Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Jom Pelajari Teknik Fukase Fishing

Ukifukase-tsuri’ dalam bahasa Jepun, bermaksud ‘pelampung’ atau ‘hanyut’, merupakan satu teknik menggunakan joran yang panjang, pelampung, kekili kecil, tali utama yang halus, dan yang penting, menabur umpan sebagai daya penarik sang ikan untuk mengambil umpan di mata kail. Ia merupakan salah satu teknik ‘rock fishing’ yang popular di Jepun, Hong Kong, Korea dan China. Teknik ini cuba diperkenalkan di Malaysia melalui eksperimentasi di sebuah kelong pancing di Penyabong, Johor.

Lengkungan yang menggiurkan daripada joran panjang teknik ‘fukase’.

Teks & Fotografi : SPIKE FARIQ

Teknik yang dipanggil pancingan ‘Fukase’ ini sering dipraktikkan di kawasan berbatu yang mensasarkan ikan-ikan bersisik, terutama daripada spesies bream. Joran sepanjang 5 meter dan kekili khas yang menggunakan lever brake (brek tuilan) antara peralatan yang menjadi satu kemestian bagi setiap pemancing kelas ini.

Teknik Rasuah Dedak

Namun apa yang menarik mengenai pancingan ini ialah penggunaan dedak yang ditabur untuk ‘merasuah’ ikan agar berkumpul di sesuatu kawasan. Lalu ikan itu lebih mudah dipancing.

Di negara kita, teknik pelampung ini juga telah lama dipraktikkan dalam pancingan tamok (ikan belanak besar), dengan penggunaan set ringan dan juga pelampung mudah laras mengikut kedalaman tertentu.

Tetapi kita tidak menggunakan dedak, sebaliknya roti yang dibasahkan dan dihempas ke permukaan air agar serpihan daripada pecahan roti itu dapat menarik sang tamok untuk mengambil umpan yang disediakan.

Ujian Marukyu Di Kelong

Baru-baru ini, OFT Pancing Sdn. Bhd. dan Marukyu Co. Ltd yang merupakan pengeluar dedak terbesar di Jepun telah menjemput SIRIP untuk mendokumentasikan teknik Fukase ini. Ia dengan harapan agar teknik ini dapat berkembang di Malaysia.

Bertempat di Kelong Ah Fatt, Penyabong, pihak Marukyu telah menghantar dua wakilnya iaitu Mr. Shusaku Nishiyama dan Mr. Hideyuki Igarashi untuk melakukan demonstrasi dedak mereka.

Pada awalnya mereka telah menerangkan apa itu ‘Fukase’ dan bagaimana cara pancingannya. Ia tampak mudah, tapi untuk mendalami seni pancingan ini, ia sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng.

Dedak Teknologi Jepun

Ketika tiba di kelong, Nishiyama telah menunjukkan beberapa jenis dedak yang dibawa, dan beliau merasakan ia sesuai untuk perairan negara kita. Sekali tengok pastinya kita akan kata semuanya sama, mungkin berbeza bau dan warna.

Jangan ingat ebek makan jig aje, dedak pun dia suka!

Tetapi setelah diterangkan ‘tugas’ setiap dedak, ia mampu membuatkan anda terkesima dan kagum atas apa yang penyelidik mereka lakukan pada setiap dedak yang dihasilkan.

Dedak ini dihasilkan 100% daripada tumbuh-tumbuhan dan terlalu mesra alam. Apa yang dimaksudkan terlalu mesra alam? Kebanyakan dedak yang dihasilkan ini menggunakan beras, gandum dan barli!

Dan yang menariknya, apabila dedak ini pecah dan serap ke dasar, ia akan menggalakkan proses perkembangan fitoplankton dan rumpai laut, serta menjadi garam yang berkhasiat! Patutlah motto syarikat ini ialah “Thanks to nature and fish”.

Selain ramuannya yang menarik, setiap dedak mempunyai sifat penguraian yang berbeza-beza mengikut situasi dan lokasi pancingan. Setiap satu dedak, lain sifatnya.

Telinga gajah sudah pasti menggemari dedak sebegini.

Terdapat dedak yang penguraiannya setempat, bersepah, perlahan ataupun cepat tenggelam. Memang mengkagumkan sekali kajian yang dilakukan mereka dan apa yang boleh saya katakan, “Salute! Untuk para penyelidik!”

Pulau Batu & Kelong

Di Jepun, Hong Kong, dan Korea, teknik ini sering dimainkan di kawasan pulau berbatu, dan ia dipanggil teknik ‘ISO’ yang bermaksud ‘batu’ (rock fishing).

Ia merupakan pancingan yang paling popular di sana, sehinggakan setiap majalah, pasti akan memberi keutamaan teknik ini dalam keluaran mereka. Bukanlah sesuatu yang pelik jika pancingan ISO ini mendominasi hampir 80% isi kandungan majalah, berbanding teknik pancingan yang lain.

Di negara-negara yang popular teknik pancingan ini, terdapat bot khas untuk membawa pemancing pergi ke pulau yang berbatu. Namun di Malaysia, masih belum terdapat bot-bot begini, kecuali atas permintaan pemancing sendiri.

Baby kaci dengan teknik ‘drift bottom’.

Disebabkan itulah Igarashi mensasarkan kelong atau rumah rakit sebagai permulaan, sekiranya terdapat pemancing di Malaysia yang ingin berjinak-jinak dengan teknik ini kerana akses yang mudah untuk ke sini.

Kelong Ah Fatt yang baru dibina di perairan Penyabong, Johor sememangnya tempat yang selesa untuk ditandang serta melakukan demonstrasi teknik ini. Tetapi disebabkan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini, hasil agak kurang memberangsangkan. Namun itulah adat memancing.

Apa pun terima tasih diucapkan kepada dua wakil Marukyu Co. Ltd. serta pengedar utama iaitu OFT Pancing Sdn. Bhd. kerana sudi meluangkan masa untuk demonstrasi teknik pancingan yang unik ini.

Saya percaya, teknik ini amat sesuai diguna pakai di perairan kita. Cuma ia mungkin mengambil sedikit masa untuk menjadi suatu fenomena baharu waima negara kita kaya dengan pantai berbatu dan pulau-pulau yang berpotensi untuk didedahkan dengan teknik ‘Fukase’ ini.

Makan tengahari bersama OFT Pancing dan staf Marukyu di Kelong Ah Fatt.

Majalah dari Korea, Hong Kong dan Jepun yang mengutamakan teknik pancingan ‘Fukase’ dan ‘Iso’.

*Ah Fatt Kelong Fishing Resort (Penyabong, Johor) : 014-988 1988 (Kelly)

BAGAIMANA TEKNIK FUKASE FISHING? 

Langkah-Langkah Persediaan & Kaedah Fikase Fishing :

1C. Peralatan asas yang perlu disediakan.

2C. Pelampung khas senang laras untuk kegunaan teknik ini.

3C. Kekili berfungsi ‘lever brake’ menjadi kegemaran pemancing ‘fukase’. Tapi kekili biasa pun boleh.

4C. Cara bancuhan dedak Marukyu sama seperti biasa, dengan tambahan air untuk lekatkannya.

5C. Gaulkan dedak Marukyu.

6C. Sediakan umpan biasa, misalnya udang.

7C. Dedak tadi digaul bersama udang.

8C. Kemudian campakkan ia ke air.

9C. Ikan mula berkumpul dan berebutkan umpan rasuah itu.

10C. Cangkuk cebisan umpan udang ke mata kail.

11C. Lakukan lontaran ke kawasan yang dirasuah.

12C. Layannnn…!

Selain dedak, Marukyu juga mengeluarkan produk soft plastics (S.P) yang mesra alam.

Penghargaan Marukyu kepada Kelong Ah Fatt.