Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Haruan Wonderland

Haruan Royal Belum yang besar lagi gemuk hanya dapat dijinakkan apabila paras air tasik turun dengan ketara.

Selama ini saya telah berkunjung ke banyak port haruan termasuk longkang, parit, lombong, empangan dan sebagainya. Ikan sasaran yang paling biasa dijumpai di negara kita ini telah meninggalkan banyak kenangan manis kepada saya. Biarpun pengalaman-pengalaman memancing haruan yang lalu sukar dilupai, namun tetap tidak dapat menandingi pengalaman memancing haruan di sungai pergunungan baru-baru ini. Bukan sahaja haruan sungai ini banyak yang beraiz dinosaur, tentangannya juga hebat bagaikan toman!

Agak sukar dibayangkan bahawa kawasan berair cetek di tepi sungai tanpa sebarang struktur ini didiami haruan mega dalam bilangan yang banyak.

Teks: Pak Wong   Fotografi:  Pak Wong, Dr Tan SK

Sejak berkenalan dengan Dr Tan SK yang menggilai teknik casting, saya pun mula menceburi pancingan air twar yang telah lama ditinggalkan akibat pengaruhan beliau. Tasik Temenggor khasnya perairan Taman Negeri Belum merupakan padang pancing kegemaran Dr Tan. Lubuk ini masih mengandungi populasi toman dan sebarau yang sihat di mana beliau telah berjaya menaikkan toman rekod peribadi seberat 13kg.

Selera haruan di sini dipengaruhi berbagai unsur negatif sehingga pancingan menjadi tidak tentu.
Spot haruan di teluk yang berhadapan dengan kampung orang asli dipenuhi pukat lama yang manjadi halangan kepada pemancing.

Beliau yang telah lama memancing di kawasan tasik ini amat arif dengan musim ikan di sini. Selain ikan sasaran utama toman dan sebarau, beliau juga ketahui masa terbaik untuk menjerat satu lagi spesies ikan yang kurang popular di sini iaitu sang haruan.

Geng orang asli yang baru balik dari mencari madu di hutan.

HARUAN SUNGAI

Memang benar di BeLum terdapat populasi haruan yang agak lumayan. Namun haruan bukannya bertabur di sekeliling tasik tetapi hanya muncul di kawasan hulu sungai sahaja. Pelik kan?

Haruan yang mendiami spot di sebelah hilir warnanya kelihatan lebih cantik disebabkan airnya yang lebih bersih.

Fenomena yang seakan tak masuk akal ini sebenarnya berkaitan rapat dengan struktur tasik Temenggor. Tasik Temenggor merupakan sebuah tasik yang terbentuk di kawasan gunung tinggi. Kebanyakan perairannya dikelilingi gunung sehingga membentuk tebing yang curam. Hanya di kawasan tanjung sahaja terdapat kawasan yang lebih landai. Ini bermaksud perairan di sekeliling tasik ini kebanyakannya berair dalam dan kurang sesuai untuk spesies haruan. Haruan biasanya lebih menyukai menyukai perairan landai di tepi bukit dengan kedalaman kurang dari 5 kaki.

Pokok di sepanjang sungai berbunga akibar rangsangan musim panas yang berterusan.
Berehat di tapak khemah Sungai Kejar menjelang waktu tengahari.

Justeru di sesebuah empangan, di manakah terdapat perairan yang lebih cetek?

Pemancing pasti kagum apabila melihat bayang haruan Sungai Kejar yang kasar menimbul ke permukaan.

Jawabannya ialah sungai. Di kawasan Taman Negeri Belum sahaja sudah terdapat 3 batang sungai utama iaitu Sungai Kejar, Sungai Tiang dan Sungai Kenarong. Kawasan sungai biasanya terdapat tanah yang lebih rata dan akan membentuk banyak kawasan berair cetek ketika paras air tasik tinggi. Kawasan cetek inilah dianggap kampung halaman haruan terbaik.

Dr Tan SK berjaya mendaratkan rekod ahruan peribadi seberat 3.2kg pada awal bulan April.

Apabila paras air tasik atau empangan berada di paras biasa iaitu lebih tinggi, air tasik akan membanjiri hutan dan haruan pun akan berhijrah ke sana. Pada waktu seperti ini agak mustahil untuk memancingnya. Hanya apabila paras air turun memaksa haruan keluar dari hutan menjelang musim panas sahaja barulah kita dapat memancingnya.

Memancing haruan di port haruan terindah pemandangannya di negara ini.
Apabila paras air turun, haruan terpaksa berpindah ke perairan yang lebih cetek khasnya yang terdapat sedikit rumput.
Syoknya “berkhemah” dan berkelah di atas sampan!

Kami mencuba di dua port haruan popular di Sungai Kejar di mana tasik bersambung dengan sungai asal. Salah satu port berada di hulu bersebelahan kawasan berair cetek menghampiri sungai. Satu lagi port ialah sebuah teluk berhadapan dengan kampung orang asli yang terletak di sebelah hilir port pertama.

SPOT HULU

Toman besar yang biasa dijumpai ketika menjerat haruan di port teluk. Dr Tan terkejut apabila spesimen 7.3 kg ini membaham cranbait kecilnya sehingga joran tertanggal dari kekiki beliau.

Sekali pandang, port bersebelahan sungai sememangnya tempat yang berpotensi. Di atas tebingnya terdapat sebuah tanah rata luas yang ditumbuhi rumput hijau, menandakan haruan yang pada asalnya bermastautin di kawasan ini kini telah berpindah ke kawasan air cetek bersebelahan sungai yang kelihatan lapang tanpa sebarang halangan.

Namun jangan pandang rendah yang biasa-biasa ini. Dr Tan dan geng beliau telah berjaya mendaratkan banyak haruan bersaiz 2 hingga 3 kg dari sini.

Crankbait model lama dari jenama Storm amat diminati haruan Royal Belum.

Kedalaman port ini sekitar 3 hingga 4 kaki sahaja. Bot kami parkir di tengah-tengah supaya dapat membuat balingan ke dua belah port tersebut. Di permukaan spot ini tidak kelihatan sebarang tumbuhan akuatik justeru hanya boleh melempar gewang secara membabi buta atau mensasarkan haruan yang naik ke permukaan untuk bertukar nafas. Perairan ini hampir tidak berarus dan kekurangan struktur bawah yang keras. Yang ada cuma daun-daun kering yang dihanyut air sungai dan terpendam di sini. Kelihatan buih timbul tanpa henti lantaran dasar yang berlumpur.

Hanya janggut dan SP sahaja yang boleh digunakan di sini lantaran terdapat banyak sampah di bawahnya. Namun haruan sungai seakan kurang berminat dengan janggut yang biasanya killer kepada spesies haruan dan hanya menaruh minat kepada SP jenis Grub yang berwarna terang sahaja. Mata kail SP dapat disembunyikan dan kurang sangkut sampah. Kelajuan persembahan adalah bersamaan dengan katak hidup.

Seperkara yang harus ditimbangkan ialah biarpun tiada kayu di dasar port ini, namun haruan besar yang terkena pancing juga dapat melarikan diri secara menjunam ke dalam lumpur untuk membuang gewang dari mulutnya. Justeru pemancing harus menggunakan set yang lebih kuat supaya dapat menahannya dari berbuat begitu.

SPOT HILIR

Port teluk di sebelah hilir pula berlainan sama sekali dengan port di hulu. Ianya kelihatan sama seperti port toman yang biasa dijumpai di empangan dengan tungkul kayu bertaburan di sekelilingnya. Air di dalam teluk ini hampir tidak berarus biarpun bersambungan dengan aliran sungai. Sememangnya sesuai dengan tabiat haruan yang menggemarkan air mati.

Saya lebih menyukai spot ini kerana dapat menggunakan bermacam jenis gewang mengikut kesukaan hati. Setelah mencuba hampir semua jenis gewang, Dr Tan mendapati Crankbait adalah gewang terbaik untuk menjerat haruan sungai ini.  Ini kerana Crankbait tetap dapat mempamirkan aksi goyangan yang ketat biarpun dikarau dengan amat perlahan, sesuai untuk menangani haruan yang dianggap kurang berminat untuk mengejar mangsa yang bergerak dengan laju. Crankbait selaman 2 hingga 3 meter paling sesuai digunakan di teluk yang berair cetek ini. Haruan di sini dipercayai bersembunyi di bahagian dasar yang berkedalamn sekitar 2 meter.

Namun masalah terbesar apabila memancing di sini ialah gewang sentiasa tersangkut pukat lama yang tertinggal di sekitar teluk ini. Pada hakikatnya teluk ini memang berada di hadapan kampung orang asli sehingga kita dapat mendengar sorakan mereka dengan jelas ketika memancing.  Mujurlah kebanyakannya pukat lama. Kita masih dapat menyelamatkan gewang sayangan yang tersangkut.

Ini adalah kali pertama saya memancing haruan di port seperti ini. Mungkin kerana cuaca yang luarbiasa panas dan banyak haruan telah dinaikkan dari sini sebelum trip ini, sambutan dari haruan didapati kurang galak biarpun menjelang awal pagi atau lewat petang. Biarpun begitu saya tetap meneruskan pancingan dengan harapan untuk mendapatkan walaupun satu sambaran sahaja kerana haruan di sini semuanya bersaiz mega. Jika gewang disambar, saiznya jarang di bawah 1.8 kg. Satu lagi sebab yang mendorong saya untuk bertandang ke tempat ini.

Satu lagi perkara yag menggairahkan saya ialah daya saingan haruan Sungai Kejar hampir 3 kali lebih kuat dari haruan biasa! Ini disebabkan kehadiran air sungai yang kaya dengan oksigen dan sumber makanan yang mencukupi. Justeru harus berwaspada apabila memilih set pancing dan aksesori agar tidak berputih mata.

KESERONOKAN TIDUR ATAS BOT

Pengalaman luarbiasa memancing haruan di Taman Negeri Royal Belum memang menasyikkan. Namun pengalaman bermalam di atas sampan di hulu Sungai Kejar lagi sukar dilupakan. Apabila malam menjelang, kelip-kelip di tepi sungai dan jutaan bintang di atas langit telah membentuk pemandangan istimewa yang sukar dilupakan. Angin yang dingin dan kaya dengan oksigen bertiup tanpa henti. Ditambah pula tempikan gajah liar yang berkeliaran di sepanjang tebing. Ini barulah pengalaman memancing di hutan terpencil!