Di Manakah Ikan? (Lombong Bhg.1)
Di manakah ikan? Ini suatu soalan yang harus dikemukakan setiap pemancing apabila sampai ke sebuah lubuk baru. Jika belum pernah bertanyakan soalan ini, anda pasti seorang pemancing yang sentiasa kumpau! Memang betul memancing juga bergantung kepada nasib, namun jika anda sekurang-kurangnya pernah berfikirkan kedudukan ikan di sesebuah lubuk, anda pasti dapat menjimatkan masa dan menumpukan usaha di tempat yang betul! Marilah kita bincangkan lubuk memancing yang paling biasa dijumpai iaitu lombong terlebih dahulu.
Oleh : PAK WONG
Lombong terdapat di merata tempat di negara kita. Kebanyakannya adalah kolam takungan air akibat galian bijih timah yang telah dihentikan. Lombong juga sama seperti badan air yang lain, terdapat kawasan yang amat dalam dan cetek. Ada juga kawasan lombong yang berkedalaman 20 meter ke atas.
Air lombong tidak mengalir dan boleh dikira air mati, hanya bergantung kepada angin untuk melarutkan oksigen ke dalamnya. Kandungan oksigen di dalam lombong banyak bergantung kepada angin. Apabila angin bertiup kencang, ia membolehkan lebih banyak oksigen larut ke dalam air lombong. Namun di badan air seperti ini, hanya di kawasan yang lebih cetek sahaja mempunyai kandungan oksigen yang mencukupi untuk menampung kehidupan ikan. Jarang terdapat ikan yang mampu hidup di dasar yang lebih dalam, kecuali berlegar di aras atas.
Kedalaman Yang Produktif
Justeru kita harus tumpukan perhatian di pinggiran lombong yang berkedalaman 5 meter ke bawah sahaja. Kedalaman ini merupakan kedalaman yang paling digemari ikan. Biarpun begitu, saya pernah menjumpai kawanan ikan di kedalaman melebihi 8 meter melalui sonar dan berjaya menaikkan banyak peacock bass melalui tundaan gewang.
Namun kedalaman seperti ini memang kurang sesuai didiami spesies-spesies lombong. Selain apabila angin bertiup dengan kencang sepanjang hari sehingga air lombong mengandungi oksigen yang mencukupi, barulah ikan-ikan akan berpindah ke peraiaran yang begitu dalam untuk berlindung daripada matahari yang terik.
Rumpair & Tanjung
Struktur lombong agak simple. Struktur yang dapat dilihat dengan mata kasar ialah rumpair seperti teratai, kiambang, keladi bunting dan sebagainya. Struktur yang menjadi tempat persembunyian kepada hidupan kecil seperti anak ikan, udang dan serangga ini merupakan tempat yang kerap dikunjungi ikan.
Haruan merupakan penginap utama struktur seperti ini. Kaloi juga dapat dijumpai di sini jika lombong bersambungan dengan sungai. Ikan-ikan pemangsa seperti toman, sebarau dan peacock bass pula merupakan ‘pengunjung’ yang hanya akan mengunjungi kawasan ini untuk mencari makanan atau menggunakan struktur ini untuk menyerang hendap mangsanya.
Tanjung merupakan satu lagi struktur yang dapat dilihat dari permukaan lombong. Di sini, tanjung merujuk kepada bukit yang bersambung ke dasar lombong. Ia kelihatan biasa sahaja dari permukaan lombong. Namun jika kita imaginasi, kita akan menyedari bahawa tanah yang menganjur ke dalam lombong ini akan membentuk struktur yang sesuai sebagai tempat persembunyian ikan pemangsa.
Toman, peacock bass, belida bintik dan sebagainya gemar berlindung di kedua-dua belah lereng bukit, mencari kesempatan untuk membaham anak-anak ikan yang melalui kawasan ini. Saya dan rakan-rakan pernah menaikkan belida bintik bersaiz besar di struktur seperti ini.
Struktur Dasar
Selain struktur-struktur yang dapat dilihat dengan mata kasar, di dasar lombong juga terdapat struktur-struktur tertentu. Namun struktur-struktur tersebut hanya dapat dijumpai melalui sonar sahaja.
Dasar lombong biasanya amat lapang. Hanya terdapat sedikit reba, tunggul kayu, cenuram atau lubang semula jadi. Jika berbanding dengan saiz lombong, struktur-struktur yang tersembunyi di dasar lombong memang terlalu kurang. Namun disebabkan struktur sebegini tidak banyak, pemancing yang berjaya menjumpainya akan meraih keputusan yang amat memuaskan.
Kenapa begitu? Ikan-ikan demersal (dasaran) yang terdapat di lombong seperti baung, belida bintik sehingga tapah memang tidak gemar bermastautin di kawasan yang lapang, mereka akan cuba mencari struktur atau objek untuk menyembunyikan diri. Struktur atau objek tersebut seterusnya akan menjadi kediaman tetap mereka. Apabila ingin mencari makanan, barulah mereka akan tinggalkan kediamannya.
Mudah sahaja untuk memancing ikan-ikan ini jika kita berjaya menjumpai objek atau struktur yang amat terhad ini dan menghulurkan gewang atau umpan ke depan muka mereka!