Faktor Utama Yang Pengaruhi Aksi Renangan Gewang
Banyak faktor yang mempengaruhi aksi renangan gewang. Bermula dari segi material pembuatan gewang sehinggalah berat mata kail yang digunakan, semua perkara ini akan mempengaruhi aksi renangan gewang. Namun, gewang secara umumnya dipengaruhi oleh tiga faktor utama iaitu bentuk badan gewang, keupayaan terapung / tenggelam dan bentuk lidah gewang.
Oleh : MUHAMAD NAIM (inchenaim.com)
Tiga perkara di bawah adalah faktor asas yang akan mempengaruhi aksi renangan gewang dan tahap selamannya (depth) iaitu :
1) Bentuk badan gewang
2) Keupayaan terapung / tenggelam
3) Bentuk lidah gewang
Mari kita ketahui dengan lebih lanjut bagaimana perkara-perkara ini akan mempengaruhi renangan gewang anda.
Bagaimana Bentuk Badan Gewang Mempengaruhi Aksi Renangan?
Rupa bentuk badan gewang akan menentukan aksi renangannya. Gewang yang bentuk badannya lebih bulat akan mempamerkan aksi lebih melebar (wide wobbling). Contohnya Rapala Fat Rap. Manakala, gewang yang mempunyai bentuk yang lebih rata pada sisinya akan menunjukkan aksi lebih ketat (tight wiggle). Contohnya Rapala Shad Rap.
Gewang Terapung vs Gewang Tenggelam
Perkara yang jarang disebut apabila membincangkan aksi gewang berlidah ialah kepentingan sifat apungannya. Umumnya, gewang replika ikan jenis terapung mempunyai aksi lebih kuat dan lebih jelas berbanding gewang tenggelam.

Dengan menggunakan gewang yang tepat dan sesuai, pasti kita akan berjaya ‘menggoda’ ikan idaman.
Ini disebabkan daya tentangan antara apungan positif gewang jenis terapung dan dorongan selam pada lidahnya yang membentuk ketidak-stabilan terkawal. Oleh sebab itulah gewang jenis terapung bergelek dengan kencang. Aspek lain ialah gewang jenis terapung biasanya mengekalkan aksinya pada kelajuan yang lebih rendah, berbanding gewang jenis tenggelam.
Kepentingan Anatomi Bentuk Lidah Gewang
Lidah gewang memainkan peranan sangat penting dalam menentukan tahap kedalaman selaman dan aksi renangan gewang. Panjang lidah akan menentukan tahap kedalaman selaman. Kelebaran lidah pula akan menentukan tahap goyangan gewang.
Terdapat pelbagai jenis reka bentuk dan panjang lidah gewang. Ia akan menentukan identiti gewang tersebut. Me-mahami setiap jenis gaya lidah gewang akan menyelamatkan duit anda daripada terbeli gewang yang tidak sesuai dengan kawasan padang pancing anda.
Secara umumnya, terdapat empat (4) jenis bentuk asas lidah gewang :
1) Lidah bulat – Mudah untuk tersangkut. Sesuai dimainkan di kawasan dasar yang rata bebas dari halangan besar. Ia memberikan aksi yang stabil. Bagus untuk perairan terbuka dan trolling.
2) Lidah separa bulat – Aksinya lebih kurang sama dengan gewang berlidah bulat.
3) Lidah bersegi – Aksi lebih eratik berbanding lidah bulat kerana lidah bersegi menghasilkan halangan air yang lebih besar. Gewang ini lebih cenderung bergerak secara ‘melilau’ semasa karauan.
4) Lidah berbentuk keranda – Ia adalah bentuk hibrid lidah bulat dan lidah bersegi. Ia sangat versatil dan baik untuk mengelak sangkut. Biasanya digunakan pada crankbait.
Terdapat juga lidah gewang seperti daun willow dan clover. Selain menentukan tahap selaman dan aksi, bentuk lidah juga penting untuk menentukan deflection gewang, terutama apabila kita bermain di kawasan berbatu dan berkayu.

Pelbagai variasi bentuk lidah dalam dunia gewang
Apa yang penting anda harus tahu adalah :
# Semakin panjang lidah gewang, semakin dalam renangan gewang tersebut.
# Semakin lebar lidah gewang, semakin besar aksi goyangan.
# Semakin sempit permukaan lidah gewang, semakin ketat (padat) aksi goyangan gewang tersebut.
Anda juga harus ingat bahawa semakin besar lidah gewang, semakin besar rintangan air akan terhasil. Maka semakin sukar ia untuk menyelam lebih dalam dan dikarau.
Oleh itu pelbagai faktor harus diambil kira oleh pencipta gewang untuk menghasilkan gewang yang sempurna.
Oleh sebab itu, anda akan dapat lihat gewang dengan lidah selaman yang tidak terlalu lebar dan mempunyai badan yang kurus / nipis, akan mempunyai aksi yang lebih padat (tight wiggle). Manakala gewang yang gemuk / bulat serta lidah yang lebar akan mempunyai aksi yang lebih melebar (wide wobble).
Sebagai contoh perbandingan, kita boleh lihat perbezaan renangan dua gewang dari keluarga Rapala, Shad Rap (paling nipis) vs Fat Rap (paling gemuk / bulat).
Aksi renangan Rapala DT pula adalah pertengahan antara kedua-dua gewang di atas.
Bagaimana Pula Dengan Sudut Lidah?
Sudut lidah pada gewang memang memberi kesan terhadap selaman gewang. Daya selaman sesuatu gewang diperolehi oleh panjang lidah sesuatu gewang. Semakin panjang lidah, semakin dalam tahap selaman yang akan dicapai.

Setiap bentuk dan panjang lidah gewang akan menentukan aksi dan tahap selaman yang berbeza.
Walau bagaimanapun, sudut lidah gewanglah yang akan mengawal hala tuju daya tersebut dan menyeimbangkan aksi renangan gewang supaya beraksi dengan stabil dan sempurna.
Kejayaan Gewang Bergantung Kepada Bagaimana Anda Memahaminya
Kejayaan sesuatu sesi mengilat bukanlah bergantung kepada gewang semata-mata. Apa yang paling penting adalah kita sendiri memahami dengan jelas setiap gewang yang kita gunakan.
Sebagai contoh, gewang wide wobble selalunya efektif dalam air yang keruh, disasarkan untuk ikan yang sedang agresif, atau ikan pemalas. Ia sangat sesuai dikarau perlahan dan digunakan untuk memujuk penyerang hendap seperti siakap merah atau kerapu.
Manakala gewang tight wiggle lebih sesuai dikarau laju. Ia akan menjadi senjata yang efektif dalam air yang sangat jernih, berlaku perubahan suhu, ikan kurang agresif, dan pemalu. Ia adalah ubat kepada ikan yang mengelak gewang yang gemuk dan berenang melebar.
Pemancing yang pintar sentiasa cuba menyesuaikan setiap gewang dengan keperluan situasi padang pancingnya, dan memperbaiki hasil dari masa ke semasa.

Gewang yang mempunyai keapungan yang tinggi memberi aksi yang lebih jelas di dalam air.
Semoga panduan ini membantu anda memahami gewang anda dengan lebih baik!