Ikan Panjang Umur Di Tasik Cheow Lan
Tasik Cheow Lan atau Empangan Rajjaprabha yang terletak di Taman Negara Khao Sok, daerah Surat Thani, Thailand merupakan sebuah tasik yang mempraktikkan perikanan rekreasi secara Catch & Release. Hanya dalam trip sepanjang 2 atau 3 hari sahaja, pemancing sudah mampu memperolehi hampir semua lesen casting buat kebanyakan spesies ikan air tawar. Jika cuaca mengizinkan, pemancing juga berpeluang menaikkan spesies kelah dan tengas secara trekking ke sungai pergunungannya. Ianya memang sebuah mahligai kepada kaki casting Malaysia yang sentiasa kumpau berdarah!
Teks & Fotografi: Vincent SuSoon Yap
Setiap tahun saya akan menganjurkan beberapa trip ke Tasik Cheow Lan. Setelah berjaya memujuk bini untuk mendapatkan permit yang paling sukar dipohon, saya pun post ke beberapa group untuk mencari kaki casting yang berminat bertandang ke sana. Sekejap sahaja Danny, Alex Lim dan William telah menaruh minat terhadap trip ini dan kami pun bertolak pada pukul 3.00 pagi Hari Pekerja dengan menaiki sebuah kereta pickup.
Setelah menyelesaikan dokumen imigresen dan insuran kereta di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada pukul 7 pagi waktu Thailand, kami pun berkunjung ke kedai 7/11 untuk sarapan pagi. Kemudian menunggu sehingga kedai buka untuk membeli SIM Card Thailand. Semasa dalam perjalanan saya menghidupkan Hotspot talipon bimbit saya untuk kegunaan mereka bertiga.
Kami telah berhenti di beberapa tempat dalam perjalanan yang agak panjang ini untuk makan dan membeli-belah di Tesco Lotus. Sehingga pukul 4.00 petang barulah sampai ke jeti Cheow Lan. Semua member sibuk menghubungi keluarga masing-masing. Saya pula pergi ke pejabat Taman Negara untuk membuat pendaftaran dan parkir kereta.
Perjalanan ke Rumah rakit mengambil masa kira-kira 3 jam dengan bot berinjin ekor biawak. Masing-masing terasa letih setelah mandi dan makan malam. Rancangan pancing dasar terpaksa dibatalkan. Apa lagi? Tidurlah!
PANCINGAN HARI PERTAMA
Sebaik sahaja langit menjadi terang Alex dan Danny telah mula melempar gewang permukaan dari rumah rakit. Sedang saya berbual dengan bini menerusi Wifi di kantin, kelihatan Alex tersenyum lebar dengan seekor sebarau di hujung lip grip! Perhhh, inilah Cheow Lan!
Tanpa disangka-sangka, sebarau pertama ini telah pun memecah rekod peribadi Alex! Beliau agak hairan sebarau boleh diperolehi hanya dari rumah rakit sahaja. Selepas sesi fotografi saya pun mendesaknya untuk makan sarapan pagi dan menyediakan perkakasan trekking. Jika tidak pasti beliau akan terus casting tanpa henti.
Danny yang baru sahaja balik dari casting memberitahu bahawa popper beliau terkena seekor sebarau namun lucut. Permulaan yang penuh dengan aksi ini cukup memberangsangkan kami!
Rancangan hari ini ialah trekking ke hulu sungai. Di lubuk pertama sahaja Alex telah memperolehi dua sambaran dengan sebarau bersaiz 1kg. Sehingga gewang beliau tersangkut dan diselamatkan oleh tekong barulah kami bergerak ke lubuk seterusnya.
Sebaraunya memang banyak. Lemparlah secara membabi buta, boleh jadi juga kes 3 orang mendapat strike pada masa yang sama. Setiap ikan tidak kira besar atau kecil pun terasa ancamannya kerana kami masing-masing menggunakan set UL.
Kami trekking agak jauh ke hulu menjelang sesi pagi. Habuan terbesar ialah kelah emas Danny yang beranggaran 1kg. Alex dan William juga memperolehi lesen kelah, legalah hati saya!
Sesi seterusnya memancing dari hulu ke hilir sungai pula. William telah menaikkan bujuk pertama dalam sepanjang hidup beliau manakala Alex pula memperolehi baung dalam sepanjang hidup beliau dengan berumpankan gewang. Danny juga tidak ketinggalan dengan badong rekod baru beliau yang menjangkau 2kg!
Malam itu kami makan ikan kerapu yang saya ba Kerapu yang dibawa dari Malaysia untuk dikongsi bersama member di Cheow Lan. wa dari Malaysia. Tidak perlu membawa ikan pulang untuk dimasak di kantin. Di Cheow Lan hanya sebarau, haruan dan bujuk sahaja boleh disimpan untuk makan atas keizinan tekong.
PANCINGAN HARI KEDUA
Pancingan pada hari seterusnya menggunakan bot pula memandangkan semua member sudah letih setelah sehari memanjat bukit di sungai pergunungan.
Saya bersama William manakala Alex pula berpasukan dengan Danny. Sasaran kami ialah kuala sungai. Paras air kuala sungai amat rendah, sesuai untuk keguanaan Crankbait. Kelihatan sebarau membaham anak ikan di perairan cetek berdekatan tebing. Mereka langsung tidak takut dengan bot yang berdekatan. Banyak kali berlakunya double strike dengan sebarau bersaiz kecil.
Cuaca mula bertukar panas pada pukul 11 pagi. Kami pun teringin pula untuk memancing toman yang biasanya lebih aktif menjelang cuaca panas. William terkena seekor toman dengan Crankbait namun lucut. Sejak kejadian itu toman pun menjadi sombong dan menolak semua jenis tawaran kami.
Setelah gagal mendapatkan sambaran dari toman, kami pun pulang ke rumah rakit untuk makan tengahari. Alex dan Danny yang pulang tidak berapa lama kemudian telah menyampaikan berita baik. Seekor baung mega seberat 3kg telah membaham gewang Senses Kaido 76s berwarna oren kepunyaan Alex! Danny juga memperolehi beberapa ekor sebarau.
Setelah berehat kami berkomplot lagi dengan semangat yang berkobar-kobar. William yang bernasib baik menaikkan seekor toman bungah di kawasan dinding batu dengan gewang minnow. William pula mendapat dua lesen snakehead iaitu bujuk dan toman bungah.
Selepas itu kami telah dijampi gerembolan sebarau yang tidak segan membaham gewang. Sehingga langit menjadi gelap barulah kami pulang ke rumah rakit. Habis mandi semua menunggu untuk mejamu selera dengan baung mega Alex. Isinya terasa sedikit keras mungkin disebabkan saiznya yang melampau besar.
PANCINGAN HARI KETIGA
Hari terakhir dibahagikan kepada sesi trekking sungai dan bot. Semasa dalam perjalanan ke sungai, Kami menjumpai sebuah teluk yang berair mati. Tanpa disangka-sangka, spot yang kurang menarik ini rupa-rupanya kampung kepada haruan melebihi 1kg. Alex berjaya menaikkan seekor haruan besar dengan minnow.
Musim hujan akan tiba tidak lama lagi sehingga teluk tersebut bersambungan semula dengan aliran sungai. Pada bulan Ogos dua tahun dahulu ketika saya memancing di sini, didapati paras air telah meliputi rumput hijau di atas tebing menyebabkan banyak ikan berkumpul di kawasan tersebut untuk mencari makanan. Itulah masa terbaik untuk memainkan gewang permukaan seperti pensil dan popper, pasti meletup punya!
Setelah bosan melayan haruan, kami terserempak dengan kawanan ikan di sebuah teluk. Alex mengesan kehadiran toman bungah di sana namun ia enggan menyambut gewang beliau. Sebarau juga berulang kali mengejar gewang sehingga ke hadapan pemancing kemudian patah balik. Hanya Danny sahaja berjaya mendaratkan beberapa ekor tengas termasuk seekor kelah berwarna emas yang sungguh menarik.
Setelah menjamu selera dengan nasi goreng, kami pun berjalan keluar dari sungai dan sambung dengan pancingan bot pula. Kali ini saya bersama Alex manakala Danny pula bersama William.
Hujan mula turun sebaik sahaja pancingan bot dimulakan. Di kawasan kuala sungai bukan sahaja Danny asyik menaikkan sebarau, William juga tidak ketinggalan dengan badong sebesar 2kg. Badong tersebut memecut masuk ke dalam reba. Mujurlah kedua dua mata telah berada dalam mulutnya dan berjaya diheret keluar dari reba.
Banyak baung telah dinaikkan dalam trip ini. Rupa-rupanya paras air yang rendah merupakan waktu terbaik untuk menjerat baung dewasa dengan gewang. Namun pemancing harus menyediakan tangguk supaya lebih cepat menaikkan ikan. Tekong telah mengizinkan kami membawa balik seekor baung untuk dimasak di kantin.
Pada malam terakhir kami bersambungan dengan sesi memancing baung kecil di atas rumah rakit setelah makan malam. Sehinggalah umpan tapa habis barulah pergi tidur.
Pada pagi keesokan hari kami pun bertolak pulang ke jeti dengan bot besar. Bot singgah sebentar di perairan yang dipenuhi bukit batu kapur yang cantik untuk sesi fotografi. Pemandangannya memang merupai Gui Lin di China!
Trip Cheow Lan sepanjang 3 hari ini telah tamat dengan keputusan yang cemerlang. Setelah sampai ke rumah masing-masing, Alex, Danny dan William sebulat suara akan repeat lagi pada tahun hadapan.
Siapa-siapa yang ingin menikmati keseronokan casting ikan air tawar di Cheow Lan bolehlah WhatsApp saya di talian 012-4044290 atau add WeChat saya: yapsusoon, terima kasih!