Cengkaman Kuku Tanjung
“Kalau dah kena getah kuku, alamat memang gian nak ngail kuku ajelah…” begitulah ketagihnya mengail ikan kuku yang sering diucapkan oleh pemburu tegarnya di pantai timur. Jom kita ketahui cara-cara mengail ikan ‘bream’ ini yang tampak simple tetapi ada teknikal tersendiri, khususnya keperluan penggunaan umpan killer untuk menjebaknya…
Teks : HALIMI HANIP
Fotografi : HALIMI HANIP & ZAINAL GNG
Dalam banyak artikel tentang memancing dan spesies ikan yang pernah saya tulis selama hampir dua dekad, saya baru terperasan yang saya belum pernah menulis tentang spesies ikan muara tempatan yang dikenali dengan nama ‘ikan kuku’ (Acanthopagrus sp.) ini. Alahai… macam mana boleh terlepas pandang dengan ikan yang menjadi sanjungan sebilangan pengail tegar di pantai timur Semenanjung, khususnya di Terengganu ini!
Bukanlah pandang sebelah mata sehingga melebihkan komuniti ikan muara yang lebih ‘seksi’ seperti siakap dan siakap merah, tetapi kerana saya tidak tahu cara memancing ikan kuku dan belum jumpa sifu yang dapat mengajarkan saya cara-cara mengailnya. Sehinggalah baru-baru ini ketika hampir bermulanya monsun sewaktu meronda-ronda di benteng Tanjung di Kuala Terengganu untuk mengilat, saya terserempak ramai pengail duduk berbaris menebing di atas batu itu mengail sesuatu.
Mengimbau Zaman Lalu
Saya pun duduk memerhati mereka di satu sudut teluk tenang itu, ralit menyaksikan mereka membaling umpan tepung berwarna kuning yang digentel-gentel sebesar hujung jari. Balingan tidak jauh mana pun, cuma beberapa kaki di depan supaya umpan jatuh di hujung batu-batuan benteng sambil joran dipegang. Apabila terasa hujung tali digetu, ia dibiarkan beberapa ketika sebelum sentapan dilakukan, sehingga terlekatlah ikan kuku yang dicari-cari mereka.
Memang seronok menonton pancingan dasar sebegini kerana ia mengingatkan asal-usul kebanyakan diri kita yang bermula sebagai pemancing picisan. Terkenang zaman memancing lampam dan tilapia di lombong dulu-dulu. Jantung berdegup kencang apa-bila tali mula dipatuk ikan dan kita pun ‘stand-by’ biar ikan terus leka memagut umpan, dan tepat masanya, rembat!
Haish… terasa rindu pulak zaman itu, maklumlah terlalu lama meninggalkannya dek kerana mabuk cinta dengan cik gewang! Salah seorang daripada geng mengkuku ini perasan saya orang luar yang mencelah untuk bertanya itu ini kepada mereka yang sedang ralit dan berborak sesama sendiri.
Umpan Gentel
Zainal yang mewakili group GNG (Geng Ngail Ganu) di situ memperkenalkan dirinya dan mula menerangkan kepada saya akan cara-cara memancing ikan ini yang agak simple tetapi ada teknikal tersendiri untuk tidak kumpau. Beliau pinjamkan mata kail dan batu ladung kecil untuk saya cuba, serta yang penting ialah umpan rahsianya.
Kesemua mereka menggunakan umpan yang sama iaitu sejenis tepung ulian yang berwarna kuning yang siap-siap disimpan dalam plastik. Tentu ada ramuan special mengapa umpan ini sahaja yang mereka semua gunakan. Saya akan terangkan resipinya di akhir artikel ini nanti.
Apa pun umpan itu sebenarnya campuran tepung, telur ayam, daging ayam dan pati minyak sawit yang diuli seperti mamak membuat roti canai. Bau ayam itulah yang dikatakan penarik utama untuk ikan kuku datang menjamahnya.
Saya teringat suatu ketika dahulu roti canai pernah menjadi umpan killer mengail kuku di pantai timur ini. Nampaknya konsep yang sama masih terpakai, tetapi ditambah perisa yang lebih melelehkan air liur sang kuku. Selain bau, warna kuning itu bagaikan ‘lampu’ yang menyerlahkan umpan gentel itu untuk lebih cepat ditemui sang kuku.
Tiada Musim
Orang kata mengail kuku ini ada musimnya khususnya ketika musim tengkujuh setiap penghujung dan awal tahun. Bagaimanapun menurut Zainal, ikan kuku boleh dipancing sepanjang tahun.
Cuma mengapa musim tengkujuh lebih ramai pemancing mencarinya adalah disebabkan faktor angin kencang yang menjana ombak besar mendorong ikan-ikan memasuki kawasan benteng kuala Sg. Terengganu yang tenang dan terlindung. Pemancing pantai yang tiada peluang memancing pantai akibat ombak ganas turut beralih mengail kuku bagi melepaskan gian. Maka macam pestalah pancingan kuku ketika ini.
Ketam ‘No Feeling’-lah!
Menurut Zainal lagi, kuku juga boleh dipancing dengan menggunakan umpan semulajadi seperti ketam angin (sejenis ketam yang suka membuat lubang di pantai), ketam rumput (biasanya ditemui di tepi sungai muara) dan ketam ragi yang bersaiz sebesar ibu jari. Penggunaan ketam cilik itu lebih efektif ketika air keruh.
Namun penggunaan umpan ketam itu dikatakan tiada ‘feel’ bagi geng mengkuku ini berbanding penggunaan umpan tepung kuning. Umpan tepung lebih syok digunakan kerana jantung akan ‘dup dap dup dap…’ sebaik sahaja ia mula dikutis. Dan kita mula memujuknya dengan menghulurkan joran supaya ia tidak ragu-ragu dan terus melahapnya. Sedangkan jika ketam digunakan, kuku akan terus menyambar tanpa kutisan dan getuan yang mendebarkan.
Walaupun begitu, penggunaan umpan tepung kuning ini selalu diganggu spesies pengacau seperti ikan sembilang, duri, patung dan belukang. Kadangkala ada juga spesies A yang turut sama menggetunya seperti siakap merah dan kerapu. Kelebihan umpan ketam pula ialah tiada pengacau kerana yang baham ialah ikan kuku, dan kadangkala spesies gred A seperti siakap, gerut-gerut, kerapu dan siakap merah.
Mata Kail & Perambut
Untuk mengail kuku, Zainal sarankan penggunaan mata kail no. 11 jenis Chinu yang diikat pada perambut fluorocarbon 10 – 15 paun. Tekniknya secara ladung bebas / hidup (free sinker) menggunakan batu ladung saiz 2.5.
Usah gunakan perambut yang terlalu panjang, memadai sekadar panjang sejengkal setengah (kira-kira 1 kaki). Jika terlalu panjang, perambut mudah putus apabila direntap kuku kerana ia berisiko terselit celah batu. Jika terlalu pendek, dikhuatiri kuku akan culas semasa menggetu, disebabkan terasa bebanan.
Hasil tunjuk-ajar saudara Zainal yang tidak lokek ilmu mengkuku ini, saya akhirnya berhasil juga mendapatkan lesen kuku. Itu pun setelah malam menjelang. Jadi la nak!
Makan Gewang Ke?
Ikan kuku merupakan ikan yang sangat popular di Australia. Ia dipanggil dengan nama ‘bream’. Tetapi di sana, mat saleh rajin memburunya dengan mengilat gewang-gewang replika ikan bersaiz mikro.
Ini bermakna ikan kuku berpotensi tinggi untuk dijerat dengan gewang. Cuma di negara kita amat jarang kedengaran ia membaham gewang. Jika ada pun, ia sekadar ikan bonus dan merupakan kes terpencil ketika pengilat itu ingin memburu spesies lain seperti kerapu dan siakap merah.
Kesimpulannya, belum ada mat caster kita yang setahu saya pandai mengilat kuku secara spesifik. Tetapi jika ada, saya amat teringin bersua dengannya untuk mempelajari teknik casting kuku. Jadi jika andalah caster kuku yang saya cari-cari itu, erm… bolehlah kita berkenal-kenalan ya bro!
UMPAN TEPUNG KUKU
Berikut adalah cara membuat umpan tepung ulian untuk mengail kuku yang diajarkan oleh saudara Zainal daripada Geng Ngail Ganu (GNG). Sila sediakan :
1) Tepung gandum
2) Telur ayam (2 – 3 biji)
3) Daging ayam (bahagian dada yang digoreng bersama pati minyak sawit atau direbus)
4) Pati minyak sawit yang belum diproses (tiga sudu)
Ramuan di atas digaul dan diuli sehingga sebati dan agak kenyal seperti chewing gum. Pati sawit itu jangan sampai lebih daripada tiga sudu kerana umpan akan mudah terlerai dalam air, dan jangan sesekali gunakan air semasa ulian.
Selepas siap diuli, umpan boleh digunakan terus atau masukkan dalam plastik lalu disimpan di dalam freezer (sejuk beku) sebagai bekal umpan untuk hari lain. Apabila mengail kuku, ambil sedikit untuk kegunaan sesi itu sahaja agar kualiti umpan yang telah siap dibuat itu kekal segar bagi sesi lain.