Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Jalan-Jalan Cari Kawan & Ikan

Ciak bersama haruan yang menyambar froggy miliknya.

Jauh perjalanan luas pemandangan, sambil jalan mencari ikan dan juga kawan baru. Ada masanya tekanan kerja tidak dapat diatasi dan cara paling mudah ialah pergi memancing untuk melupakan seketika dan menyegarkan semula minda yang berserabut mencari solusi terhadap cabaran dalam melaksanakan tugas…

Teks & Fotografi : KETAMTK

Sesungguhnya dengan kemajuan teknologi terkini dan capaian Internet yang lebih pantas, maklumat dapat disampaikan di hujung jari sahaja. Tanggapan saya pada hari ini sudah tidak ada lagi lubuk yang tidak diketahui umum. Kebanyakan sudah pasti telah didedahkan kepada umum. Namun sangkaan saya meleset, masih ada rupanya lubuk yang tidak dikongsi secara tepat kepada umum!

Penulis bersama Amirul aka Petai, walaupun bertopang, masih boleh mengilat secara duduk. Semangat bro!

Suatu hari Midan mengaturkan satu komplot untuk menduga satu kawasan lombong tinggal yang dipenuhi samai di daerah Sedenak, Johor. Bersama Ciak, kami bergegas pada pagi hari minggu untuk bertemu seorang lagi rakan bernama Amirul yang lebih mesra dipanggil Petai.

Petai yang selalu berkunjung ke sini sudi berkongsi lubuk kegemaran bersama kami. Dengan keadaan bertopang akibat kemalangan, semangat memancing beliau sangat tinggi membawa kami ke lubuk regular beliau.

Amirul bersama koleksi haruan kasar yang beliau tumpaskan.

Lubuk Rahsia Ladang Sawit

Sampai sahaja di kampung beliau, kami terus bermotosikal menuju ke sebuah lubuk terletak di dalam sebuah ladang kelapa sawit. Dingin bayu pagi sangat menyegarkan, lama betul tidak menikmati suasana begini. Lubuknya sebuah lombong tinggal, dipenuhi samai dan dikelilingi pohon kelapa sawit. Hanya penduduk tempatan yang mengetahui lokasi ini dan pemancing Indonesia yang hanya memancing dasar.

Dari kejauhan nampak jelas toman timbul mengambil udara, saiz yang agak kasar, namun lemparan froggy tidak dihiraukan. Menurut Amirul, waktu paling sesuai ialah pada awal pagi dan lewat petang. Kami tiba agak lewat, toman mungkin sudah kekenyangan.

Menariknya kata Petai, haruan menjadi diet utama toman di sini selain burung-burung yang mencari makan di sini. Memang benar kata beliau apabila jelas kelihatan dari jauh seekor haruan melompat melarikan diri mungkin dikejar toman. Suasana yang sangat dramatik!

Dilepaskan semula untuk membesar.

Haruan Catch & Release

Hanya Midan dan Ciak yang berjaya mendaratkan haruan. Letusan sambaran sangat mengujakan, sebaik selesai fotografi, mereka terus melepaskan semula haruan tersebut. Semasa bergerak pulang, Amirul membawa kami ke sebuah lubuk yang lebih terbuka, sempat mencuba seketika sebelum kami bergerak pulang.

Masih banyak lubuk yang sangat menarik di sini! Mesti diulang semula untuk memburu pemangsa yang lebih besar.

Midan bersama haruan yang menyedut froggy yang dimainkan secara perlahan.