Junta Juak Batang Ai
Empangan Batang Ai yang terletak di daerah Lubok Antu, Sarawak agak kurang kita kenali sedangkan ia lebih tua usianya berbanding Empangan Kenyir. Namun destinasi yang telah lama menjadi tumpuan para pelancong luar negara ini sebenarnya gelanggang mengilat yang mendebarkan bagi sebilangan caster di Bumi Kenyalang kerana hulunya dikawal oleh spesies garang yang dipanggil ‘juak’ oleh masyarakat Iban…
Teks & Fotografi : ASYRAAF KAY
Kami dari Bidiek Anglers yang dianggotai oleh Rasbinie, Asrie, Azizul dan saya sendiri memulakan perjalanan seawal jam 5 pagi. Perjalanan berkereta dari Sri Aman mengambil masa 1 jam sahaja menuju ke Lubok Antu yang terbentangnya Empangan Batang Ai.
Faktanya, empangan yang siap dibina pada tahun 1980 ini telah mengempang Sg. Batang Ai untuk membekalkan kuasa elektrik, lalu membentuk sebuah tasik buatan seluas 24 km persegi. Jika anda ingin ke Batang Ai dari bandaraya Kuching, jaraknya lebih jauh iaitu kira-kira 275 km dan mengambil masa kira-kira 4 jam berkereta.
Perjalanan Air
Sampai sahaja di jeti empangan, boatman kami telah bersedia dengan perahu panjangnya. Setelah berkemas mengangkat barang ke perahu, sekarang kami perlu merentas tasik Batang Ai sebelum sampai ke kuala sungai untuk mudik ke hulunya.
Perjalanan air ke hulu Batang Ai ini mengambil masa sekitar 2 – 4 jam bergantung kepada faktor cuaca, air dan keadaan sungai. Alhamdulillah, semasa sepanjang perjalanan mudik ke hulu, tiada sebarang gangguan mahupun halangan. Cuma sesekali kena turun untuk menolak perahu ketika melalui jeram yang cetek.
Batang Ai adalah kawasan penempatan rumah panjang masyarakat Iban yang tertua di Sarawak. Sebahagian besar hutannya seluas 24,000 hektar yang tidak terusik telah diwartakan sebagai Taman Negeri Batang Ai. Belantara yang dilindungi ini menyediakan habitat pelbagai hidupan liar, melindungi kawasan tadahan air dan membekalkan sumber makanan hutan kepada masyarakat setempat. Tahukah anda, 90% populasi orang utan di Sarawak tinggal di dalam hutan dara ini.
Top Water Frenzy
Sekitar jam 10 pagi, kami akhirnya sampai ke destinasi yang ditujui. Udara yang segar, serta cuaca yang baik menaikkan lagi semangat kami untuk memburu juak. Uniknya di Batang Ai ini sebenarnya dihuni dua spesies sebarau iaitu juak satu belang dan juak dua belang. Teringin sekali untuk kami menewaskan kedua-duanya untuk dibuat perbandingan.
Sampai sahaja perahu di lokasi casting, tekong kami memberi isyarat ‘on!’. Casting secara boat-based dapat menjimatkan masa untuk menggempur pelbagai spot yang menarik sepanjang sungai ini. Tanpa membuang masa, kami mula melontar gewang di celahan reba dan tunggul kayu.
Tanpa menunggu lama, popper Starlit Rasbinie disambar rakus dengan letupan yang jelas kedengaran. Kelihatan tali diheret melawan arus deras sungai. Lenturan joran Rodford beliau jelas membuktikan kekuatan ikan yang mengheret gewang ini. Akhirnya seekor juak berjaya dinaikkan dengan anggaran berat 1 kg. Menurut tekong, saiz sebegini biasa didapati di sekitar sungai ini. Selang 2 minit, Azizul dan Asri pula berjaya menaikkan juak pertama mereka.
Saya tidak menunggu lama untuk menaikkan juak pertama di Batang Ai apabila lontaran popper ke kuala sungai kecil disambut dengan letupan besar. Joran Kuying Snapshot 5 – 10 paun melengkung tajam apabila terpaksa melawan ikan dan arus deras.
Teknik Kayuh Laju
Masa yang ada tidak kami sia-siakan. Balingan demi balingan dilakukan. Setibanya di jeram yang luas, Rasbinie melemparkan popper dan dikarau laju sambil fast jerking. Menurutnya ini salah satu cara untuk menarik perhatian sebarau di kawasan berjeram.
Tanpa perlu menunggu lama, poppernya melambung disambar penunggu jeram ini. Namun ‘miss call’. Kemudian sekali lagi popper Rasbinie dikejar dan direntap ganas sewaktu popper hanya dalam jarak 1 meter dari perahu, memaksa joran Rodford Velocity beliau direndam ke dalam air bagi mengikut rentak pecutan si juak ini sehingga mengaku kalah kerana keletihan.
Melihat potensi lubuk itu, kami memanfaatkan masa dengan casting dan retrieve secara laju. Teknik ini nyata membuahkan hasil apabila popper milik Azizul direntap kasar dan juak memecut ke arah reba. Azizul pantas mengunci drag Daiwa Zillion HD dan bernasib baik kerana mampu mengekang amukan juak yang tegap saiznya.
Sebelum berhenti untuk makan tengah hari, tekong membawa kami ke lokasi yang beliau pernah mendaratkan juak bagak satu ketika dulu. Lontaran Asri yang tepat ke celah-celah reba di situ terus disambut ganas penghuninya, lantas mengheret popper Asri masuk ke arah reba itu kembali.
Asri bernasib baik kerana juak yang dipam mula mengalah dan keluar dari reba tersebut. Namun begitu, beliau berdepan masalah lain apabila juak tersangkut pada reba kayu di bawah perahu kami. Boatman dengan pantas mengemudi bot sambil meleraikan tali yang tersangkut itu. Sebaik merasakan dirinya sudah bebas, juak terus memecut laju ke tengah sungai. Namun kali ini Asri sudah bersedia, pantas mengawal asakan ikan daripada melakukan pecutan yang berbahaya seperti tadi sehingga terlentang kepenatan.
Land-Based Casting
Setelah kepenatan beraksi tadi, kami mengambil keputusan untuk berhenti makan sebelum balik ke jeti memandangkan masa semakin suntuk, perjalanan agak jauh dan lama. Saya mengambil keputusan untuk mencuba casting secara land-based. Saya masih mengharapkan untuk menaikkan sekurang-kurangnya seekor lagi juak bersaiz kasar.
Namun setelah puluhan kali cast, hanya juak bersaiz tapak tangan yang menyambar. Saya berjalan ke hulu sungai kira-kira 100 meter dari tempat rehat kami dan cuba casting di kawasan lubuk sana. Airnya yang tenang, tapi dalam serta terdapat tunggul kayu yang besar. Itu sudah pastinya rumah banglo bagi juak, kata hati saya. Jangkaan saya tepat kerana lontaran pertama saya disambut dengan letupan top water!
Popper saya terus diheret laju ke dasar sungai dan saya dapat rasakan ini yang paling kuat tarikannya dalam trip saya kali ini. Kuying Snapshot milik saya sudah melengkung seperti huruf C, namun masih tidak ada tanda-tanda ikan tersebut mahu mengalah. Setelah berhempas pulas, akhirnya ia berjaya ditewaskan juga dalam masa-masa kecederaan ini. Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila berjaya mendaratkan juak bersaiz idaman ini.
Memandangkan jam sudah semakin lewat, kami terpaksa pulang meninggalkan Batang Ai dengan hati yang amat berat. Masih terasa dan terngiang-ngiang pecutan padu si juak. Diharap suatu hari nanti kami akan kembali untuk menduga juak Batang Ai ini, terutama spesies dua belang yang lebih ‘rare’ yang gagal kami tumpaskan.