Cobia, Ahli Strategi Bijaksana
Ia merupakan ikan yang kurang popular buat kebanyakan pemancing sehingga dianggap sial jika terkena ikan ini. Namun ia sebenarnya ikan yang bijaksana dan merupakan antara ikan paling mencabar ketahanan dan kemahiran seseorang pemancing. Kita seharusnya menghormatinya dan melepaskannya jika berpeluang menaikkan spesies yang mahir dengan strategi perlawanan ini!
Teks & Fotografi: Pak Wong
Laut berdekatan Pekan, Pahang memang cetek. Saya pernah menaikkan banyak ebek kapak di perairan yang kurang dari 15 meter kedalamannya. Biarpun bertandang jauh ke Karang Luas kedalamannya pun jarang mencapai 40 meter. Port yang diperolehi dari sahabat tekong Ricky ini memakan masa selama dua jam. Setelah lebih sejam perjalanan bot, beliau pun berhenti di sebuah lubuk untuk kami melepaskan gian. Alat sonar menunjukkan kedalaman 40 meter, dikira dalamlah bagi perairan Pekan ini.
Lubuk ini sebenarnya sebuah terumbu karang yang amat luas. Kawasannya berlanjutan sehingga belasan batu nautikal. Terumbu karang di sini kelihatan berlonggok-longgok, tidak menyerupai terumbu di Karang Luas yang bersambungan. Teknik jigging secara menghanyutkan bot merupakan kaedah terbaik untuk lubuk seperti ini.
JENURAM GENG COBIA
Hasrat kami bertandang jauh adalah untuk mencari jemuduk dan ikan merah bersaiz mega. Kedua-dua spesies ini sudah semakin sukar dijumpai di kawasan persisiran. Ricky mendapati spot terbaik bagi kawasan terumbu yang hampir sama rata ini berada di beberapa jenuram yang bertaburan di sebuah kawasan tertentu. Jenuram-jenuram ini membentuk perbezaan ketinggian sebanyak beberapa meter, semestinya kawasan terbaik untuk ikan-ikan pemangsa menyerang-hendap mangsanya.
Secara tidak disangka-sangka, ikan yang paling banyak terdapat di kawasan ini bukannya jemuduk mahupun ikan merah. Sebaliknya kawasan ini telah dikuasai aruan tasik! Sehingga kami meninggalkan spot pertama dan sampai ke destinasi sebenar trip ini, asyik cobia saja yang terkena pancing!
Biarpun aruan tasik boleh dianggap salah satu ikan sasaran terhandal buat teknik jigging ringan, namun reputasinya memang tidak menandingi spesies-spesies lain yang setaraf dengannya. Menagapa?
IKAN YANG DIBENCI PEMANCING
Antara perangai aruan tasik yang paling tidak disukai pemancing ialah cara saingan mereka dengan pemancing. Mereka biasanya akan berenang ke permukaan laut untuk berlawan biarpun terkena pancing di dasar. Manakala spesies lain terutamanya trevally pula kekal bersaing berdekatan dasar. Spesies ini tetap kuat kudratnya apabila timbul ke permukaan dan bersaingan dengan pemancing dalam jarak yang dekat. Justeru secara semulajadi mereka akan berenang di sekeliling bot sehingga mengganggu pemancing lain yang sedang berusaha mendapatkan sambaran.
Ramai pemancing menggoyang kepala apabila menceritakan spesies ini dan masing-masing menganggap cobia sebagai pengacau. Perangai ikan ini memang menyusahkan pemancing. Namun jika difikir secara mendalam, strategi saingan cobia memang bijaksana. Apabila jarak antara pemancing dan ikan menjadi dekat, tarikan ikan yang dirasai pemancing akan menjadi lebih kuat. Pemancing juga terpaksa bergerak di sekeliling bot akibat tarikan cobia yang maha berkuasa sehingga cepat menjadi letih.
Justeru saya menganugerahkan cobia sebagai ahli strategi yang bijaksana. Bukan sahaja daya saingan spesies ini tidak kalah kepada spesies-spesies terhandal yang lain, malah mereka boleh dianggap jauh lebih pintar berbanding spesies lain dengan berenang ke permukaan untuk menangani pemancing. Manakala ebek kapak pula asyik lari dengan laju sahaja apabila terkena pancing sehingga separuh mati apabila ditarik ke permukaan. Justeru kita bukan sahaja tidak patut memandang rendah terhadap aruan tasik, malah harus menganggapnya sebagai lawan yang dihormati dan lepaskan pendekar yang mahir dan gagah ini kembali ke laut jika berpeluang berbuat demikian!
BAGAIMANA C & R
Apabila membangkitkan isu Catch & Release, saya sendiri belum pernah terfikir tentang kemungkinan C & R buat spesies aruan tasik ini. Sehinggalah berpeluang memancing bersama Sam dari Redhot Anglers barulah tersedar untuk mencubanya!
Satu lagi isu yang menyusahkan tekong bot pancing ialah cobia biarpun kecundang dan dibawa naik ke atas bot, ia tetap akan bergelontar tanpa henti. Justeru tekong pun menanganinya dengan cara yang menyerupai yu, tenggiri dan spesies lain yang merbahaya, iaitu menaikkannya dengan gancu, biarpun cobia tidak bergigi tajam.
Masalahnya cobia akan bergelontar tanpa henti apabila dinaikkan ke atas bot. Saiz cobia pula biasanya agak besar. Biarpun tidak bergigi tajam, lendir yang datang dari atas badannya akan mengotorkan lantai bot sehingga menjadi licin. Justeru tekong atau pembantunya akan memukul kepalanya dengan besi atau kayu sehingga pengsan atau mati.
Tiba-tiba saya terfikirkan tangguk besar yang tersedia di atas bot Ricky dan meminta pembantu manaikkan cobia kedua saya yang dianggarkan seberat 8 kilogram itu dengan tangguk. Bagi mengelakkannya bergelontar di atas lantai, saya terus mencabut mata dan mengambil gambar ikan dengan tangguk sekali sebelum melepaskannya.
Setelah menaikkan begitu banyak haruan tasik selama ini, inilah kali pertama saya melepaskannya dengan rasa bangga. Terima kasih kepada Sam di atas teguhan beliau!
Cara saingan cobia kedua ini agak berlainan. Ia memberikan tentangan yang sungguh hebat dari dasar ke permukaan sehingga saya memikirkan jemuduk yang terkena pancing. Pada pendapat saya cobia sememangnya sport fish yang wajib dilepaskan. Diharap pemancing yang berprihatin dapat melepaskannya dengan cara yang disebutkan di atas apabila berpeluang menaikkan spesies luarbiasa ini. Sport fish yang bersaiz besar dan mempunyai kualiti saingan yang padu makin lama makin kurang. Aruan tasik yang gagah perkasa seharusnya diberikan penghormatan seperti ikan-ikan terhandal yang lain supaya dapat menghiburkan kita lagi pada satu hari nanti!