Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Jembalang Semantan

Airnya kuning tak pernah jernih mengalir hanya di tepian Lebuhraya Karak yang sentiasa sibuk dengan kenderaan antara KL ke Pantai Timur. Tetapi usah dipandang rendah kerana sungai ini merupakan sarang jembalang sungai yang sukar ditemui di tempat lain. Tetapi anda tidak akan berjaya mendapatkannya jika anda seorang pengecut dan takut membaling gewang ke dalam gulungan jeram deras yang penuh batu dan kayu!

Teks : NICK QLATE

Fotografi : NICK QLATE & GOONCH CASTERS

Penulis yang baru berpindah ke Temerloh dari Miri terkesima dengan lubuk kenerak ‘belakang rumah’.

September 2013, bermulalah satu era baru buat diri saya apabila menerima surat arahan daripada Kementerian Belia & Sukan Malaysia untuk berpindah ke IKTBN Temerloh di negeri Tok Gajah, Pahang Darul Makmur. Perasaan tidak menentu menyelubungi diri memikirkan sama ada saya betul-betul sudah bersedia untuk berpindah ke tempat baru yang begitu asing.

Terasa sayang sekali untuk meninggalkan bandaraya Miri yang banyak meninggalkan kenangan pahit manis. Sepanjang perkhidmatan di sana, saya banyak belajar perkara baru dari segi suasana, budaya, agama dan yang paling utama… bidang memancing.

Di Bumi Kenyalang jugalah saya mengenali ramai kaki mengilat dan jigger yang memberi tunjuk ajar untuk menangkap pelbagai spesies terhebat Miri. Seterusnya saya menjadi gila pancing dengan menipu ikan menggunakan gewang terutama dalam mencari siakap, siakap merah, G.T, tenggiri, termasuk sesekali pemangsa air tawar seperti haruan, bujuk dan sebarau.

Sambaran sipi kenerak masih tidak bernasib baik buat dirinya apabila mata kail terpacak di misai tebalnya yang liat.

Rakan-rakan saya seperti Atong, Abu Shahrani, Mat Tarpon, Man Pulo dan ramai lagi telah banyak membantu saya dalam mengenal arena gewang, dan membolehkan saya menyertai pelbagai trip memancing di serata Borneo. Budi baik mereka tidak dapat saya balas dengan wang ringgit, hanya Allah yang mampu membalasnya.

Terasa sedih apabila terpaksa meninggalkan bumi Borneo untuk menyambung tugas di negeri lain. Terpaksa tinggalkan rakan sekerja, rakan memancing dan lubuk yang banyak menyimpan khazanah yang tak ternilai. Saya sentiasa merindui kalian dan ikan-ikan Borneo. Terima kasih semuanya.

Buka Buku Baru

Semenjak berpindah ke Temerloh, kegilaan mengilat saya tidaklah padam begitu sahaja. Ketika mula-mula menjejakkan kaki di daerah yang terkenal dengan patin tempoyak ini, benda pertama yang saya mesti cari ialah maklumat di mana lokasi nak melunaskan kemaruk mengilat yang berakar dalam jiwa ini.

Setelah sebulan mencari dan mengorek maklumat daripada beberapa kaki pancing dasar di Sg. Semantan yang mengalir lesu dari Bentong dan Karak, akhirnya saya menjumpai beberapa lokasi yang boleh dianggap lubuk untuk mengilat pemangsa ikan air tawar. Yang best-nya, ia terletak berdekatan tempat saya bertugas sahaja di sebuah jambatan di Lanchang.

Papan tanda peringatan larangan aktiviti durjana, harap ia tidak dijadikan tugu sahaja tanpa pengawasan pihak berkuasa serta orang kampung.

Spesies Pelik & Rare

Mulanya rasa kekok kerana sebelum ini saya telah terbiasa mengilat di muara air masin. Nah sekarang terpaksalah saya perlahan-lahan mempelajari selok-belok casting air tawar yang jarang sekali saya praktikkan.

Walaupun saya pernah mengilat seba-rau dan toman, tetapi target kali ini lain dari yang lain, memandangkan saya diberitahu terdapat spesies pemangsa rare di Sg. Semantan yang dipanggil ‘kenerak’ atau ‘kenderap’ (Bagarius yarelli). Namun apa yang lebih mencabar untuk menduga ikan yang dikenali sebagai Goonch catfish di India ini ialah sifatnya yang suka mendiami kawasan sungai yang berbatu dan berarus laju!

Gewang terang seperti warna oren sangat berkesan kerana ia boleh dilihat kenerak dalam air yang keruh.

Sesampai di bawah jambatan yang berjeram itu, saya jadi keliru memikirkan apakah gewang sesuai untuk mengilat di kawasan berbatu ini. Nak pakai gewang selaman dalam nanti sangkut pulak. Kalau gewang selaman cetek nanti tak sampai ke target pulak… last-last hantam sajalah.

Setelah puas membelek setiap gewang yang dibawa, saya terpandang sebiji gewang selaman cetek yang menarik, Ofmer Shady 75. Tanpa membuang masa, saya membuang lontaran perasmian di celahan batu jeram yang laju. Setelah berkali-kali melontar, terasa satu pagutan seakan ada sesuatu menerkam gewang itu, tetapi sayangnya lucut kerana gewang bermata tunggal.

Kadangkala sebarau bersaiz kasar turut terpedaya ketika mensasarkan kenerak.

Gewang dilemparkan semula di kawasan tadi, kali ini karauan dikayuh dengan amat perlahan tanpa membuat henjutan. Nah satu sambaran yang ganas diterima dengan hamburan air yang kuat memperlihatkan ekor ikan melibas-libas ingin melepaskan diri.

Melihatkan ekor ikan tersebut yang besar, saya amat berdebar kerana tali utama hanyalah 10 paun serta perambut 30 paun yang membuat saya terfikir padan atau tidak untuk menanggung beban tarikan ikan itu.

Setelah 15 minit melayan mendapan serta henjutan padu daripada sang ikan, nampak tanda-tanda ikan ini menyerah diri. “Yess… yesss!” itulah ungkapan yang mampu dikeluarkan menunjukkan tanda menang dalam pertarungan pertama ini.

Anis dari Kedah sanggup turun mencari lesen dan kegigihannya berjaya mendaratkan dua ekor kenerak bersaiz 2 – 3 kg dengan Rapala Risto Rap dan Tail Dancer Deep.

Apabila ditimbang, nah… 5 kg kenerak berjaya didaratkan dengan jayanya. Tidak sangka ikan kenerak pertama yang bagak berjaya saya daratkan walau baru menjejak kaki ke sini!

Lemparan seterusnya di kawasan yang sama juga saya menerima lagi ragutan ganas, tetapi malangnya rabut semasa bertarung. Walaupun begitu, hati saya tetap puas dengan rekod kenerak 5 kg Sg. Semantan ini, dan semenjak itulah kegilaan memburu kenerak semakin menjadi-jadi. Asal balik kerja atau cuti mingguan, saya mesti akan terpacak di bawah jambatan ini!

Selain jeram di bawah jambatan, di sepanjang Sg. Semantan ini bermula dari Bentong, Karak, Lanchang ke Temerloh sebenarnya ada banyak jeram batu yang berpotensi untuk dicuba. Setiap jeram yang dilawati pasti ada kenerak yang menanti dan bersiap sedia untuk membuat serangan hendap. Cuma sama ada kita berani dan tak sahaja nak membuat lontaran ke tengah jeram berbatu yang bergulung dan berbuih deras itu.

Jiwa mesti kental apabila membuat lontaran-lontaran ke setiap jeram kerana pontensi sangkut amatlah tinggi. Oleh itu setiap gewang hendaklah diserasikan dengan mata kail tunggal yang kuat. Tetapi adakalanya gewang tetap juga sangkut disebabkan struktur dasar yang berbatu dan berkayu.

Ikan akhirnya tersangkut di celah balak di tengah jeram cetek yang memaksa Azmil turun mencekupnya.

Gewang Berani Mati

Untuk menjerat kenerak yang mendiami kawasan jeram yang berbatu dan berkayu, terdapat beberapa jenis gewang yang sesuai untuk  mengharungi arus deras jeram. Dengan membuat pelbagai ujian lapangan, sama ada gewang selaman dalam dan cetek, kedua-duanya berkesan asalkan ia dapat melalui kawasan kenerak ini menerkap di celah-celah jeram berbatu.

Lantaran ikan ini bersifat pemalas yang hanya menanti makanan berada di hadapannya, kita harus rajin dan membuat lontaran ‘berani mati’ di kawasan lorong-lorong jeram. Karauan mestilah dilakukan dalam kondisi perlahan-lahan seperti kita ingin menjerat siakap. Tetapi jika karauan terlampau laju, memang sampai esok pun belum tentu gewang yang disua akan diragutnya.

Gewang jenis selaman dalam seperti Rapala Shad Rap, Tail Dancer, Deep Tail Dancer, Risto Rap, Ofmer Shady bersaiz 5 dan 7 cm dan Storm Smash Shad 06 menjadi kegemaran kenerak di Sg. Semantan. Gewang itu yang berwarna terang antara yang menjadi pilihan utama saya dalam menjerat sang kenerak ini.

Sepanjang penglibatan saya mencari spesies elusif ini, sudah banyak gewang lebur di dasar sungai serta menjadi anting-anting di mulut sang kenerak. Bukan senang untuk mendaratkan sang kenerak ini kerana daya juangnya amat kuat apatah lagi dibantu arus deras serta mendapannya di batuan jeram yang membuatkan tali sering putus dek geseran.

Lepaskanlah sang kenerak supaya kita dapat terus memburu spesies luar biasa yang sukar ditemui ini.

Kondisi Air

Hampir setiap hari selepas habis kerja saya turun ke sungai ini. Maklumlah port ‘belakang rumah’ aje, maka inilah peluang untuk saya mendalami perangai ikan yang luar biasa tanpa perlu mencari spesies ikan asli yang sudah biasa sangat pengilat memburunya.

Kondisi air didapati amat mempengaruhi keaktifan kenerak untuk menyambar gewang yang disuakan, terutama paras ketinggian air dan warna air. Sg. Semantan sememangnya jarang jernih disebabkan sebahagian hulunya dari kampung dan estet. Namun saya dapati air sungai yang keruh sedikit dan sederhana tinggi menjadi kegemaran ikan ini mudik masuk ke kawasan berjeram dengan menempelkan badannya di batuan jeram menanti anak-anak ikan mudik ke hulu.

Oleh sebab seluruh badannya berceloreng, ia menjadi satu kelebihan ikan ini membuat penyamaran sama seperti sebatang kayu yang tersangkut di celahan batu, jadi anak-anak ikan yang mudik tidak merasa ia satu ancaman. Apabila anak-anak ikan ini meloncat beramai-ramai untuk mudik ke hulu, maka sang kenerak sudah menanti di sebalik batu jeram untuk membaham anak-anak ikan yang berhenti rehat di celahan batu.

Begitu juga apabila gewang disua di hadapan mulutnya akan sepantas kilat sang kenerak ini menyergap dengan rakusnya. Kadangkala gewang tidak melekat di dalam mulut, tetapi  mata tunggal terpacak kuat pada misai tebalnya bak aktor A. Galak. Sungguh keras misai sang kenerak, mungkin fungsi misainya sebagai antena ataupun sauh yang menahan batu apabila ikan ini bertepek di sebalik batu jeram yang berarus deras.

Ramai kenalan caster yang telah saya bawa cukup teruja sebaik sahaja mendaratkan lesen ikan rare ini.

Saya dapati jika kondisi air surut atau kering, ikan ini kurang aktif menyambar gewang. Mungkin kerana faktor kekurangan anak-anak ikan yang mudik ke hulu. Jadi baik datang mencuba ketika ada hujan yang menyebabkan paras air naik sedikit. Tetapi bukan ketika hujan lebat yang menyebabkan air sungai ini terlalu keruh. Kenerak pun sukar nampak gewang.

Apa pun jika kena ‘timing’, kenerak akan membaham tidak kira pagi, tengahari atau petang. Janji gewang melalui hadapan mulutnya yang sedia ternganga. Kemudian bersedialah untuk digasak kerana ia bertambah kuat dengan adanya bantuan arus deras jeram.

Lesen Rare

Semenjak berpindah ke Temerloh, ramai kenalan dari serata tempat datang bertandang semenjak mengetahui spesies rare ini ada berdekatan rumah saya. Pada awalnya mereka kurang percaya dengan potensi Sg. Semantan yang begitu keruh dan hanya di tepian kampung tetapi mempunyai spesies penyerang hendap gewang yang luar biasa. Nah apabila saya dah bawa dan kena strike, barulah mereka terlopong.

Setiap kali saya membawa rakan-rakan caster, mereka cukup teruja untuk merasai tarikan ganas ikan kenerak ini. Kalau ada rezeki tu adalah… dan yang dah berjaya, perasaan mereka amat berpuas hati. Ia dianggap lesen rare!

Malah ada antara caster yang diasak sehingga lost control, dan ada juga yang patah joran dihenjut kenerak yang besar. Rakan saya dari puncak Kedah sanggup turun untuk merasai tarikan ikan ini. Padu sungguh tarikannya, itu katanya sebaik dapat lesen.

Acapkali membawa rakan-rakan baru turun mengilat setiap minggu sehinggakan saya terpaksa menyusun jadual dan membuat giliran. Saya juga berpeåsan supaya mereka bersiap sedia dengan beraneka gewang kerana sudah pasti akan dikenakan ‘cukai sungai’. Maksudnya gewang mereka wajib menjadi taruhan untuk ‘dikorbankan’ kepada Sg. Semantan.

Itulah beberapa kenangan yang bermakna apabila rakan-rakan caster berjaya mendaratkan sang kenerak Sg. Semantan ini.

KENERAK – SASARAN CASTER KONTEMPORARI

Kenerak kini menjadi spesies sasaran terbaru caster tanahair semenjak ia diketahui kuat membaham gewang dan habitatnya berada tidak jauh pun dari Kuala Lumpur. Melepasi terowong Genting Sempah, sistem Sg. Semantan yang melingkar di sebelah Karak Highway itulah habitat semulajadi kenerak sehingga memasuki Sg. Pahang. Kenerak sememangnya wujud dengan populasi yang baik di sistem Sg. Pahang ini, termasuklah di Sg. Lipis, Sg. Jelai, Sg. Tembeling, Sg. Kechau, Sg. Triang dan Sg. Lepar.

Di Semenanjung, hanya tiga sistem sungai yang didiami kenerak iaitu Sg. Pahang, Sg. Terengganu (populasinya semakin merosot semenjak pembinaan Empangan Kenyir) dan Sg. Kelantan. Ia tidak pernah direkodkan di selain tiga sistem sungai di atas, dan juga dianggap tidak wujud di Sabah dan Sarawak. Namun taburannya di Asia tersebar hingga di Pakistan, India, Vietnam, Thailand dan yang anehnya ada direkodkan di sebelah timur Borneo iaitu Kalimantan, Indonesia.

Kenerak gemar mendiami jeram berbatu, mendapan kayu dan lubuk-lubuk berarus yang dalam. Ia juga amat gemar kondisi air yang keruh dan sedikit tinggi, membolehkan ia menongkah arus untuk mudik ke hulu mencari makanan serta bertelur.

Ikan ini berkebolehan tinggi untuk melekap di batuan jeram yang deras disebabkan bentuk morfologi badannya, khususnya bahagian kepala yang dempak, perut yang rata, sirip sisi yang bergerigis dan misai bak alien sebagai sauh untuk bertahan di dalam arus jeram yang bergulung laju.

Lantaran tingkah lakunya yang malas mengejar, corak celorengnya membantu ia menyamar di dalam air untuk mengaburi mangsa yang beranggapan ia batu berlumut atau kayu yang terdampar.

Digelar ‘goonch’ di India dan mat saleh pula memberi jolokan ‘freshwater shark’ (bukan golongan ikan yu tetapi rupa dan kulit seakan yu), spesies Bagarius ini sebenarnya boleh membesar puluhan kilogram. Tetapi cukup mustahil untuk menjumpai saiz segergasi itu lagi di negara kita atas sebab tekanan penangkapan ikan yang tinggi dan faktor-faktor lain yang memudaratkan kesuburan sungai.

Namun walaupun rekod saya mencecah 5 kg di Sg. Semantan, saya percaya ada saiz yang lebih besar kerana saya sudah beberapa kali direntap dan didera asakan kenerak monster yang langsung tidak boleh di-control pecutannya!

Antara beberapa rekod spesimen terbesar yang berjaya saya naikkan di Sg. Semantan seberat 5 kilo lebih. Saya percaya ada yang lebih besar, tetapi sukar ditumpaskan kerana kecekapannya meluru mengikut arus jeram yang bergulung-gulung sehingga meletupkan tali.

Misai berdaging yang liat dan tebal bak misai aktor A. Galak, tetapi tidak diketahui apakah kegunaannya. Mungkin juga berfungsi sebagai sauh untuk bertepek di celah batu jeram yang deras.

Sirip sisi kenerak yang bergerigis membantu ia kekal di kedudukannya walaupun dihenyak arus deras.