Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Extremadura Seindah Namanya…

“Cantik namanya Extremadura dengan tasik luas yang memukau di bumi Sepanyol. Namun perairan tasiknya yang terlalu dalam memberi cabaran amat tinggi kepada kami pemancing setia bellyboaters. Namun syukur akhirnya kami berjaya merungkai rahsia bagaimana untuk menjinakkan spesies pemangsa bagaknya di dasar sedalam lebih 40 kaki!”

Berhanyut dalam bellyboat di tasik yang luas, tenang dan amat dalam di Extremadura. Jambatan selalunya hotspot untuk menemui warga pemangsa tasik di sini.

Teks & Fotografi : TOM SINTOBIN (Sepanyol)

Pada hari Franco meninggal dunia, 20 November 1975, rakyat di beberapa tempat di Sepanyol berparti suka ria. Semuanya kerana diktator itu telah memerintah Sepanyol hampir empat dekad secara kuku besi.

Bahasa Catalan dan Basque dilarang, wanita ditindas (tidak dibenarkan membuka akaun bank sendiri, dan jika menderita keganasan rumah tangga dan melarikan diri dari rumah, wanita itu akan berakhir di penjara!), Berpuluh ribu orang – tiada siapa tahu dengan tepat berapa ramai – yang tidak bersetuju dengan ‘El Generalísimo’ ini ghaib tiba-tiba.

“Dia hampir sejahat Hitler,” beritahu Justo, “tetapi kami tidak dibenarkan bercakap sedemikian di Sepanyol ini.” Justo merupakan seorang pemuda dari sebuah perkampungan kecil di Extremadura, kawasan termiskin di Sepanyol, terletak antara Madrid dan sempadan Portugal.

Beliau merujuk kepada ‘pacto de silencio’ : perjanjian tidak bertulis di Sepanyol yang melarang percakapan tentang kisah berdarah masa lalu, kerana dibimbangi boleh memusnahkan perpaduan masyarakat. “Baru-baru ini sebuah kubur besar telah dijumpai,” katanya lagi. “Mereka menemui 16 mayat di dalamnya.”

Semua terpaksa memberi laluan kepada rancangan megalomania Franco. Dia mahu Sepanyol tidak bergantung kepada negara lain untuk bekalan air dan elektrik. Menyedari perkara itu, beliau membina beberapa empangan. Seluruh kampung terpaksa dipindahkan kerana akan ditenggelami selamanya, terutama Extremadura dengan mengempang Sg. Tajo dan Guadiana, lalu membentuk pantai lebih 1,200 batu panjang.

Comizo barbel idaman yang berjaya saya tumpaskan. Ia memecut pantas dan kuat bagai dihenjut keretapi.

Kesejukan Melampau

Justo dan saya asyik berborak ketika kami sedang terapung dalam bellyboat di salah satu tasik tersebut, Orellana, dikelilingi landskap yang menakjubkan. Di bukit yang dihiasi pokok-pokok zaitun tua, kumpulan biri-biri sedang berkeliaran.

Beberapa ekor memakai loceng di leher supaya bibir-biri lain (dan gembala) sentiasa tahu di mana kumpulan itu. Ia salah satu daripada beberapa bunyi yang memecahkan kesunyian lokasi indah ini.

Landskap ini bernafas sejarah. Di sudut lain, kita dapat melihat kemusnahan sebuah biara lama, di tengah-tengah entah di mana. Kami turut melewati jambatan yang luar biasa (Cogolludo) dari zaman Rom. Dan sekarang di suatu kawasan lain, Justo menunjukkan sebuah rumah tinggal di tebing : rumah kelahiran neneknya, yang kini sunyi-sepi.

Luasnya tasik empangan di Extremadura. Ke mana seharusnya kami pergi hari ini…

“Satu-satunya idea yang baik pernah Franco buat…” Justo bersungut, “ialah memasukkan ikan largemouth bass dan pike ke dalam tasik-tasik ciptaannya.” Belum habis Justo bercerita, saya diusik satu sentapan di hujung joran.

Hilanglah kisah sedih masa lalu sedang saya leka melayan seekor pike. Ia mangsa keempat saya hari ini, diikuti 13 ekor lagi dan 2 ekor bass.

Begitu banyak ikan dalam masa 7 jam memancing : bunyi macam kacang aje, kan? Ini tidak sepenuhnya benar. Timing kami untuk trip ini sebenarnya tidak terlalu baik : pertengahan Januari, tengah musim sejuk!

Bahkan kami sedang berhadapan minggu paling sejuk dalam tempoh 2 tahun di rantau ini. Pada hari ke-4, kami juga dapat melihat puing salji pertama dalam tempoh 7 tahun!

Maikel dan saya ketawa besar melihat pemandu pancing kami sendiri menggigil, walaupun memakai berlapis pakaian panas, termasuk topi dan selendang. Sedang kami pula selesa dengan hanya memakai sehelai sweater dan jaket. Mereka andaikan sejuk seperti di kutub, tapi kami anggap macam awal musim bunga biasa aje.

Indahnya Extremadura…

Jigging S.P Di Tasik Dalam

Pada mula-mula datang ke sini, hasil kami sebenarnya kurang baik disebabkan air yang turut terlalu sejuk dan ikan kurang aktif. Pemandu pancing kami menukar rancangan dengan menjejak kedudukan ikan mangsaan, supaya kami boleh menggempurnya dengan gewang S.P. Namun masih gagal.

Kami mengilat sampai dah tak dapat rasa apa-apa lagi pada tangan kami. Kaedah memancing di sini sangat berbeza dengan apa yang biasa dipraktikkan di tempat kami. Air sedalam 60 – 90 kaki di bawah bellyboat kami. Saya skeptikal macam mana nak cuba goda pike pada kedalaman 15 – 25 kaki dari permukaan air.

Suhu air sekitar 10 darjah. Saya hampir putus asa selepas beberapa jam berusaha keras. Namun tiba-tiba Maikel mendapat idea bijak ini : dia gugurkan gewang S.P kecil pada jighead 1 oz dan mengunjun pada kedalaman 45 kaki.

“Mana ada ikan zander sini, bro…” saya ketawa sinis, “jigging menegak ‘gaya Belanda’ tak laku kat sini bro!” usik saya lagi. Tetapi betapa silapnya saya…

Ikan bass dibawa masuk dari Perancis sekitar tahun 50-an.

Beberapa minit kemudian, dia strike seekor bass yang montel. Idea Maikel ini (beliau salah seorang pemancing terhebat di Belanda) terbukti membuka kunci kepada kejayaan kami dalam trip seterusnya.

Keluarga Kap Pemangsa?

Beberapa hari pertama kami dihabiskan di Zújar, empangan paling kecil di rantau ini. Dengan seluas 3,580 ekar, kami fokuskan kepada zon yang terhad di sekitar jambatan, hotspot sebenar ikut kata guide kami.

Sekali lagi, kami terkejut dengan kedalaman yang dilihat pada skrin sonar. Hanya beberapa ela dari tebing, terdapat cerun mencuram ke 35 kaki. Kemudian kekal seperti itu untuk beberapa jarak sebelum mencerun lagi ke 50 kaki dalam. Itulah dasar sungai lama.

Kami mencuba jigging S.P secara menegak dan ia memang berkesan. Beberapa ekor largemouth bass menyambut kami. Spesies Amerika Utara ini telah diperkenalkan dari Perancis ke Sepanyol sekitar tahun 1955, dan ia berjaya mendominasi tasik ini.

Satu lagi spesies yang berjaya kami munculkan ialah ikan keli jenis channel catfish (Ictalurus punctatus). Ia juga sejenis ikan keli Amerika yang diperkenalkan ke tasik ini pada dekad 90-an dan kini dikatakan boleh membesar sehingga 25 kg!

Spesimen bass yang kasar dan montel dari Maikel.

Dua channel catfish kami naikkan bersaiz kecil, membuktikan spesies ini mampu membiak dengan baik di sini. Tetapi Maikel kehilangan ikan yang sangat berat tekanannya sehingga meluruskan mata kailnya selepas perlawanan beberapa saat. Kami yakin itu mesti kerja keli Amerika yang lebih besar dan mata kail terkangkang kerana tidak tertancap dengan betul pada muncung kerasnya.

Pemandu pancing kami menjelaskan bahawa tasik ini telah dipenuhi spesies keli alien itu dan hampir mustahil untuk pancingan dasar mencari ikan kap dan barbel dengan umpan pelet atau boilies. Namun apabila berbicara tentang kap dan barbel, mereka jelas adalah pemangsa di Extremadura!

Kami berjaya menjerat dua ikan kap kecil dengan S.P. Dan saya juga mendapat jackpot apabila comizo barbel besar menggonggong S.P dan menguji joran saya ke tahap maksimum untuk jangkamasa yang lama…

Spesies barbel ini boleh membesar sehingga 40 paun (dengan panjang hampir 4 kaki). Keutamaan makanan comizo barbel ialah ikan. Sebab itu nama latinnya : Comizo Luciobarbus – terjemahannya ‘pike-barbel’.

Masa seakan tidak bergerak di perkampungan ini.

Saya andaikan bahawa hidupan di Extremadura agak sukar jika anda seekor ikan mangsaan kecil atau udang, kerana apa sahaja jenis ikan yang anda temui dalam perjalanan, ia merancang untuk menjamu selera terhadap anda! Di sini ikan kap tempatan yang dipanggil tench juga membedal gewang lembut berbentuk udang!

Teknik kami hari pertama cuma gaya ‘tanpa buat-apa-apa’. Kami cuma memainkan S.P pada kira-kira empat inci dari dasar dan perlahan-lahan melompatkan ia turun mengikut cerun. Ia sama seperti cara kami memancing ikan zander di tasik besar di Belanda.

Menariknya, teknik lontar dan karau S.P di segenap lapisan air yang dipraktikkan selalu oleh pemancing tempatan didapati gagal. Mereka tidak percaya dengan kejayaan kami. Kap dan ikan keli makan gewang? Beberapa bass sehari pada musim sejuk? Itu sangat luar biasa, sehingga mereka ingin tahu teknik jigging S.P secara menegak ‘gaya pemancing Belanda’ kami ini.

Pike ini dihela naik dari kedalaman 30 kaki.

Pike Bonanza Di Orellana

Pada hari keempat, kami dibawa ke ratu segala empangan : Orellana. Nama tasik ini sahaja sudah cukup menggerunkan pemancing Sepanyol kerana khabarnya banyak ikan besar direkodkan di sini, antaranya kap 75 paun, pike 65 paun, comizo barbel 40 paun, dan bass 10 paun …

Sepanyol tidak mempunyai senarai rasmi rekod memancing. Kami bergantung kepada senarai tanpa semakan dan gambar yang pasti tidak semuanya meyakinkan (anda boleh semak di laman www.dondepescar.es/recs).

Saya bersedia mengenepikan tuntutan berat ikan kap, tetapi untuk pike : sama sekali tidak! Namun, ini bukan bermakna saya tidak percaya Orellana dihuni ikan gergasi.

Bagi saya, Orellana boleh dibandingkan dengan Lac de Saint-Cassien (keajaiban tasik di Perancis yang telah dibongkar pemancing dalam tahun 80-an) – tetapi sebelum orang ramai menyerbunyalah. Jadi, adakah gergasi Orellana akan menyambut kami dengan meriah?

Ada banyak ikan kecil di bawah. Pasti ada pemangsa sedang mengintainya. Masa untuk jigging S.P!

Walaupun Orellana sangat luas (12.562 ekar) dan 40 batu panjangnya, namun syukurlah ia mempunyai banyak suak dan teluk yang tidaklah membuatkan kami rasa tersesat di tengah lautan air tawar.

Tebingannya ditumbuhi ladang zaitun, padang rumput dan batu-batuan. Ada ketikanya, kedalaman air mencecah 30 kaki pada jarak ukuran joran sahaja dari tebing. Tetapi di teluk, terdapat kawasan cetek yang berumpair, berpulau-pulau dan berkerikil. Dan Orellana mempunyai berlambak ikan pike yang kelaparan!

Dalam masa sepuluh minit selepas kami tiba, Maikel dan saya dah bergasak dengan ikan tanpa henti. Saya tidak akan mengganggu anda dengan setiap gambar tangkapan individu, tetapi cukuplah dengan mengatakan kami berdua menaikkan kira-kira 100 ekor pike sepanjang tiga hari pancing!

Kami memancing mereka di segenap kedalaman : 88 meter di dasar sungai lama Guadiana, tetapi juga pada kedalaman 7 kaki di kawasan teluk. Di mana sahaja kami jatuhkan gewang S.P (saiz 4 inci), lambat-laun ia akan diserang – dengan satu syarat, ia hendaklah berada dekat dengan dasar.

Jigging menegak S.P nyata efektif dan Maikel sekali lagi terbukti menjadi juara. Saya termenung sejenak untuk memahami kenapa dia mendapat lebih banyak strike berbanding saya.

Akhirnya saya sedar bahawa ia berpunca daripada joran. Kami memancing agak agresif berbanding di tasik lain, kerana suhu air telah meningkat selama kami di sini, dan joran saya terlalu lembut untuk itu.

Sebaik sahaja saya menukar joran, keputusan kami seiring. Apa yang paling seronok ialah kepelbagaian spesies ikan yang tumpas di hujung joran kami. Selain pike itu, kami menewaskan beberapa bass dan comizo barbel. Dan mereka adalah ikan yang ‘serius’.

Saiz largemouth bass sehingga 6.6 paun (hampir 2 kaki panjang), dan comizo barbel yang amat kuat kudratnya sekurang-kurang 20 paun beratnya. Kedua-dua ikan ini menyambar dari cerun dasar sungai lama.

Tiang-tiang jambatan yang perlu diduga setiap satu!

Keputusan kami ini jelas menunjukkan pemangsa di sini berkelakuan sama seperti sepupunya di Eropah Utara. Pada musim sejuk, mereka akan berhijrah ke kawasan yang lebih dalam dan tinggal di lapisan dasar. Dan tiada siapa yang memancing mereka di Sepanyol, kerana penduduk tempatan selama ini percaya bass amat sukar dipancing pada musim sejuk, dan mereka belum membongkar seni jigging menegak.

Lebih buruk lagi, kedai pancing tempatan tidak ada pun menjual peralatan yang diperlukan untuk teknik ini (misalnya tali sulam 10 paun, jig head 1 oz, perambut dawai ultra halus…). Kerana ini, saya perlu hantar bungkusan hadiah mengejut kepada pemandu pancing kami apabila balik nanti!

Salah seekor pike yang banyak kami tewaskan.

 

Nostalgia

Dan sekarang saya duduk di sini, di depan skrin komputer, dengan pemandangan landskap bandar yang berkabus. Alangkah terasa nostalgianya. Rasa rindu segala-galanya di Extremadura.

Kebaikan pemandu pancing yang melayan kami, bunyi-bunyian bising burung stork yang bersarang di atas runtuhan Convento de la Visitación di Talarrubias, di mana kami memandu melewatinya setiap pagi. Teringat betapa terkejutnya saya terserempak memerang yang merenung saya dengan tajam dari lubang jambatan, kira-kira sepuluh ela dari bellyboat saya.

Apa yang jelas, fenomena pancingan yang menyenangkan di sini membuatkan kami merasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak. Apatah lagi S.P perlu dimainkan secara jigging menegak terus ke dasar tanpa mengetahui ikan apa yang akan membahamnya.

Perarakan kenangan ini sungguh panjang untuk diingati dan ia bertambah panjang pada masa akan datang, kerana ini pastinya bukanlah kunjungan terakhir saya ke Extremadura ini!

INFO EXTREMADURA 

Francisco Franco Bahamonde, pemerintah diktator Sepanyol dari 1939 sehingga kematiannya pada tahun 1975.

Extremadura terletak di sebelah barat negara Sepanyol (Spain) yang beribu kota bernama Mérida. Ia bersempadanan dengan Portugal di sebelah barat, manakala Andalusia di selatannya.

Ia merupakan kawasan penting untuk hidupan liar dan terdapat empat lembangan hidrografi yang berlainan iaitu Tagus, Guadiana, Guadalquivir dan Duero yang menjadi tumpuan pemancing.

ASPEK PRAKTIKAL DALAM TRIP INI

Kami memancing dengan Craig Reid, seorang pemancing British yang telah tinggal selama dua dekad di Sepanyol, dan pemandu pancing beliau iaitu Justo dari www.extremafishingspain.com.

Pelanggan yang menempah khidmatnya boleh gunakan semua peralatan yang diperlukan daripada mereka : Bellyboat berkualiti, sirip kaki pendayung, joran, kelili dan gewang. Wader (yang hanya perlu pada musim sejuk) dan sonar Lowrance Elite 4x-DSI juga boleh disewa.

Lokasi Sepanyol di peta dunia.

Jika anda lebih suka memancing dari bot, terdapat sebuah bot yang dilengkapi enjin Mercury 40 kuasa kuda. Anda akan tinggal di sebuah rumah layan diri atau di sebuah hotel selesa di Tallarubias.

Untuk ke Extremadura, anda boleh naiki penerbangan ke Madrid. Sampai di ibu kota Sepanyol itu, Craig akan aturkan teksi untuk menunggu dan membawa anda  dari lapangan terbang ke Tallarubias yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

Peta Extremadura di Sepanyol.

Craig akan menguruskan lesen memancing (yang hampir percuma), serta pengangkutan dari dan ke tasik. Maklumat lanjut, harga pakej dan laporan tangkapan terkini boleh dilayari di www.extremafishingspain.com dan http://extremadurapredatorfishing.blogspot.com.eso. Atau anda boleh emel Craig melalui Extremapredatorfishing@gmail.com.

Pakej memancingnya tidak terlalu mahal bagi saya. Kemudahan penginapan 3 – 4 malam termasuk set pancing dan pemandu pancing menelan kos 395 euro seorang. Jika anda ingin tinggal selama 7 malam, ia menelan kos ekstra 100 euro. Percayalah… tidak ada banyak tempat di Eropah yang anda boleh mendapat servis kualiti memancing sebaik ini dengan kos serendah ini.