GT Kerbau Beting Niah
Hanya 6 batu nautika dari pantai, anda bisa temui sebuah padang popping GT kerbau sehingga 30 – 40 kg! Dan ia berada di negara kita! Sukar nak percaya, bukan? Ikuti pengalaman penulis menerokai sarang GT Beting Niah atau Ursula Reef yang tersergam indah hanya di persisiran Miri…
Teks & Fotografi : MATHEW MAHEN KUMAR
Bergelar si pembuli terumbu karang, henjutan Giant Trevally atau ‘GT’ pastinya memberi pengalaman paling berharga sehingga meresapi jiwa setiap pemancing. Tentunya amat mengujakan setiap pemancing di dunia sebaik jolokan ‘GT kerbau’ berjaya ditumpaskan dan dirangkul ke pangkuan.
Kita biasa melihat papan tanda had kelajuan di lebuh raya, tetapi di sini ia berada di sungai!
Lantaran obsesi GT, apatah lagi mengetahui terdapat sebuah terumbu yang dikuasai GT berdekatan pantai Miri sahaja, saya bersama Kumar, Logaraj dan Safri Marat sebulat suara terbang terus ke sana dari KL dengan harapan menggunung untuk mengalahkan dan memeluk sang GT idola kami.
Set Perang
Sebelum ke Miri, kami perlu menjamin persiapan alat tempur GT yang dibawa adalah cukup ampuh. Kami menyediakan tiga set kekili Shimano Stella 14000XG dan Ecooda 10000 berpasangan dengan joran Zen Zagan Extreme Tuned Mars Crusade dan PE 8 Chugger.
Di samping itu, kami juga menyediakan joran Extreme Anglers Custom PE 6 dan PE 8 yang direka cipta oleh Kenny Chee Extreme Anglers Tackle. Tali juga hendaklah berkekuatan tinggi kerana sifat GT yang suka menyelinap ke struktur untuk melepaskan diri. Justeru kami mengisi tali sulam sekurang-kurangnya 80 paun dan disambung perambut Sunline 100 paun.
Popper, swimbait atau stickbait seberat 100 hingga 160 gram sepanjang 180 hingga 270 mm disusun rapi, dan dilengkapkan dengan mata kail GT Recorder Barbless 5/0, 6/0 dan Barbless Single Hook (SPGT) saiz 40. Bagi mengelakkan gegelung cincin (split ring) terbarai dikekah GT, kami menggunakan saiz berkekuatan 200 – 250 paun.
Hidangan lauk-pauk yang enak selepas balik popping, disediakan oleh isteri Kapten Gerisi Merah.
Kapten Gerisi Merah
Setelah mendarat di Lapangan Terbang Miri, kami disambut oleh Kapten Gerisi Merah, lalu beliau membawa kami ke Kg. Kuala Sibuti yang terletak kira-kira 45 minit sahaja. Selaku tekong atau kapten bot memancing yang terkenal di sini, beliau turut menyediakan sebuah homestay buat para pelanggannya.
Isteri beliau mengalu-alukan kedatangan kami dengan hidangan pelbagai masakan tempatan yang enak sekali. Layanan mesra mereka begitu menyentuh perasaan. Kami akan berada selama tiga hari di kampung ini dan pangkalan bot pula hanya 2 minit berjalan kaki. Syoknya!
Esoknya setelah tidur secukupnya, kami dihidangkan sarapan seawal 7 pagi oleh isteri Kapten Gerisi Merah. Kami kagum dengan pelbagai hidangan yang disediakan. Fuhhh… kenyang sakan! Selepas itu kami memulakan perjalanan dengan bot yang dipandu oleh Kapten Gerisi Merah selama 45 minit ke terumbu yang sudah lama meniti di bibir kaki popping Miri, dipanggil Beting Niah.
6 Batu Nautika Dari Pantai?
Beting Niah merupakan nama tempatan bagi terumbu yang asal nama Inggerisnya, Ursula Reef. Ia terletak di dalam sistem terumbu karang Miri – Sibuti.
Difahamkan terdapat tiga buah bukit di terumbu ini yang kedalaman puncaknya dari permukaan air sewaktu air surut ialah 14 kaki. Jika dicantumkan, terumbu di puncak tiga buah bukit ini dianggarkan seluas padang bola sepak, memang ideal sebagai kawasan rayau GT setiap kali musim laut bergelombang sederhana selepas musim tengkujuh iaitu sekitar bulan Mac hingga Mei.
Yang uniknya, terumbu ini sebenarnya tidak jauh pun dari daratan. Jika diukur lurus dari pantai terdekat, ia hanya 6 batu nautika! Tetapi memandangkan bot kami dari Kuala Sibuti, jaraknya menyerong sejauh 11 batu nautika.
Kapten Gerisi Merah yang menggunakan enjin berkembar 40 kuasa kuda mula memperlahan dan mencari sudut sesuai untuk kami membuat balingan popper ke arah kawasan yang sering dilihat GT berkeliaran. ‘Trevally Game’ bermula sebaik lontaran popper masing-masing terbang ke sisi radius terumbu tenggelam ini.
Kami menyedari momentum yang bakal berlaku dalam game yang amat mendebarkan ini. Jadi posisi perlu disusun, di mana dua orang akan melontar dan seorang lagi menunggu giliran. Yang penting, pastikan seseorang terus ‘chugging’ tanpa putus untuk memanggil dan menaikkan kemarahan penunggu karang.
Matahari semakin terik dan hembusan angin mula bertiup laju ke wajah kami. Tiada pulau pun, hanya lapangan lautan biru yang spektakuler lagi menyegarkan. Berbalam-balam di dalam air tampak warna gelap dan biru cerah menandakan kewujudan bukit tenggelam yang dihiasi terumbu karang. Kami konsisten popping walaupun agak lama tiada sebarang strike. Tabah menanti kerana dalam fikiran sememangnya sudah tekad untuk bertarung dengan makhluk gergasi!
Kebaboommm!
Perairan yang tenang mula terasa semakin kuat bunyi ombak menghempas birai bot kami. Dari pagi hingga tengahari belum ada apa-apa berlaku. Namun menjelang petang selepas kami menjamu makan tengahari, permukaan laut semakin berombak dan beralun. Jaga-jaga!
Tak semena-mena saya menerima hit pertama apabila popper chugger jenama KZ Works 140 g meletup dibantai GT dari bawah. Whoaaa! Tetapi cuma sebentar apabila dalam masa tiga saat sahaja semuanya lebur. Meletup perambut saya!
Kami mengeluarkan pula swimbait dan stickbait yang dibeli dari Eddie Anglers Garage Tackle untuk menggantikan permainan popper. Permainan gewang sub-permukaan ini betul-betul menjadi apabila GT skala 19 kg datang menggonggong gewang bagak itu, memecut padu tetapi akhirnya berjaya ditumbangkan setelah pertempuran yang sengit. Sesi petang ini ditamatkan dengan empat trofi yang mengujakan iaitu GT dari saiz 19 kg hingga 25 kg!
Hari kedua dan ketiga menggempur Beting Niah ini lebih produktif. Dipendekkan cerita, kami dianugerahi dengan lima tangkapan melebihi 20 kg. Dua daripadanya mencecah skala timbangan 28 kg dan 30 kg. Keterujaan yang sukar digambarkan, suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli!
Sepanjang popping di Beting Niah, kami seronok dapat menyaksikan penyu yang berlegar di sekitar bot kami, aksi tenggiri melompat seperti roket dan seekor pari dewasa dibantai sekumpulan GT. Ini semua adalah lukisan alam semulajadi yang sangat indah dan dihargai sepanjang hayat.
Satu lagi gergasi yang berjaya diperdaya dengan stickbait mega jenama CB One Abalone Limited berukuran 270 mm panjang.
Tak Perlu Mengembara Jauh
Anda tidak akan menyesal memilih Kapten Gerisi Merah yang handal mengesan sarang permainan GT Beting Niah. Di samping itu, kemurahan hati beliau dan isterinya begitu menggamit hati kami, apatah lagi dapat merasai kelazatan makanan laut yang sememangnya kegemaran kami. Kemesraan mereka cukup bernilai dan ia menggambarkan kesantunan budaya masyarakat Miri.
Kita sering mendengar ramai pemancing kita yang sanggup mengumpul banyak wang semata-mata untuk memburu GT di luar negara, sedangkan kita sebenarnya boleh menimba pengalaman yang serupa dengan kos yang lebih jimat di perairan tanahair kita sahaja iaitu di Miri, Sarawak.
GT sememangnya ultimate buat setiap pemancing lautan yang mana anda harus menimba pengalaman pahit dan manis bertarung dengannya. Tetapi jika ia sudah ada di laman kita, mengapa perlu kita ke laman orang untuk menduganya?
*Untuk keterangan lanjut popping Beting Niah, anda boleh hubungi Kapten Gerisi Merah melalui akaun facebook-nya : Gerisi Merah