Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Jigging Tenggiri Ala Kelantan

Tenggiri yang membaham jig 60 gram di dasar ini badannya terkena mata tunggal yang dipasang di bawah jig setelah assit hook dipotong oleh giginya.

Apabila jigging tenggiri di perairan negeri Kelantan, anda akan kagum dengan jumlah unjam yang amat banyak di sana. Bot pancing sanggup menziarahi belasan unjam dalam satu hari sehingga tangan jigger terasa kaku akibat jigging berturut-turut. Selain tenggiri, jigger juga akan dihibur dengan dorado yang banyak terdapat di hampir setiap unjam. Namun setelah anda berpeluang merasai tarikan tenggiri yang padu dan laju, dorado akan dianggap pengacau pula!

Teks & Fotografi: Pak Wong

Kombinasi mata jig yang biasa diguna oleh jigger Kelantan. Assist hook di atas jig mengandungi dawai di dalam kulitnya.

Pada asalnya ikan sasaran trip Kelantan bukannya tenggiri tetapi ebek yang memang tersohor di perairan ini. Namun apabila sampai ke lubuk yang pada umumnya terdiri dari unjam, tenggirilah penghuni yang paling biasa dijumpai. Secara kebetulan, pancingan tenggiri di sini telah menghidupkan semula minat saya terhadap spesies yang lama berpisah ini lantaran cabaran memancing tenggiri dengan jig sememangnya amat tinggi justeru kepuasan yang diperolehi apabila berjaya menaikkannya memang menasyikkan!

Bot pancing Pengkalan Petah Sport Fishing yang berlabuh berdekatan jalan besar.

Nik Azaha selaku sahabat Facebook saya memang orang lokal Kelantan. Beliau telah membantu menganjurkan trip dua hari di perairan Melawi, Bachok. Melawi yang mempunyai persisiran pantai yang indah terletak tidak jauh dari Kota Bahru. Mahligai memancing yang tersorok ini jarang diketahui orang luar.

Tempat penginapan saya berada di tepi sungai sahaja.

Tempat menaiki bot berada di pelabuhan Jabatan Perikanan Pengkalan Petah yang teretak di tepi jalan sahaja. Abe Mie selaku tekong Pengkalan Petah Sport Fishing orangnya peramah dan rajin. Beliau sanggup bertukar sebayak belasan unjam dalam satu hari dengan sewa yang berpatutan.

Kombinasi mata ala Kelantan

Terima kasih diucapkan kepada Nik Azaha yang telah mengaturkan trip ini.

Jigger Kelantan terdapat kaedah jigging tenggirinya yang tersendiri. Seperti jigging ebek, mereka suka menambahkan bulu berwarna hijau ke atas assit hook. Kombinasi mata lebih kepada satu mata tunggal di atas dan di bawah jig. Mata di atas jig adalah assit hook yang ditambah bulu berwarna hijau. Ada juga yang menggunakan kevlar yang terdapat dawai di dalamnya. Manakala mata di bawah jig pula pilihannya ialah mata tunggal khas untuk gewang yang bersaiz besar.

Ada setengah jigger yang menyambungkan sekerat dawai pendek ke atas perambut FC. Penambahan dawai ke atas perambut seakan insuran bagi menjamin perambut dari terputus digigit tenggiri. Namun jigger yang pernah jigging tenggiri di kawasan unjam rata-rata memahami bahawa tenggiri unjam sememangnya pandai-pandai belaka. Biarpun perambut ditambah dawai yang sangat pendek mereka tetap tidak akan layan jig kita dan hanya berminat dengan jig sahabat anda yang tidak ditambah dawai.

Di Kelantan awal-awal pagi sudah ada jual bermacam kuih. Kemudahan buat komuniti pemancing.

Justeru jigging tenggiri telah menjadi pancingan yang sangat mencabar kepada jigger newbie mahupun otai!

Lantaran lubuk-lubuk tenggiri pada umumnya telah mengalami tekanan memancing yang amat tinggi, pemancing terpaksa menggunakan tali perambut yang lebih halus untuk menduganya dan ini telah meningkatkan lagi kemungkinan perambut dipotong oleh gigi tenggiri yang amat tajam. Lagi pun tenggiri biasanya akan membaham jig dengan pantas, kemungkinan perambut dipotong secara tidak sengaja adalah amat tinggi.

Nasi kerabu, salah satu makanan tradisional Kelantan yang amat popular.

Persembahan jig

Pemancing yang berpengalaman pasti menyedari bahawa tenggiri memang gemar mengejar jig yang dikarau laju seperti mengejar anak ikan yang lari bertempiaran. Jika kita ingin meniru anak ikan dengan jig, warna peraklah pilihan utama. Sticker berwarna perak akan memantau cahaya berwarna perak di bawah matahari seperti warna perak yang dihasilkan oleh badan anak ikan.

Jackson Ho, taukeh kedai pancing di Melawi turut serta dalam misi jigging tenggiri.

Kalau dah berhasrat sanggup menaiki motor untuk bertandang jigging ke laut.

Kaedah jigging tenggiri lebih sesuai dipanggil casting tenggiri atau Cast Jigging lantaran kita harus melempar jig jauh dari bot khasnya apabila bot diikat pada unjam. Justeru kita memerlukan joran jigging yang lebih panjang dan mempunyai kebolehan casting.

Haruskah jig ditenggelamkan sehingga ke dasar? Pada pendapat saya harus. Apabila jigging tenggiri di perairan unjam, saya sentiasa membiarkan jig tenggelam ke dasar. Seekor tenggiri besar telah membaham jig saya apabila jig dikarau tiga pusingan dari dasar ketika kami mencuba di salah sebuah unjam.

Secara umum ikan pelagik lebih suka bermain berdekatan permukaan laut. Namun kemungkinan juga tenggiri akan mengekori jig kita sehingga ke dasar dan melakukan serangan apabila jig dihenjut ke atas. Lagi pun tidak hairan juga kadangkala tenggiri juga akan mencari makanan berdekatan dasar. Justeru saya menyarankan supaya jig ditenggelamkan sehingga ke dasar. Lagi pun kedalaman perairan unjam pada umumnya hanya 20 hingga 30 meter lebih sahaja. Tidaklah dalam sangat.

Cara persembahan saya ialah henjut secara perlahan sebanyak 3 kali apabila jig mencapai dasar. Dengan cara ini selain dapat memikat tenggiri yang mengikut jig kita sehingga ke dasar untuk membahamnya, kita juga berpeluang menaikkan ikan demersal seperti kerapu. Satu lagi tujuannya ialah membiarkan jig menghasilkan momentum supaya lebih mudah untuk memulakan proses ultra speed jigging.

Target casting

Sungai yang dibina empangan di hulunya airnya tenang sehingga menghasilkan pemandangan yang luarbiasa indahnya.

Adakah kita casting secara membabi buta sahaja? Tidak. Di sebuah unjam yang bersaiz kecil, seboleh-bolehnya kita harus melemparkan jig berhampiran dengan unjam. Saya percaya spesies tenggiri juga akan bersembunyi di bawah daun-daun nipah seperti ikan-ikan pemangsa yang lain. Pada hakikatnya banyak strike telah dihasilkan apabila bot hanyut berhampiran buluh unjam.

Apabila casting ke tempat yang penuh dengan halangan seperti ini, tidak usalah kita menenggelamkan jig sehingga ke dasar bagi mengurangkan sangkut. Walau bagaimana pun risiko tetap ada dan amat bergantung kepada pengalaman tekong. Tekong yang handal akan menghanyutkan bot dari posisi yang seharusnya berpandukan tiupan angin atau arus supaya tidak terlalu dekat atau memasuki kawasan buluh.

Biarpun begitu tenggiri juga akan dapat dipancing dari perairan yang agak jauh dari buluh unjam. Apabila anda gagal menaikkan tenggiri di perairan berhampiran buluh, lemparlah jig ke kawasan-kawasan di luar buluh untuk memastikan kedudukan mereka.

Kena rajin

Ayah dan anak masing-masing cenderung dalam sukan jigging.

Apa pun jigging tenggiri di kawasan unjam memang bukan perkara mudah. Syarat terpenting untuk meraih kejayaan ialah ketekunan. Anda terpaksa berulang kali melempar jig, membiarkannya tenggelam ke dasar kemudian mengarau balik dengan selaju mungkin. Teori pancingan ini amat simple: jig anda harus berada dalam air setiap masa barulah berpeluang menaikkan tenggiri yang diidam-idamkan!

Kami hanya berjaya menaikkan 7 ekor tenggiri sahaja dalam trip dua hari ini. Biarpun tidak banyak, namun ia sudah boleh dikira keputusan yang dibanggakan memandangkan kuantiti spesies ini sudah semakin kurang pada dinihari. Mujurlah di perairan unjam Kelantan juga terdapat spesies-spesies yang lain seperti dorado yang galak membaham jig dan juga kerapu yang sedap sebagai bonus untuk mereka yang rajin bekerja!

Tenggiri bersaiz boleh tahan menyerang jig menjelang hujan rengai-rengai.

Jumlah sebanyak 3 ekor kerapu bersaiz ini berjaya dipancing apabila cuba memikat ebek dengan jig berbadan tebal di dasar unjam.

Slow jig juga berjaya memikat tenggiri namun bukannya kes biasa.

Spesies aji-aji ini semakin jarang dijumpa.

Setakat inilah perbincangan artikel ini. Saya akan berkongsi lebih banyak lagi teknik cast jigging tenggiri pada artikel bersambungan “Jigging Tenggiri Ala Kedah” pada keluaran akan datang. Harap maklum dan selamat mencuba!

Ebek bulat yang berjaya dinaikkan apabila bot berlabuh di sebuah unjam menjelang tengahari.

Spesies trevally ini kuat melawan biarpun berbadan kecil.

Menghayati kerapu tangkapan kami di sebuah restoran berdekatan pelabuhan.

Nasi dagang berdekatan homestay dapat memberikan kepuasan kepada sesiapa yang merindukan masakan istimewa Kelantan ini.

Pernahkah anda merasai manisan yang dipanggil Lompat Tikam ini?