Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Jigging Ringan Dua Lubuk

Ebek bagak ini mungkin akan rabut akibat mulutnya pecah jika tiada mata tiga sebagai insuran.

Dengan tujuan untuk mengulangi memori dahulu, saya telah bertandang ke Tanjung Leman di Johor dan Dungun di Terengganu untuk pancingan jigging ringan. Secara tidak tersangka-sangka, saya telah berpeluang menyaksikan dua jenis persembahan jig ringan yang berlainan, di samping memperolehi bonus teristimewa!

Perairan di sekitar Pekan arusnya lebih lembut akibat efek teluk.

Teks & Fotografi : PAK WONG

Teknik jigging berasal dari Jepun. Di Jepun jarang kedengaran kaedah jigging yang dipanggil jigging ringan. Namun di Malaysia, kita mempunyai struktur laut yang berlainan, terutama perairan Pantai Timur Semenanjung yang berkedalaman kurang daripada 30 meter. Perairan yang cetek ini sememangnya tidak memerlukan jig yang sangat berat. Justeru terciptalah teknik jigging ringan yang kini telah menjadi aliran utama pancingan laut tempatan, di mana jig seberat 30 – 120 gram biasa digunakan.

Henjutan laju disarankan di perairan Tanjung Leman, dan lebih menumpu kepada perairan pertengahan sehingga dasar.

Teknik jigging ringan merupakan aktiviti memancing yang mampu ditanggung oleh kebanyakan pemancing. Tidak perlu bertandang jauh ke samudera terbentang dan amat berkesan buat spesies-spesies laut cetek, terutama ebek kapak yang dianggap spesies terhandal di sana. Sehingga sekarang, teknik ini masih dianggap teknik paling popular di Malaysia dan telah menjadi penyumbang besar kepada industri peralatan memancing dan perkhidmatan bot pancing.

Sehingga sekarang, teknik jigging ringan tidak mengalami perubahan yang ketara selain perkembangan peralatannya. Sejak kebelakangan ini jigging ringan juga mengikut trend dan dipraktikkan dengan peralatan yang lebih ringan. Saya yang telah lama tidak menceburi bidang ini telah bertandang ke Tanjung Leman, Johor atas jemputan Ah Hoy untuk mengulangi memori silam dalam trip balik hari.

Efek Teluk Pengaruhi Arus

Kelong Yoong merupakan tekong paling senior di perairan ini. Beliau membawa kami ke sebuah unjam yang agak jauh dari pantai. Apabila tiba ke destinasi, didapati ia sebuah unjam terbiar yang tidak mempunyai pelampung sebagai tanda. Kawasannya agak luas dan berada di perairan berkedalaman 30 meter. Terasa arus di sini amat kencang apabila jig diturunkan, agak berbeza dengan keadaan arus di perairan Pekan, Pahang yang sentiasa dikunjungi saya pada masa dahulu.

40 gram merupakan berat jig yang paling biasa digunakan di perairan Pekan dan Rompin. Jig 50 gram jarang-jarang digunakan. Terasa pelik juga Tanjung Leman yang terletak tidak berapa jauh dari kedua-dua tempat ini memerlukan jig yang dua kali ganda beratnya.

Kelong Yoong dengan bayi jemuduk yang rakus mengasak jig.

Untuk mengetahui sebabnya, marilah kita meneliti peta Semenanjung Malaysia. Pemancing yang pernah bertandang ke perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pasti akan mendapati bahawa, tempat-tempat tersebut biarpun sama-sama berada di perairan Pantai Timur, namun keadaan arusnya agak berlainan antara satu sama lain.

Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang yang berada lebih ke utara, perairan persisiran pantainya masing-masing mempunyai aliran arus yang lebih kencang. Jika ditinjau berdasarkan lubuk-lubuk tersohor, perairan-perairan yang berada di sebelah atas Kuantan akan bertukar menjadi lebih deras aliran arusnya, manakala perairan-perairan di sebelah bawah Kuantan iaitu Pekan dan Rompin akan berarus lembut. Arus akan bertukar menjadi deras pula bermula dari perairan Tanjung Leman. Apakah sebabnya?

Fenomena ini sebenarnya bersangkutan dengan cara pergerakan arus lautan dan geografi bentuk bumi. Anda mungkin telah mengetahui bahawa Pekan dan Rompin secara kebetulan terletak di bawah bahagian yang menonjol di sebelah timur Semenanjung. Apabila arus lautan yang mengalir dari Vietnam dan Thailand di sebelah utara sampai ke Dungun, Terengganu yang terletak di bahagian paling menonjol Semenanjung, kawasan teluk yang terletak di bawahnya (termasuk Pekan, Rompin dan Penyabong) akan menjadi sebuah kawasan terlindung yang berarus lembut. Sama seperti keadaan sungai.

Dengan kata lain, perairan di sebelah atas Pekan akan berarus lebih deras, manakala perairan di sebelah bawah kawasan teluk Pekan juga akan menjadi deras bermula dari Mersing. Tanjung Leman yang berada jauh dari kawasan teluk pula dilanda arus kencang secara langsung, justeru aliran lautnya menjadi amat deras.

Persembahan Laju

Lantaran airnya tidak berapa dalam, jig seberat 60 gram masih boleh digunakan. Namun jika ingin mendapatkan kepekaan yang lebih jelas, jig 80 gram ke atas terpaksa digunakan. Ikan yang mendiami unjam ini termasuklah tenggiri, jemuduk dan spesies-spesies pelagik yang lain. Justeru tiada masalah jika jig tidak dapat bertahan lama di dasar.

Namun seperkara yang harus ditekankan di sini ialah, jika jig yang digunakan tidak cukup berat dan bot pula sentiasa bergerak mengikut arus, anda pula tidak rajin untuk mengarau balik jig dan diturun kembali ke dasar, jarak bot dengan jig akan menjadi semakin jauh. Ini bermaksud jig anda akan tetap berada di tempat yang sama, sehinggakan peluang terkena ikan menjadi berkurangan.

Jig juga harus sentiasa diberhentikan buat sementara apabila menyasarkan sagai agar spesies bermulut kecil dan keras ini lebih mudah terkena mata kail.

Henjutan haruslah laju apabila jigging di perairan yang berarus deras ini. Jika henjutan terlalu perlahan, jig akan kelihatan seperti seketul besi yang tidak bernyawa, melainkan anda menggunakan jig yang dapat menari mengikut arus lantaran reka bentuknya yang bengkok.

Arus akan menjadi perlahan dalam masa satu jam apabila air laut mulai pasang atau surut. Pada masa inilah ikan akan aktif mencari makanan. Di sini jig biasanya disambar apabila ia dihenjut agak jauh dari dasar. Ikan akan menyambar jig dengan lebih agresif di perairan yang berarus kencang, justeru mata kail biasanya akan tertancap kukuh di mulutnya. Lebih-lebih lagi disebabkan tenggiri telah menjadi sasaran utama di sini, kami telah menambahkan sebilah mata kail tiga di bahagian ekor jig, justeru kes rabut ternyata akan menjadi amat jarang.

Ikan yang paling di luar dugaan trip ini ialah seekor ebek bulat yang agak besar saiznya. Ia telah membaham jig saya yang telah dihenjut setinggi 5 meter dari dasar. Pergelutan menjadi semakin tegang dengan joran kelas ultra ringan dan tali 10 paun. Peralatan sedemikian memang lebih memuaskan apabila digunakan untuk menjerat monster-monster laut cetek!

Jigging Ringan-Perlahan Dungun

Tidak berapa lama kemudian setelah pulang, racun memancing yang dijangkiti di Tanjung Leman telah kembali menyerang. Dengan segera sebuah trip telah dirancang dan kali ini bertandang ke perairan Dungun pula!

Terasa agak ganjil juga kerana saya yang telah menceburi pancingan laut selama 20 tahun pun baru pertama kali bertandang ke perairan Dungun, Terengganu. Bot pancing Affendi telah menjadi pilihan. Affendi bersama pembantunya Adam agak tersohor di sekitar Pantai Timur kerana telah berjaya membawa tetamu menaikkan banyak ebek bulat bagak. Lubuknya dekat sahaja di sekitar Pulau Tenggol. Perairan di sini sedalam 50 meter dengan arus kencang yang menyerupai Tanjung Leman. Adakalanya arus di kawasan ini akan menjadi amat deras sehingga sukar untuk mempraktikkan teknik jigging.

Ikan sasaran trip ini ialah ebek bulat. Namun disebabkan perubahan cuaca, musim ikan pun terpengaruh dan sukar diramal, hanya jemuduk yang berjaya dinaikkan. Terasa malu juga keputusan kami bertiga jauh ketinggalan, berbanding Affendi dan Adam. Justeru saya pun mula perhatikan cara henjutan mereka dengan lebih teliti.

Ebek bulat bagak di luar dugaan mengambil masa belasan minit untuk dijinakkan dengan peralatan ultra ringan.

Apakah benar teknik jigging perlahan yang mereka praktikkan? Namun jig yang mereka guna bukan jig perlahan pun! Setelah memerhati dengan teliti, baru saya sedar cara henjutan mereka adalah amat perlahan sekali. Bukan sekadar perlahan, adakalanya seakan pancing dasar pula!

Kadang-kadang laju juga persembahan jig mereka, namun ternyata lebih tertumpu kepada persembahan yang lebih perlahan. Cara henjutan perlahan ini pula amat mementingkan kepanjangan masa berhenti sementara. Tidak kira jigging berat atau ringan, biasanya akan diselang juga dengan perhentian sementara, iaitu berhenti seketika setelah membuat beberapa henjutan.

Teknik ini terbukti berkesan. Ada masanya ikan hanya mengejar jig tapi tidak menyambar. Mereka hanya akan menyambar jig apabila jig berhenti seketika dan henjutan berikutnya dimulakan. Inilah yang dikatakan reflex action. Dipercayai ramai pemancing telah menggunakan teknik ini secara sengaja atau tidak sengaja dengan keputusan yang memuaskan.

Jelas sekali Affendi dan Adam masing-masing lebih mementingkan strategi dasar. Jig dihenjut satu atau dua pusingan sebaik sahaja ia mencapai dasar, kemudian berhenti langsung. Bukan berhenti setakat satu hingga dua saat, tetapi tiga hingga lima saat!

Saya pun pertama kali memerhatikan teknik perhentian sementara yang mengambil masa begitu panjang. Jika tiada sambaran, mereka akan meneruskan henjutan satu atau dua pusingan. Selepas itu berhenti agak lama, sebelum menurunkan jig kembali ke dasar.

Pelik bukan? Pada kebiasaannya apabila mempersembahkan gewang, kita tidak akan membiarkan gewang berhenti terlalu lama kerana khuatir ikan akan megenali ia benda palsu. Habis mengapakah mereka berbuat demikian, dan ikan pula sudi makan jig mereka yang kelihatan langsung tidak bergerak?

Penggemar jigging pasti terasa sunyi jika tiada spesies tenggiri yang kerap datang menghiburkan mereka.

Jangan Keras Kepala

Hakikatnya fenomena luar biasa ini berkaitan rapat dengan bulu dan sotong plastik yang mereka pasang pada mata jig. Ikan sebenarnya bukan menyambar jig, tetapi menyambar bulu dan sotong plastik yang kelihatan bersamaan dengan makanan biasa mereka. Agaknya inilah sebabnya mereka membiarkan jig berhenti buat sementara begitu lama!

Dalam kes ini, jig mungkin bukan umpan sebenar mereka. Jig cuma memainkan peranan pemberat untuk membawa umpan ke dasar laut. Bulu dan sotong plastiklah umpan sebenar!

Setelah memahami rahsia Affendi dan Adam, sahabat saya juga cuba meniru, namun kurang menjadi. Mungkin jig mereka hanya terdapat bulu sahaja, tanpa sotong plastik. Atau mungkin mereka tidak cukup bersabar sehingga jig terlalu cepat dihenjut menjauhi dasar. Berdasarkan pemantauan, ikan-ikan di sini seakan lebih suka mencari makanan berdekatan dasar, termasuk jemuduk dan ebek yang bersifat pelagik.

Saya seorang pemancing purist. Tidak suka menambahkan apa-apa ke atas jig saya. Justeru sehingga petang pun belum ada sambaran. Namun cara persembahan boatman telah mencetuskan ilham saya untuk lebih menumpukan perhatian kepada dasar. Jig diturun kembali ke dasar serta merta setelah melakukan tiga henjutan.

Jeti Dungun yang berdekatan pekannya berada di muara Sg. Dungun.

Bot pancing Dungun yang ditutup rapi dari hadapan sehingga ke belakang, sedap untuk menjalankan pancingan sepanjang hari.

Teknik ini ternyata berkesan. Ada sekali saya segera memberhentikan jig setelah membuat satu henjutan sebaik sahaja jig mencapai dasar. Namun masa perhentian jig tidak selama mereka. Dengan cepatnya saya pun meneruskan aksi henjutan. Jig disambar sebaik sahaja saya menghenjut joran dan berjaya menaikkan ebek bulat tunggal trip ini!

Pengalaman di Dungun memberi kesimpulan bahawa, kita harus memerhati dan meniru teknik pemancing tempatan apabila bertandang ke lubuk asing. Ikan yang sama mungkin akan memaparkan cara pemakanan yang berbeza di tempat yang berlainan. Justeru harus ditangani dengan teknik yang berlainan. Anda tidak semestinya meniru teknik mereka dengan sepenuhnya, namun haruslah belajar dengan hati yang rendah diri. Jika tetap berkeras kepala, kumpaulah akhirnya!

*Bot pancing Tanjung Leman : Kelong Yoong (019-751 8858)
*Bot pancing Dungun : Adam (011-1999 0052)

Ikan pertama berjaya ditumbangkan oleh Affendi tidak berapa lama setelah pancingan dimulakan.

Selain talang biasa, di sini juga terdapat banyak talang berbadan ramping yang dipanggil ‘Adueh’ oleh orang tempatan.

Sagai yang dipukau dengan teknik jigging ringan terlampau perlahan.

SAILFIN SNAPPER DUNGUN 

Perairan Malaysia memang terkenal dengan variasi hidupan lautnya. Sehingga hari ini, kita masih dapat menjumpai spesies ikan yang belum pernah dijumpai dahulu seperti Sailfin Snapper (Symphorichthys spilurus) yang dipancing Adam secara kebetulan ini.

Menurut Wikipedia, spesies ini gemar mendiami perairan sedalam 5 hingga 60 meter. Ia biasanya hidup bersendiri tanpa teman dan hanya akan berkumpulan apabila tibanya musim bertelur. Sailfin snapper yang mampu mencapai kepanjangan 60 cm ini mempunyai warna badan yang terang dan cantik. Keunikannya ialah tompok hitam berdekatan ekornya dan sirip dorsal yang memanjang. Bentuk luarannya kelihatan amat menarik sehingga menjadi sasaran kedai-kedai akuarium. Ikan ini juga merupakan satu-satunya spesies dalam genus ini.

Menurut laporan, spesies ini adalah native di lautan Hindi di sebelah barat Australia dan bahagian barat Lautan Pasifik. Ia amat jarang dijumpai di Semenanjung Malaysia. Adam yang dilahirkan di Dungun pun pertama kali menjumpai spesies ini. Secara kebetulan, pemancing juga pernah menaikkan spesies ini di Pulau Aur di perairan Johor. Pemancing-pemancing yang pernah bertarung dengan spesies ini masing-masing mengakui kehandalannya.

Selain Semenanjung, Sailfin Snapper juga pernah dijumpai di pasar Sibu, Sarawak dalam bilangan yang agak banyak. Kemungkinan terkena dengan musim membiaknya. Biarpun tergolong dalam famili snapper, orang yang pernah memakan ikan ini mendakwa isinya agak liat berbanding spesies snapper yang lain.

Jig mereka dihiasi bulu dan sotong palstik yang menjadi kegemaran ikan tempatan.

Tidak tersangka-sangka ebek juga sudi makan jig ‘original’ saya!

Menurut Adam, ikan yang kelihatan comel ini amat padu tarikannya.

Satu lagi Sailfin Snapper yang dipancing di perairan Pulau Aur.