Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Habuan Musim Jelok

Dua spesies ebek iaitu ebek bulat dan ebek kapak di lubuk yang sama.

Monsun timur laut dianggap musim rehat buat nelayan. Masa ini digunakan untuk membaik pulih bot, jaring atau bubu sebelum menanti musim seterusnya. Namun tidak bagi pemancing sejak kebelakangan ini. 10 tahun lepas kalau diajak turun musim sebegini, ia dianggap menempah maut. Tetapi sekarang mereka umpama benteng hadapan di medan perang, hanya menunggu masa menyerang tatkala datangnya ‘jelok’ di celah-celah monsun ini…

Teks & Fotografi : HANUMEI IKE

Monsun timur laut yang membadai selama 4 bulan ini sebenarnya tidaklah membawa gelora dan angin selama berbulan lamanya. Dalam tempoh tertentu akan ada lenangnya buat beberapa hari. Pemancing akan sentiasa menanti tempoh lenang ini dan menghitung hari bagi meredah alun. Namun begitu bagi mereka yang hati kering sahaja akan sanggup melawan alun gelora di muara, kerana mereka tahu tarikan perlawanan pada musim sebegini jarang menghampakan.

Aruan tasik memang kuat giler tapi spesies ini lazimnya tidak dikehendaki pemancing.

Aspek keselamatan perlu diambil berat. Dalam pada itu, tetap ada rahsianya juga yang perlu diperhatikan pemancing yang bakal dikupaskan nanti, bukannya main redah semberono sahaja. Suka saya nasihatkan ada baiknya menaiki bot laju bersaiz besar sedikit dan tidak pulang terlalu lewat malam, kerana bahaya tetap menanti di muara.

Begitu juga dengan bekalan makanan dan minuman hendaklah dibawa berlebihan. Andainya angin timur datang mengejut, carilah pulau berdekatan. Begitu juga lokasi pancingan, ada baiknya juga berhampiran pulau, sekurangnya-kurangnya ada tempat berlindung. Sekiranya terdesak, keluarkan wang saku yang lebih sedikit, maklumlah harga setin Coke mencecah hampir RM 5, jauh bezanya di tanah besar.

‘Air lenang’ di celah-celah monsun adalah habuan musim jelok yang dinantikan-nantikan pemancing.

Definasi Jelok

Definasi ‘JELOK’ itu sudah membawa makna yang menggerunkan seperti ‘pukul curi’ atau memancing dalam gelora musim tengkujuh.

Apa itu jelok? Bagi anak-anak Pantai Timur sudah memahami dalam dunia memancing di air masin sewaktu monsun. Seperti saya katakan tadi, gelora monsun timur laut yang dipengaruhi tiupan angin yang kuat mencecah 40 – 50 km/j tidak selamat buat sebarang aktiviti di laut. Tetapi sebenarnya ia tidak berpanjangan, ada tempoh lenang. Namun lenangnya tidak bermaksud laut berkaca tiada kucah, sebaliknya alun gelombang tetap ada dan mampu mencecah 1.5 meter.

Angin mula mereda dengan kelajuan 20 – 30 km/j, dan waktu inilah pemancing yang ketagihan mula meredah alun gelombang untuk beberapa hari mengisi ruang jelok ini. Namun tidak semua sanggup melawan ombak di muara, yang hati kering sahaja akan membelah alun gelora ini dan perlu dipastikan juga khidmat tekong yang berpengalaman.

Mat Yo dengan ebek bulat idaman.

Itu baru di muara, belum lagi menyentuh soal arus. Sebelum kedatangan musim monsun, di sebelah Pantai Timur lazimnya hanya terdapat dua pergerakan arus iaitu timur dan barat. Apabila tiba penghujung musim, pergerakan arus mula berubah ke arah utara sahaja yang menandakan musim monsun akan tiba.

Begitu juga pada waktu bulan purnama, jika diperhatikan akan terdapat satu gelungan cincin berwarna kemerahan melingkungi bulan. Fenomena ini dikenali ‘bulan kandung’ yang selalu menjadi pedoman mahupun peringatan buat nelayan dahulu. Ini menandakan angin akan datang dalam waktu terdekat. Jadi segala aktiviti nelayan tidaklah terlalu jauh dari pantai.

Dalam seronok melakukan aktiviti di lautan, perlu juga perhatikan gelombang. Sebelum datangnya angin monsun, gelombang dari arah timur dahulu yang tiba yang semakin lama semakin meninggi. Dan andainya mencecah ketinggian 1.5 meter, ada baiknya kita pulang sahaja kerana bahaya di muara adalah satu lagi risiko besar yang bakal ditempuh.

Talang yang kasar oleh Lie Tamil.

Menongkah Gelombang

‘Buka kuala’ – satu lagi istilah yang sering digunakan pemancing sebagai pembukaan rasmi trip permulaan musim dalam gelora monsun. Waktu ini bot-bot laju yang ditempah pemancing selalunya penuh dan agak sukar didapati andainya terlewat tempah. Tekong-tekong terkenal sering menjadi rebutan, malah ada yang sanggup menempah penuh sepanjang musim jelok ini. Ia menjadi satu fenomena panas sejak 5 tahun kebelakangan ini.

Bagi Uncle Arfan yang sudah bosan dengan permasalahan ini, beliau mengambil keputusan membeli sebuah bot laju untuk kegunaan beliau setelah bersara daripada menguruskan syarikat minyak dan gas miliknya. Beliau menjemput rakan-rakan terdekat untuk mencuba bot baru miliknya bagi trip pembukaan musim pada kali ini.

Berpangkalan di Tanjung Lali, Kg. Raja, Besut, kami meninggalkan jeti setelah cahaya menerangi bumi. Lazimnya trip pembukaan pemancing selalunya tidak keluar terlalu awal seperti selepas subuh, kerana agak bahaya dalam suasana gelap di muara dengan alun gelombang yang menerjah.

Double strike dengan dua teknik… jigging laju dan mengilat sinking minnow.

Malahan tekong perlu arif dengan alur sungai. Alur yang dalam di muara akan membentuk alun, manakala di tempat cetek akan terjadinya pecahan ombak yang perlu dijauhi. Setelah berjaya melepasi muara, bot terus dipacu ke arah Pulau Perhentian. Sekurang-kurangnya perjalanan kami terlindung daripada gelombang kasar di balik pulau. Lubuk-lubuk pancing yang dipilih pun tidak jauh dari pulau. Walau bagaimanapun perlu melepasi radius yang ditetapkan sebagai Taman Laut.

Memancing pada musim ‘jelok’ ada baiknya berhampiran pulau. Sekiranya terlalai dalam memantau gelombang dan angin waktu memancing, pulau adalah tempat berlindung sekiranya datang angin kuat yang menjadikan gelombang semakin meninggi dan membahayakan keadaan di muara.

Manalah tahu… pemancing ni berbagai ragam dan kerenah, mana mahunya pulang bila diajak bila ikan tengah kuat meligan umpan! Bila sahaja melepasi alun gelombang lindungan pulau, kami mula lencun akibat merempuh gelombang 1 meter tingginya menuju ke satu karang.

Kapten kami, Uncle Arfan.

Jelok Di Karang

Pada musim begini, pilihan lubuk juga amat penting dengan mencari struktur dasar yang besar seperti karang, kapal karam, tukun-tukun mahupun batu laut. Ikan-ikan banyak berlindung di struktur besar dalam gelora dengan rantaian pemakanan mereka lebih kompleks di sini apabila mangsa dan pemangsa berkumpul di satu tempat. Ebek selalunya menjadi igauan pemancing pada permulaan musim.

Mengesan puncak karang tertinggi dan berhanyut di kawasan drop-off sering membuahkan hasil apabila double strike berlaku antara Alif dan Zizie sebagai acara pembukaan panggung opera tahun ini. Sentapan bersilih ganti, kedua-dua jig ringan 40 g yang diujun malas mendapat getuan. Kawalan joran dilayan sebaik mungkin dengan asakan kasar pada permulaan untuk menaikkan jarak ikan sedikit ke atas bagi mengelak bergesel dengan struktur karang. Maklumlah tali utama dan perambut sepanjang 5 – 6 depa yang digunakan agak halus.

Apabila berada di pertengahan air, barulah dilembutkan sedikit aksi tarikan bagi mengelak koyakan bibir lebih luas yang bakal mengakibatkan ikan terlucut. Apabila kedua-dua berjaya didaratkan, dua spesis ebek iaitu bulat dan kapak menjadi penyeri awal trip ini.

Dalam teknik berhanyut di karang, jig perlu merapati dasar dengan penggunaan mata tunggal berkembar pada bahagian atas sahaja bagi mengelak jig tersangkut karang. Jig diketuk-ketuk ke dasar sering menjadi habuan kerapu dan sagai, ini sudah cukup untuk mengelak kumpau awal musim.

Jig kilat perak adalah asas yang perlu ada pada jig jika inginkan game tenggiri.

Teknik berhanyut di sekitar karang amat saya sukai kerana dengan bantuan sonar, kita dapat melewati semua bahagian karang yang luas dengan tangkapan pelbagai spesies yang menghuninya. Unjunan joran dan kayuhan kekili perlu digayakan dengan pelbagai teknik bagi menghidupkan jig di dasar untuk menarik penghuni karang membaham jig kita.

Getuan ebek mulai reda apabila banyak strike yang putus dan rabut. Memang rezeki baik buat kami. Menjelang tengahari, alun mulai reda bila mana tiupan angin mati seketika manakala arus mulai laju. Lantas kami mula mencari unjam berhampiran karang bagi memburu tenggiri.

Jelok Tenggiri Unjam

Aksi sinonim kayuhan jig laju dengan pemilihan jig berwarna kilatan perak adalah asas bagi badan jig yang perlu ada jika inginkan game tenggiri. Dalam cuaca berangin, agak sukar berhanyut di sekitar unjam. Cara terbaik adalah terus mengikat tali bot pada unjam dengan berhati-hati bagi mengelak tusukan tajam buluh unjam terkena pada rakan yang mengikat tali.

Walaupun berjigging ringan, jangan dipandang remeh akan stamina pemancing dalam kayuhan laju untuk tenggiri kerana terkadang sesak nafas juga dibuatnya. Kayuhan penarikan laju jig ke permukaan sebaiknya jangan terhenti di pertengahan kerana selalunya menjadi mangsa cukai spesies bergigi pisau ini. Tanpa unjunan joran, hanya kelasakan kuasa kekili digunakan sepenuhnya untuk mengarau laju jig semaksimum mungkin ke permukaan.

Dalam pada itu, pemancing harus peka dan memerhatikan tali. Apabila sampai di bahagian perambut, kekili perlu dikayuh pelahan bagi mengelak jig terpelanting ke arah diri sendiri mahupun rakan bersebelahan. Lazimnya mata tiga dipasang di bawah jig sebagai insuran tacakan kedua agar terkena pada badan tenggiri yang tidak bersisik dan menyukarkan lagi mangsa meloloskan diri. Tetapi andainya jig yang terpelanting itu terkena pada badan kita, ia boleh dianggap penutup trip!

Perambut yang digunakan sepanjang 5 – 6 depa memberi kita sedikit ruang atau masa untuk memperlahankan kayuhan sebaik jig menghampiri permukaan. Teknik berjigging di perairan cetek memang perlukan perambut panjang, halus dan berkekuatan tinggi. Perambut seakan tidak kelihatan dalam air kerana cahaya yang menembusi air sudah tidak mengganggu penglihatan ikan pada spektrum warna tali utama yang boleh mengakibatkan ikan culas untuk membaham jig.

Berbeza pula pada teknik mengilat, gewang sinking minnow (SM) hanya memerlukan 2 – 3 meter perambut. Mungkin kerana SM lebih besar bentuk badannya dan lebih mirip ikan sebenar serta aksi renangan yang amat menggiurkan pemangsa untuk geram membaham SM berbanding jig ringan yang kecil saiznya.

Kedua-dua teknik ini sekali lagi merekodkan double strike buat kali pertama bagi pancingan tenggiri pembukaan musim. Ia berlaku setelah balingan jig ringan milik Epy dan SM milik Abg. Aji ke arah kelompok anak-anak ikan yang kelihatan bertempiaran lari di permukaan air.

Jatuhan jig ringan dan SM dibiarkan tenggelam seketika, dan dengan hanya beberapa karauan, kedua-dua umpan tiruan terus dibaham tenggiri. Walaupun berskala bawah 4 kg, tenggiri unjam sudah cukup memberi kepuasan buat kami menghilangkan ketagihan yang tersimpan sepanjang musim tengkujuh. Dapatlah merasa lauk segar setelah lama memakan ikan kotak (beku) yang dibeli di pasaraya.

Sagai, kecik-kecik tapi syok kena dengan set ringan.

Alun Petang

Pada sebelah petang, angin timur kembali bertiup menyebabkan kami tidak mampu lagi berdiri secara stabil. Tetapi apabila mengingatkan tenggiri masih lagi kuat meligan jig, kami cuba bertahan. Setiap jig yang dibaham tenggiri akan diperiksa ikatan mata pada kevlar berdawai. Walaupun penggunaan kevlar berdawai, gigitan tenggiri mampu memotong dawai yang terdapat dalam kevlar sekiranya tiga atau empat kali berlaku strike pada kevlar yang sama.

Ada baiknya ditukar sahaja ikatan mata dan kevlar andainya sudah ternampak dawai halus terputus. Adakalanya tenggiri pun turut culas sekiranya berlaku kes rabut mahupun putus semasa bertarung. Apabila ragutan semakin kurang dan alun serta tiupan angin semakin kuat, enjin bot dihidupkan sebelum tali ikatan pada unjam dilepaskan, dengan haluan bot dipacu ke arah muara Kuala Besut menyusur gelombang yang semakin meninggi.

Sekali lagi kami lencun kebasahan dalam perjalanan pulang merempuh alun jelok yang sentiasa dinanti-nanti pemancing dan juga nelayan. Bab kata nelayan, alun ini membawa rezeki, alun ini membawa ikan, alun ini memberi nafas buat mereka…

* Untuk urusan sewaan bot; hubungi Uncle Arfan : 019-937 7111