian, Hau mendapat strike kedua apabila membaling gewang ke kawasan tebing yang berteluk. Sekali lagi senyuman terukir pada wajah Hau apabila berjaya mendarat FW BB buat kali kedua.
Dengan sisa masa yang masih tinggal, kami turut menduga kanai di kawasan air payau dan membuahkan hasil buat Hau untuk kanai ketiga dalam penjelajahan ini. Kanai ini berjaya dijerat di kawasan kayu balak yang digunakan untuk menahan tebing sungai daripada terhakis. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kanai berjaya didaratkan ialah sebanyak 5 ekor pada hari kedua ekspedisi.
Semua kanai atau FW BB yang berjaya didaratkan telah selamat dilepaskan kembali ke habitat asal. Harapan kami agar populasi FW BB Tawau ini tidak mengalami kepupusan akibat sifat tamak daripada tangan-tangan pemancing yang rakus.