Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Halibut, Ratu Utara Atlantik

“Beautiful, beautiful, girl from the North. You burned my heart with a glittering torch…” lagu terkenal Iggy Pop ini menghantui pemikiran saya sepanjang minggu, semasa duduk dalam bot, hanyut dikelilingi batu-batuan yang diliputi salji. Iggy Pop menulis lagu ini demi seorang gadis yang beliau temui 20 tahun sebelum itu, tetapi masih taksub kepadanya. Tetapi ‘Gadisku dari Utara’ ini tampak sedikit kurang seksi malah tajam giginya, yang digilai saya dalam cara yang sama!

Teks & Fotografi : TOM SINTOBIN

Olahan & Terjemahan : HALIMI HANIP

Sekumpulan lumba-lumba menyambut kehadiran kami di kawasannya.

Sejak 2011, saya dah jatuh cinta terhadap Ratu Utara ini sebaik melihat ia tergantung dari kren di sebuah pelabuhan sepi di Iceland. Panjangnya 203 cm, ditimbang 108 kg – dan betapa bodohnya ia kerana tidak tergoda dengan saya, sebaliknya kepada seorang pemancing Jerman yang tidak pernah dengar falsafah tangkap dan lepas!

Hippoglossus hippoglossus : nama itu sahaja menggambarkan kesasaan, prasejarah, kejam. Halibut Atlantik yang perkasa… Seminggu berusaha keras di Iceland hanya menganugerahkan saya sejumlah ikan kod yang besar, tetapi tidak halibut. Setahun kemudian saya alami nasib yang sama di Norway Utara : memancing 6 hari sekurang-kurangnya 14 jam sehari, saya beroleh cuma seekor halibut bantut. Ratu Utara yang sebenar jelas sukar diperdaya. Dia lebih sukakan rakan saya Lodewijk, apabila beliau berjaya menggoda seekor bersaiz 127 cm.

Trofi idaman saya dengan ukuran hampir sepanjang ketinggian saya!

Saya tinggalkan Norway dengan hati yang pasrah. Kembali ke rumah, saya tidak henti-henti membaca artikel, laman sesawang, semua illustrasi bergambar yang membuatkan jantung saya terhenti. Saya tidak dapat tidur. Darah mengalir ke segenap urat, liar seperti  lautan yang menjadi tempat tinggal ikan leper yang hebat. Dalam novel Moby Dick, Kapten Ahab bersungguh-sungguh ingin memburu paus sperma putih gergasi, tidak kira apa yang bakal menghalang. Jika mereka anggap saya gila, Ahab pun berfikir sebegitu, tetapi mereka silap. Kegilaan saya ada wawasan.

Ke utara saya pergi, bersama Lars dan Joris Nieuwenhoff, sehingga ke Havøysund, berhampiran Noordkaap – titik paling utara di Eropah. Keadaan agak optimum, salji telah turun minggu sebelumnya, menyebabkan suhu air jatuh, air sejuk tidak baik untuk selera halibut ini. Lebih teruk lagi, angin bertiup kencang menjadikan laut bagaikan mendidih sepanjang minggu. Angin datang dari timur : sentiasa menjadi jaminan untuk tangkapan yang kumpau di Eropah.

Idea Bernas Trolling

Selepas dua hari setengah mengunjun gewang S.P yang dianggap paling berkesan buat halibut (Storm Giant Jigging Shad dan Herring Cutbait oleh Savage Gear), bot kami memang kumpau. Sebuah bot lain berjaya naikkan halibut kira-kira satu meter, dan beberapa spesiemen kecil semasa memancing ikan kod. Ya ikan kod, spesimen yang menjumpai dan membelasah gewang kami ada mencecah skala gergasi dengan sepanjang lebih 4 kaki!

Kemudian Lars cadangkan idea menarik. Bagaimana kalau kami cuba trolling? Lalu tiga S.P ber-jighead paling berat (Cutbait 465 gram dan dua Westin CrazyDaisy 400 gram) dilabuhkan. Kami menyusur perlahan-lahan di kawasan cenuram dan batuan, dengan air berkedalaman kira-kira 30 meter. Hasil luar biasa berlaku : dalam masa setengah jam, joran Joris disambar halibut 130 cm. Pada mulanya, kami sangka ikan kod dengan pecutannya yang cukup bertenaga.

Ikan kod cuma ikan sampingan, tetapi saiznya mega belaka.

Selepas bergambar, kami trolling semula. Selang beberapa minit, Lars lagi yang kena : kali ini spesimen 112 cm. Dan akhirnya tiba giliran saya, halibutkira-kira2kaki panjang merenggut gewang S.P yang ditunda perlahan. Satu kepuasan buat diri ini apabila ikan idaman yang cantik,berbintik-bintik merahdancoklat dapat jua ditumbangkan.

Petanda Helang Laut

Hari 4, sekali lagi kami sibuk dengan aksi unjunan S.P yang tidak berkesudahan. Jatuh, unjun unjun, karau sikit, biarkan S.P Shad melakukan sedikit tarian sedikit, unjun-unjun lagi… karau sikit, jatuhkan balik… Semudah itu, budak kecil pun boleh lakukannya, kalau dia budak yang kaki laut dan mempunyai kuasa konsentrasi seperti juara pemain chess. Aduh, betapa bosannya teknik ini! Unjun unjun, menari-nari, karau… secara automatik saya memancing sebegitu sambil meninjau-ninjau sekeliling. Wah, ada helang laut!

Saya teringat cerita lama daripada jurupandu Norway dua tahun lalu : pernah seekor helang menyambar seekor halibut, namun ikan itu terlalu besar buatnya menyebabkan kedua-duanya lenyap di dalam air. Jadi apabila ternampak helang, anda tahu bahawa halibut ada di sekitaran. Saya seorang yang ternampak helang itu, dan yang anehnya, ia memberikan saya keyakinan.

Unjun unjun, menari-nari, karau… Unjun unjun, menari-nari, karau…. Jatuhkan semula… Sehinggalah saya rasa nak karau terus… tiba-tiba BAM! Terasa henjutan luar biasa pada joran saya, menekan dengan amat berat kemudian mencucur lari dengan ganas. Dah kena! Ia menyakitkan pinggang saya kira-kira 20 minit sebelum dapat melihat ikan itu.

Black Cat, joran yang cukup mantap untuk menumpaskan halibut sebesar pintu.

Apabila Lars menyentuhnya, dia lari jauh lagi sehingga ke dasar. Lagi sekali saya kena dera. Akhirnya ia kecundang, seekor ikan sebelah yang leper hampir sepanjang diri saya! Cantik sungguh. Saya teruja, Ahab telah mencapai matlamatnya. Dengan berhati-hati, kami letakkan ia kembali dalam air dan dia berenang lalu seperti tiada apa yang berlaku…

Tuah Empunya Badan 

Saya berjalan di sekitar bot, cuba berborak sedikit dengan rakan dan memetik gambar. “Apa kamu buat kat sini?” tanya Joris apabila saya berdiri di sebelah beliau. Pergi pancinglah, jangan malas!” Ya, rakan-rakan pun jadi tertekan nampaknya haha… saya pun kembalilah ke tempat saya. Terasa pula nak ‘buang air’, jadi saya letakkan joran pada tempatnya dan biarkan gewang S.P tergantung di pertengahan air supaya ia tak tersangkut dasar.

Apabila saya kembali, joran saya melengkung habis. Sangkut ke? Tidak, ikan… dan bukan kecil-kecil anak! Selepas pertarungan yang epik, seekor halibut 132 cm terlentang menyerah diri.  Seronok bukan kepalang, sambil tertanya-tanya apa yang dah saya buat sampai sebegitu cara pun sang halibut bedal gewang saya?

Hari seterusnya, saya menyertai tiga pemancing Belgium sebagai tukar ganti. Mereka baru pertama kali datang ke Norway. Mereka tidak (belum) begitu taksub dengan halibut, jadi mereka pancing apa sahaja.

Double trouble.

Buat masa ini, kami berada di atas bondong ikan kod yang amat besar. Para pemuda ini sungguh teruja menaikkan seekor demi seekor gergasi ke atas dek. Saya tidak memancing – dah muak layan ikan ini di Iceland – tetapi berasa lucu menonton mereka menikmati hobinya. Saya juga tidak berasa sihat dalam keadaan laut yang bergelora dan kurang tidur sejak beberapa hari ini.

Selepas beberapa jam, mereka memutuskan untuk berpindah ke lubuk halibut. Terus jadi terang biji mata saya. Kini saya telah bersedia untuk siri pancingan yang lembab, namun terbukti sebaliknya apabila dalam tempoh 10 minit, saya digasak lagi oleh halibut besar. Ikan menunjukkan dirinya di setiap sudut bot sampai boleh terasa setiap otot dan tulang dalam badan saya (saya belum betul-betul pulih daripada hari sebelumnya). Tetapi akhirnya ikan sepanjang 143 cm kecundang di tangan saya.

Selepas melepaskannya, kami mengumumkan berita itu kepada bot lain menerusi radio. Dan kami mendapat reaksi gurauan, “Campak si Tom ke laut : asyik dia aje dapat,” “Malam ni dia kena masak untuk kita semua!” Haha… dengki la tu…

Saya ringkaskan pada hari terakhir : saya melihat lagi burung laut dan berjaya menumpaskan dua ekor halibut sekali lagi. Satu-satunya halibut dalam kumpulan kami pada hari itu. “Kamu patut berasa malu bro, tamak haloba,” sindir Joris semasa pelayaran pulang. Tetapi dia hanya bergurau sambil menampar bahu saya. Sememangnya saya tak nampak orang lain dapat naikkan halibut sebanyak itu dalam trip ini, tapi nak buat macam mana, kalau dah ikan nak hentam gewang saya sahaja!

Peranan sonar amat penting dalam mencari struktur dan lubuk, walaupun ia sukar mengesan halibut yang terdampar meleper di dasar.

‘AYAT MENGURAT’ HALIBUT 

Saya bukan pakar pancing halibut, sama sekali tidak. Masih saya belajar banyak perkara dalam trip ini yang ingin saya kongsikan bersama anda…

Panduan Pertama

Saya meraih banyak keyakinan dengan satu gewang : Westin Crazy Daisy. Entah kenapa saya membelinya di suatu pameran memancing, tetapi saya hanya gunakannya buat kali pertama selepas tiga hari memancing. Secara jujur, sehingga saat itu saya berfikir untuk membiarkannya di dalam kotak supaya saya boleh menjual semula di pasaran barangan terpakai. Tetapi kini S.P itulah yang mendapat penghormatan di ruang tamu saya!

Daisy mempunyai aksi yang sama sekali berbeza daripada gewang halibut lain yang terkenal. Mungkin itulah rahsianya. Jangan lupa bahawa ikan ini telah banyak kali mengalami tekanan memancing selama bertahun-tahun dengan gewang yang sama, dan kebanyakan mereka dilepaskan semula. Jadi barangkali mereka telah curiga dengan gewang biasa.

Anda lebih bijak jika meletakkan mata kail tambahan di belakang gewang S.P ini (stinger hook). Kebanyakan pemancing menggunakan mata kail Owner ST 66, tetapi saya lebih suka gunakan mata kail tunggal Owner Gorilla yang dilekapkan pada gewang dengan gelang getah.

Panduan Kedua

Joran dan kekili terbaik sangatlah perlu. Set pancing anda perlu cukup kuat dan ringan. Kalau berat, anda cepat letih dan hilang tumpuan – satu kesilapan besar dalam teknik jigging. Saya lebih suka dan selesa dengan kekili mendatar (spinning reel). Jangan terlalu berjimat kerana pemburuan halibut memerlukan persembahan jig atau S.P seberat 400 gram ke atas. Kekili perlulah yang berkualiti tinggi seperti Van Staal, Shimano Stella dan Daiwa Saltiga.

Joran mesti memenuhi permintaan yang bercanggah : Ia perlulah ringan dan kuat untuk menancap halibut besar, tetapi tidak boleh terlalu keras kerana mata kail akan mengoyakkan mulutnya semasa pertarungan. Selepas carian yang panjang, saya menemui joran yang sempurna untuk tugas ini : Black Cat Vertical LS oleh Rhino. Kuat, cantik dan murah!

Masukkan tali sulam berkekuatan sekurang-kurangnya 70 paun, perambut minimum 150 paun dan dua cili big game (150 paun) untuk memulakan pemburuan halibut.

Halibut sebesar pintu yang berjaya ditewaskan oleh Michael Rijnberg.

Panduan Ketiga

Panduan ketiga saya untuk anda ialah : yakin dengan apa yang anda lakukan. Jika anda asyik menukar gewang, anda kehilangan banyak masa memancing yang berharga, dan tumpuan anda. Berpeganglah kepada gewang yang anda percaya, contohnya kerana anda telah melihat seseorang pemancing menjebaknya dengan gewang itu atau kerana syor daripada pemandu pancing yang boleh dipercayai.

Cuba ubah sedikit gaya pergerakan menggewang, sekurang-kurangnya ia dapat menjadi penarik buat diri anda dan halibut. Lagipun, tidak ada ikan mangsaan yang sentiasa mengulangi pergerakan yang sama.

Pastikan juga anda berada di detinasi utama, seperti Havøysund (www.visreis.nl), atau Sørøya (www.soroya-fishing.com).

Halibut gergasi (150 cm ke atas) lebih baik tidak diangkat naik ke atas bot kerana berat badan dan rontaannya akan merosakkan organ dalamannya dengan sangat mudah. Halibut Atlantik tersenarai sebagai spesies terancam di bawah IUCN (Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi). Jadi kita perlu memuliharanya. Sebarang ikan yang kita lepaskan berpotensi menghasilkan keturunannya yang suatu hari nanti boleh dipancing dan dibebaskan oleh anak kita sendiri pada masa akan datang…

INFO HALIBUT 

Spesies : Halibut merupakan sejenis ikan sisa nabi atau ikan sebelah (flounder / flatfish) yang paling besar dan berada dalam genus Hippoglossus. Ia yang tergolong sebagai ikan demersal (dasaran). Ada dua spesies halibut iaitu yang tinggal di Lautan Pasifik Utara (Pacific halibut : Hippoglossus stenolepis) dan Lautaran Atlantik Utara (Atlantic halibut : Hippoglossus hippoglossus).

Rekod Pancingan : Rekod halibut dalam IGFA (International Game Fishing Association) didaratkan di Norway pada Julai 2013 dengan seberat 515 paun (234 kg) sepanjang 8.6 kaki.

Sifat : Halibut berwarna coklat gelap di bahagian atas, dan putih di bahagian bawah, dengan sisik yang amat kecil yang sukar dilihat mata kasar tertanam di kulirnya. Ketika lahir, matanya berada di kedua-dua belah sisi kepalanya dan berenang seperti ikan salmon. Selepas 6 bulan, satu mata akan berhijrah ke sebelah sisi dan membentuk seperti ikan sebelah. Pada masa yang sama, bahagian yang bermata akan menjadi gelap sebagai bahagian atas. Manakala bahagian sebelah lagi, kekal putih. Skim warna ini memberi samaran kepada halibut yang terbaring di lantai lautan. Dan jika dilihat dari bawah semasa ia berenang ke atas, akan memberi samaran dengan cahaya dari langit.

S.P jighead bagak untuk sang halibut bagak!

Diet : Halibut makan apa sahaja haiwan yang boleh muat mulutnya. Haiwan yang pernah ditemui dalam perutnya ialah sotong, ketam, dan pelbagai spesies ikan termasuklah ikan sejenisnya sendiri.

Habitat : Halibut tinggal di kedalaman beberapa meter sehinggalah ratusan meter. Walaupun ia menghabiskan masanya di dasaran, adakalanya halibut naik ke permukaan untuk memburu makanan.