Jejak Kelah Lokohz Team
Pertama kali bagi pasukan LOKOHZ Fishing teringin sangat menduga sungai pergunungan jauh di dalam hutan belantara. Dengan bimbingan dan dipandu arah oleh ahli Geng Kasut Putih (GKP) iaitu Wan, Afzal, Roza dan Adzrul, team ini berjaya menimba pengalaman baru serta lebih mencabar mental dan fizikal…
Teks : ROZAWARIE ZAKUAN
Fotografi : LOKOHZ & GKP TEAM
Doa dibaca sebelum LOKOHZ team memulakan perjalanan bagi menghadapi cabaran melengkapkan diari dunia pancing mereka. Tiada gajet, tiada keselesaan, tiada makanan sempurna, selama empat hari. Hanya bahan asas masakan sahaja kami bawa, selebihnya usaha bagi mencari strike jika tidak mahu makan malam hanya nasi kosong bersulam garam! Ini pengalaman baru bagi mereka yang belum pernah menghadapi kembara hardcore sebegini.
Trekking Dalam Gelap
Seawal 4 pagi, kami memulakan trekking. Masing-masing telah siap sedia bersama headlamp di kepala serta seribu keberanian dan sejuta kewaspadaan bagi merentas belantara selama 3 jam dalam gelap. Segala aspek keselamatan diambil kira bersama tindakan susulan jika terjadi perkara tidak diingini.
Parang dan mercun bola sebagai senjata perlindungan bagi menakutkan binatang buas jika situasi tidak diingini berlaku. Serba sedikit panduan dari team GKP (Geng Kasut Putih) sebagai jurupandu banyak memudahkan perjalanan merentas belantara untuk ke sungai di tengah hutan.
Ada antara kami yang belum dapat membiasakan diri dengan keletihan berjalan kaki selama 3 jam mendaki dan menuruni lurah bukit bersama beban backpack yang dipikul rata-rata 9 – 12 kg. Stamina yang cukup diperlukan bagi mengharungi 4 buah bukit yang agak mengetarkan lutut!
Kerjasama antara kami ahli adalah sangat penting, kerana semua sama penat. Kem didirikan, peralatan, ration makanan dan kayu api dikumpulkan bagi memudahkan segala urusan. Penting hidupkan unggun api kerana asapnya akan menghindarkan haiwan liar daripada mendekati kawasan khemah.
Itulah perkara utama setelah tiba di lokasi yang dipilih berdasarkan paras tebing dari sungai, punca air, dahan pokok di atas kem dan juga persekitaran. Ini bagi mengelakkan kes bahaya seperti kepala air, dahan reput menimpa khemah juga mengelakkan dari laluan binatang seperti gajah dan babi hutan.
Cari Lauk
Ujian pertama bagi kami, mencari lauk untuk makan malam. Rajin kami, mewahlah lauk pauknya. Kumpulan dipecah dua, satu menghilir dan satu menghulu. Hanya bekalan mee segera bagi melapik perut waktu tengahari. Sehingga 7 petang nanti barulah semua berkumpul untuk makan malam dan merehatkan badan. Jika masih bertenaga bolehlah mem-bottom malam.
‘Lain padang. lain belalang’, itulah perumpamaan trip ini. Mati akal apabila seharian casting amat sukar bagi kami menduga penghuni sungai ini. Kebanyakannya lubuk tenang dan kurang berjeram seperti kebiasaan tempat di mana keutamaan diberikan untuk mengilat.
Bagi yang mem-bottom, umpan dilabuhkan di lubuk dalam dan tenang. Tetapi air yang surut dan jernih menyukarkan pemburuan kami. Ini kerana spesies kelah atau ikan di sungai pedalaman lebih sensitif terhadap persekitaran. Teknik penyamaran atau menyorok ketika mem-bottom juga amat penting dalam menduga spesies raja sungai.
Diduga Ikan
Pagi berikutnya kesemua ahli menyusur hulu sungai bagi sesi casting dan mencari lubuk. Sejauh 5 jam perjalanan kami susur tebing sungai. Adakala kami dapat melihat sekumpulan kelah dan sebarau mudik di air surut.
Sebanyak 8 ekor sebarau bersaiz 700 g sehingga 1.5 kg berjaya didaratkan. Dengan Siam Spoon kegemaran Khairul Izuan, seekor sebarau 1.1 kg hadiah untuknya.
Bagi Afzal, tiga ekor kelah bersaiz tiga jari berjaya didaratkan menggunakan umpan sawit peram. Kesemua kelah itu dilepaskan semula. Seawal trip lagi kami telah berbincang mengenai perkara bag limit dan juga penjagaan bagi spesies tertentu.
Adzrul Adnan pula tiga kali jorannya direntap spesies kasar, dan tiga kali ikan yang meragut umpannya berjaya memutuskan tali. Akan tetapi kekecewaannya berbalas jua keesokan hari di kawasan sama dengan seekor kaloi 5 kg dan tengalan bersaiz sekilo. Manakala gewang Wandy pula disambar kerandang tetapi ia dilepaskan semula kerana masih membawa anak merah.
Begini Hidup Di Rimba
Tanpa gajet handphone, dilihat semua ahli dapat berkumpul mesra berborak, bekerjasama menyiapkan hidangan makan malam. Dari menyiang hasil tangkapan hingga selesai makan malam, berteman lilin dan lampu dalam kesamaran, segala dapat disiapkan.
Nikmat rezeki pemberian Allah, alam semulajadi yang perlu kita jaga. Sumber yang harus kita nilai kepentingannya demi generasi hadapan agar mereka rasa keseronokan dalam mencari sebuah strike daripada sang raja sungai.
Pada hari terakhir, ada lagi ahli yang masih tercari-cari sang raja sungai, yang nyata amat sukar diduga dengan teknik casting lantaran sangat pemalu dan sukar untuk ia keluar dari persembunyian.
Hanya seorang ahli iaitu Afzal berjaya mem-bottom pada saat akhir. Kelah 1.4 kg menamatkan ekspedisi Team LOKOHZ kali ini, walau bertarung hampir 15 minit dicabar larian padu sang raja pecut raja sungai.
Bagi kesemua ahli trip, sememangnya kegembiraan apabila matlamat untuk melihat kelah di sungai ini masih ada. Malaysia masih bertuah kerana mempunyai spesies air tawar terhandal ini. Kami harap kita semua bersama-samalah memelihara khazanah alam ini tanpa memikirkan kepentingan diri.
_____________________________________________________________________
TIPS TREKKING MALAM
- Pastikan headlamp mempunyai tenaga penuh atau bateri spare.
- Berjalan dalam jarak rapat dan barisan.
- Bolehkan berborak jika perlu untuk membuat bising.
- Sentiasa peka dengan keadaan sekitar daripada bunyi dan juga bau.
_____________________________________________________________________
TIPS MEMANCING KELAH
- Tali yang halus bersaiz 8 – 15 paun
- Ladung kecil saiz 1 – 3 (ikut kesesuaian air / arus)
- Teknik penyamaran – bermula dari pakaian dan tempat kita pancing harus sesuai agar tidak mudah dilihat bayang kita di tebing dan dalam keadaan menyorok.
- Diingatkan, kelah adalah spesies yang amat sensitif.
- Umpan yang sesuai kebiasaannya sawit peram.
_________________________________________________________________
TIPS PEMAKAIAN UNTUK TREKKING
- Seluar tight – bagi mengelakkan berat apabila basah dan memudahkan pergerakan dan cepat kering.
- Baju tight @ microfiber (elakkan yang berwarna-warni) – supaya selesa dan mudah kering, dan seeloknya yang berlengan panjang.
- Stoking panjang (stokin bola putih) – memudahkan pergerakan dan mengelakkan pacat. Warna putih memudahkan kita melihat pacat.
- Parang atau pisau disisip di pinggang – untuk kegunaan kecemasan atau menebas laluan.