Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Gempar Lagi! Black Bass Muncul pula di Perak!

Percaya atau tidak… Kuala Sepetang, Perak ada black bass?

Teks : PAPA SIRIP

Fotografi : RAZMAN ISMAIL

Jika anda masih ingat, kira-kira tiga tahun lalu, SIRIP pernah membongkar misteri kemunculan spesies black bass (Lutjanus goldiei) di Kuala Muda, Kedah. Ingat, kan? Ia menjadi berita gempar kerana pertama kalinya black bass diperolehi seorang caster di ampang jajar di kuala Sg. Muda.

Sedang tiga tahun sebelum itu, seorang pengilat juga pernah ter-casting tali rawai nelayan di bawah ampangan itu dan terkejut mendapati ikan lutjanid yang tidak pernah direkodkan di Semenanjung terkapai-kapai di tali rawai. Ia nyata bukan siakap merah, tetapi berwarna coklat berbelang kuning yang saling tak tumpah dengan ‘kanai’ atau ‘tembaring’ yang popular di Sabah!

Black Bass Kuala Sepetang

Setelah sekian lama menyepi tanpa khabar berita kemunculannya, baru-baru ini, kejadian misteri itu meledak lagi. Kali ini berlaku kepada Razman Ismail yang memancing di Kuala Sepetang, iaitu salah satu kawasan hutan bakau terluas di Perak dalam sistem Larut – Matang yang merangkumi Kuala Selinsing, Kuala Gula sehingga Trong.

Nelayan pernah dapat ikan ini dan dinamakan siakap tengah!?

Rapala beliau telah direntap ganas ketika ‘mengorek’ reba siakap merah. Beliau dan rakan-rakan termasuk tekong yang membawanya dari Selinsing (Ahmad Jebat) terperanjat sebaik ikan yang disangkakan amat besar berdasarkan gaya rentapan rakus dan kudrat luar biasa rupa-rupanya seekor ikan muara yang hanya dijumpai di Sabah! Dan beratnya cuma 1.7 kg sahaja!

Ternyata ia kanai atau tembaring atau black bass, berdasarkan identiti badan yang kecoklatan serta belang-belang kuning merintangi badannya. Berita ini tersebar di Whatsapp, tetapi ramai tak percaya cerita beliau.

Siakap Tengah?

Sebaik ikan ini dinaikkan, sebuah bot nelayan melewati. Apabila ditunjukkan, nelayan itu mengatakan ikan ini jarang-jarang kena pukat mereka dan saiznya bawah sekilo. Mereka memanggilnya ‘siakap tengah’.

Di Kuala Muda, nelayan juga sahkan spesies ini atas nama ikan ‘rangsai’ atau ‘belang kuning’, menunjukkan ia bukanlah spesies asing di kalangan nelayan. Tetapi kita pemancing amat skeptikal, apatah lagi tiada sebarang sumber penyelidikan menyatakan Lutjanus goldiei wujud di Semenanjung.

Bukti sudah ada… terserah kepada anda untuk menilainya. Black bass Darul Ridzuan… lagi misteri nusantara abad ini!

Spesimen black bass dipanggil ‘rangsai’ di Kuala Muda, Kedah yang pernah gempar apabila dinaikkan seorang caster tiga tahun lalu. Kini muncul di Perak pula! Benarkah dakwaan Semenanjung Malaysia tiada spesies hebat ini? Bagaimana dengan bukti-bukti bergambar ini?