Geng Pancing Jet Ski
Bukankah sangat membazir jika jet ski yang mampu memecut dengan amat laju hanya digunakan untuk merempit sahaja? Sekumpulan peminat jet ski di Johor Bahru memutuskan untuk membawa joran bersama apabila pergi ke laut. Inisiatif ini telah memberikan tafsiran baru kepada sukan jet ski tanahair!
Teks & Fotografi: KT TANG
Kami adalah sekumpulan peminat jet ski di Johor Bahru dengan 40 lebih orang ahli yang sama kepala. Namun hanya 10 orang sahaja yang minat memancing. Harap-harap dengan artikel ini dapat menarik lebih ramai kaki untuk menikmati sukan memancing jet ski yang amat menyeronokkan ini.
Selain ahli yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini, ramai di antara kami telah mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam sukan jet ski. Perairan yang biasa kami kunjungi termasuklah Pulau Sibu, Tinggi, Besar, Tioman, Pemanggil, Aur sehinggalah perairan yang lebih jauh lagi. Setelah sekian lama berkecimpung dalam sukan ini, kami pun terasa agak bosan. Justeru apabila ada ahli yang mencadangkan untuk memancing dengan jet ski, ahli-ahli yang minat memancing pun cepat-cepat angkat tangan! Sejak itu acara memancing pun menjadi aktiviti kegemaran geng jet ski kami!
JET SKI UNTUK PEMANCING
Untuk menampung keperluan aktiviti memancing, kami telah membuat sedikit modifikasi ke atas jet ski masing-masing. Termasuklah penambahan sebuah peti sejuk dan juga pemegang joran. Di jet ski sudah tersedia petak simpan barang yang boleh digunakan untuk menyimpan perkakasan memancing yang diperlukan.
Memandangkan semakin ramai orang menggunakan jet ski mereka untuk aktiviti memancing, mulai tahun ini syarikat SEADOO di Kanada telah menyediakan model FISHPRO yang direka khas untuk memancing. Ia telah dilengkapi aksesori memancing yang bertaraf profesional seperti GPS, alat sonar, Trolling Mode, peti sejuk dan pemegang joran. Trolling mode adalah setting injin yang lebih perlahan untuk kemudahan menunda gewang.
Jentera memancing yang canggih ini mempunyai tangki minyak sebesar 70 liter. Kelajuannya boleh mencapai 90 kph. Sekali isi penuh minyak mampu berjalan sejauh 150 kilometer, tiada masalah untuk memancing di sekitar perairan berdekatan pantai. Jika ingin menjelajah ke tempat yang lebih jauh bolelah menambah sebuah lagi tangki di belakangnya.
KELEBIHAN JET SKI
FISHPRO memang cocok untuk peminat jet ski yang berhobi memancing. Ia membolehkan kita bertolak bersama beberapa orang teman untuk tujuan memancing pada bila-bila masa sahaja. Ianya sesuai untuk berbagai teknik memancing seperti casting, jigging, popping, pancing dasar dan sebagainya. Boleh juga pergi casting haruan di empangan asalkan ada tempat yang sesuai untuk menurunkan jet ski!
Jet ski juga boleh mempraktikkan semua kaedah memancing yang dipraktikkan dengan bot pancing biasa. Jet ski yang bersaiz kecil dan laju dapat kembali ke titik permulaan dengan lebih laju apabila memancing secara hanyut. Ia juga dapat melintasi spot dengan lebih tepat berpandukan skrin sonar.
Jet ski juga mempunyai rekabentuk badan yang handal menangani ombak. Tak goyang sangat berbanding bot biasa. Kelebihan yang paling ketara ialah ianya amat laju dan dapat bergerak dari satu spot ke spot yang lain dalam masa yang pendek. Justeru kami dapat bertukar banyak spot dalam satu hari memancing. Satu lagi kelebihannya ialah mampu bergerak bebas di perairan cetek justeru amat sesuai untuk teknik popping.
Di Johor Bahru, kini hanya terdapat 10 orang sahaja yang menggunakan jet ski untuk aktiviti memancing. Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai kami. Mungkin disebabkan kelahiran FISHPRO, aktiviti memancing dengan jet ski mula menjadi popular di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Thailand pada tahun 2019. Tidak hairanlah satu hari nanti jet ski fishing akan menjadi aktiviti yang popular di merata dunia!
Berminat bolehlah hubungi saya: 012-777 7755 KT TANG。