Jigging Muara Apa Potensinya?
Aksi saya dihenjut gerepoh yang menyambar jig ketika ia sedang frenzy di permukaan.
Jigging hanya terhad di laut? Fikir sekali lagi… Ia sebenarnya tidak terhad pada mana-mana tempat sama ada di laut, muara, sungai, tasik empangan, lombong mahupun kolam. Ini berjaya dibuktikan semasa trip saya bersama ayah yang ternyata ia harus dikongsi kepada rakan pembaca sekalian…
Teks & Fotografi : NAZRI ISMAIL (dari Pitas, Sabah)
Sudah bertahun saya memancing di Sg. Kanibongan di Pitas, Sabah. Dalam pemerhatian, terdapat beberapa jenis cara ikan memburu mangsanya, sama ada berkumpulan atau menyerang hendap mangsa yang lalu di wilayahnya.
Di Kanibongan, G.T dan talang gemar bergerak secara berkumpulan apabila memburu, dan situasi boiling atau frenzy akan terjadi apabila kumpulan ikan ini mula menyerang sasaran mereka. Inilah waktu terbaik melontarkan gewang kerana mereka akan membaham apa-apa objek yang bergerak. Namun peluang keemasan ini harus digunakan sebaik-baiknya kerana boiling selalunya berlaku dalam masa singkat.

Jig yang kami suka gunakan dan suka dibaham penghuni Sg. Kanibongan. Semuanya keperakan menyerupai bilis.
Berbeza pula pemangsa demersal yang bersifat territorial yang gemar menyerang mangsa dengan kaedah serang hendap seperti kerapu, siakap, siakap merah dan terutama tembaring (black bass). Ikan-ikan ini biasanya menggunakan reba, cerunan, batu atau tanah untuk menyembunyikan diri dan apabila mangsa melalui radius strike zone, ia merupakan sasaran yang mudah.
Strike Zone
Sudah jadi satu kebiasaan bagi setiap pemancing apabila mereka akan menjarakkan bot sekitar 20 – 50 kaki untuk mencari pemangsa yang berkeliaran di kawasan sasaran. Akan tetapi, bagaimana jika pemangsa yang disasarkan itu tidak mahu menyergap gewang yang disuakan?
Apabila kita menggunakan gewang permukaan, minnow dan selaman dalam, bot biasanya akan dijarakkan beberapa meter dari tebing. Namun apabila strike, kita mungkin berpendapat bahawa mendapat ikan dengan kaedah mengilat ini biasa-biasa sahaja.
Dengan berpandukan sonar, kami mendapati purata kedalaman sungai di Kanibongan adalah antara 15 – 18 kaki dan dasarnya ada dihiasi dengan reba-reba tenggelam. Kawasan tebing yang mempunyai kedalaman sekitar 15 kaki adalah yang terbaik kerana kebanyakan ikan didaratkan pada kedalaman tersebut.
Oleh kerana jarak kita dengan ikan adalah dekat, penggunaan enjin sangkut tidak digalakkan sama sekali kerana dikhuatiri akan menakutkan ikan yang berada di struktur tersebut. Justeru, penggunaan thruster atau pendayung merupakan alternatif terbaik untuk menghampiri strike zone tersebut.

Siapa sangka ebek pun mendiami muara sungai ini!
Alternatif Jigging
Apabila gewang tidak diendahkan apatah lagi ikan disyaki berada di reba dasar yang dalam, saya mendapati jig merupakan pendekatan terbaik setakat ini untuk ‘mencari pasal’ berbanding soft plastic (S.P) kerana ia lebih cepat tenggelam lantaran profilnya yang lebih tumpat.
Aksi fluterring-nya ketika jatuh dan biasan cahaya atau kilauannya yang baik lantas membuatkan ikan yang duduk diam dalam reba itu keluar dari strike zone untuk menyiasat.
Pilihan jig terpulang kepada pemancing. Daripada pengalaman saya, jig yang terbaik adalah sekitar 15 – 20 g. Jika jig anda terlalu ringan, ia kurang efektif kerana tidak dapat menembusi ranting-ranting pada reba dan lantas menimbulkan masalah sangkut.
Profil jig yang lebar atau berat di tengah adalah yang paling sesuai kerana ia dapat membalikkan cahaya dengan baik. Jig yang mempunyai berat di tengah pula bagus untuk menembusi reba banat.

Dengan sonar, kita boleh kesan reba di tengah muara yang lebih produktif untuk diduga dengan jig.
Warna jig sememangya memainkan peranan yang sangat penting dalam jigging muara sungai kerana warna air muara kebiasaannya hijau kehitaman. Pada pemerhatian saya, kebanyakan ikan di sungai ini suka membaham jig yang berwarna perak, biru keperakan, chartreuse dan perak merah jambu.
Saya tidak gunakan joran khas untuk jigging kerana pemegang yang panjang agak merimaskan. Set mengilat biasa berkekuatan 8 – 15 paun pun sudah memadai, dengan kekili berkelajuan sekitar 6 : 1.1 dan 7 : 1.1 untuk memudahkan saya bertarung dengan ikan yang gemar masuk ke dalam reba.
Tali 15 paun ke atas dan perambut fluorocarbon 30 paun adalah perlu agar tidak mudah putus akibat bergesel batu atau kayu. Jika set kita terlalu kasar, keseronokan akan berkurangan kerana tidak dapat menghayati kekuatan ikan yang bersaiz kecil. Jika terlalu ringan pula, kita akan senang dibuli oleh ikan besar terutama jika kena ikan tembaring. Jadi gunalah set yang bersesuaian.

Rekod siakap saya dengan jigging!
Memainkan Jig
Terdapat pelbagai cara untuk memainkan jig. Akan tetapi jigging muara sungai ini ada lain sedikit, sama ada memainkan jig rapat ke dasar atau pun karauan sederhana laju.
Ketika ikan dalam mood serang hendap, persembahan jig yang paling berkesan adalah memainkan jig rapat ke dasar. Ini kerana kebanyakan ikan di sini mendiami cerunan dan dasar sungai yang tidak rata ketika ia dalam mood serangan hendap.
Karauan laju pula biasanya saya praktikkan sewaktu ikan aktif memburu secara berkumpulan. Kaedah ini saya lebih gemar praktikkan di kawasan simpang tiga yang merupakan laluan ikan ke hulu dan hilir.
Apabila memainkan jig rapat ke dasar, kita boleh mengangkat jig sehingga 2 – 5 kaki dari dasar (karau dengan perlahan sambil menghenjut jig). Ataupun hanya 2 – 8 inci dari dasar dengan menghenjut joran tanpa mengaraunya. Biasanya siakap yang lebih kerap dianaikkan dengan kaedah ini.
Ikan Sasaran
Di Kanibongan, populasi G.T boleh dikatakan luar biasa dan merupakan sasaran utama jigging. Spesies yang jarang membaham jig juga terpedaya, contohnya gerut-gerut. Malah spesies luar biasa iaitu ebek juga masuk jauh ke dalam sungai ini.
Tembaring juga boleh dijadikan ikan sasaran jigging, tetapi tali dan perambut harus kasar sedikit kerana taktik kotornya yang pantas menyelinap ke dalam reba. Sehingga artikel ini ditulis, saya dan ayah kerap mempraktikkan jigging muara ini dan hasilnya sangat mengujakan.

Ayah yang banyak memberi inspirasi saya untuk bersamanya menerokai khazanah Sg. Kinabongan.
Kesimpulan
Apa yang best jigging muara ini? Ya keseronokan melayan tairkan padu ikan-ikan muara dengan set ringan dan pasti ‘thrill’-nya berbeza kerana ia bukan diperoleh dengan gewang, tetapi dengan jig!
Jom cuba-cubalah praktikkan teknik ini.Manalah tahu ia akan meningkatkan hasil tangkapan anda. Akan tetapi, amalan tangkap dan lepas harus diutamakan tidak kira besar atau kecil. Boleh juga ambil ikan tersebut untuk ‘buat lauk’ tetapi janganlah sehingga melampaui batas.