Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Intan Payung Teluk Intan

Luasnya Sg. Perak. Banyak port nak mancing udang galah, tapi kami mencuba berdekatan rumah Shah sahaja sudah mencakup!Teluk Intan memang terkenal dengan monumen menara condong di tengah-tengah bandarnya. Asalnya menara tangki air yang dibina oleh British pada tahun 1885 dan ditukar kepada menara jam selepas itu. Tugu udang galah besar dapat juga anda lihat di pinggir Sg. Perak betul-betul di sebelah bandar Teluk Intan. Melihat ramai rakan alam maya mempamerkan hasil pancingan sang sepit biru baru-baru ini membuatkan saya tidak senang duduk. Sudah lebih 5 tahun saya tidak memancing udang galah, apatah lagi merasa keenakan isinya itu. Dan kini Sg. Perak berjaya menggamit memori itu kembali…

Teks & Fotografi : JOHN ANGLER

Jeti yang menempatkan bot pancing udang di belakang rumah Shah. Best betul, boleh ngail udang hari-hari sampai muntah!

Cikgu Sahril atau mesra dipanggil Shah merupakan penduduk tetap di Teluk Intan. Perkenalan saya dengan beliau bermula kira-kira 3 tahun yang lalu. Saya yang pada masa itu mencari sebuah enjin sangkut terlihat iklan beliau di Facebook yang ingin menjual sebuah enjin sangkut. Lantas saya PM beliau dan menyatakan hajat ingin memiliki enjin tersebut.

Saya yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Perlis, singgah ke Teluk Intan untuk mengambil enjin tersebut. Hasil perbualan kami, rupanya beliau seorang kaki jenggo dan enjin tersebut rupanya milik ayahnya yang juga kaki pancing udang. Atas faktor usia, ayah  beliau sudah jarang memancing udang dan menyuruhnya menjual enjin tersebut, daripada dibiarkan begitu sahaja.

Setelah kami bersahabat di Facebook, kerapkali Sahril memuat naik gambar udang galah dalam jumlah yang banyak dan berstatus ‘jongkong’ atau ‘jenggo’. Dengan sepit biru yang panjang dan udang yang berbadan dempak, saya amat teruja melihatnya dan menyimpan angan-angan untuk turun memancing bersama beliau suatu hari nanti.

Cari umpan fresh barulah galah galak makan.

Misi Diatur

Setelah sekian lama, saya akhirnya menghubungi Shah dan memberitahu bahawa saya ingin memancing udang galah Teluk Intan. Sudah hendak dijadikan cerita, beliau sedang bercuti dan terdapat satu tarikh yang air sungai agak cantik. Peluang ini tidak boleh saya lepaskan!

Saya yang telah lama tidak menduga udang terpaksa membeli kesemua peralatan untuk memancing udang. Daripada kekili, joran, mata kail, perambut dan segalanya yang diperlukan. Mujurlah baru nak gaji. Ada la jugak modal nak membeli nanti.

Banyak juga saya habiskan wang untuk membeli barang yang diperlukan. Keterujaan semasa membeli barang-barang pancingan udang lagaknya seperti seorang budak yang ingin membeli mainan. Selalunya masuk ke kedai pancing, mata terarah ke gewang atau jig. Tapi kali ini semua itu tidak saya pandang. Asyik membelek mata kail yang mana yang sesuai untuk digunakan.

Umpan udang segar lebih cepat memikat si intan payung Sg. Perak.

Jenggo Belakang Rumah

Rumah Sahril terletak betul-betul di tepi Sg. Perak, sebuah jeti kayu dibina dan bersambung terus dengan rumahnya. Untuk turun ke bot hanya kira-kira 15 langkah sahaja. Ia umpama sebuah rumah idaman bagi semua kaki pancing!

Suasana rumah Shah membuatkan saya lupa seketika kesibukan kerja. Suasananya benar-benar mendamaikan. Sesi pagi dimulakan dengan lubuk yang hanya beberapa puluh meter dari rumahnya.

Saya bertanyakan Shah adakah ada udang di lokasi ini kerana ia terletak begitu hampir dengan tebing dan di belakang rumah orang sahaja. Katanya lubuk mainan beliau hanyalah di sekitar ini! Dan jika kena pada labuhannya, pasti sang jenggo akan digoda.

Lesen pertama udang Teluk Intan. Mana la mak bapak dia agaknya…

Jika anda ingin menyewa bot untuk turun bersendirian juga boleh. Tetapi harus berhati-hati dengan sebatang tunggul kayu besar yang terletak di tengah sungai. Orang tempatan sudah tahu akan kedudukan kayu tersebut. Cuma dirisaukan ia tidak dapat dilihat ketika air pasang penuh.

Kena ‘Tune’ Semula

Shah menunjukkan kehandalan beliau dengan jenggo yang pertama. Tekanan saya dibuatnya…

Kami menggunakan 4 set setiap seorang bagi meninggikan peluang mendapat udang yang lebih banyak. Tidak perlu menunggu lama apabila umpan dilabuhkan. Isyarat getuan sudah mula dilihat pada hujung joran. Saya yang tidak pandai memancing udang membalas getuan tersebut seperti pancingan ikan.

Sahril mentertawakan gelagat saya ketika itu. “Cara membalas ragutan udang bukan macam tu…” seloroh beliau. Ketika isyarat getuan dikesan, joran harus diangkat sedikit untuk merasa tindak balas udang yang sedang menjamah umpan. Jika terasa beban, rentapan lemah gemalai dan pendek diperlukan bagi menyangkutkan mata kail pada mulut udang.

Jenggo yang saya dambakan akhirnya sudi menjamah umpan saya.

Hampir separuh hari juga saya belajar cara membalas getuan udang, tetapi masih agak kurang menjadi. Namun dapat jugalah saya merasa tarikan jenggo Teluk Intan. Hasil kami berdua pada hari itu agak lumayan juga. Banyak udang berstatus jenggo dapat kami berdua daratkan. Misi kami tamatkan kira-kira pukul 6 petang.

Erti Persahabatan

Saya mengucapkan terima kasih kepada Shah sebelum bergerak pulang kerana sudi membawa saya memancing udang di lubuk-lubuk beliau. Banyak juga udang yang terlucut di pertengahan air pada hari itu. Pastinya saya terbawa-bawa ke alam mimpi bila pulang nanti kerana dihantui kata-kata Shah yang mengatakan yang terlepas itu pastinya bersaiz jongkong.

Tilan bara yang pertama kali saya pancing. Kalau tilan biasa banyak saya dapat semasa di kampung dulu.

Rata-rata sahabat FB saya merupakan kaki pancing ikan. Dek kerana ingin membeli enjin, saya berkenalan dengan Sahril. Beliau yang begitu ramah membuatkan saya merasakan seperti telah lama mengenali beliau. Banyak juga yang kami bualkan ketika memancing. Inilah yang membuatkan hidup kita sebagai seorang kaki pancing menjadi begitu bahagia.

Antara pengacau umpan pada hari itu selain duri dan gelama.

10 tahun yang lalu ketika saya masih di kampung, tidak pernah saya terbayang bahawa akan mendapat seorang rakan di Teluk Intan, apatah lagi memancing udang galah di Sg. Perak. Jika kita berbaik dengan sesiapa saja, tentunya kita akan dikelilingi oleh orang yang senang dengan sikap kita dan ini secara tak langsung akan menjalinkan ikatan persahabatan yang kekal selamanya.

Ikan seluang monster yang dulunya banyak saya pancing semasa di kampung masih wujud di sini.

Dunia pancingan kita di Malaysia ini kecil sahaja, tak ke mana kalau kita sombong dan dibenci orang. Alih-alih pastinya akan bersua muka sama ada di lokasi pancingan atau kedai pancing.

Sg. Perak memberikan saya kenangan yang sangat indah. Pastinya saya akan kembali mencari ‘sampah’ yang telah melepaskan diri dari saya hari itu!

Teruja saya melihat udang ini walaupun bukan bergalah panjang dek kerana sudah lama tidak mancing udang.

Hasil pancingan kami berdua pada hari itu, lumayan beb!

Shah menjemput saya makan tengahari di beranda belakang rumahnya yang betul-betul di tepi Sg. Perak. Memang best!