KAPSUL MASA SABAK BERNAM – Bagai Kembali Ke Zaman Silam
Sebenarnya sudah banyak kali saya ditugaskan di daerah-daerah negeri Selangor. Tetapi kehadiran saya di Sabak Bernam kali ini telah menemukan lubuk pancingan yang frenzy dengan haruan, bulan dan puyu bersaiz Godzilla! Kegilaan haruannya membedal gewang, serta kerakusan puyu, bulan dan tilapia meratah cacing yang dihulurkan membuatkan saya merasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak di kampung, di mana ikan-ikan seperti ini begitu mudah dipancing…
Teks & Fotografi : JOHN ANGLER
Hari pertama tiba di Sabak Bernam, saya melihat begitu banyak tali air dan parit yang dilitupi samai dan tumbuhan terapung yang bersaiz kecil (maaf saya tidak tahu nama). Pada hemat saya, tentulah ini mahligai sang haruan. Saya juga diberitahu, terdapat siakap di pintu air di Kg. Banting.
Dengan hati berkobar-kobar, terpacaklah saya di tepi kunci air tersebut berbekalkan S.P grub. Baru beberapa balingan, satu ragutan dirasakan. “Harap-harap siakaplah ni,” detik hati saya. Sangkaan saya meleset apabila sang haruan yang memunculkan diri. Bersyukur mendapat strike tersebut, saya teruskan dan mendapat satu lagi strike. Juga haruan.
Saya mula berfikir, banyak pula haruan ni bermain di kawasan terbuka. Sangkaan saya tentulah ia lebih banyak di parit dan terusan bersamai yang saya lihat semalam. Petang itu saya mendapat beberapa ekor haruan di lokasi tersebut. Dah puas hati, saya pun memutuskan untuk berhenti mengilat petang itu.
Gewang Lama
Malam itu saya belek-belek gewang yang ada. Beberapa ekor hollow body frog, minnow, popper dan beberapa spinnerbait. Terpandang seketul gewang yang dah lama tidak saya gunakan iaitu jig spinner. Jig spinner adalah sejenis gewang gabungan antara jighead dan spinnerbait. Jighead boleh ditukar mengikut kehendak kita.
Saya gabungkan kemasan jighead 5 gram bersama SP grub kepada jig spinner tersebut. Jarang saya lihat pengilat tempatan memuat naik hasil pancingan daripada gewang jenis ini di media sosial, mungkin kerana ia kurang popular dan juga agak sukar didapati.
Keesokan pagi saya terus mencubanya. Keberkesanannya tidak dapat disangkal apabila bertubi-tubi ia diterkam sang haruan. Kemuncaknya hari itu apabila saya berjaya menggoda seekor haruan yang tidak mampu ditentang oleh setup yang saya gunakan. Ia berjaya menarik keluar drag dan akhirnya rabut. Hanya kocakan air serta keladak yang ditatapkan untuk rezeki mata saya. Termangu saya mengenang ikan tadi.
Kemunculan Mega
Beberapa hari kemudian, saya mencuba lagi di lokasi yang sama. Banyak juga haruan kecil yang meligan. Tiba-tiba satu sergapan yang agak kuat ketika jam sudah melebihi 7 malam. Perlawanan tarik tali akhirnya berpihak kepada saya. Seekor haruan besar muncul di permukaan air. Tak mampu untuk diangkat dengan joran, saya turun ke gigi air dan mengampu perutnya untuk diangkat ke atas.
Saiznya yang tegap dan sihat menunjukkan ia mempunyai diet yang baik di sini. Bagaikan mimpi, apabila saya mengilat lagi pada keesokan harinya di lokasi sama, seekor haruan yang lebih besar telah tergoda! Dua ekor haruan bersaiz mega telah saya daratkan dua hari berturut-turut!
Hari-hari berikutnya masih sama. Hanya sang haruan yang membedal gewang. Dalam kiraan saya, 5 ekor haruan bersaiz 1 kg – 2 kg berjaya saya daratkan. Ia seolah-olah lubuk yang masih dara. Mungkin juga pemancing di sini lebih mensasarkan kawasan bersamai bagi memburu haruan. Jadi mereka mengabaikan kawasan terdedah tanpa samai.
Nostalgia Zaman Kecil
Beberapa hari kemudian saya terlihat seorang pemuda India sedang asyik memegang joran telekopik. Sapaan saya memulakan perbualan kami. Rupanya dia sedang memancing ikan puyu berumpankan cacing. Tak senang duduk saya apabila melihat ke dalam baldi beliau, terdapat beberapa ekor ikan bulan dan puyu bersaiz gadang!
Saya lihat banyak ikan puyu bermain air, tetapi tidaklah menyangka ia sebesar itu. Boleh dikatakan hanya 2 ekor sudah penuh di telapak tangan. Akibat geram, saya pun terus mencubanya keesokan hari. Sangkaan saya tepat apabila umpan cacing begitu rakus diratah sang puyu. Sesekali juga ikan bulan, cichlid serta tilapia mencuri umpan.
Sesekali melayan puyu seronok juga. Ini membuatkan saya terkenang zaman kecil memancing puyu di sawah kampung. Dewasa kini, ikan puyu semakin sukar didapati. Apatah lagi yang bersaiz gadang begini. Pernah juga saya membeli ikan puyu ternak dari Thailand di pasaraya. Memang saiznya besar, tetapi rasanya tidak mampu menandingi rasa isi puyu liar.
Kemuncak
Kemuncak sesi pancingan saya apabila tumbuhan semalu air yang terdapat di tebingan telah dikorek oleh jengkaut. Sarang dan lubuk persembunyian sang haruan kini telah hilang. Saya hanya memerhatikan kerja-kerja pembersihan tersebut dan menaruh harapan tinggi apabila air kembali jernih akibat laluan jengkaut dan kesan korekan.
Petang itu air kembali beransur jernih. Tanpa berlengah, saya mencapai set dan terus ke sana. Benarlah telahan saya apabila melihat begitu banyak haruan sedang rising! Gewang dilontarkan dan sambaran bertubi-tubi petang itu sehinggakan terjadi beberapa kali gewang saya disambar ikan yang berlainan pada satu balingan sahaja!
Beberapa biji jig spinner dan spinnerbait saya rosak dikerjakan haruan. Ada yang hilang blade dan yang paling dahsyat apabila mata kail saya patah! Suspek tidaklah sebesar mana, saya hanya anggarkan ia mungkin sekitar 2 kg kerana sempat melihat kelibat ikan tersebut. Mungkin juga dawai wirebait saya telah menjadi lemah akibat selalu bengkok tiap kali disambar haruan.
Jauh Perjalanan Luas Pandangan
Selama sebulan di sana, boleh dikatakan saya tidak pernah kumpau apabila turun memancing. Begitu banyak haruan yang gila menghentam gewang yang saya hulurkan. Lagaknya persis kolam ternakan ikan haruan.
Terlupa saya untuk mengira jumlah tangkapan, tetapi rasanya melebihi 70 – 80 ekor haruan tidak termasuk spesies lain. Saya terpaksa meninggalkan daerah Sabak Bernam apabila tugas saya selama sebulan selesai di sana. Sabak Bernam pastinya akan tercatat dalam memori saya dan takkan pernah dilupakan.
Kerja yang memerlukan saya sentiasa mengembara ke seluruh pelosok tanah air tercinta ini banyak menemukan saya dengan lubuk pancingan yang baru. Ada yang frenzy, dan tak kurang juga kumpau. Itu adat dalam memancing.
Perjalanan ini juga menemukan saya dengan rakan-rakan baru, sama ada dari Facebook ataupun berborak semasa terjumpa di lokasi pancingan. Sentiasa tunduk ke bumi dan tidak asyik mendongak ke langit. InsyaAllah… kehadiran kita akan sentiasa disenangi bukan sahaja antara sahabat sehobi malah masyarakat sekeliling.