Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Enigma Parang Sungai Bernam

Parang sungai merupakan spesies ikan air tawar asli yang jarang kita temui. Kewujudannya selama ini hanya direkodkan di sungai-sungai pantai timur Semenanjung. Namun penulis telah mencatat penemuan terbaru akan kewujudannya di Sg. Bernam di pantai barat Semenanjung, di mana ia berkumpulan menyambar gewang yang asalnya ingin disuakan buat sang sebarau. Ikuti kisah penemuan yang menarik ini…

Parang sungai juga menyambar gewang permukaan.

Teks & Fotografi : AZMIL AYOB

Sg. Bernam merupakan sungai yang memisahkan dua negeri iaitu Selangor dan Perak. Mengalir dari hulu Gunung Liang Timur, Pahang di mana titik bermulanya sungai ini, ia turun berliku-liku melalui Tg. Malim, Behrang, Slim River hingga Sabak Bernam.

Gunung Besout

Di sepanjang alirannya, terdapat banyak anak sungai yang bercantum menjadikan sistem Sg. Bernam ini kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar, termasuklah spesies berprestij seperti kelah dan tapah yang kian terancam dek kepesatan penempatan manusia, industri dan perladangan.

Sungai ini turut mengalir berhampiran rumah saya di Felda Gunung Besout, berdekatan Slim River, Perak. Bagi anak jati kampung yang gemar memancing, Sg. Bernam menjadi salah satu lapangan berpotensi buat kami, khususnya yang gemar mengilat sebarau seperti saya. Namun, kewujudan suatu spesies pemangsa luar biasa membuatkan sungai ini lebih istimewa!

Sumber menyatakan spesies parang sungai wujud di sungai-sungai di pantai timur Semenanjung, khususnya di sistem Sg. Pahang, dan tiada pun dinyatakan ia pernah direkodkan di sebelah pantai barat Semenanjung. Adakah penemuan dan pendedahan kami ini yang pertama kali direkodkan di Sg. Bernam yang mengalir ke Selat Melaka?

Semuanya bermula sekitar tahun 2012. Saya yang sering komplot casting bersama Joe telah mendapat tahu tentang suatu lubuk bereba yang didiami sebarau di Ulu Basir. Tetapi untuk ke sana, hanya motosikal boleh melaluinya ekoran ladang estet sawit yang berpalang dan berkunci.

Ladang estet Ulu Basir amat luas. Untuk sampai ke spot tebing sungai itu dari rumah, kami perlu menunggang motosikal kira-kira 45 minit meredah jalan tanah merah ladang sawit yang bersimpang-siur. Sg. Bernam mengalir melalui ladang ini dan ia ditampan oleh hutan belukar di mana kami perlu berjalan kaki ke lubuk itu.

Spesies lain yang merajai lubuk ini termasuk sebarau, baung dan tapah!

Seluang Gergasi?

Lubuk sasaran kami ini merupakan selekoh ‘S’ sungai yang tajam. Disebabkan itu secara semulajadinya banyak kayu besar yang hanyut tersangkut di situ. Ia tentu sekali menjadi lubuk yang gemar didiami pemangsa sungai. Namun begitu sebarau yang asalnya kami cari, lain pula yang kami temui apabila Joe dikejutkan dengan spesies tidak dikenali yang rakus meragut gewang cilik Rapala X-Rap 5 cm kod warna ‘ayu’.

Tentangannya boleh tahan dengan set mengilat yang ringan. Pada mulanya kami ingatkan sebarau, tetapi meleset. Setelah ikan hampir sampai ke tebing, ia rupa-rupanya seekor ikan yang pipih perak yang tak ubah seperti ikan seluang berskala monster!

Gewang minnow dan pensil yang dikekah parang sungai menunjukkan kerakusannya membaham apa sahaja jenis gewang di depan matanya.

Bingung kami seketika memikirkan spesies ikan apa ini? Lebih mengujakan, tentangannya yang menongkah arus cukup pantas dan kemudian mudik semula ke bawah untuk melepaskan diri, menandakan spesies ini bukanlah calang-calang kudratnya. Panjang spesimen sulung ini sahaja  hampir 80 cm!

Saya dan Joe mengambil keputusan untuk melepaskan semula ikan tersebut dan kami pulang untuk merungkai segala keraguan tentang apakah nama spesies aneh itu yang masih bermain di fikiran.

Suatu Penemuan Baru?

Hasil daripada perkongsian ilmu dari rakan-rakan yang lebih berpengalaman serta rujukan peribadi melalui buku dan internet, barulah saya tahu bahawa seluang gergasi itu ialah spesies ‘Parang Sungai’ dengan nama saintifiknya Macrochirichthys macrochirus.

Sumber menyatakan ia wujud di sungai-sungai di pantai timur Semenanjung, khususnya di sistem Sg. Pahang, dan tiada pun dinyatakan ia pernah direkodkan di sebelah pantai barat Semenanjung. Adakah penemuan dan pendedahan kami ini yang pertama kali direkodkan di Sg. Bernam yang mengalir ke Selat Melaka?

Joe dengan trofi spesies ‘rare’ Sg. Bernam, dengan kilat sesudu.

Sepanjang tahun 2015, saya telah mengikuti perkembangan Sg. Bernam hari demi hari. Namun keadaan sungai ini sukar dijangka ekoran ia terletak di kawasan hilir dan dihubungkan dengan pelbagai anak sungai. Air sungai di kawasan ini seringkali keruh dan air lebih besar menyukarkan lagi usaha untuk menjejak spesies parang sungai yang elusif ini.

Rencana tetap diteruskan setelah berbulan-bulan menunggu airnya berubah cantik. Akhirnya setibanya bulan Ramadhan, negara kita yang seringkali mengalami musim kering yang panjang telah mengurangkan kekeruhan air Sg. Bernam ini dengan lebih konsisten.

Saya bersama beberapa rakan kembali menjejak spesies unik ini ekoran mengidam untuk mendaratkan spesies baharu dalam kamus hidup sebagai caster kental. Iyalah kan… asyik bergambar dengan sebarau aje, kenalah cari lesen ikan lain pulak!

Hunusan Parang

2 Julai 2015, ketika pertengahan bulan Ramadhan, saya bersama Syah, Joe dan Khairul Azren sepetang bersama ke lubuk selekoh ‘S’ di Sg. Bernam ini dengan seribu harapan agar air sungai cantik dan ada ikan yang galak bedal gewang yang dilempar.

Sampai di lubuk itu, nyata ia cukup menggembirakan. Masing-masing tersenyum lebar menyaksikan air Sg. Bernam tidak  lagi coklat susu seperti lazimnya. Dan seperti diharapkan, trip ini menyaksikan frenzy parang sungai yang sangat meriah!

Parang sungai didapati gemar menyambar gewang di bahagian lubuk dalam yang sedikit berarus serta terdapat reba-reba kayu, ia berkongsi lubuk dengan sebarau. Kita boleh mencuba gewang mikro, ekoran dietnya gemarkan anak ikan serta udang.

Ikan ini juga gemar hentam gewang permukaan berdasarkan mulutnya yang menghala ke atas. Syah yang pertama kali datang seronok sakan apabila popper kecilnya dibaham trofi sulung yang berteduh di belakang batang kayu. Walaupun banyak hentaman berlaku, seringkali rabut kerana ikan ini agak pantas menyambar dan kuat menggelupur.

Syah berkongsi kegembiraan bersama Joe yang berjaya mendaratkan spesies ini menggunakan kilat sesudu yang dilontar di tebing seberang yang dalam dan berarus. Trip kali ini dianggap paling berjaya ekoran lima ekor parang sungai berjaya kami daratkan bersama sebarau.

Warisan Asli

Penemuan spesies parang sungai Sg. Bernam adalah sesuatu yang amat berharga memandangkan banyak sungai kita yang semakin hari semakin tenat akibat rakus dimamah kepesatan pembangunan dan kemusnahan alam sekitar.

Adakah spesies yang jarang ditemui ini, apatah lagi mungkin satu-satunya direkodkan di negeri pantai barat Semenanjung ini mampu bertahan atau akan tinggal sejarah buat generasi akan datang?

Sama-samalah kita memelihara kelestarian padang pancing dan spesies ikan asli warisan kita.

INFO PARANG SUNGAI

Nama Saintifik : Macrochirichthys macrochirus

Nama Tempatan : Parang, Parang Sungai

Nama Inggeris : Freshwater Dorab

Morfologi : Badan berbentuk yang pipih dan panjang seperti sebilah parang. Mulut besar dan menghala ke atas. Bersisik halus dan mudah tertanggal. Terdapat tompok hitam di pangkal sirip kaudal (ekor). Sirip dorsal (atas) jauh ke belakang dan bermula setentang dengan sirip anal (dubur).

Taburan & Habitat : Lembangan Mekong dan Chao Phraya, Vietnam, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Semenanjung Malaysia : Dijumpai di Sg. Paka (Terengganu), Paya Bungor dan sistem Sg. Pahang (Pahang), Sg. Endau dan Sg. Semberong, Johor.

Parang Sungai