Gadis Ganas Langkawi

Penemuan sulung kali saya dengan bandang biarpun telah berlaku sangat lama dahulu namun masih segar dalam ingatan. Pada suatu malam saya sedang main bottom di perairan Pulau Langkawi. Ketika saya terasa mengantuk tiba-tiba joran ditarik dengan rakusnya dan terus membengkok ke bawah bot fiber. Sebelum saya sempat bertindak balas kelihatan seekor ikan berbadan kurus panjang dan berwarna putih melonjat dari permukaan laut yang agak jauh dari bot. Kelajuannya mampu menandingi kelisa mega di empangan Kedah yang pernah saya alami. Itulah dia ikan bandang yang tersohor dengan pecutan selaju kilatnya!
TEKS: PAK WONG FOTOGRAFI:BEQ LANGKAWI、NICK OOI (TACKLEBOX ADVENTURES)
Itulah pengalaman pertama saya bersama bandang mega. Ikan yang berwarna perak ini walaupun dipanggil Lady Fish lantaran bentuk badannya yang langsir, namun sikapnya agak gelojoh dan rakus. Bukan sahaja pecutannya laju dan padu, malah daya saingannya juga mengagumkan. Biarpun spesimen bersaiz 1 kg sudah mampu memberikan tentangan hebat terhadap peralatan UL.
GADIS GELOJOH
Tanpa disangka-sangka Pulau Langkawi kini telah muncul sebagai lapangan menduga bandang mega tersohor dan bertaraf antarabangsa. Pada umunya bandang bukanlah ikan sasaran popular di negara kita. Isinya pula dipenuhi tulang halus sehingga kurang sesuai dijadikan lauk justeru masih mengekalkan bilangan dan saiz yang memuaskan. Kesohoran bandang sebagai ikan sasaran tanahair berpunca dari ianya adalah sejenis ikan yang didam-idamkan oleh pemancing layang sehingga menjadi lesen yang wajib diperolehi oleh semua pemancing layang antarabangsa.
Bandang yang bernama saintifik Bodianus rufus merupakan sejenis ikan yang unik di mana ianya adalah spesies tunggal dalam genus Elops. Ianya juga terkenal dengan gelaran Spanish Hogfish dan Tenpounder di kalangan pemancing antarabangsa. Ia tergolong dalam spesies ikan yang mendiami perairan tropika dan sub tropika dan boleh dijumpai di perairan yang beriklim sederhana di sesetengah tempat. Ikan bandang yang manjadikan ikan kecil dan udang sebagai diet utama ini mendiami perairan persisiran pantai. Mereka bertelur di kawasan lautan dan telurnya akan dihanyut ke kawasan muara untuk menetas dan membesar. Saiz terbesarnya mencapai 1 meter panjang dengan keberatan sehingga 10kg.

TEKNIK PANCING LAYANG
Bandang merupakan ikan yang gemar mencari makanan berdekatan permukaan. Mereka biasanya akan berhijrah ke perairan Langkawi dari bulan April hingga Julai. Menurut Beq Langkawi, pemandu pancing bandang terkenal di Pulau Langkawi, pemancing harus menyediakan joran Wt 6 hingga 9 untuk menangani bandang. Joran yang terlalu kecil akan menghabiskan lebih masa untuk menumbangkan bandang dan mungkin akan menyebabkan kematian ikan yang wajib ditangkap lepas ini. Joran yang terlalu kuat pun kurang sesuai kerana memerlukan banyak tenaga untuk melayang umpan fly sehingga tidak larat untuk bertahan lama.
Perambut sebaiknya 25 hingga 35 paun namun harus ditambah sekerat bite tippet yang pendek supaya tidak mudah putus apabila bergeser dengan gigi bandang yang halus bagaikan kertas pasir.
Manakala fly pattern terbaik adalah Rabbit minnow yang menyerupai anak ikan dengkis. Fly ini perlu dibuat sendiri atau boleh tempah dengan kedai pancing layang Tacklebox Adventures di Subang Jaya, Selangor. Ianya agak mudah dibuat dengan bahan Polarfibre dan Super UV flash, diikat di atas mata Gamakatsu SL12S size #2 atau # 1/0.


Di sebelah Pantai Barat Semenanjung memang banyak terdapat anak-anak ikan dengkis dari saiz sekecil 2 cm hingga 8cm. Apabila saya bertandang memancing tenggiri di perairan Kedah sentiasa kelihatan tenggiri, talang dan ikan kayu membelasah gerombolan anak-anak ikan ini. Anak ikan dengkis sememangnya diet utama kepada banyak spesies ikan di sana termasuk tenggiri.
TEKNIK CASTING
Pemanicng yang kurang pandai dengan teknik pancing layang boleh juga menduga bandang dengan peralatan casting. BC boleh digunakan namun harus mempunyai tali yang mencukupi, sekurang-kurangnya 150 meter agar tidak habis ditarik bandang dalam satu pecutan. Bandang mega mampu menarik keluar tali layang sepanjang 100 meter dalam masa 3 saat sahaja. Berwaspadalah!
Dari segi pilihan gewang pula, gewang jenis permukaan samada pensil atau popperlah kegemarannya.

Jika kena dengan musimnya, bandang sebesar 4 hingga 7 kg masih agak mudah dinaikkan di perairan Pulau Langkawi. Seperti layaran Rompin, keunggulan bandang Langkawi juga pernah diliputi majalah pancing layang luar negara. Mengapa pula kita sebagai orang tempatan kurang berminat untuk mendapatkan lesen yang boleh dibanggakan ini?
Bagi yang berminat bolehlah berhubung dengan Beq Langkawi melalui Facebook beliau.




