Casting Benong Tanjung PO
Kurau merupakan antara ikan yang paling jarang dijerat dengan teknik jigging mahupun casting. Perkara yang dianggap mustahil ini sebenarnya boleh dilakukan jika kita mengetahui waktu terbaik dan apakah gewang yang paling sesuai untuk menjerat spesies yang menghuni perairan persisiran pantai ini!
Teks & Fotografi: ACHMAD ANDY IBNU PONI
Cuaca cerah sehari sebelum trip menyebabkan saya semakin tidak sabar untuk ke laut. Sudah lama juga tidak merasa sentapan ikan kerana sibuk menyiapkan perabot sendiri di rumah. Trip ini telah diatur seminggu lebih awal. Akhirnya tibalah hari yang dinanti iaitu 27 Jun 2019. Saya , Yasin dan Arol selaku tekong dengan penuh semangat bergerak dari jeti Kampung Tabuan Tengah pada jam 7 pagi menuju ke Tanjung Po yang tersohor di kalangan pemancing Kuching.
Hanya anak ikan merah tanda sahaja yang dinaikkan menggunakan gewang jenis soft vibe Zerek Fish Trap di Tanjung Po. Lebih kurang sejam di sana dan tiada lagi sambaran, terus kami bergerak ke spot yang dinamakan Tembok yang menjadi target utama kami memancing hari ini. Spot Tembok sebelum ini ialah lokasi Yasin dan Arol berpesta ikan jamah(selar) menggunakan set Sabiki(dipanggil Seven Eyes di Sarawak). Tenggiri serta pekalang(talang) pula kecundang dengan menggunakan sinking lure.
Apabila sampai ke spot kelihatan air tengah pasang dan ikan jamah serta tamban rancak bermain di permukaan air seakan dikejar pemangsa. Baling saja Sabiki terus disambar jamah dan tamban. Bila air perlahan saya cuba bermain sinking lure untuk mencari siapakah pemangsa yang mengejar anak-anak ikan itu.
LUBUK GRADE A
Sekian lama membaling akhirnya ada juga sambaran namun rabut. Saya seterusnya mencuba jig mikro 20 gram dengan assist hook DIY sendiri berjaya memperolehi seekor tenggiri. Selepas itu ada juga beberapa kali tarikan ikan tapi rabut. Periksa tali assist hook ada kesan potong. Sah angkara spesies bergigi tajam samada tenggiri atau alu-alu.
Tidak berapa lama kemudian jig saya disambar ikan dengan kuat dan terus dibawa ke dalam batu. Lama juga menanti ikan tersebut keluar namun tali putus bila ia tiba-tiba memecut. Setelah diperiksa didapati tali utama sudah berbulu teruk. Apa boleh buat belum rezeki. Air tidak bergerak ikan juga jadi pasif. Jig saya langsung tidak disambar ikan. Sementara Yasin dan Arol yang menggunakan seven eyes juga tiada sambaran dari ikan jamah mahupun tamban kerana arus yang perlahan.
Kami pindah balik ke spot Tanjung Po untuk menduga spesies idaman caster iaitu MJ, siakap putih, GT, senangin, kurau dan bermacam lagi ikan Gred A. Spot itu adalah spot nelayan menurunkan pukat. “Meranto benong” kata orang Sarawak. Benong spesies Threadfin atau lebih dikenali sebagai kurau adalah ikan yang menjadi sasaran nelayan kerana boleh dijual dengan harga tinggi di pasaran.
Tiba ke spot Tanjung Po, Arol berjaya menaikkan Benong 4.5 kg menggunakan Zman Moto Oil. Yasin juga tidak ketinggalan dengan menaikkan dua ekor Merah.
GETUAN LEMBUT MONSTER
Saya yang tengah asyik menghenjut gewang SP di dasar dikejutkan dengan getuan seperti ikan kecil pada mulanya. Banyak ikan besar khasnya kurau akan menjamah umpan dengan lembut justeru saya pun tegangkan tali. Belum sempat saya menyentap joran, rupanya ikan yang dahulu melakukan larian padu ke dasar menyebabkan joran bengkok ke bawah dan hujungnya hampir mencecah air. Dalam firasat saya memang angkara benong a.k.a kurau besar yang menyambar gewang sebab cara getuannya seperti ikan kecil. Cara benong melarikan gewang biasanya menuju ke dasar secara ke kiri dan ke kanan. Lagipun kawasan itu memang kawasan benong mencari makan dan juga lokasi nelayan memasang pukat.
Tarikan itu hanyalah sementara kerana rabut di tengah jalan. Rasa kecewa namun saya tidak mengalah dan berusaha lagi. Selepas itu kami bertiga sambung lagi mencari getuan ikan dengan gewang masing-masing secara menghanyutkan bot. Kali ini giliran SP Yasin pula disambar ikan dan sekejap sahaja berjaya menaikkan benong 5 kg.
Selang 15 minit membuat persembahan berdekatan dasar, giliran gewang Arol pula disambar ikan. Kelihatan beliau dibuli pemangsa di hujung talinya yang maha berkuasa. Lebih kurang 10 minit akhirnya benong 14.6 kg berjaya didaratkan. Kami bersorak gembira sambil menyebut Alhamdulillah. Rezeki tak disangka-sangka!
Selesai bergambar dengan ikan kami mulakan lagi casting secara berhanyut. Sekali lagi gewang saya disambar ikan dan telah diketahui memang ikan benong juga yang menyambar kerana getuan sama seperi ikan pertama saya yang rabut. Reel Abu Garcia Revo 4 Winch saya menjerit dan joran menunduk ke bumi. Dalam hati saya tak habis-habis mengucapkan syukur kerana diberi satu lagi tarikan tetapi apakan daya ada pepatah mengatakan ‘langit tak selalunya cerah’ dan rabut lagi sekali. Periksa matakail tunggal Mustad tidak pula ternganga. Kemungkinan mata kail tidak tertancap sepenuhnya kerana mulut ikan benong memang keras.
3 KALI KENA BULI
Sambung lagi aktiviti menghenjut gewang soft vibe sambil berhanyut dan sekali lagi gewang Arol ditarik kuat pemangsa dasar. Reel Daiwa baru Arol menjerit dan lawan punya lawan akhirnya naiklah seekor lagi benong 11.5 kg. Semakin banyaklah senyum kami bertiga terutamanya Arol!
Selesai bergambar terus sambung balik acara menghenjut SP. Kali ini saya menggunakan model 30g pula supaya lebih mudah mengesan samada gewang menyentuh dasar. Baru beberapa kali menghenjut terus disambar pemangsa tapi apakan daya tali akhirnya putus ditarik gergasi! Kecewa lagi macam tidak percaya 3 kali telah dibuli.
Sebenarnya saya belum ada pengalaman yang mencukupi dalam menundukkan spesies Kurau yang saiznya besar-besar. Masih dalam proses pembelajaran. Biar putus tali jangan putus asa. Kali ini kembali menggunakan gewang 23g dan belum lama menghenjut lalu gewang seperti dipatuk ikan kecil dan saya biarkan sekejap sebelum menyentap. Kudratnya tidaklah sekuat perlawanan yang rabut dan putus tadi cuma kali ini saya lawan ikan dengan lebih berhati-hati dan drag dibiarkan kendur sedikit. Tenaga ikan tidak kuat sangat, sekejap sahaja naik ke permukaan dan Alhamdulillah naik juga spesies benong seberat 5 kg!
Syukur Alhamdulillah dengan muka yang bercahaya (konon) dan degupan jantung yang disukat menggunakan skala Ritcher mencecah bacaan 8.1 , haha! Sampai kaki bergegar namun akhirnya naik juga lesen yang diidamkan. Macam tidak percaya kami terjumpa lokasi ikan ini pada hari itu. Sungguh bertuah rasanya. Rezeki yang tak disangka-sangka!