Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Cinta Mama Kuala Lumpur

Lombong Dory nama yang kami beri buat sebuah lombong besar di pinggir metropolitan Kuala Lumpur yang memiliki populasi toman bersaiz giant! Beruntunglah caster KL kerana tanpa perlu kembara jauh, sudah ada gelanggang memburu toman yang mampu menggigilkan badan!

Teks & Fot

Big lure, big fish! Jangan ingat gewang gedabak tak nak dihambat toman KL yang dianggap bersekolah tinggi ini!

ografi : JOHN ANGLER

“Nko bawak je semua crankbait dalam tackle box ko tu…” tulis Dani dalam Whatsapp. Termenung seketika. Sebenarnya saya tak pernah guna crankbait untuk buru toman, saya lebih gemar guna gewang permukaan.

Saya ada crankbait Rapala tetapi saiz 9 cm. Kata Dani, saiz itu terlalu besar. Dia sarankan saya beli crankbait 7 cm. “Big lure, big fish” seloroh saya, belasah jelah saiz 9 cm.

Saya bertemu Dani ni 6 tahun lalu di Johor Bahru. Setelah berpindah ke KL, dah lama kami tak memancing bersama. Tetapi kerapkali saya lihat Dani menabur racun di FB dengan gambar toman di lombong berhampiran rumahnya. Rentetan racunan gambar itulah saya tergoda untuk mencuba di lokasi itu.

Pagi-pagi buta saat orang lain enak dibuai mimpi, kami berdua pula sibuk menurunkan bot dari kereta ke Lombong Dory.

Hari Keramat

Dani menyuruh saya datang dan tidur di rumahnya. Sebelum itu, sempat saya meronda kedai pancing sekitar KL bagi menjamu mata dan merabakkan poket kerana Dani menyuruh saya menaik taraf mata kail lebih kuat dan besar. Kekuatan toman di lombong tersebut katanya mampu meluruskan mata kail dan split ring.

Hari yang ditunggu telahpun tiba, kami bergerak seawal 6 pagi kerana ingin mengelak kesesakan lalu lintas dan juga keadaan berangin di tengah lombong yang pastinya sukar untuk mengesan timbulan anak toman serta bujang.

Memori Lombong Dory

Lombong digelar ‘Dory’ di pinggir ibu kota KL ini pertama kali saya kunjungi pada 2010 dan terakhir, 2011. Pada masa itu saya hanya mengilat tebingan dengan pencilbait, dan toman ketika itu kebanyakannya bersaiz 1.5 – 2 kg.

Tiba di lokasi, satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan kerana telah kembali ke Lombong Dory setelah 7 tahun berlalu. Terkenang saya melihat kembali lokasi yang dulunya menjadi taman permainan untuk memburu toman.

Tidak banyak yang berubah, cuma satu taman perumahan telah dibina bersebelahan lombong. Satu  perkara yang menyukarkan kami ialah jarak jalan utama dengan parkir kereta agak jauh. Menapak kami mengerah kudrat mengangkat bot sehingga ke tebing. Tambahan lagi 2 biji bateri untuk thruster!

Setelah bot diturunkan, saya lihat ramai pemancing bottom di tebing untuk menduga tilapia dan patin. Tetapi yang paling menggusarkan saya ialah ‘Geng Sembat’ yang menggunakan mata tiga berpemberat untuk cuba menyangkutkan mata tiga itu pada ikan yang berada di laluan balingan mereka. Tentu toman juga tersangkut jika tersilap langkah.

Namun kerisauan saya bertukar lega apabila Dani menyatakan toman di sini lebih bijak dengan tidak berenang di kawasan yang selalu dikunjungi pemancing dan kawasan tebing yang mudah diakses. Toman lebih banyak bermain di kawasan tebing yang ditumbuhi belukar serta tengah lombong yang tak dapat dicapai jarak balingan dari tebing.

Berteduh di bawah pokok yang rendang di tepian lombong sambil dibuai angin memang nyaman!

Ingatkan toman rempit, rupanya haruan gedabak bersaiz 2 kg yang meletupkan buzzbait di tepi samai!

Permainan Topwater

Setelah bot kami turunkan, Dani menyarankan saya gunakan buzzbait bagi menggoda toman bujang serta rempit (gelaran toman kecil). Gewang harus dilontar selari pokok keladi bunting yang terapung di tepian lombong ataupun terus ke atasnya, dan dijatuhkan perlahan-lahan untuk tidak mengejutkan si toman yang mengendap ikan kecil yang bersembunyi di bawahnya.

Sambil itu mata kami meliar memerhatikan timbulan anak toman. Jika terjumpa ‘serbuk’, itu bonus. ‘Serbuk’ merujuk kepada kumpulan anak toman yang baru menetas. Oleh sebab saiznya terlalu halus seperti setompok serbuk, maka gelaran itu diberikan kepada anak toman ini.

Terjumpa serbuk juga berkemungkinan besar mama toman masih belum ditindik bibir oleh pengilat lain. Jadi peratusan untuk ia merembat gewang yang kami hulurkan akan lebih tinggi.

Lombong ini juga banyak didiami keli Afrika, kerapkali ia timbul bermain air membuatkan saya sukar bezakan sama ada keli atau toman yang timbul mengambil udara.

Serbuk

Dani berjaya mendapat sambaran toman rempit dengan buzzbait buatan Din Labatta, begitu juga saya. Buzzbait dan spinnerbait  buatan anak tempatan ini dicipta khas untuk toman. Kekuatan dawai dan mata kailnya memenuhi spesifikasi pancingan toman, lantaran beliau juga caster tegar toman.

Material gewang ini diimport sepenuhnya dari USA. Kali pertama saya melihat buzzbait Din Labatta, saya menyangkakan ia keluaran kilang jenama besar kerana kehalusan seni pembuatannya.

Thruster yang dipacu mengelilingi lombong akhirnya berjaya menemukan setompok serbuk di tengah lombong. Dani memberi peluang kepada saya untuk cuba memujuk mama toman tersebut. Budak gemuk (crankbait) 6 cm saya lontarkan.

Bujang yang disangkakan mama toman.

Lontaran demi lontaran masih gagal memujuk mama toman walaupun telah melihat ia timbul berhampiran kumpulan anaknya. Ketika gewang dikarau hampir sampai ke tepi bot, satu henjutan kuat mengejutkan saya yang ketika itu tidak menyangkakan ia akan menghentam gewang yang saya gunakan.

Setelah beberapa minit, kelibat ikan kelihatan dan warnanya agak pucat. “Papa dia kot?” teka saya pada Dani, sebab selalunya mama dan papa toman berwarna garang iaitu hijau terang. Rupa-rupanya toman bujang yang merembat gewang saya tadi. Selepas bergambar, ikan tersebut kami lepaskan.

Kelibat serbuk tadi telahpun menghilang dengan bantuan angin yang mengalunkan permukaan lombong. Gagal menemukannya membuatkan kami mengambil keputusan untuk berehat di bawah pokok di tepian lombong.

Kerja Keras!

Pancingan  diteruskan pada jam 2 petang. Namun sesi petang agak mencabar apabila angin membuatkan permukaan lombong beralun. Berpusing-pusing kami mengelilingi lombong sambil cuba menggoda toman bujang yang timbul, namun masih gagal mendapatkan sambaran.

Sudah berjam-jam kami cuba mengilat tanpa henti, tetapi masih kosong. Awan gelap berarak menghampiri lokasi kami. Dari kejauhan, hujan telahpun turun. Saya yang sudah pasrah mengajak Dani untuk pulang sahaja. Tetapi Dani masih berkeras untuk menjejak serbuk toman kerana mengenangkan saya yang datang jauh dari Johor.

Ternyata rezeki itu dari Tuhan apabila Dani berjaya mengesan serbuk. Keadaan semasa itu agak mendesak bukan kerana terdesak ingin mendapatkan ikan tersebut, tetapi keadaan berangin yang menggelorakan permukaan lombong, hujan semakin menghampiri serta jam hampir 6 petang.

Semua faktor ini meresahkan saya sama ada mahu ting-galkan sahaja kumpulan anak tersebut bagi mengelakkan kami basah kuyup ataupun terus cuba menggodanya. Apabila mama toman timbul mengambil nafas, kami sama-sama yakin ia mama toman yang sama kami temukan pagi tadi. Satu tanda jelas yang menyakinkan kami ialah bibir bawah toman tersebut agak tebal seperti bibir ikan kelah.

Saya mengikat lidah gewang sebagai insuran jika ia patah ketika pertarungan nanti.

Gewang Penyelamat

Dani menyarankan saya gunakan crankbait Rapala 7 cm milik beliau. Saya yang mulanya enggan akhirnya akur. Baru beberapa balingan terasa ikan tersebut ‘mengetuk’ gewang yang saya lalukan melintasi gerombolan anaknya.

Mengetuk yang saya maksudkan ialah apabila mama toman cuba menghalau ikan tiruan yang menganggu anaknya. Isyarat ketukan yang dihantar melalui hujung joran dan disalurkan ke tangan membuatkan saraf reflek saya bertindak bersama adrenalin, lalu saya membalas joran dan berjaya hook-up!

Mama tersebut cukup bertenaga dan memberi persaingan yang sengit walaupun joran yang saya gunakan berkekuatan PE 5 – 8! Ia berjaya ditangguk dan selepas dipetik beberapa keping gambar, kami lepaskannya kembali.

Sebaik sahaja kami selesai, hujan renyai turun. Dalam renyai hujan, kami mengangkat bot. Apabila semuanya selesai diikat dan barang dimasukkan ke dalam kereta, hujan lebat turun. Selamat kami berdua daripada basah kuyup!

Toman metropolitan KL yang menyerlahkan corak cantik dan saiz pun gedabak. Tak perlu pergi jauh nak buru mama toman, lombong di pinggir KL seperti Lombong Dory ni pun bersepah!

Repeat

Dua bulan kemudian, saya kembali. Kali ini lebih bersedia. Stok crankbait 6 dan 7 cm saya tambah. Sempat saya berkenalan dengan beberapa sahabat Dani yang kerap mengunjungi Lombong Dory iaitu Aben, Daus dan Man.

Mereka boleh dikatakan ‘penghulu’ Lombong Dory kerana saban minggu turun. Bilangan toman yang ditewaskan mereka dah tidak terkira banyaknya. Etika tangkap dan lepas yang diamalkan menyebabkan bilangan toman di sana tidak menyusut. Inilah sikap patut ada dalam diri semua pemancing walaupun ada yang tidak bersetuju dengan C&R.

Pada saya, jika kita memerlukan ikan yang dipancing itu sebagai makanan, amalkanlah selected harvest dan bag limit. Ambil ikan ikut saiz dan jumlah perlu sahaja. Tidak perlu ambil semuanya kerana yang akan rugi nanti adalah diri sendiri. Lagipun toman merupakan ikan tempatan dan bukan spesies pendatang seperti tilapia dan peacock bass.

Sampah hanyut dari parit air larian hujan yang terus masuk ke dalam lombong. Cuba-cuba main katak getah, mana tahu ada penghuni di bawahnya.

Mama Bangun Awal

Mungkin hari itu hari bertuah apabila kami berjaya mengesan kumpulan anak toman tidak sampai sejam meronda. Dani memberikan peluang kepada saya untuk cuba memujuk mama tersebut.

Baru beberapa kali balingan, satu kumpulan anak toman yang lain muncul berhampiran bot! Nah, saya sudah tidak tahu mana satu nak tuju. Dani menyuruh saya menggoda mama toman kedua kerana merasakan saiz ibunya lebih besar berbanding yang pertama.

Selepas tinggalkan kumpulan anak pertama, Dani yang hanya membuat dua lontaran berjaya menggoda mama toman itu. Selepas disauk, kami terus ekori kumpulan anak kedua. Sebaik Dani lepaskan mama toman pertama, akhirnya saya berjaya membangkitkan naluri mama toman kedua.

Persepsi toman di sana tidak minat gewang besar berubah apabila gewang saiz 9 cm juga berjaya memikatnya. Dua ekor mama toman dalam tempoh tak sampai 30 minit merupakan pengalaman baru bagi saya. Mana lagi nak cari spot seperti ini dalam kepesatan Kuala Lumpur!

Berjaya juga saya tumpaskan mama toman lombong Dory. PE 5 pun masih terasa tentangannya!

Pemburu Persahabatan

Pernahkah anda terfikir sejenak, apakah yang dikejar dalam liku hidup anda sebagai seorang pemancing? Ikan bersaiz trofi? Ingin jadi terkenal dalam arena pancingan? Atau ingin mendaratkan spesies ikan yang rare dan sukar didapatkan oleh pemancing?

Saya secara peribadinya ingin mencari kegembiraan bersama teman sehobi serta menambah kenalan. Tiada gunanya kita berjaya mendaratkan ikan bersaiz mega jika hanya kita seorang yang bergembira tanpa sahabat di sisi.

Tangkap dan lepas demi menjaga kesinambungan spesies.

Dulu semasa mula berjinak dalam arena mengilat, seorang diri pun saya sanggup redah untuk mencari spot. Namun kini, jika tiada rakan untuk menemani dan boleh bergurau senda, jarang sekali saya turun sendirian kerana merasakan pancingan itu sangat hambar dan tidak mempunyai aura semangat.

Biar kumpau sekalipun, asal ada sahabat di sisi yang boleh berbual, tentunya sesi pancingan itu lebih bermakna!

Sahabat tidak akan datang dengan sendirinya, begitu juga memancing. Ikan tak akan datang dengan sendirinya jika tidak kita mencarinya. Burulah sahabat seperti anda memburu ikan. Sahabat yang sentiasa ada dan selalu membantu tatkala kita senang atau susah.

Toman di sini terus mengekalkan populasi dan baka gadangnya atas sikap para pengilat yang beretika ‘catch & release’.

Tight lines and fish on guys!