Enigma Kelisa Sambas
Adakah mungkin untuk kita memancing kelisa sebesar 3 kg ke atas pada hari ini? Inilah soalan yang sentiasa membingungkan pemancing kita. Selain kisah silam kelisa Nami mega di Empangan Muda, Kedah yang dikenal pasti spesies berlainan daripada kelisa biasa dan hampir lenyap, memang jarang kedengaran spesimen kelisa hijau biasa yang mencecah saiz 3 kg biarpun di seluruh Asia Tenggara. Sehinggalah penulis menjelajah ke sebatang sungai berair hitam di Kalimantan Barat, barulah segala persoalan terjawab…
Teks & Fotografi : DARREN SHAN
Kelisa hijau (Green Arowana) merupakan sejenis arowana yang terdapat di Malaysia dan Indonesia. Ia merupakan arowana paling luas taburan dan bilangannya. Sehingga sekarang, ia masih berkongsi nama saintifik bersama arowana emas dan arowana merah iaitu Scleropages formosus.
Mencari lubuk kelisa terbaik di Asia Tenggara adalah impian saya. Namun setelah sekian lama mencari masih belum jumpa. Menurut informasi yang dikumpul dari internet dan majalah memancing, kelisa biasanya dipancing secara tidak sengaja. Biarpun misi trip meletakkan kelisa sebagai sasaran utama, keputusan biasanya tidak memuaskan.
Tetapi ia tidak menghalang saya daripada mencari lubuk kelisa besar. Di Semenanjung mungkin sukar, namun di Sarawak atau Kalimantan yang mempunyai kawasan yang luas dengan penduduk yang kurang, mungkin masih ada peluang.
Tiga tahun dahulu apabila berpeluang memancing kelisa di Tasik Mengkayang di Kalimantan Barat, saya telah berkenalan dengan Ruly, seorang caster tegar dari Sambas. Ruly seorang adventurer yang gemar mencari lubuk baru dengan bot cartopper-nya.
Penemuan Lubuk Kelisa
Dalam trip tersebut, beliau menyebut tentang sebatang sungai yang terdapat kelisa yang dijumpainya tidak lama dahulu. Namun disebabkan perjalanan ke sungai itu amat jauh, kami kesuntukan masa untuk ke sana.
Saya kurang pasti sama ada sungai tersebut betul-betul mempunyai sumber kelisa yang lumayan. Tetapi menurut Ruly, beliau tetap berjaya menaikkan kelisa dalam setiap kunjungannya. Sudah pasti sungai ini berpotensi tinggi untuk mencipta trofi kelisa, cuma sama ada di sini terdapat kelisa mega tetap menjadi satu persoalan.
Dua tahun berlalu, saya masih mengingati lubuk kelisa itu. Tahun lepas saya cuba hubungi Ruly dan meminta beliau bawa saya ke sana. Setelah berunding, akhirnya kami memutuskan untuk bertolak pada Februari tahun ini. Malangnya projek terpaksa dibatalkan lantaran musim hujan berpanjangan!
Sehinggalah bulan Mei, barulah ekspedisi Kelisa Sambas dapat ditetapkan. Bersama dalam trip ini ialah Johhny Chin, otai mengilat dari Bahau yang sentiasa mengimpikan lesen kelisa.
Rentas Sempadan Borneo
Pada 8 Ogos, saya dan Johnny tiba di Kuching dan dijemput oleh Irwandy, sahabat saya di Kuching untuk meneruskan perjalanan ke Kg. Biawak setelah makan tengahari. Hujan yang turun sepanjang perjalanan membimbangkan saya. Setelah melepasi imigresen Indonesia, kami tiba di Aruk dan berjumpa Ruly, lalu bermulalah pengembaraan kami di bumi Kalimantan Barat.
Jalan di desa Kalimantan kebanyakannya bertanah merah atau berbatu kecil. Di sesetengah jalannya dipenuhi lubang dan batu sepanjang lebih 10 km. Kereta hanya mampu berjalan 10 km sejam! Mujur jalan ke Aruk separuhnya telah diliputi tar.
Jam telah pun pukul 9 malam apabila kami sampai ke jeti yang terletak di kuala sungai. Bagi membolehkan kami mempunyai masa yang cukup untuk memancing pada keesokan harinya, kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke tapak khemah yang terletak di hulu sungai ini.
Jam 12.30 tengah malam baru kami tiba ke destinasi. Setelah mendirikan khemah, kami terasa amat penat dan terus tertidur tanpa mandi.
Karan Pertama
Cuaca keesokan hari kelihatan mendung. Kami segera memulakan pancingan setelah sarapan. Pak Lokok selaku boatman kami telah memasang jaring di tepi sungai yang ditumbuhi pokok rasau. Tujuannya untuk menangkap anak-anak ikan bagi dijadikan lauk. Air sungai sedang pasang dan ia merupakan waktu terbaik untuk menduga kelisa.
Gewang permukaan merupakan pilihan saya dan Johnny untuk memburu kelisa yang gemar cari makanan di permukaan air. Storm Z-Stick 9.5cm dan Duo Realis 8.5 cm dipilih untuk memulakan pancingan pada pagi itu.
Set saya termasuk joran Rapala Shadow 8 – 17 paun dan kekili Shimano Stella C3000. Manakala Johnny pula menggunakan joran Evergreen Temujin 8 – 17 paun dengan kekili Shimano Conquest DC101 dan satu lagi set kombinasi joran dan kekili Daiwa Steez.
Tali utama yang kami gunakan berkekuatan 20 hingga 30 paun, manakala perambut pula fluorocarbon 30 paun. Pemancing yang pernah diasak kelisa pasti tahu bahawa daya saingannya memang setanding sebarau. Jika kelisa sebesar 3 kg yang makan pancing, set seperti ini pun mungkin tidak dapat menumbangkannya. Namun itulah risiko yang terpaksa ditanggung.
Pak Lokok dan Pak Abos yang duduk di depan dan belakang bot saling mendayung sampan menghala ke hulu dengan bantuan air sungai yang sedang pasang. Apabila sampan sampai ke sebatang pohon runtuh, muncul seekor ikan meluncur ke permukaan dan membaham pensil Realis Johnny.
Johnny dengan pantas mengepam joran dan ikan pula berenang ke arahnya tanpa melompat. Ruly beranggapan ia mungkin sebarau besar. Berpandukan tali yang dihenjut ke bawah, saya pun mengagak sebarau. Tetapi dalam masa tak sampai dua saat, ikan tersebut telah pun bertukar haluan ke reba tadi dan menghala ke atas lalu kelihatan seekor kelisa besar menonjolkan badannya di permukaan sambil menggoyang kepala!
Ruly dan saya masing-masing memesan Johnny supaya jangan biarkan kelisa tersebut lari ke kawasan reba. Semuanya terlambat lantaran kedudukan sampan amat dekat dengan reba itu. Pak Lokok dengan pantas mengendalikan sampan keluar untuk menyelamatkan keadaan, namun gewang Johnny sahaja yang dapat diselamatkan.
Padu!
Seperti toman dan sebarau, kelisa juga akan memecut ke struktur apabila terkena pancing. Namun pecutan kelisa ternyata jauh lebih laju. Biarpun mata si pemancing sempat mengikut pecutannya, tetapi kelajuan karauan kekili tetap gagal mengikutnya. Justeru kita harus mengepam dengan kuat, mengarau dengan laju dan sentiasa kekalkan ketegangan tali bagi mengelakkan sang kelisa meluru ke kawasan reba.
Memancing kelisa mega memang jauh lebih sukar daripada apa yang dijangkakan. Dalam dunia pancingan air tawar, memang tiada ikan yang dapat menandingi kehandalannya. Selain daya saingan yang mencemaskan, ia juga sejenis ikan yang amat cantik. Pemancing harus merasa teramat bangga jika berjaya menjinakkannya.
Aneka Spesies
Pancingan diteruskan ke hulu sungai. Selain kelisa, sungai ini juga terdapat spesies-spesies kegemaran pemancing yang lain seperti sebarau, bulan, baung, sumpit-sumpit, ketutu, udang galah dan sebagainya. Semakin ke hulu, arus sungai menjadi semakin deras dan air sungai juga semakin cetek. Sebarau pula yang menguasai kawasan cetek ini dan jarang kelihatan kelisa.
Ruly telah menaikkan seekor bulan (tarpon) di bahagian hulu sungai. Apabila air surut, kami meneruskan pancingan secara membiarkan sampan hanyut mengikut arus, namun tiada sambutan akibat air terlalu deras. Terpaksa kami tamatkan pancingan hari pertama yang kurang berhasil ini.
Cuaca bertukar menjadi terang pada hari ketiga. Pagi ini kami bertolak agak lewat setelah bersarapan dengan masakan udang galah dan anak ikan yang ditangkap Pak Lokok semalam. Apabila kami memulakan pancingan sekitar pukul 8, sinaran matahari telah menjadi amat terang dan cuaca cepat berbahang.
Kami gagal mendapat sebarang sambaran biarpun mencuba pelbagai jenis gewang. Setelah gagal menaikkan seekor kelisa kecil dengan Daiwa Shad Master, kami tamatkan pancingan dengan perasaan hampa.
Hari ini kami telah terlepas waktu terbaik untuk memancing kelisa iaitu dari pukul 6 hingga 7.30 pagi. Waktu malam pun mungkin sesuai untuk memburunya. Awal pagi jika terkena dengan waktu air berhenti dan mulai pasang, akan bertambah tinggi peluangnya untuk menaikkan kelisa.
Cuaca mendung mungkin juga salah satu syarat penting demi mencapai kejayaan seperti apa yang kami alami menjelang pagi hari pertama di sini.
Debaran Hari Terakhir
Hari keempat merupakan hari terakhir. Kami hanya mempunyai masa selama 5 jam untuk melakukan pancingan. Kami sanggup bersarapan mee segera sahaja untuk menjimatkan masa.
Cuaca hari ini sama seperti hari kedua dengan langit yang berawan tebal. Air yang bertukar menjadi agak jernih sedang pasang dengan perlahan-lahan. Sekurang-kurangnya kami telah pun mempunyai semua syarat yang diperlukan untuk memburu kelisa.
Johnny dan Ruly masing-masing berada di hadapan dan belakang bot, saya pula di tengah-tengah. Sampan beransur ke hulu mengikut air yang sedang pasang dan kami pun melontar gewang masing-masing ke lokasi yang kelihatan berpotensi.
Apabila sampai ke lokasi yang dipercayai dihuni paling banyak kelisa, air sungai yang pasang telah pun mulai menenggelami rumput dan reba yang terdapat di atas sebuah tanjung. Johnny berpendapat kelisa akan mendekati kawasan ini untuk mencari makanan, lalu melontarkan pensil Realis-nya ke kawasan berumput.
Trofi Sulung
Belum pun sampai dua kali Johnny memainkan pensilnya setelah ia mencecah air, gewang itu pun disambar seekor kelisa bersaiz kasar dengan rakus. Kami khuatiri tali akan tersangkut pada rumput mengakibatkan kelisa tersebut berpeluang melarikan diri.
Johnny yang telah kehilangan kelisa pertamanya pasti tidak ingin keadaan seperti ini berulang lagi. Dengan kekuatan joran Evergreen Temujin, beliau menghela ikan tersebut dari kawasan rumput secara paksa.
Kelisa yang diheret ke tepi sampan itu tidak mengaku kalah dan menjunam ke bawah sampan pula. Johnny terpaksa menundukkan joran ke dalam air bagi menjinakkan amukannya. Kelisa itu berulang kali berenang ke permukaan, namun tetap tidak melompat. Didapati kedua-dua mata tiga telah tertancap pada sirip pektoralnya.
Kami tidak menyediakan sauk dan penyepit pula sukar untuk memasuki mulutnya yang tertutup. Terpaksalah saya mengangkatnya dengan tangan secara berhati-hati. Kami amat gembira dengan kelisa pertama yang berjaya dinaikkan setelah dua hari kumpau.
Kelisa Sambas seberat 3.1 kg ini merupakan kelisa terbesar yang pernah saya lihat dengan mata sendiri. Ia amat cantik dengan bahagian rahang bawah, dagu, dada, sirip pelvik dan sirip pektoralnya yang berwarna kuning cerah. Warnanya agak berlainan dengan kelisa hijau yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Trofi ini dilepaskan dengan serta-merta selepas sesi fotografi. Kelisa akan menghabiskan semua tenaganya apabila terkena pancing dan itu akan mengundang kecepatan saat kematiannya. Justeru kita tidak boleh berlengah.
Letupan!
Pancingan diteruskan ke spot-spot yang seterusnya. Langit semakin gelap dan kelihatan seperti ribut akan melanda kawasan sungai ini. Johnny bertukar pula kepada gewang katak Man Lapang buatan Thailand dan memainkannya dengan kelajuan yang lebih cepat daripada biasa.
Johnny melempar kataknya ke satu spot yang terdapat pokok renek dan reba yang ditenggelami air. Apabila gewang dikarau hampir sampai ke tepi sampan, permukaan air tiba-tiba meletup dan menghasilkan bunyi yang amat kuat!
Kami semua terperanjat dengan serangan yang mendadak itu. Kudrat kelisa mega yang menelan katak jump frog ini ternyata lebih gila berbanding kelisa tadi. Ia menjunam ke bawah sampan dengan kelajuan yang menakjubkan. Baru sahaja Johnny menghulur jorannya ke dalam air, kelisa tersebut telah dah melompat ke udara dari sebelah kiri sampan.
Kelisa yang panik itu melompat sebanyak 3 kali dan akhirnya memasuki reba di tengah-tengah sungai. Namun ia telah pun kelihatan letih dan berjaya ditarik keluar dari reba dan akhirnya menamatkan pertempuran yang sengit ini. Apabila cuba menaikkan kelisa yang begitu besar, saya yang terasa cemas cuba sebanyak tiga kali barulah berjaya menyepit mulutnya dengan Boga Grip.
Panjangnya lebih kurang 80 cm dengan berat 4.2 kg! Spesimen ini telah memperbaharui rekod kelisa terbesar sungai ini! Warna kelisa mega ini lebih gelap dan seakan ungu. Manakala rahang bawah dan sirip pektoralnya pula kelihatan berwarna kuning cerah.
Seperti ikan layaran yang ditumbangkan, kelisa mega ini telah menghabiskan tenaganya setelah tiga kali melompat ke udara. Setelah bergambar, ia kelihatan lemah dan saya terpaksa melakukan CPR selama 5 minit, sebelum ia sanggup berenang dari tangan saya.
Ancaman
Setelah menaikkan ikan trofi, waktu untuk pulang pun hampir sampai. Kami memutuskan untuk menamatkan pancingan hari terakhir ini dan pulang ke tapak khemah untuk makan tengahari sebelum berkemas. Pada malam itu, kami yang penat mengembara telah sampai ke Sambas. Tidur satu malam di hotel dan pulang ke Kuching pada keesokan harinya.
Sepanjang trip ini kelihatan banyak bot kayu kepunyaan pembalak parkir di tepi sungai. Kemungkinan besar industri penanaman kelapa sawit akan berlangsung di sini tidak lama lagi. Industri pembalakan dan penanaman merupakan pemusnah utama kepada sungai pedalaman. Air sungai akan menjadi keruh dan tercemar akibat industri-industri ini.
Kawasan pedalaman yang terbongkar akan membawa masuk kegiatan-kegiatan yang lain seperti aktiviti penangkapan ikan secara komersial. Tidak lama lagi satu lagi lubuk terbaik akan delete daripada senarai lubuk idaman saya…
Pemandu pancing kelisa Sambas, hubungi :
Darren Shan : +6019-2724958 (Whatsapp, Wechat, Line)
Facebook : Darren Pro Fishing Guide Service