Gasak Talang N9
Biarpun Selangor berjiran dengan Negeri Sembilan, namun saya yang tinggal di Selangor kurang arif dengan keadaan memancing di sana. Sehinggalah berpeluang bertandang bersama Halimi Hanip, rakan sekerja dan juga sahabat lama saya barulah saya berpeluang bergasak dengan talang gila di sana!
Teks:Pak Wong Fotogarfi:Halimi Hanip、Pak Wong
Port Dickson merupakan salah satu destinasi pelancongan tersohor di Malaysia. Pada zaman Majalah Pancing, saya dan Halimi Hanip cenderung mempromosi pancingan pantai di kawasan Tanjung Tuan. Selama ini saya hanya pernah bertandang sekali sahaja ke laut PD dengan keputusan yang kurang memuaskan.
Secara kebetulan saya telah berpeluang bertandang ke laut PD baru-baru ini bersama Halimi Hanip yang kini telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dengan tujuan untuk menyelidik tempat sesuai buat projek tukun tiruan sambil memancing. Barulah saya mendapati bahawa lubuk light jigging yang dicari-cari sebenarnya hanya terletak kurang dari 80 kilometer dari tempat tinggal saya!
Biarpun bukan masa terbaik, namun kami telah berpeluang merasai pancingan Talang yang cukup gila pada hari itu. Dari perbualan saya dengan Halimi, barulah saya menyedari bahawa Negeri Sembilah adalah negeri yang tidak memperolehi kapal pukat tunda mahupun pukat jerut, selain Melaka. Dua negeri ini sahaja di seluruh Malaysia yang tidak ada aktiviti menangkap ikan secara komersil. 100% nelayannya adalah nelayan tradisional yang menangkap ikan dengan menggunakan pukat hanyut, bubu atau rawai dengan bot kecil. Negeri Sembilan juga merupakan yang paling sedikit bilangan nelayannya. Tidak hairanlah ikan Talang masih banyak terdapat di sini kerana ikan-ikan pelagik yang bermain di pertengahan air khasnya Talang agak mudah terperangkap dengan pukat tunda.
Selain Talang, di sini juga terdapat populasi Sagai Dagu yang sihat. Saya bersetuju dengan pandangan kapten. Memang betul ikan-ikan pelagik ini khasnya Talang adalah pemangsa yang bersikap rakus. Mereka tetap akan membaham jig biarpun lolos atau putus tali. Game fish yang tidak cerewet katanya!
Air besar merupakan waktu terbaik untuk jigging Talang. Harus difahami bahawa arus di perairan Port Dickson yang berada di Selat Melaka ternyata lebih laju berbanding arus di kebanyakan lubuk light jigging tersohor di sebelah Pantai Timur. Kedalaman lubuk juga kerap melebihi 40 meter justeru memerlukan kegunaan jig yang melebihi 60 gram. Teknik Slow Jigging juga sesuai diparktikkan di sini dengan menjadikan ikan-ikan dasar yang enak seperti Merah, Jenahak dan Kerapu sebagai ikan sasaran.
Saya berharap pihak perikanan cepat-cepat menghapuskan kapal-kapal pukat tunda haram agar pemancing kita dapat terus menghayati pancingan terbaik di perairan sendiri!