Jom Popping Bebulus
Bermacam-macam spesies ikan bersaiz kecil telah berjaya dinaikkan sejak demam casting Ultralight berleluasa di Malaysia dan di negara-negara jiran. Namun bebulus pula belum pernah dinaikkan dengan teknik ini biarpun ia idaman ramai pemancing lantaran keenakan isinya. Manakala di Australia, bebulus sudah lama menjadi ikan sasaran caster. Lebih menarik lagi ialah popper pula digunakan untuk spesies comel ini!
Teks & Fotografi: Brett Mensforth (取材自https://www.shimanofish.com.au/)
Teknik yang tak masuk akal ini berasal dari New South Wales, Australia apabila otai-otai di sana terpancing bebulus sewaktu mengilat ikan lain di tepi pantai. Otai-otai tersebut termasuklah Kaj Busch, Steve Starling dan Brett Wilson.
Berasaskan kajian sains dan juga pengalaman peribadi, didapati bebulus tidak semata-mata bergantung kepada penglihatan untuk mendapatkan makanan. Sebaliknya mereka bergantung kepada sistem pemantauan getaran yang dihasilkan oleh mangsa. Inilah sebabnya penumpuan mereka mudah dialih oleh gewang permukaan. Justeru popper telah menjadi senjata terbaik untuk menjerat bebulus!
Seandainya anda pernah memancing bebulus di tepi pantai, anda pasti mengetahui tempat mencari makanan mereka. Di Australia, bebulus boleh dijumpai di pantai berpasir berdekatan muara. Termasuk juga sungai dan tasik yang berair masin. Waktu air pasang merupakan waktu terbaik untuk menjerat spesies ini. Kawasan terbaik ialah kawasan yang mengandungi makanan kegemaran bebulus seperti udang dan cacing.
PERSEDIAAN MEMBULUS
Peralatan merupakan aspek terpenting apabila cuba memancing bebulus dengan gewang. Harus diingati bahawa bebulus gemar mencari makanan di perairan yang amat cetek. Justeru pergerakan kita haruslah lembut. Mereka juga amat memilih makanan dan harus dipujuk dengan persembahan yang sewajarnya.
Saya suka guna joran sepanjang 1.8 sehingga 2.7 meter dengan tali sulam 2 hingga 4kg apabila memancing di pantai. Namun setelah berbincang dengan Bushy(nama samaran Karl Busch), saya telah beralih kepada joran yang lebih pendek dan beraksi lebih keras. Manakala kekili terbaik ialah yang bersaiz 1000.
Salah satu rahsia yang sempat saya korek dari Bushy ialah menggunakan perambut yang lebih kasar berbanding perambut yang biasa digunakan untuk panjing dasar buat bebulus. Bushy menyukai perambut Fluoro Carbon 12 paun sepanjang 60cm yang disambung ke tali utama dengan ikatan Double Uni Knot. Manakala gewang pula disambung ke perambut dengan ikatan Locked Clinch Knot dengan tujuan untuk menjadikan bahagian Terminal Tackle lebih keras. Saya akan menerangkan mengapa kombinasi ini lebih baik berbanding Loop Knot kemudian.
PILIHAN GEWANG PERMUKAAN
Gewang kegemaran saya ialah Stiffy Popper keluaran Bushy yang amat sesuai digunakan untuk mencari kedudukan bondong bebulus. Stiffy yang panjangnya 50mm dapat menghasilkan banyak bunyi “bloop” apabila dikarau dengan perlahan mahupun pertengahan laju. Saya gemar menukar mata tiga ekornya ke saiz yang lebih kecil bagi meningkatkan kadar cangkukan.
Warna popper sudah pasti ada pengaruhnya. Bahagian bawah popper merupakan satu-satunya bahagian yang dapat dilihat oleh bebulus yang mencari makan di dasar pantai. Saya gemar menggunakan warna merah atau merah jambu untuk meniru udang. Selain warna, profil gewang di permukaan air juga penting. Saiz 50mm didapati berpadanan dengan udang yang mejadi makanan utama mereka.
Tidak kira anda memilih popper dari jenama apa, yang penting harus memastikan produk itu dilengkapi mata tiga yang amat tajam dan dapat menghasilkan kekacauan di permukaan sewaktu dikarau dengan kelajuan perlahan atau sederhana.
TEKNIK DAN PERSEMBAHAN
Ke mana popper dilempar dan bagaimana ianya dikarau merupakan aspek terpenting dalam teknik mengilat bebulus. Langkah pertama ialah berfikir seperti seekor bebulus. Spesies ini biasanya mencari makanan di sepanjang pantai ketika air pasang.
Udang biasanya cuba mengelakkan pemangsanya melalui kelajuan. Jika udang ingin melepaskan diri dari mulut bebulus, cara terpantas ialah meloncat ke permukaan. Udang akan meloncat merentasi permukaan laut secara lurus. Mereka tidak akan meloncat ke kiri dan kanan atau sentiasa mengubah arah loncatannya. Ini merupakan kunci pancingan bebulus. Anda harus memastikan popper anda sentiasa dikarau secara lurus dan menghasilkan bunyi “bloop” dengan rentak yang berterusan.
Sekarang marilah kita berbalik kepada isu Clinch Knot dan perambut keras tadi.
Kebanyakan Minnow dan SP akan menghasilkan aksi terbaik apabila dimainkan dengan ikatan Loop Knot. Gewang selaman direka khas untuk meniru anak ikan atau udang menjunam ke dalam air. Aksinya terjejas jika perambut diikat terus pada bahagian hadapannya. Manakala mengikat gewang dengan Clinch Knot atau Uni Knot secara langsung akan memastikan popper kekal lurus menjelang karauan dan tidak akan menghasilkan aksi ke kanan dan ke kiri yang tidak diingini.
Alasan Bushy menggunakan perambut yang keras juga ada teorinya. Beliau gemar menggunakan perambut sekasar 14 paun yang dianggap kurang sinonim dengan pancingan bebolos yang mementingkan kesenyapan. Namun beliau berpendapat bahawa perambut yang lebih keras akan dapat membantu popper bergerak dengan selurus mungkin, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang berangin. Jangan khuartir, popper akan sentiasa bergerak di permukaan. Ikan tidak akan nampak samada perambut itu kasar atau halus.
Kelajuan karauan juga penting. Serangan bebulus terhadap popper akan sentiasa “Miss” jika dikarau terlalu laju. Jika terlalu lambat pula sukar untuk menarik perhatiannya. Kelajuan sederhana yang dapat mengelakkan tali menjadi longgarlah kelajuan terbaik. Lagi pun kelajuan udang akan sentiasa bersamaan sahaja tidak kira dikejar oleh pemangsa apa. Anggaplah popper itu sebagai seekor udang yang sedang berundur!
KEGILAAN POPPING BEBULUS!
Salah satu bonus popping bebulus ialah dapat menaikkan spesimen yang lebih besar. bebulus yang berjaya dinaikkan dengan popper rata-rata lebih besar dari yang dipancing dengan umpan semulajadi. bebulus yang lebih kecil lebih kepada mengejar popper dari membahamnya. Justeru ikan yang dinaikkan hampir semuanya bersaiz 35 hingga 40cm dengan 43cm sebagai rekod peribadi. Tidak termasuk spesimen lebih besar yang lolos!
Adakah anda terasa ingin cuba memancing bebulus dengan teknik popping setelah membaca artikel ini? Biarpun di Malaysia tidak terdapat semua jenis port bebulus seperti yang terdapat di Australia, namun dipercayai kebanyakan pantai berpasir kita rata-rata mengandungi spesies yang comel ini. Bebulus layak menjadi salah satu ikan sasaran buat pemancing Ultralight lantaran ianya mudah dijumpai dan isinya disukai semua bangsa di negara kita.
Jom popping bebolos beramai-ramai!