Gangsta Sungai Kedah

Memburu toman di tengah bandaraya Alor Setar.
“Musim sudah sampai! Musim sudah sampai!” tempik beberapa guide tempatan di Sg. Kedah. “Kalau berani kumpau, datanglah!” seru mereka dalam Facebook. Kedengaran beberapa tompok anak hitam dan merah sudah mula dijumpai di perairan Sg. Kedah. Tak boleh jadi ni, kasi ‘on’ terus untuk musim kali ini. Toman tengah bandar Alor Setar beb!
Teks : AIMAN JOHARI
Fotografi : AIMAN JOHARI & KEDAH CASTER

Landmark Pekan Cina.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nama Sg. Kedah menjadi semakin hot di kalangan penggila toman Malaysia. Ini semua dek termakan racun yang ditabur oleh sahabat kita, Mejar Baizuri dalam Facebook-nya. Beliau yang gemar memuat naik video-video tangkapan menerusi GoPro dan drone di alam maya mendapat perhatian ramai peminat sukan mengilat tanah air.
Asal-Usul
Sebenarnya toman Sg. Kedah ini telah lama wujud, tetapi tidak ramai pengilat dari luar Kedah yang tahu tentang kewujudannya. Beberapa tahun lepas, kami sebagai pemancing tempatan turun menduga toman Sg. Kedah dengan kaedah casting land-based sahaja. Memang ramah bujang di sini kalau kena pada musimnya.

Pemandangan Tanjung Cali dari Sg. Kedah.
Tetapi zaman berubah dari semasa ke semasa. Telah ramai penggilat tempatan yang mempunyai bot sendiri, maka dengan itu lebih senanglah untuk mengintai mama toman yang sedang mengasuh anak kecil.
Menurut orang tempatan, toman Sg. Kedah telah wujud sekitar tahun 90-an lagi apabila berlakunya banjir besar di daerah Kota Setar. Sumber ini saya perolehi daripada penduduk tempatan dan juga nelayan kampung yang sering memancing ikan patin dan jelawat di sungai ini. Malah rekod toman belasan kilo telah lama diperolehi ketika itu.

Mejar Baizuri degan racun awalnya di media sosial.
Kesahihan sumber itu masih tertanya-tanya di benak minda saya sehingga kini. Tetapi saya terfikirkan kisah beberapa orang pemancing tempatan baru-baru ini yang masih tidak dapat menaikkan mama di sini walaupun set pancingan yang digunakan adalah sangat kasar. Hmmm… mungkinkah saiz double digit yang mereka strike?
Hotspot Tersohor
Di Sg. Kedah, terdapat beberapa cabang sungai dan alur yang begitu sinonim dengan toman yang gagah perkasa. Antaranya Alor Ganu, Alor Merak, Sg. Gelam, Alor Mengkudu, Gerigih dan beberapa nama lain lagi merupakan spot terbaik untuk mengilat toman. Setiap cabang ataupun pecahan sungai mempunyai ceritanya yang tersendiri.
Misalnya Alor Ganu, merupakan sungai kecil yang datangnya dari Empangan Pedu di utara Kedah. Alor ini memang terkenal dengan saiz-saiz toman yang bagak dan kuat melawan. Tetapi bukan mudah untuk bergambar dengan tomannya.

Syarizat dengan trofi Sg. Kedahnya.
Kejadian tali utama putus, mata kail 4X terkangkang, joran patah dan lost control memang biasa berlaku. Ditambah pula struktur sungai yang mencabar menjadikan ia suatu spot mengilat yang baik untuk menduga skill anda.
Berbalik kepada racun yang ditabur dalam facebook, hari-hari keluar news feed berkenaan toman Sg. Kedah sahaja. Mana boleh tahan macam nih! Satu kali cast terus kena strike, macam pesta apabila dilihat dalam video yang dimuat naik.
Berulang kali saya ulangi video yang dimuat naik oleh teman-teman. Aduh geramnya hanya Tuhan yang tahu. Sesiapa yang mengikuti perkembangan toman Sg. Kedah mesti tahu tentang kehebatan dan kemesraan toman di sini.

Anak-anak hitam yang mudah dijumpai di Sg. Kedah.

Memancing dengan kaedah boating lebih efektif bagi menjejak mama.
Strike 90 kg!
Apabila hampir tiba musim baru kali ini, saya awal-awal lagi sudah pasang niat untuk bergambar dengan toman Sg. Kedah. Beberapa langkah awal saya atur bersama teman sekeliling dan tekong bot untuk menduga kehebatan toman yang semakin hangat diperkatakan.
Malangnya, langkah awal kami gagal kerana bot kami telah ter-strike toman 90 kg. Hahahaa… ramai yang tidak tahu yang kepala saya telah ditembusi mata kail buzzbait tatkala lontaran dari belakang partner tepat menerjah masuk di belakang kepala saya!
Bergegas kami lari ke hospital selepas itu, tapi sayangnya gambar hook tertancap di belakang kepala tidak dapat saya abadikan dalam artikel ini kerana handphone tekong terjatuh ke dalam air beberapa hari kemudian. Memang malang! Hahahaa….

15.5 paun, tangkapan terbaik saya musim ini di Sg. Kedah.
Kubu Alor Ganu
Selang beberapa minggu, saya turun semula bersama Rozaidi Rahim. Kami lebih tumpu usaha menjejak toman di Alor Ganu. Pada masa ini memang banyak bot telah berkampung di Alor Ganu. Tompok-tompok anak hitam mula kelihatan, tetapi sayangnya selang beberapa kali lontaran, anak-anak kecil ini telah lari menghilang ke dalam rimbunan buluh.
Mungkin ibunya dah sakit gigi dek asakan pemancing yang saban hari turun memancing di sini. Frust dibuatnya. Kami balik dengan perasaan hampa, memandangkan masing-masing ada hal keesokan harinya.

Kie Rocketmail dengan trofi musim kali ini.
Saya yang disapa oleh Mamu Gekko atau Payrolnisham dan Syarizat Jat Jat sekali lagi turun menduga di Sg. Kedah. Kami turun awal kali ini, walaupun air tidak berapa cantik kerana hujan yang turun beberapa hari lepas.
Tompok demi tompok anak toman kami jumpa dan tekong mengarahkan kami untuk melontarkan gewang tepat pada sasaran dan melakukan karauan yang perlahan di bawah anak-anak kecil toman. Tidak semena-mena joran saya direntap kuat oleh si mama toman, saya hanya bertahan dan pam ikan tersebut ke birai bot.
Pada masa yang sama, tekong kami berteriak mengatakan yang dia dah beberapa hari tidak nampak susuk toman kerana tidak turun menduga. Tetapi malangnya hajat saya untuk bergambar tidak kesampaian kerana ikan tersebut memecut laju sekali lagi, dan berjaya membuang Fat Pepper warna fire tiger. Aduh frust betul!
Mamu Gekko yang tidak henti-henti memujuk ikan tersebut akhirnya berjaya apabila sekali lagi mama toman itu membaham Rapala Ratlin’ Fat Rap Crawdad 7 cm beliau. Kekuatan joran G. Loomis Mahogany memang tidak dapat diasak oleh mama berkenaan dan akhirnya Mamu Gekko dapat lesen pertamanya di Sg. Kedah. Ikan seberat 4 kg tersebut dilepaskan semula sebaik selesai sesi bergambar. Tahniah Mamu!

Rare species hook-up, jelawat!
Gigih, Gigil, Gerigih!
Selepas itu kami terus menduga di Gerigih, kawasan yang penuh dengan pokok nipah liar di sepanjang perairan Sg. Kedah. Agak seram juga memancing di kawasan ini apabila mengenangkan ada berita penduduk tempatan ternampak kelibat buaya di sini. Tetapi perasaan itu saya ketepikan dek kerana ingin bermesra dengan toman. Di suatu selekoh, tekong mengatakan yang ada sekumpulan anak hitam di bawah pohon nipah.
Lontaran pertama saya terus disergap oleh mama toman, drag kekili Daiwa Ryoga saya kedengaran dan selang beberapa saat menahan asakan ikan tersebut, tali utama mula kendur, arghhhh… lucut pulak. Apalah nasib saya agaknya.
Kami terus meninggalkan kelompok anak tersebut yang mula hilang dari pandangan. Di suatu kawasan Gerigih lain, satu tompok anak hitam sekali lagi kami jumpa dan hanya satu kali balingan tepat saya ke arah sasaran terus dihenjut kuat sang toman.
Sekali lagi saya hanya mampu menahan asakan toman tersebut apabila lariannya berjaya membuka mata tiga dari mulutnya! Sekali lagi pulang dengan perasaan hampa.

Pemandangan Masjid Zahir.
Repeat Jangan Tak Repeat!
Nasib saya mula berubah apabila tekong Beris, Fendi KN mempelawa saya mengikutinya turun selang beberapa hari saya dibuli teruk. Fendi berseloroh “hari ini mesti kena naik apa cara sekali pun.” Aduh stress beb! Jangan sampai kena mandi wajib tepi sungai sudahlah… usik kawan-kawan yang tahu malang lucut menimpa saya. Hahahaaa…
Sementara menunggu Rozaidi Rahim datang ke jeti, saya dan Fendi turun memanaskan badan di kawasan berdekatan. Kami lebih tertumpu di kawasan belakang Hospital Swasta Kedah Medical Centre. Fendi yang awalnya telah landed 3 ekor toman di sini nampak tenang, sambil memerhatikan anak-anak kecil toman untuk dijadikan santapan buat saya.

Double strike dari bot kami, macam cendol! Papa dan mama kami rembat sekali, hahaaa…
Di suatu reba, Fendi mengarahkan saya supaya balingan tepat dilakukan ke arah segerombolan anak toman. Hanya beberapa kali balingan, gewang saya terasa disedut kuat oleh sesuatu. Yess strike! Kegembiraan itu hanya sementara apabila belum sempat untuk menyauk, toman tersebut memecut laju dan kejadian lucut berulang kembali.
Kami tergamam seketika sambil memikirkan situasi sebentar tadi. Beberapa lontaran susulan dari Fendi selepas itu berjaya memujuk kembali mama toman tersebut, tetapi nasib Fendi turut sama seperti saya. Awal-awal pagi pun sudah teruk kami dibuli. “Rileks, masa panjang lagi…” ujar Fendi.
Selesai menjemput Rozaidi Rahim di tepi sungai, kami terus turun menghulu ke atas Sg. Kedah. Kami lebih memfokuskan pencarian kelompok anak toman di Gerigih.
15 Pounder!

Antara tangkapan terbesar pada musim kali ini, 9 kg.

Alor Ganu, sungai kecil yang penuh dengan struktur di bawah permukaan air.
Penglihatan tajam Fendi KN sebagai seorang tekong memang saya kagumi. Kelompok pertama anak toman yang kami jumpa di belakang rumah banglo kaum Cina tidak dilepaskan kali ini. Lontaran sipi di sebelah kanan kelompok anak toman tersebut disambut rakus oleh mamanya. Kali ini memang asakan yang kuat.
Saya hanya mampu bertahan dan thumb gelendong kekili Z2020 kerana drag yang dikunci habis pun berjaya dilarikan oleh toman tersebut. Lain macam fight kali ini. Mengah, risau, cuak semuanya bercampur. Manakan tidak, joran Bone 12 – 25 paun pun teruk dikerjakan pada masa itu.
Ikan yang pada mulanya membuat lompatan untuk membuang gewang akhirnya berjaya saya daratkan kali ini. Wahhh, boleh tahan juga fight walaupun hanya 15.5 paun (7 kg) pada timbangan Boga. Hahhh, lega badi lucut telah dibuang!
Strike Bertubi-Tubi
Selang beberapa selekoh dari kawasan saya strike tadi, kami dihujani dengan strike tidak henti-henti. Begitu juga dengan beberapa bot lain yang turut menyusuri kawasan Gerigih.
Fendi dan Rozaidi mendapat double stike dari satu kelompok anak toman. Bukan main bising bot kami pada masa itu. Double strike beb! Fendi yang menggunakan joran Deps 15 – 30 paun dengan selamba menahan asakan padu toman itu.
Fuuuu… ini macam baru syok mancing, macam cendol. Sesi petang kami juga sama kisahnya. Strike demi strike kami perolehi, sehinggakan setiap balingan kami mendapat sambaran toman.
Saya yang menggunakan gewang Tomu berwarna merah turut diasak teruk di suatu sudut. Pada masa yang sama, kami turut terjumpa 4 kelompok anak toman berkeliaran di tengah sungai. Boleh pilih mana satu nak ambush pada masa tu!
Meriah betul suasana. Fendi yang menggunakan gewang keramatnya Evergreen Combat Crank berwarna hijau turut berjaya memujuk toman. Beberapa keping gambar diambil untuk kenangan sebelum ikan-ikan tersebut dilepaskan semula ke habitat asal. Macam cendol beb! Kami pulang awal kali ini dengan muka manis semuanya.

Suatu pengalaman unik sekali apabila anda dapat mengilat ikan yang besar dan garang di tengah bandar!
Musim Toman Bujang
Selain musim menjejak mama toman di Sg. Kedah, musim toman bujang di Sg. Kedah juga tidak kurang hebatnya. Apabila air sungai mula berubah menjadi kehijauan, pesta toman bujang mengambil tempat.
Toman bujang berskala 5 – 6 kg memang mudah diperolehi di sini. Gewang-gewang top water pula menjadi pilihan, berbanding selaman dalam untuk menjejak mama toman di sini.
Saya perhatikan gewang top water seperti buzzbait dan jumpfrog memang menjadi selera toman di sini. Selain boating, kaedah land-based casting juga boleh dipraktikkan. Terdapat beberapa spot terbaik untuk mengilat dari tebing dan kawasannya juga mudah diakses dengan menggunakan kereta dan motosikal.
Keunikan Mengilat Toman Sg. Kedah
Apa yang saya perhatikan, kelebihan memancing toman di Sg. Kedah ini ialah ia lebih agresif dan kuat semangat juangnya. Selain itu juga, kita akan menyusuri kawasan bandaraya Alor Setar yang tersergam indah.

Fendi KN, tekong Beris pun turun padang untuk merasai nikmat tarikan mama Sg. Kedah.
Sebagai anak Kedah, saya sendiri tidak pernah melalui beberapa kawasan di bandaraya Alor Setar yang hanya boleh diakses menggunakan bot. Kita boleh melalui kawasan Istana Anak Bukit, Masjid Zahir, Pekan Cina dan Melayu, Stadium dan banyak lagi tempat yang menarik di sekitar Alor Setar.
Lebih menarik lagi, terdapat juga kedai dan restoran di sekitar perairan Sg. Kedah. Apabila haus dan panas terik, pemancing juga boleh singgah untuk order makanan dan minuman. “Kopi ais ikat tepi satuuuu!” Haha… memang sukar diungkapkan pengalaman memancing toman di sini. Setiap kawasan ada ceritanya yang tersendiri.
Khazanah Yang Perlu Dipelihara
Dalam kita asyik memburu spesies pemangsa ini, suka saya ingatkan bahawa ‘tangkap dan lepas’ haruslah diamalkan untuk menjaga populasi ikan terhandal ini. Selagi kita menjaga khazanah sungai ini dengan baik, saya pasti lebih lama lagi kita akan dapat merasai perlawanan dan tarikan daripada pemangsa yang gah ini.

Gambar menerusi dron diambil di kawasan Pekan Cina, Alor Setar.

Boss Ru-one buzzbait dengan toman berskala 7 kg.

malkan tangkap dan lepas, barulah keseronokan kita memburu toman di Sg Kedah akan terjamin sampai bila-bila.
Sedih apabila spesies yang kita sanjungkan ini makin merosot populasinya pada masa akan datang. Justeru, marilah sama-sama kita menjaga kelestarian sungai ini untuk tatapan kita pada masa hadapan. Dengan terjaganya spesies pemangsa ini, maka tidak perlulah kita mengeluarkan modal dan kos yang tinggi untuk keluar negeri bagi mendapatkan trofi ikan yang diidamkan.
Kepada yang ingin mencari trofi toman Sg. Kedah, bolehlah hubungi beberapa nombor telefon tekong yang tersenarai ini :
- Along Tok Nadoq (012-510 0948)
- Mat Trigger Warhead (012-467 6404)
- Heirul Naim (018-944 9861)
- Khairul Anuar (017-596 1817)
- Pak Teh @ Atan Jointed (013-422 2531)
- Bob Fairuz (017-407 6879)
- Mohamad Amin Samsuddin (012-222 1873)
- Shahidan Ismail (016-524 4136 atau 019-594 9066)
Salam strike dan selamat mencuba!