Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Cabaran Melampau Belinda Bintik

Kesabaran merupakan syarat terpenting apabila ingin menjerat belida bintik dengan gewang.
Tumbuhan akuatik yang subur menandakan kesihatan kualiti air dan juga ikan yang hidup di dalamnya.

Biarpun kebanyakan caster kurang berminat dengan belida bintik, namun ianya tetap dianggap sejenis ikan sasaran yang comel lagi unik. Apabila toman lombong semakin pintar dan sukar dijerat dengan gewang lantaran tekanan memancing yang berlanjutan, caster-caster mula bertukar kepada belida bintik yang banyak terdapat di kolam-kolam lombong!

Teks & Fotografi: Pak Wong

Apabila kedengaran khabar geng belida bintik bermaharajalela di sebuah lombong terbiar di kawasan Puchong, saya yang tinggal di negeri Selangor pun teringin untuk menjeratnya. Kebetulan sahabat saya Kelvin selaku pengurus pasaran Sea Tackle mempunyai kereta pacuan empat roda dan bot kecil Ryobi yang diperlukan untuk menduga lombong tersebut. Dalam masa tersingkat terlaksanalah sebuah operasi komplot belida.

Tasik berair hitam yang tersembunyi di celah kondo-kondo ini kelihatan asli dan mempesonakan. Perairan tebingnya dilitupi tumbuhan akuatik berbunga kuning bagaikan permaidani bersaiz gergasi. Memandangkan hampir segala pelusuk tasik ini ditutup rumpair, bot hanya dapat diturunkan di kawasan terhad sahaja. Sebahagian besar tebingnya masih dilitupi hutan paya yang agak tebal justeru memerlukan kereta pacuan empat roda untuk sampai ke tempat yang sesuai untuk menurunkan bot.

Lokasi tasik ini biarpun agak sukar dijumpai namun agak ramai juga pemancing yang datang memancing di sini. Sehingga ikan di tasik ini telah menjadi pintar dan amat mencabar kesabaran dan kebijaksanaan pemancing.

SIKAP BELIDA BINTIK

Kehadiran belida bintik di sesebuah kolam lombong dapat diperhatikan melalui kemunculannya di permuakan air. Apabila cuaca panas dan airnya tenang, belida akan kerap timbul ke permukaan. Jika diperhatikan dari jarak yang lebih dekat, akan kelihatan satu atau dua biji buih yang agak besar muncul di permukaan air apabila mereka tenggelam kembali ke dasar tasik. Pergerakannya agak berbeza dengan toman.

Pada hakikatnya spesies pra sejarah ini dapat bernafas melalui hirupan udara seperti spesies-spesies Snakehead. Mereka akan timbul ke permukaan untuk bertukar nafas seperti toman. Namun mereka tidak akan timbul sepanjang masa dan akan menghilangkan diri dari permukaan dalam jangka masa yang panjang pada masa-masa tertentu.

Lombong yang tersembunyi di bandar Puchong ini mempamirkan eko sistem yang mengagumkan.
Kecil tetapi kuat!

Menurut kajian sains, belida bintik mempunyai pundi udara yang unik dalam badannya. Pundi udara sesetengah spesies belida pula akan berlanjutan sehingga ke siripnya! Biarpun saluran darah di pundi udaranya tidak banyak, namun mereka tetap mempunyai kebolehan untuk bernafas melalui hirupan oksigen.


Syed Ali, pemandu pancing Air Kuning juga pening kepala dengan sikap belida bintik yang sukar difahami.
Belida bintik 4 kg Air Kuning yang membaham SP jenis VIB.

Berapa lamakah belida dapat bertahan setiap kali mengambil udara di permukaan? Soalan ini tiada jawapan muktamad. Namun memandangkan kekerapan ketimbulannya, mungkin mereka timbul bukan semata-mata untuk bertukar nafas. Terdapat banyak spesies ikan yang gemar mengempas badannya di permukaan air dengan tujuan untuk membuang parasit yang melekat di atas badannya atau semata-mata untuk menghilangkan gatal. Apakah badan belida bintik juga banyak parasit?

Di Kawasan Dengkil, Selangor juga terdapat banyak lombong yang mudah dicapai dan sesuai untuk menurunkan bot kecil.
Belida bintik yang aktif menjelang waktu pagi akhirnya kecundang dengan Crankbait Ofmer Kelvin.

DUA KAEDAH POPULAR

Terdapat dua kaedah memancing belida bintik iaitu melempar atau tundaan gewang. Teknik casting paling sesuai digunakan apabila mereka kerap naik ke permukaan. Kaedahnya menyerupai teknik casting toman melalui penglihatan iaitu melempar gewang ke lokasi ia timbul. Gewang yang sesuai untuk teknik ini termasuk crankbait, VIB dan SP jenis tenggelam.

Ikan idaman akhirnya berjaya dipujuk setelah hampir dua jam melempar gewang.

Teknik tundaan gewang pula sesuai dipraktikkan ketika belida bersemayam di dasar apabila tasik berombak. Tundaan boleh dibuat secara membabi buta atau di kawasan belida bintik biasa bermain. Spesies ini menyukai kawasan tasik yang lebih dalam dan agak jauh dari tebing tidak kira tebingnya berumpair atau tidak. Gewang replika ikan yang mampu menyelam 2 hingga  4 meter sesuai untuk aplikasi ini.

Saiz kolam di Puchong ini boleh dikira besar. Belida bintik yang suka hidup berkumpulan didapati muncul di setiap pelusuk termasuk perairan di tengah-tengah lombong yang berair agak cetek. Teknik casting agak sukar untuk meliputi kawasan yang amat luas ini. Justeru teknik menunda gewang adalah lebih memadai.

Setelah satu kali missed, saya berjaya menaikkan seekor belida bintik dengan gewang selaman 3 meter dalam trip pertama saya. Kerakusan belida membaham gewang amat mengagumkan biarpun tarikannya jauh lebih lembut berbanding toman.

Beberapa ketika kemudian saya berjaya mendapat satu lagi sambaran namun tidak terkena pancing. Sehingga lewat petang sang belida bintik tetap enggan menyambut gewang saya. Sama seperti ikan-ikan sasaran yang lain, belida kolam Puchong ini amat berwaspada terhadap gewang yang dihulurkan. Lebih-lebih lagi apabila Catch & release dipraktikkan.

IKAN YANG MENGGERAMKAN

Selepas itu kami mencuba lagi di lombong-lombong berdekatan Air Kuning, Perak dan hanya berjaya menaikkan seekor belida bintik sahaja dalam masa dua hari menerusi teknik casting. Seperti trip Puchong, belida yang mendiami tasik besar ini enggan buka mulut setelah tangkapan pertama dilepaskan semula ke dalam tasik.

Tidak berapa lama kemudian kami berjaya menjumpai gerembolan belida bintik yang bersifat aktif di sebuah lombong berdekatan Dengkil melalui maklumat yang diperolehi dari seorang pembaca dan berjaya menaikkan dua ekor spesimen bersaiz kecil. Seperti kes-kes yang lalu, sambaran terus berhenti setelah ikan dikembalikan ke kampung halamannya!

Belida bintik sememangnya spesies pemangsa yang paling sukar dijerat. Biarpun sentiasa timbul dengan kerapnya di permukaan air, namun mereka seakan buta dan tidak mempedulikan semua jenis gewang yang dihulurkan samada casting atau trolling sehingga pemancing veteran pun terasa geram dibuatnya!