Ilmu Belut Bendang
Tidak semua pernah merasai pengalaman kehidupan di kampung semasa kecil dengan memancing belut. Mungkin ada yang langsung tidak pernah bersua muka dengan belut. Ia satu nostalgia yang tidak dapat dilupakan bagi yang pernah rasa memancing spesies ini di habitatnya, dan sesuatu yang baru dan sangat asing bagi yang tidak pernah memancingnya.
Teks & Fotografi : NAZMI ANUAR
Pengenalan saya bersama Fauzi Ahmad yang juga salah seorang admin bagi group jualan barangan pancing terkenal di Malaysia GNP88 membawa saya kepada seorang anak muda yang cukup handal memancing belut. Sungguh nostalgik bagi saya apabila turun bersama anak muda ini untuk memancing belut, teringat sewaktu duduk di kampung bersama arwah atuk.
Parit Bendang
Sistem perparitan yang bagus sangat penting untuk menyalurkan air ke dalam petak-petak sawah padi. Sistem perparitan yang bersambungan dari sungai bukan sahaja mengalirkan air, malah membawa hidupan akuatik dari sungai juga, termasuklah belut itu sendiri.
Sepanjang parit berair terdapat lubang-lubang kecil di sepanjang tebingnya yang menjadi rumah kepada belut. Ada sesetengah lubang berada sama paras dengan air parit dan sesetengahnya berada lebih tinggi, namun yang pasti lubang belut ini tidak ditenggelami air.
Bagi yang tidak pernah memancing belut di sawah padi, pastinya amat sukar untuk mengesan lubang belut. Ini kerana kebanyakkan lubang ini tertutup dengan daun-daun kering dan di celah rumput atau akar pokok.
Sekali pandang, ia memang tidak kelihatan. Ini memerlukan pengalaman dan kemahiran yang luas untuk mengesannya dengan meraba-raba hujung batang joran ke kawasan yang dirasakan terdapat lubang belut.
Mengunjun Belut
Belut hanya mendiami sebuah lubang sebagai rumah dan tempat ia berlindung. Memakan dengan menyambar apa sahaja yang melalui atau memasuki lubang tempat persembunyiannya.
Ia sejenis ikan yang amat berlainan. Ia tidak berenang untuk mengejar dan memburu mangsanya atau berenang ke dasar untuk mencari makanan. Ia juga tidak berenang ke permukaan air untuk mencari makanan yang terapung.
Ini sudah cukup membuktikan bahawa belut tidak sama seperti spesies ikan yang biasa dipancing dan sudah semesti teknik pancingannya amat berbeza. Bukan mengilat, pancingan dasar, menghanyut mahupun teknik pancingan popular yang lain.
Mungkin boleh dikelaskan dengan mengunjun, kerana umpan akan diunjun ke dalam lubang. Namun tidaklah seperti mengunjun haruan di kawasan ekstrem heavy cover. Jadi apakah nama teknik yang paling sesuai digunakan untuk memancingnya?
Pewaris Seni Belut
Tidak semua daripada kita telah didedahkan cara menangkap atau memancing belut sejak kecil lagi. Ini boleh dikira sesuatu yang amat rugi kerana aktiviti ini semakin tenggelam dek zaman yang serba moden. Hanya insan terpilih yang lahir dari keluarga peladang dan petani sawah padi yang mempunyai pengalaman dengan belut ini, itu pun tidak semua mahu belajarnya.
Perkenalan saya dengan Iqbal dan Fauzi Ahmad telah membawa saya kepada anak muda dari keluarga pesawah Sungai Besar. Pertama kali memandang Jalil, dalam hati saya cuma menganggap mereka mungkin biasa-biasa sahaja. Namun seharian saya bersamanya, ternyata Jalil dan rakan sekampungnya sungguh ikonik bagi saya.
Pada zaman serba moden ini, tidak ramai anak muda yang mahu bekerja di sawah padi serta melakukan kerja-kerja kampung. Namun Jalil dan rakan-rakannya yang masih muda ini mampu melakukan semua ini, malah memilih kerja bendang sebagai kerjaya dalam hidup mereka, betul-betul respek!
Jalil cukup mahir mencari belut, bermula daripada mengesan lubang belut dan menarik belut keluar dari lubang hinggalah ke pembuatan mata kail tradisional dengan menggunakan jejari motosikal dan paku.
Inilah namanya seni pancingan belut yang tidak semua mampu menguasainya. Mata kail buat sendiri, guna tali kevlar yang tebal (bukan tali sulam mahupun tangsi) dengan batang buluh atau joran tanpa kekili sahaja digunakan.
Cekuo-Cekup isi Haruan
Umpan hirisan ikan haruan digunakan semasa komplot saya bersama Jalil. Jalil mengatakan isi haruan lebih membuka selera belut apabila dihulurkan ke dalam lubangnya. Selain aroma yang membangkitkan selera belut, tekstur isi haruan yang agak liat dan tidak mudah hancur menjadikan ia betul-betul umpan killer belut dan mampu digunakan berulang kali.
Sebelum menghulurkan umpan, lubang belut biasanya akan diselak untuk memperlihatkan pintu lubang belut. Sebagai langkah keselamatan, hujung batang joran digunakan untuk menyelak pintu lubang takut-takut tersalah lubang.
Hirisan ikan haruan dicangkuk pada mata kail dan dihulurkan ke pintu lubang belut,. Umpan ini perlu dicelup-celup ke dalam lubang untuk menarik perhatian belut memakannya. Kehadiran belut boleh dikenal pasti dengan melihat pergerakan air di dalam lubang itu menaik dan turun. Namun jika keadaan sunyi tanpa pergerakan air di dalam lubang, bermakna tiadalah belut dalam lubang tersebut.
Setelah terasa umpan disambar belut, tali perlu dilepaskan seketika untuk memberi ruang kepada belut menjamah umpan, ia sama seperti mengilat haruan. Ini penting untuk memastikan mata kail betul-betul berada di dalam mulut belut.
Setelah yakin mata kail berada di dalam mulut belut, tali ditarik ke atas untuk mengeluarkan belut dari dalam lubang. Saat inilah dikatakan paling sukar kerana mata kail sering terlucut ketika menarik belut. Saya sendiri beberapa kali gagal membawa belut keluar dari lubang kerana kurang berpengalaman memancingnya.
Saya kagum dengan anak muda Sungai Besar yang masih menjalankan kerja-kerja dan aktiviti kampung seperti memancing belut ini. Bukan semua anak muda di Malaysia mampu bekerja di bendang sawah dan peroleh pengalaman seperti ini. Syabas anak muda!